24.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, December 17, 2025

Suria FM perkenal identiti baharu: Tagline “Muzik & Jiwa” pacu transformasi besar menjelang 2026

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Suria FM mengorak langkah lebih progresif menjelang tahun 2026 apabila stesen radio popular itu mengumumkan pelancaran identiti baharu yang bakal diperkenalkan secara rasmi pada 17 November 2025.

Transformasi ini membabitkan pembaharuan menyeluruh merangkumi tagline, nama segmen serta keseluruhan identiti visual, sekaligus memberi nafas baharu yang lebih moden, segar dan bertenaga untuk terus relevan dalam landskap penyiaran semasa.

Menurut pihak Suria, strategi penjenamaan semula ini dirangka bagi memperkukuh kedudukan Suria FM sebagai pilihan utama pendengar di Malaysia.

Pendekatan baharu ini bukan sahaja menyasarkan generasi muda untuk lebih dekat dengan Suria, tetapi juga memastikan kesetiaan pendengar lama terus terpelihara, selaras dengan misi stesen untuk kekal sebagai radio yang dekat di hati rakyat.

Seiring dengan pembaharuan tersebut, Suria memperkenalkan tagline baharu, “Muzik & Jiwa”, menggantikan tagline terdahulu, “Segalanya Hiburan”.

Tagline baharu ini menonjolkan dua kekuatan utama yang menjadi tunjang kepada jenama Suria.

Perkataan “Muzik” mewakili identiti asas stesen yang sinonim dengan putaran lagu-lagu terbaik merangkumi era 90-an hingga ke lagu hits masa kini, manakala “Jiwa” melambangkan semangat, keikhlasan serta aura positif yang dibawa oleh setiap penyampai kepada pendengar.

Dengan tagline itu, Suria menegaskan komitmen untuk terus menjadi lebih daripada sekadar stesen radio hiburan.

Suria kini hadir sebagai jenama yang memahami pengalaman, emosi dan kehidupan seharian pendengar Malaysia hidup melalui muzik yang menggerakkan perasaan serta jiwa yang menghubungkan manusia.

Dalam usaha mengukuhkan lagi pembaharuan ini, beberapa segmen utama turut diberi nama baharu yang lebih mencerminkan tenaga segar penyampai Suria.

Segmen pagi kini dikenali sebagai Pagi On Suria, menggantikan Morning Suria. Segmen Gaya Suria pula diperbaharui kepada Vibe Suria, manakala Muzik Top Suria kini menjadi Playlist Suria.

Untuk segmen petang, Suria Petang diberi wajah baharu dengan nama Chill Petang Suria. Dua segmen popular, iaitu Kafe Suria dan Suria Cinta, dikekalkan kerana kekuatan identitinya yang sudah sinonim dengan pendengar setia.

Menjelang pelancaran rasmi identiti baharu ini, Suria turut mengadakan sebuah majlis istimewa bertemakan “Inilah Suria” pada 12 November 2025 yang lalu.

Fokus utama Suria bukan sahaja tertumpu pada platform radio, tetapi turut merangkumi pembinaan jenama yang lebih komprehensif, berjiwa muda dan mesra rakyat.

Transformasi Suria FM ini turut membabitkan pembaharuan kandungan radio serta pengukuhan pengalaman digital yang lebih interaktif untuk memastikan Suria kekal sebagai pilihan utama di semua platform daripada siaran udara sehinggalah ke medium digital.

Dengan identiti baharu berteraskan semangat Muzik & Jiwa, Suria melangkah ke hadapan dengan keyakinan baharu untuk terus dekat di hati pendengar Malaysia, sambil meneruskan komitmen sebagai stesen yang menyatukan masyarakat melalui hiburan dan rasa kemanusiaan yang tulus.

ARTIKEL BERKAITAN

2 COMMENTS

Comments are closed.

Popular