26.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 19, 2026

Syed Saddiq, PTTI tawar kelas Matematik percuma sebulan untuk 20,000 calon SPM 2026

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Usaha memperkasa pendidikan negara terus diperkukuh apabila Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama selebriti popular, Bella Astillah, menjalin kerjasama strategik dengan PTTI bagi melancarkan program Online Tuition Class (OTC) Matematik secara percuma selama sebulan khusus untuk pelajar Tingkatan 4 Batch 09, yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2026.

Inisiatif berskala besar bersempena tema Generasi Pandai Matematik itu diwujudkan bagi mengukuhkan asas Matematik pelajar, meningkatkan keyakinan mereka dalam subjek teras terbabit, selain memastikan lebih ramai remaja mendapat akses pendidikan berkualiti tanpa sebarang bayaran.

Program percuma ini terbuka kepada 20,000 pelajar dari seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fana, berkata pelaksanaan OTC Matematik ini selari dengan komitmen PTTI untuk menyediakan peluang pembelajaran inklusif bagi semua pelajar tanpa mengira latar belakang.

“Kami percaya setiap pelajar berhak mendapat peluang pembelajaran yang adil. Dengan OTC Matematik ini, PTTI mahu membantu 20,000 pelajar Batch 09 SPM 2026 untuk bermula lebih awal, membina asas yang kukuh dan memastikan mereka mampu melangkah ke peperiksaan dengan lebih yakin.

“PTTI komited menjadi rakan pembelajaran utama yang menyokong potensi dan kecemerlangan generasi muda,” katanya.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata kerjasama itu adalah langkah penting dalam memastikan pendidikan berkualiti dapat diakses secara menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat.

“Kita mahu memastikan anak muda hari ini tidak tercicir hanya kerana kekangan kos. Pendidikan berkualiti mesti boleh diakses semua, bukan hanya mereka yang mampu.

“Kerjasama dengan PTTI ini adalah usaha membuka lebih banyak ruang kepada pelajar untuk mempersiapkan diri menuju masa depan yang lebih cerah.

“Saya percaya dengan persediaan awal, sokongan tepat dan guru yang berdedikasi, pelajar kita mampu menjadi generasi yang lebih yakin, mahir dan berdaya saing,” katanya.

Majlis pelancaran program itu berlangsung meriah di IDCC Shah Alam melalui program Roadtour Mula Awal Straight A SPM 2026 PTTI, yang dihadiri hampir 1,000 calon SPM dari seluruh negara.

Turut memeriahkan acara ialah duta rasmi PTTI, Iman Troye, yang hadir memberikan kata-kata semangat kepada pelajar.

Inisiatif kelas percuma ini dibuka secara terhad kepada 20,000 pelajar Batch 09 dan pendaftaran boleh dibuat melalui laman rasmi www.ptti.my.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular