27.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 11, 2026
Home Blog Page 41

Canon lancar Think Big Klang Valley 2025: Pacu transformasi digital Malaysia dalam era AI

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Canon Marketing Malaysia (Canon) melengkapkan siri Think Big Klang Valley 2025 dengan penuh kejayaan apabila acara yang berlangsung di Sheraton Petaling Jaya itu menghimpunkan pemimpin industri, penggubal dasar dan penginovasi teknologi bagi meneroka masa depan ekonomi digital Malaysia.

Bertemakan “Future-Ready Malaysia: Innovation, Resilience, Growth”, edisi ini menjadi penutup kepada siri Think Big 2025 yang turut berlangsung di Johor Bahru, Pulau Pinang dan Putrajaya sebelum ini.

Majlis berkenaan turut menampilkan ucaptama oleh Menteri Digital Malaysia, Gobind Singh Deo, yang membawakan topik “Future Ready Malaysia, Unlocking ASEAN’s AI Advantages”.

Dalam ucapannya, Gobind berkata, Kerajaan komited untuk mempercepat agenda transformasi digital negara, memperluas penggunaan kecerdasan buatan (AI), serta mengukuhkan daya saing Malaysia dalam ekonomi serantau yang semakin berasaskan data dan automasi.

Siri ini menampilkan sesi fireside serta perbincangan panel yang menghimpunkan pakar termasuk Dr. Jasmine Begum, Pengerusi Bukan Eksekutif MIMOS Berhad dan Alan Tan, Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan Affin Bank.

Penceramah berkongsi pandangan tentang bagaimana perniagaan di Malaysia boleh mengautomasi proses, mengoptimum prestasi operasi dan melaksanakan inovasi berasaskan AI untuk membina daya tahan jangka panjang.

Presiden & CEO Canon Marketing Malaysia, Masato Yoshiie berkata, Canon komited menjadi pemangkin transformasi digital di Malaysia.

“Seiring perjalanan transformasi digital Malaysia, Canon komited untuk membantu organisasi pelbagai saiz mencapai kecekapan baharu melalui AI, automasi dan penyelesaian berasaskan awan.

“Menerusi Think Big, kami ingin memperkasa perniagaan dengan alat dan pandangan yang tepat untuk berfikir lebih besar, berinovasi lebih pantas dan mencipta impak yang mampan dalam ekonomi yang pantas berubah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Penyelesaian Pengimejan Perniagaan Canon, Vincent Low berkata, pihaknya yakin terhadap arah tuju digital negara.

“Kepimpinan Malaysia dalam inovasi AI dan awan mencerminkan komitmen nasional ke arah masa depan digital.

“Di Canon, kami berbangga menjadi rakan teknologi kepada perniagaan, menyediakan penyelesaian pintar dan boleh diskala bagi memudahkan aliran kerja, meningkatkan kecekapan dan mempersiapkan operasi untuk menghadapi masa hadapan,” katanya.

Sebagai melengkapi sesi kepimpinan, Canon turut mempamerkan rangkaian penyelesaian perniagaan pintar terbaharu yang direka untuk memacu automasi aliran kerja, meningkatkan keselamatan data dan mengoptimum prestasi organisasi.

Sorotan utama acara ialah pelancaran siri imageFORCE, barisan peranti pelbagai fungsi (MFD) generasi baharu yang menampilkan penyelenggaraan pintar berasaskan AI, sistem tangkapan data yang lebih cekap serta analitik ramalan untuk memastikan masa operasi maksimum.

Dibangunkan berasaskan empat tonggak utama Canon iaitu Keselamatan, Kebolehpercayaan, Ketersambungan dan Kelestarian, siri imageFORCE menawarkan integrasi awan yang lancar dan ciri keselamatan lanjutan, menjadikannya pilihan ideal untuk persekitaran kerja hibrid yang semakin meluas di Malaysia.

Keseluruhan rangkaian inovasi yang diperkenalkan ini mengukuhkan komitmen Canon dalam menyokong aspirasi pendigitalan negara serta membantu perusahaan tempatan mengadaptasi teknologi yang lebih pintar, selamat dan berskala untuk pertumbuhan jangka panjang.

Ketika Malaysia melangkah menuju masa depan yang semakin berorientasikan digital, Think Big Klang Valley Series 2025 membuktikan peranan Canon sebagai rakan strategik utama kepada pemain industri.

Platform ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada penyelesaian teknologi terkini, malah membimbing organisasi dalam merangka strategi inovasi bagi mengekalkan daya saing dalam ekonomi moden.

Think Big Leadership Business Series, yang diperkenalkan di Singapura pada 2010, terus menjadi platform inspirasi untuk pemimpin perniagaan di rantau ini.

Melalui siri ini, Canon memperlihatkan bagaimana teknologi dan inovasi dapat dimanfaatkan secara praktikal untuk memacu pertumbuhan mampan serta membantu organisasi menyesuaikan diri dalam landskap perniagaan yang sentiasa berubah.

Naratif baharu minyak sawit: Pendidikan awal kunci ubah persepsi

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Industri sawit Malaysia perlu memperkukuh naratif sebenar mengenai minyak sawit sebagai minyak masak paling berdaya saing, mampan dan kompetitif berbanding minyak-minyak lain termasuk minyak zaitun.

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan SD Guthrie Berhad, Mohd Haris Mohd Arshad berkata, usaha menangkis mitos dan maklumat tidak tepat mengenai sawit tidak boleh berhenti di media sosial semata-mata, sebaliknya perlu dimulakan di peringkat akar umbi melalui pendidikan formal di sekolah.

Menurutnya, Malaysian Palm Oil Council (MPOC) wajar diberikan ruang dan peranan lebih besar dalam sistem pendidikan untuk memperkenalkan pengetahuan asas mengenai minyak sawit, daripada bagaimana ia dihasilkan, impaknya kepada ekonomi negara, hingga kepada kelebihan sebenar sawit berbanding minyak lain.

Langkah itu diyakini penting untuk memupuk pemahaman rakyat sejak kecil dan membentuk pengguna yang lebih celik mengenai industri sawit.

“Cubaan menerangkan isu kestabilan dan kelebihan minyak sawit secara langsung sering kurang berkesan kerana ia datang daripada pihak industri sendiri.

“Oleh itu, naratif ini perlu dibawa oleh pihak ketiga yang neutral dan dipercayai.

“Institusi komuniti, NGO dan rakan strategik lain disifatkan sebagai pihak yang sesuai untuk berkongsi fakta mengenai pertanian lestari serta perbezaan antara ladang mampan dan tidak mampan,” katanya selepas mengadakan pembentangan pada penganjuran
Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB (PIPOC 2025) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Katanya, Malaysia, perlu memberikan lebih pendedahan kerana masih ramai rakyat tempatan yang tidak memahami peranan sebenar industri sawit walaupun ia telah lama menjadi tulang belakang ekonomi negara.

“Salah satu pendekatan penting yang disarankan ialah memanfaatkan produk harian untuk membuktikan betapa pentingnya minyak sawit dalam kehidupan seharian.

“Tanpa minyak sawit, banyak produk popular seperti makanan dan minuman coklat, ayam goreng, snek keropok, syampu, ubat gigi dan pelbagai barangan kegunaan harian tidak akan wujud dalam kualiti yang sama seperti hari ini.

“Minyak sawit bukan sekadar minyak masak, tetapi menjadi bahan utama dalam makanan, minuman, produk penjagaan diri dan pelbagai barangan pengguna lain,” katanya lagi.

Beliau berkata, negara-negara Eropah, termasuk United Kingdom, kini bergantung kepada minyak sawit dan tidak dapat menggantikannya dengan alternatif lain secara efektif.

Justeru, menjadi tanggungjawab semua pihak dalam industri untuk terus mendekati pengguna dan komuniti global untuk menjelaskan manfaat minyak sawit lestari secara telus.

Mengenai isu kelestarian dan pertumbuhan ekonomi, beliau menolak anggapan bahawa kedua-duanya bertentangan.

Sebaliknya, pelaburan awal dalam pensijilan lestari memberi pulangan jangka panjang.

Di Malaysia, kos pensijilan untuk pekebun kecil ditanggung kerajaan bagi memastikan mereka tidak terbeban.

Walaupun pulangan tidak dilihat serta-merta, permintaan pasaran terhadap minyak sawit bersijil dijangka meningkat, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit pilihan dunia.

Beliau memberi contoh syarikatnya menerima premium tambahan daripada pelanggan antarabangsa yang memilih minyak sawit lestari.

“Premium itu bukan sahaja menguntungkan syarikat, tetapi turut dikembalikan kepada pekebun kecil yang terbabit dalam rantaian bekalan mampan.

“Namun, cabaran utama adalah memastikan minyak sawit pekebun kecil sampai ke kilang-kilang tertentu bagi tujuan pensijilan.

“Ketidaktentuan rantaian bekalan menyebabkan minyak mereka sering dijual kepada peraih yang kemudian menghantar ke kilang lain, sekali gus menjejaskan jejak dapat kesan (traceability),” katanya.

Mohd Haris berkata, sistem rantaian bekalan yang lebih tersusun perlu diwujudkan bagi memastikan semua pekebun kecil mendapat manfaat daripada premium minyak sawit lestari.

Katanya, usaha mengubah persepsi pengguna memerlukan kerjasama pelbagai pihak daripada institusi pendidikan, NGO, komuniti, sehingga industri makanan dan penjagaan diri untuk bersama-sama membawa naratif sebenar mengenai minyak sawit Malaysia yang lestari, selamat, berkualiti tinggi dan kompetitif di pasaran global.

‘Unveiling Uniqueness 2’ raikan kepelbagaian: 45 artis berkeperluan khas bersinar di pentas BISKL

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Konsert inklusif Unveiling Uniqueness 2 – Celebrating Diversity kembali dengan penuh meriah dan sarat emosi di The British International School Kuala Lumpur (BISKL).

Konsert ini menyatukan 45 bakat istimewa dalam satu malam yang meraikan muzik, kemanusiaan dan keindahan kepelbagaian.

Acara anjuran Musicians for Musicians (MF) dengan kerjasama Music Mart, serta disokong oleh Yayasan Sime Darby dan BISKL selaku penaja lokasi, mengetengahkan barisan persembahan luar biasa oleh para pemuzik neurodivergen dan orang kurang upaya (OKU) dari seluruh negara.

Peserta terdiri daripada individu dengan autisme, ADHD, Sindrom Down, cerebral palsy, serta cabaran penglihatan, pendengaran dan fizikal.

Malam istimewa ini turut diserikan oleh kehadiran dua artis ternama tanah air, Dato’ Francissca Peter dan Frankie Tan, yang tampil bersama pemuzik muda dan dewasa dalam persembahan merangkumi piano klasik, ensembel rock, persembahan perkusyen dan pelbagai gabungan muzik yang membuktikan bahawa bakat dan semangat melangkaui batas keupayaan fizikal.

Selain persembahan pentas, Unveiling Uniqueness 2 turut menampilkan Bazaar Komuniti Keperluan Khas yang berlangsung dari 5 petang hingga 8.30 malam.

Bazaar berkenaan mempamerkan hasil tangan, kraftangan, makanan dan produk usahawan OKU, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung untuk menyokong kreativiti serta usaha ekonomi komuniti ini sebelum konsert bermula pada jam 7 malam.

“Muzik ialah bahasa yang menyatukan kita semua. Setiap rentak dan setiap nota malam ini mengingatkan kita bahawa inklusi bukan sekadar konsep ia adalah pengalaman yang boleh kita dengar, rasai dan raikan Bersama,” ,” kata Edwin Nathaniel, Pengerusi Jawatankuasa Unveiling Uniqueness 2 merangkap pengasas Music Mart.

Turut sama menyuarakan semangat acara itu ialah Datin Hasnah Abdul Rahman, salah seorang anggota pasukan penganjur, yang menyifatkan program terbabit sebagai sebuah gerakan empati dan pemberdayaan.

“Unveiling Uniqueness 2 memberi ruang kepada suara yang sering tidak kedengaran, serta menonjolkan kebolehan luar biasa mereka.

“Malam ini kita diingatkan bahawa kepelbagaian bukan kekangan ia sebenarnya harmoni terbesar kita,” katanya.

Penganjuran konsert ini digerakkan sepenuhnya oleh sekumpulan sukarelawan daripada pelbagai latar belakang yang berkongsi keyakinan bahawa muzik mampu menyatukan, mengangkat dan mengubah kehidupan. Komitmen mereka membuktikan bahawa impak sebenar bukan digerakkan oleh kewajiban, tetapi oleh belas kasihan dan kesungguhan terhadap perjuangan inklusiviti.

Antara detik paling dinanti pada malam itu ialah persembahan penutup Tomorrow dan RISE!, sebuah kolaborasi penuh emosi antara Francissca Peter dan semua peserta, melambangkan ketabahan, perpaduan dan harapan yang menjadi nadi utama penganjuran konsert ini.

Dengan sambutan yang menggalakkan dan penyertaan yang penuh inspirasi, Unveiling Uniqueness 2 – Celebrating Diversity sekali lagi mengukuhkan peranan muzik sebagai jambatan yang menyatukan masyarakat tanpa mengira kemampuan, serta sebagai pentas yang mengiktiraf setiap individu sebagai unik dan berharga.

Wanita Yang Dirantai: Sekuel Menjelang Magrib tampil lebih gelap & menyeramkan

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA -Selepas mencetuskan fenomena ketika ditayangkan di pawagam pada 2022, filem seram Menjelang Magrib kini kembali dengan kesinambungan lebih berani dan menggerunkan.

Tiga tahun selepas tayangan pertamanya, Helroad Films hadir dengan karya terbaharu berjudul Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai, yang bakal membawa penonton menyelami sisi lebih kelam budaya pasung yang masih dianggap tabu dan misteri.

Penerbitnya, Helfi Kardit berkata filem kedua ini masih mengekalkan tema utama pasung satu bentuk rawatan tradisional untuk mereka yang mengalami gangguan mental.

Tema berkenaan dipilih bukan sekadar kerana elemen seramnya, tetapi turut berkait rapat dengan pengalaman peribadi beliau ketika tinggal di sebuah daerah di Sumatera, di mana beliau sendiri pernah menyaksikan seseorang dipasung di sebuah rumah khas untuk rawatan.

Menurut Helfi, walaupun filem ini adalah sekuel, ia bukanlah sambungan terus daripada kisah terdahulu.

“Menjelang Magrib 2 diterbitkan sebagai sebuah ‘spin-off’ dengan jalan cerita baharu yang berdiri sendiri, namun masih berpegang kepada konsep asal.

“Filem ini menggabungkan elemen seram, budaya lama, pasung, serta kepercayaan tradisional yang bertembung dengan perkembangan sains dan perubatan moden,” katanya.

Tambahnya, filem kali ini tampil dengan pendekatan yang lebih gelap dan mendalam, dengan latar masa sekitar tahun 1920 ketika Indonesia berada di bawah penjajahan Belanda atau Hindia Belanda.

Melalui latar sedemikian, penonton dibawa menyaksikan ketidakseimbangan kehidupan masyarakat pada era kolonial yang sering dipengaruhi kepercayaan mistik serta amalan rawatan lama yang dianggap satu-satunya jalan penyembuhan.

Filem ini turut diperkuatkan dengan barisan pelakon popular seperti Aditya Zoni, Ajeng Fauziah, Muthia Datau, Aisha Kastolan dan Aurelia Lourdes yang menghidupkan watak-watak dalam situasi penuh misteri dan ketegangan.

Helfi berkata, filem ini telah pun ditayangkan di pawagam seluruh Indonesia pada 4 September lalu dan menerima maklum balas memberangsangkan selain mencatat jumlah kehadiran penonton yang tinggi.

“Melihat kepada sambutan hebat Menjelang Magrib yang pernah mencecah kutipan hampir RM2 juta ketika ditayangkan di Malaysia pada 2022, saya optimis karya terbaru ini turut mampu menarik perhatian peminat filem seram tempatan,” katanya.

Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai dijadualkan menghantui pawagam seluruh Malaysia bermula 20 November 2025, sekali gus memberi peluang kepada peminat genre seram untuk merasai pengalaman menonton filem yang menggabungkan kepercayaan lama, unsur mistik dan ketakutan psikologi secara lebih mendalam.

Sinopsis:

Berlatarbelakangkan tahun 1920 ketika Indonesia masih di bawah penjajahan Belanda, kisah ini bermula dengan Giandra, seorang doktor muda lulusan Universiti STOVIA yang tertarik dengan laporan akhbar mengenai seorang gadis dipasung di Desa Karuhun.

Pada era berkenaan, pasung dianggap sebagai rawatan tradisional untuk merawat penyakit mental, sering dilakukan dengan bantuan seorang dukun dan bertentangan sama sekali dengan prinsip perubatan moden yang dipegang Giandra.

Gadis malang yang dipasung itu bernama Layla dan kisah mengenainya ditulis oleh Rikke, seorang wartawan kacukan Belanda-tempatan.

Ketika tiba di Desa Karuhun yang terletak di kaki gunung, Giandra disambut oleh Rikke yang turut ingin mengetahui tujuan sebenar kedatangannya ke desa penuh misteri itu.

Suria FM perkenal identiti baharu: Tagline “Muzik & Jiwa” pacu transformasi besar menjelang 2026

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Suria FM mengorak langkah lebih progresif menjelang tahun 2026 apabila stesen radio popular itu mengumumkan pelancaran identiti baharu yang bakal diperkenalkan secara rasmi pada 17 November 2025.

Transformasi ini membabitkan pembaharuan menyeluruh merangkumi tagline, nama segmen serta keseluruhan identiti visual, sekaligus memberi nafas baharu yang lebih moden, segar dan bertenaga untuk terus relevan dalam landskap penyiaran semasa.

Menurut pihak Suria, strategi penjenamaan semula ini dirangka bagi memperkukuh kedudukan Suria FM sebagai pilihan utama pendengar di Malaysia.

Pendekatan baharu ini bukan sahaja menyasarkan generasi muda untuk lebih dekat dengan Suria, tetapi juga memastikan kesetiaan pendengar lama terus terpelihara, selaras dengan misi stesen untuk kekal sebagai radio yang dekat di hati rakyat.

Seiring dengan pembaharuan tersebut, Suria memperkenalkan tagline baharu, “Muzik & Jiwa”, menggantikan tagline terdahulu, “Segalanya Hiburan”.

Tagline baharu ini menonjolkan dua kekuatan utama yang menjadi tunjang kepada jenama Suria.

Perkataan “Muzik” mewakili identiti asas stesen yang sinonim dengan putaran lagu-lagu terbaik merangkumi era 90-an hingga ke lagu hits masa kini, manakala “Jiwa” melambangkan semangat, keikhlasan serta aura positif yang dibawa oleh setiap penyampai kepada pendengar.

Dengan tagline itu, Suria menegaskan komitmen untuk terus menjadi lebih daripada sekadar stesen radio hiburan.

Suria kini hadir sebagai jenama yang memahami pengalaman, emosi dan kehidupan seharian pendengar Malaysia hidup melalui muzik yang menggerakkan perasaan serta jiwa yang menghubungkan manusia.

Dalam usaha mengukuhkan lagi pembaharuan ini, beberapa segmen utama turut diberi nama baharu yang lebih mencerminkan tenaga segar penyampai Suria.

Segmen pagi kini dikenali sebagai Pagi On Suria, menggantikan Morning Suria. Segmen Gaya Suria pula diperbaharui kepada Vibe Suria, manakala Muzik Top Suria kini menjadi Playlist Suria.

Untuk segmen petang, Suria Petang diberi wajah baharu dengan nama Chill Petang Suria. Dua segmen popular, iaitu Kafe Suria dan Suria Cinta, dikekalkan kerana kekuatan identitinya yang sudah sinonim dengan pendengar setia.

Menjelang pelancaran rasmi identiti baharu ini, Suria turut mengadakan sebuah majlis istimewa bertemakan “Inilah Suria” pada 12 November 2025 yang lalu.

Fokus utama Suria bukan sahaja tertumpu pada platform radio, tetapi turut merangkumi pembinaan jenama yang lebih komprehensif, berjiwa muda dan mesra rakyat.

Transformasi Suria FM ini turut membabitkan pembaharuan kandungan radio serta pengukuhan pengalaman digital yang lebih interaktif untuk memastikan Suria kekal sebagai pilihan utama di semua platform daripada siaran udara sehinggalah ke medium digital.

Dengan identiti baharu berteraskan semangat Muzik & Jiwa, Suria melangkah ke hadapan dengan keyakinan baharu untuk terus dekat di hati pendengar Malaysia, sambil meneruskan komitmen sebagai stesen yang menyatukan masyarakat melalui hiburan dan rasa kemanusiaan yang tulus.

Tanda Kasih hidupkan emosi filem aksi Penghukum: Nusantara Assassin

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Industri hiburan tempatan kembali meriah dengan pelancaran lagu baharu berjudul “Tanda Kasih”, karya istimewa Dr. Haji Halim Ikhsan dan penyanyi-rapper terkenal, Kmy Kmo, yang diangkat sebagai runut bunyi rasmi (OST) filem aksi Penghukum: Nusantara Assassin.

Filem arahan Azlan Norani dan diterbitkan oleh Terang Films serta PMD Production itu dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 20 November 2025.

Lagu “Tanda Kasih” yang digarap oleh Kmy Kmo dan Luca Sickta, manakala liriknya ditulis bersama oleh Kmy Kmo dan Dr. Haji Halim Ikhsan, hadir sebagai sebuah karya yang sarat dengan nilai kerohanian dan introspektif.

Terinspirasi daripada perjalanan emosi seorang insan yang mencari ketenangan selepas melalui badai kehidupan, lagu ini mengetengahkan mesej bahawa setiap ujian bukanlah hukuman, tetapi tanda kasih Ilahi kepada hamba-Nya.

Antara bait lirik yang paling memberi kesan kepada pendengar ialah, “Lekak-lekuk, kusut-murut, yang hanya singgah tuk sementara, tanda kasihNya.”

Keserasian lagu berkenaan dengan tema filem Penghukum: Nusantara Assassin menjadikan “Tanda Kasih” lebih mendalam dari segi makna dan penghayatan.

Filem itu mengisahkan seorang datuk bernama Dzul yang membesarkan cucunya Yasmin sebelum hidupnya digoncang tragedi apabila Yasmin diculik oleh Zahin.

Di sebalik identiti seorang datuk biasa, Dzul sebenarnya ialah Salahuddin, bekas ahli kumpulan pembunuh upahan rahsia yang dikenali sebagai Bookmaker di bawah organisasi gelap Pustakalayah.

Pertembungan antara masa silam dan perjalanan mencari keinsafan menjadi nadi utama filem ini, seiring dengan mesej kekuatan batin yang dibawa melalui lagu “Tanda Kasih”.

Gabungan nyanyian penuh penghayatan Dr. Haji Halim Ikhsan dan sentuhan puitis rap moden oleh Kmy Kmo menghasilkan sebuah karya yang menyatukan spiritualiti dan realiti kehidupan masa kini.

Alunan vokal Dr. Haji Halim Ikhsan melahirkan rasa tenang dan keinsafan, manakala suara lantang Kmy Kmo membawa sudut pandang manusia moden yang sering bergelut mencari makna dalam perjalanan hidup.

Hasilnya, lagu ini bukan sekadar naskhah dakwah, tetapi juga representasi jujur perjuangan seorang insan menuju cinta dan rahmat Tuhan.

Sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang terus memberikan sokongan, kedua-dua penyanyi menitipkan pesanan mendalam: “Jika Allah masih memberi rasa untuk kembali kepadaNya, itulah tanda kasih sebenar.”

Lagu ini diedarkan secara rasmi oleh Luncai Emas, yang turut bertindak sebagai pentadbir hak cipta bagi OST berkenaan.

Kmy Kmo, Luca Sickta dan Dr. Haji Halim Ikhsan pula adalah komposer dan penulis lirik eksklusif di bawah naungan Luncai Emas Sdn. Bhd.

“Tanda Kasih” ditayangkan secara rasmi di saluran YouTube Luncai Emas bermula 9 malam pada 7 November 2025, manakala versi streaming telah tersedia di semua platform digital untuk dinikmati peminat muzik tanah air.

Dengan gabungan kekuatan muzik, mesej mendalam dan kaitan langsung dengan perjalanan batin watak utama filem Penghukum: Nusantara Assassin, “Tanda Kasih” dijangka menjadi antara OST paling diingati tahun 2025.

Lakonan watak Bella terlalu menjadi, Trisha Ooi terima ugutan peminat

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Lakonan Trisha Ooi sebagai Bella dalam drama bersiri popular Jika Cinta Itu Buta kini menjadi perhatian ramai apabila karakter antagonis yang dibawanya terlalu berkesan sehingga mengundang kebencian penonton.

Malah, pelakon berusia 26 tahun itu mengakui menerima ugutan dan komen kasar daripada peminat yang benar-benar berang dengan sikap biadab watak terbabit.

Bella digambarkan sebagai seorang wanita yang bukan sahaja jahat, tetapi melakukan tindakan di luar batas logik dan kawalan emosi, menjadikannya antara karakter paling dibenci dalam drama yang sedang hangat ditayangkan di slot Tiara, Astro Prima, setiap Isnin hingga Jumaat pukul 6 petang.

Disebabkan intensiti jalan cerita dan sifat ekstrem watak itu, ada peminat yang meninggalkan komen mahu “menampar” dan “mencili” Bella kerana terlalu geram dengan perlakuannya.

Bagi Trisha, reaksi itu tidak dianggap sebagai serangan peribadi, sebaliknya satu bentuk penghargaan terhadap mutu lakonannya.

“Jujur, saya anggap itu satu pujian. Bila orang betul-betul marah dengan watak itu (Bella), maknanya mereka percaya dengan lakonan saya.

“Saya baca komen-komen seperti nak tampar atau nak cili dengan hati terbuka kerana itu tanda watak Bella meninggalkan kesan.

“Tapi dalam masa sama, saya harap penonton dapat membezakan antara Bella dan Trisha dan harap jangan cili betul-betul lah ya,” katanya.

Walaupun memahami kemarahan peminat, Trisha tetap berharap penonton dapat menonton watak Bella dengan lebih empati dan bukan sekadar menilainya melalui sisi negatif.

“Saya faham kenapa ramai benci Bella. Tapi cuba tengok dia dengan sedikit empati. Kadang orang yang paling menyakitkan kita, sebenarnya paling banyak terluka.

“Tengok dia bukan sebagai musuh, tapi sebagai cermin mungkin ada sesuatu yang kita boleh belajar daripada watak Bella,” katanya.

Trisha berkata, membawa watak antagonis itu memberi pengalaman lakonan yang cukup mencabar namun memuaskan.

Berpeluang bergandingan dengan pelakon hebat seperti Uqasha Senrose, Keith Foo dan Shah Jaszle turut memperkayakan proses kreatifnya sepanjang penggambaran.

“Sebenarnya setiap kali ke set, saya bukan sekadar berlakon, tapi menyelami cara Bella berfikir. Dia bukan jahat sahaja, tetapi tindakannya sering di luar jangkaan.

“Saya perlu faham keputusan-keputusan yang orang luar nampak ‘salah’, tetapi bagi Bella, itu caranya bertahan.

“Watak Bella penuh dramatik dan emosi. Ia mencabar, tetapi seronok kerana memberi ruang untuk saya bereksperimen,” katanya.

Jika Cinta Itu Buta, terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. dengan arahan Uchee Fuckada dan Ain Shariff, mengisahkan perkahwinan Farid dan Maryam yang diuji dengan pelbagai konflik, termasuk skandal membabitkan Farid dengan Samantha dan Bella.

Ketika Maryam berjuang mempertahankan haknya, kehadiran Adam memberi kekuatan baharu dalam hidupnya, sekali gus membuatkan hubungan Adam dan Bella semakin tegang.

Dalam kekacauan itu, Bella mengambil kesempatan untuk merampas Farid daripada Maryam sehingga mencetuskan pelbagai konflik dan penderitaan, sebelum Maryam akhirnya bertemu insan-insan baik yang mengubah nasibnya.

Universal Music Malaysia turunkan video muzik Dolla, hormati sensitiviti masyarakat

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Universal Music Malaysia bertindak menurunkan video muzik terbaharu kumpulan Dolla dari semua platform digital susulan reaksi dan kebimbangan orang ramai terhadap penampilan anggota kumpulan tersebut yang dianggap tidak sesuai serta menimbulkan sensitiviti dalam kalangan penonton.

Keputusan itu turut mengambil kira kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, yang baru-baru ini mengulas mengenai isu berkenaan.

Universal Music Malaysia memaklumkan bahawa langkah terbabit diambil sebagai tanda tanggungjawab sosial dan komitmen menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama di negara ini.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, berkata keputusan menurunkan video muzik itu dibuat selepas penelitian semula terhadap keseluruhan kandungan produksi serta mengambil kira maklum balas masyarakat yang disifatkannya sebagai penting untuk dipertimbangkan.

“Sebagai sebuah syarikat rakaman yang beroperasi dalam ekosistem majmuk seperti Malaysia, kami sentiasa menghormati nilai budaya, sensitiviti agama dan pandangan peminat.

“Kami mengambil serius semua maklum balas dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kekhilafan yang berlaku.

“Kami percaya bahawa kreativiti dan ekspresi seni perlu seiring dengan kepekaan terhadap norma setempat.

“Oleh itu, keputusan untuk menurunkan video muzik tersebut adalah langkah yang wajar demi menjaga keharmonian dan rasa hormat semua pihak,” katanya.

Universal Music Malaysia berkata, syarikat begitu komited memperketat proses semakan dan kelulusan bagi setiap perancangan kreatif pada masa hadapan.

Proses terbabit akan membabitkan perbincangan dalaman yang lebih terperinci serta konsultasi profesional bagi mengelakkan berulangnya isu sensitif melibatkan kandungan seni dan hiburan.

Dalam pada itu, syarikat merakamkan penghargaan kepada semua peminat dan masyarakat yang memberikan maklum balas secara terbuka dan membina.

Universal Music Malaysia berharap isu berkenaan dapat diselesaikan dengan baik tanpa menjejaskan hubungan antara artis, peminat dan komuniti muzik tempatan.

Langkah yang diambil itu sekali lagi menekankan kepentingan keseimbangan antara kebebasan kreativiti dan tanggungjawab sosial, khususnya dalam industri hiburan yang sentiasa menjadi perhatian masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Minta kerajaan kaji semula had kelajuan bas, lori – Dr Kalaivanar

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Suara golongan pekerja sektor pengangkutan wajar didengar, khususnya membabitkan cadangan mengehadkan kelajuan bas kepada 90 kilometer sejam.

Mewakili Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN), Dato’ Dr Kalaivanar berkata, cadangan itu tidak mengambil kira realiti pemanduan di lebuh raya, terutama bagi bas yang memerlukan kelajuan mencukupi untuk memotong lori atau mengelakkan kesesakan di laluan utama.

Katanya, langkah mengehadkan kelajuan pada kadar terlalu rendah hanya akan menimbulkan risiko baharu kepada pengguna jalan raya dan menjejaskan operasi pengusaha bas serta perkhidmatan pengangkutan awam.

Dr Kalaivanar berharap, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke lebih peka terhadap situasi sebenar di lapangan sebelum mencadangkan dasar baharu.

Baginya, kebolehan komunikasi dan perwatakan baik seorang pemimpin tidak memadai sekiranya dasar yang diperkenalkan tidak mengambil kira nasib kumpulan bawahan.

“Kalau mahu hadkan 90 kilometer sejam, cubalah pandu sendiri tanpa kawalan trafik atau eskort. Barulah tahu cabaran sebenar pemandu bas dan lori.

“Had kelajuan sedia ada iaitu 110 kilometer sejam untuk bas sudah memadai dan penguatkuasaan saman wajar dilakukan jika berlaku pelanggaran,” katanya.

Dr Kalaivanar berkata, statistik kemalangan menunjukkan insiden paling tinggi berlaku membabitkan motosikal dan kereta, bukannya kenderaan berat.

Oleh itu, beliau berpendapat polisi menyasarkan bas dan lori perlu dikaji semula agar tidak menzalimi pemandu serta operator industri terbabit.

Dalam pada itu, Dr Kalaivanar berkata, satu himpunan penyerahan memorandum akan diadakan pada 19 November jam 2 petang.

Beliau menggesa seramai mungkin pemandu, pengusaha lori dan bas untuk hadir bagi menyampaikan suara mereka kepada kerajaan.

Jelasnya, himpunan itu bukanlah satu demonstrasi atau tindakan menentang kerajaan, sebaliknya sebuah usaha teratur bagi menuntut kajian semula terhadap polisi yang dianggap membebankan.

Memorandum dijadualkan diserahkan kepada Perdana Menteri dengan harapan kabinet dapat memberi nasihat sewajarnya kepada Menteri Pengangkutan.

“Saya bukan menentang kerajaan atau Anthony Loke. Saya cuma mahu polisi ini diteliti semula supaya memberi ruang bernafas kepada pemandu dan pengusaha industri. Kita mahu keadilan, bukan beban tambahan,” katanya.

Sebagai aktivis yang tidak berkepentingan dalam industri lori atau bas, Dr Kalaivanar berkata, perjuangannya adalah semata-mata untuk memastikan kebajikan rakyat terbela dan polisi kerajaan lebih adil serta praktikal.

“Saya berharap kerajaan mengambil serius suara pekerja sektor pengangkutan berat. Sekiranya polisi terbabit dikaji semula, ia akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran sedia ada dan membuktikan bahawa kerajaan prihatin terhadap keperluan masyarakat,” katanya.