25.3 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 29, 2026

Single debut ‘Mendewasa’ Amad Dayyan, kisah jujur tentang perjalanan menuju kedewasaan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi cilik yang semakin menyerlah, Amad Dayyan, tampil memperkenalkan single pertamanya berjudul “Mendewasa”, sebuah karya pop balada yang menyelami realiti perubahan hidup serta perjalanan emosi seorang anak muda yang belajar menerima hakikat kedewasaan.

Lagu yang diterbitkan oleh World Peace Music Sdn. Bhd. ini secara rasmi diperkenalkan kepada semua, baru-baru ini.

Suasana penuh mesra itu turut memberi peluang kepada tetamu untuk mendekati Amad, selain menikmati persembahan dan perkongsian eksklusif mengenai penghasilan lagu ini.

Mendewasa membawa pendengar menelusuri dilema dan konflik emosi yang sering dialami golongan muda keinginan untuk kekal dalam zon selesa zaman remaja, berdepan ketakutan terhadap perubahan, serta keberanian menerima realiti bahawa kehidupan sentiasa bergerak ke hadapan.

Dengan lirik puitis tulisan Shazriq Azeman dan Omar K, serta melodi pop balada yang lembut namun kuat menyentuh perasaan, lagu ini hadir sebagai sebuah refleksi jujur tentang proses membesar.

Amad, yang tampil dengan vokal lembut tetapi bertenaga, menjayakan lagu ini dengan penuh penghayatan.

Baginya, Mendewasa bukan sekadar single pertama, tetapi sebuah karya yang lahir daripada pengalaman peribadinya sendiri.

“Sebagai single pertama saya, Mendewasa amat bermakna kerana ia menggambarkan fasa kehidupan sebenar yang saya alami tentang ketakutan, kehilangan dan akhirnya keberanian untuk menerima bahawa membesar itu bukan sesuatu yang mudah, tetapi perlu,” katanya.

Single ini diterbitkan oleh Omar K, dengan gubahan gitar oleh Denny Mojo, proses mixing oleh Omar K dan mastering oleh John Jeeves.

Mendewasa kini boleh dinikmati di semua platform digital serta di saluran YouTube rasmi World Peace Music.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular