26.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, February 10, 2026

Exists umum tarikh baharu konsert Premium di PJ, 20 Disember 2025

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kumpulan legenda Exists bakal menutup tirai 2025 dengan sebuah persembahan eksklusif berjudul EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ, yang dijadualkan semula ke tarikh baharu, 20 Disember 2025 di Petaling Jaya.

Konsert anjuran JioBuddy itu dijanjikan sebagai sebuah produksi paling intim dan mewah pernah dipersembahkan oleh kumpulan berpengaruh itu, yang dianggotai Ujang, Ajai, Musa, Along dan Ezad.

Sebelum ini, konsert berkenaan diumumkan berlangsung pada 4 Oktober, namun selepas penelitian terhadap beberapa faktor teknikal, Exists dan JioBuddy mencapai kata sepakat untuk menunda acara itu bagi memastikan mutu persembahan benar-benar setaraf konsep “premium” yang dibawa.

Menurut wakil JioBuddy, Sean Ng, keputusan itu dibuat demi memberikan pengalaman terbaik kepada peminat.

“Penundaan tarikh ini adalah keputusan bersama Exists. Kami mahu EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ dipersembahkan dengan standard eksklusif, bukan sekadar sebuah lagi konsert biasa.

“Kami juga memahami keresahan peminat berikutan tren pembatalan konsert kebelakangan ini,” katanya.

Sean berkata, penundaan ini bukan petanda pembatalan, sebaliknya usaha untuk memastikan peminat benar-benar merasai maksud premium.

Sementara itu, Musa, pemain bass Exists, berkata, konsert kali ini direka khas sebagai sebuah persembahan yang lebih dekat dengan peminat.

“Konsert ini akan menjadi lebih intimate, lebih dekat dan lebih up close and personal,” katanya.

Along pula berkata, persembahan berkenaan akan dibahagikan kepada empat segmen, merangkumi sesi sembang-santai, soal jawab, serta kupasan mendalam mengenai perjalanan pembikinan lagu-lagu hits mereka.

“Peminat akan mengetahui momen sentimental sesuatu lagu ketika rakaman dan penghasilan, sesuatu yang belum pernah didedahkan dalam mana-mana konsert Exists,” katanya.

Bagi Ajai pula, elemen sentimental ini bakal menjadi nadi utama persembahan, sekali gus membezakan EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ daripada konsert-konsert terdahulu.

“Kami mahu peminat merasakan makna premium yang dibina melalui pengalaman dan emosi bersama Exists,” katanya.

Bagi menambah keistimewaan, Exists turut menyediakan dua hadiah eksklusif buat peminat bertuah.

Antaranya sebuah gitar akustik Manuel Rodriguez milik Along sendiri, yang pernah digunakan dalam rakaman beberapa lagu popular seperti Setanggi Syurga dan Salam Rindu.

Selain itu, dengan kerjasama JS Music, sebuah set dram PDP lengkap dengan Evans Drumheads dan Promark Sticks akan diberikan kepada seorang pemenang bertuah.

Semua butiran mengenai cara penyertaan akan diumumkan di media sosial dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Ujang berkata, peminat yang ingin memenangi hadiah berkenaan perlu mengikuti perjalanan Exists sehingga ke pentas JioSpace pada 20 Disember nanti.

“Untuk jadi pemenang, anda harus follow sampai ke pentas,” katanya berjenaka.

Walaupun berdepan penundaan, Exists menganggap keputusan itu sebagai peluang memperkukuh persiapan teknikal.

Ezad berkata, mereka sentiasa mementingkan kualiti dan menghargai setiap peminat yang melaburkan wang bagi menyokong konsert mereka.

“Kami mahu pesona mewah yang ingin disampaikan menjadi momen tidak dilupakan,” katanya.

JioBuddy berkata, konsert ini akan tampil berbeza daripada persembahan Exists sebelum ini.

“Kami yakin EXISTS PREMIUM LIVE @ PJ benar-benar akan menepati standard premium yang dijanjikan daripada mutu permainan muzik, audio hingga pengalaman eksklusif untuk peminat,” kata Sean.

Sebagai tambahan, seramai 100 peminat bertuah berpeluang bergambar secara peribadi bersama semua anggota Exists.

Tiket konsert yang ditawarkan dalam kategori Premium (RM588), VIP (RM488) dan Diamond (RM368) boleh diperoleh melalui www.jiotix.asia atau talian hotline khas OKU di +6011 1660 1122.

Tiket kategori Diamond yang laris juga telah ditambah jumlahnya dan peminat boleh merujuk media sosial untuk kemas kini terkini.

Peminat yang telah membeli tiket sebelum ini tidak perlu bimbang kerana tiket masih sah untuk tarikh baharu.

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan melalui WhatsApp hotline atau emel rasmi JioBuddy. Bagi pembelian korporat, diskaun istimewa turut disediakan untuk pembelian 30, 50 dan 100 tiket.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular