editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Jenama fesyen modest, MAGlifestyle, kembali mencuri tumpuan apabila mempersembahkan koleksi terbaharu di pentas Fashionable Modest Asia dengan pendekatan yang jauh lebih berani dan penuh warna.
Walaupun diasaskan oleh dua pereka bukan Muslim, Yen dan Shirley, jenama ini terus mengekalkan identiti sopan, moden serta tertutup, sekali gus membuktikan bahawa fesyen sederhana boleh dinikmati oleh semua tanpa mengira agama atau budaya.
Menurut dua pereka itu, koleksi terbaharu ini menjadi detik transformasi bagi MAGlifestyle kerana ia membawa mereka keluar daripada zon selesa yang selama ini sinonim dengan tona pastel dan rekaan minimalis.
Kali ini, pentas memperlihatkan paparan warna-warna terang dan ‘vibrant’ yang memberi impak visual lebih hidup dan energik.


“Kami memang mahu tonjolkan sesuatu yang lebih berwarna. Sebelum ini banyak rekaan pastel, tetapi untuk koleksi baharu ini kami nak tampilkan warna yang lebih menyerlah. Di atas pentas, ia nampak lebih hidup,” kata mereka.
Koleksi itu dijangka memuatkan antara 12 hingga 20 pilihan warna, bergantung kepada pemilihan akhir sebelum pelancaran rasmi.
Diinspirasikan oleh suasana romantik French Riviera, koleksi ini mengangkat konsep flower blooming yang diterjemahkan melalui penggunaan lace, motif flora serta tekstur fabrik yang kelihatan mewah.

Walaupun tidak menggunakan French lace asli, semuanya dipilih dengan teliti bagi memastikan hasil akhir tetap halus, premium dan selesa.
Sentuhan labuci dan manik turut diselitkan secara minimal untuk mengekalkan konsep simple elegant anggun tanpa berlebihan.
Bagi memenuhi cita rasa lebih meluas, setiap rekaan dihasilkan dalam dua gaya berbeza iaitu versi minimal bagi peminat gaya ringkas dan versi lebih berperincian untuk mereka yang mahukan sedikit kilauan.
Daripada keseluruhan rekaan yang dihasilkan, 23 daripadanya dipilih sebagai koleksi utama kerana kekuatan motif serta keseimbangan warna yang menonjol.


Rekaan selebihnya pula akan diperkenalkan dalam keluaran akan datang.
Kata mereka berdua, sesi penggambaran rasmi sedang dalam perancangan dan lookbook penuh koleksi ini dijangka dilancarkan tidak lama lagi.
Dengan motif flora yang bersifat universal dan palet warna yang sesuai untuk pelbagai tona kulit, mereka optimis bahawa koleksi ini akan mendapat sambutan merentas kaum.


Melangkah ke fasa baharu perkembangan jenama, MAGlifestyle turut mengumumkan perancangan untuk memperluaskan rangkaian produk dengan melancarkan koleksi 100 peratus womenswear merangkumi skirt, top dan dress yang lebih feminin dan moden pada keluaran seterusnya.
Dengan keberanian menggabungkan elemen modest, moden dan warna yang lebih segar, MAGlifestyle sekali lagi membuktikan bahawa fesyen sederhana mampu berevolusi lebih elegan, lebih versatil dan kini lebih berwarna daripada sebelumnya.

