editormaxinfo@gmail.com
PETALING JAYA -Selepas mencetuskan fenomena ketika ditayangkan di pawagam pada 2022, filem seram Menjelang Magrib kini kembali dengan kesinambungan lebih berani dan menggerunkan.
Tiga tahun selepas tayangan pertamanya, Helroad Films hadir dengan karya terbaharu berjudul Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai, yang bakal membawa penonton menyelami sisi lebih kelam budaya pasung yang masih dianggap tabu dan misteri.
Penerbitnya, Helfi Kardit berkata filem kedua ini masih mengekalkan tema utama pasung satu bentuk rawatan tradisional untuk mereka yang mengalami gangguan mental.
Tema berkenaan dipilih bukan sekadar kerana elemen seramnya, tetapi turut berkait rapat dengan pengalaman peribadi beliau ketika tinggal di sebuah daerah di Sumatera, di mana beliau sendiri pernah menyaksikan seseorang dipasung di sebuah rumah khas untuk rawatan.

Menurut Helfi, walaupun filem ini adalah sekuel, ia bukanlah sambungan terus daripada kisah terdahulu.
“Menjelang Magrib 2 diterbitkan sebagai sebuah ‘spin-off’ dengan jalan cerita baharu yang berdiri sendiri, namun masih berpegang kepada konsep asal.
“Filem ini menggabungkan elemen seram, budaya lama, pasung, serta kepercayaan tradisional yang bertembung dengan perkembangan sains dan perubatan moden,” katanya.
Tambahnya, filem kali ini tampil dengan pendekatan yang lebih gelap dan mendalam, dengan latar masa sekitar tahun 1920 ketika Indonesia berada di bawah penjajahan Belanda atau Hindia Belanda.
Melalui latar sedemikian, penonton dibawa menyaksikan ketidakseimbangan kehidupan masyarakat pada era kolonial yang sering dipengaruhi kepercayaan mistik serta amalan rawatan lama yang dianggap satu-satunya jalan penyembuhan.

Filem ini turut diperkuatkan dengan barisan pelakon popular seperti Aditya Zoni, Ajeng Fauziah, Muthia Datau, Aisha Kastolan dan Aurelia Lourdes yang menghidupkan watak-watak dalam situasi penuh misteri dan ketegangan.
Helfi berkata, filem ini telah pun ditayangkan di pawagam seluruh Indonesia pada 4 September lalu dan menerima maklum balas memberangsangkan selain mencatat jumlah kehadiran penonton yang tinggi.
“Melihat kepada sambutan hebat Menjelang Magrib yang pernah mencecah kutipan hampir RM2 juta ketika ditayangkan di Malaysia pada 2022, saya optimis karya terbaru ini turut mampu menarik perhatian peminat filem seram tempatan,” katanya.
Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai dijadualkan menghantui pawagam seluruh Malaysia bermula 20 November 2025, sekali gus memberi peluang kepada peminat genre seram untuk merasai pengalaman menonton filem yang menggabungkan kepercayaan lama, unsur mistik dan ketakutan psikologi secara lebih mendalam.

Sinopsis:
Berlatarbelakangkan tahun 1920 ketika Indonesia masih di bawah penjajahan Belanda, kisah ini bermula dengan Giandra, seorang doktor muda lulusan Universiti STOVIA yang tertarik dengan laporan akhbar mengenai seorang gadis dipasung di Desa Karuhun.
Pada era berkenaan, pasung dianggap sebagai rawatan tradisional untuk merawat penyakit mental, sering dilakukan dengan bantuan seorang dukun dan bertentangan sama sekali dengan prinsip perubatan moden yang dipegang Giandra.

Gadis malang yang dipasung itu bernama Layla dan kisah mengenainya ditulis oleh Rikke, seorang wartawan kacukan Belanda-tempatan.
Ketika tiba di Desa Karuhun yang terletak di kaki gunung, Giandra disambut oleh Rikke yang turut ingin mengetahui tujuan sebenar kedatangannya ke desa penuh misteri itu.

