editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Industri hiburan tempatan kembali meriah dengan pelancaran lagu baharu berjudul “Tanda Kasih”, karya istimewa Dr. Haji Halim Ikhsan dan penyanyi-rapper terkenal, Kmy Kmo, yang diangkat sebagai runut bunyi rasmi (OST) filem aksi Penghukum: Nusantara Assassin.
Filem arahan Azlan Norani dan diterbitkan oleh Terang Films serta PMD Production itu dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 20 November 2025.
Lagu “Tanda Kasih” yang digarap oleh Kmy Kmo dan Luca Sickta, manakala liriknya ditulis bersama oleh Kmy Kmo dan Dr. Haji Halim Ikhsan, hadir sebagai sebuah karya yang sarat dengan nilai kerohanian dan introspektif.
Terinspirasi daripada perjalanan emosi seorang insan yang mencari ketenangan selepas melalui badai kehidupan, lagu ini mengetengahkan mesej bahawa setiap ujian bukanlah hukuman, tetapi tanda kasih Ilahi kepada hamba-Nya.
Antara bait lirik yang paling memberi kesan kepada pendengar ialah, “Lekak-lekuk, kusut-murut, yang hanya singgah tuk sementara, tanda kasihNya.”

Keserasian lagu berkenaan dengan tema filem Penghukum: Nusantara Assassin menjadikan “Tanda Kasih” lebih mendalam dari segi makna dan penghayatan.
Filem itu mengisahkan seorang datuk bernama Dzul yang membesarkan cucunya Yasmin sebelum hidupnya digoncang tragedi apabila Yasmin diculik oleh Zahin.
Di sebalik identiti seorang datuk biasa, Dzul sebenarnya ialah Salahuddin, bekas ahli kumpulan pembunuh upahan rahsia yang dikenali sebagai Bookmaker di bawah organisasi gelap Pustakalayah.
Pertembungan antara masa silam dan perjalanan mencari keinsafan menjadi nadi utama filem ini, seiring dengan mesej kekuatan batin yang dibawa melalui lagu “Tanda Kasih”.
Gabungan nyanyian penuh penghayatan Dr. Haji Halim Ikhsan dan sentuhan puitis rap moden oleh Kmy Kmo menghasilkan sebuah karya yang menyatukan spiritualiti dan realiti kehidupan masa kini.
Alunan vokal Dr. Haji Halim Ikhsan melahirkan rasa tenang dan keinsafan, manakala suara lantang Kmy Kmo membawa sudut pandang manusia moden yang sering bergelut mencari makna dalam perjalanan hidup.
Hasilnya, lagu ini bukan sekadar naskhah dakwah, tetapi juga representasi jujur perjuangan seorang insan menuju cinta dan rahmat Tuhan.
Sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang terus memberikan sokongan, kedua-dua penyanyi menitipkan pesanan mendalam: “Jika Allah masih memberi rasa untuk kembali kepadaNya, itulah tanda kasih sebenar.”
Lagu ini diedarkan secara rasmi oleh Luncai Emas, yang turut bertindak sebagai pentadbir hak cipta bagi OST berkenaan.
Kmy Kmo, Luca Sickta dan Dr. Haji Halim Ikhsan pula adalah komposer dan penulis lirik eksklusif di bawah naungan Luncai Emas Sdn. Bhd.
“Tanda Kasih” ditayangkan secara rasmi di saluran YouTube Luncai Emas bermula 9 malam pada 7 November 2025, manakala versi streaming telah tersedia di semua platform digital untuk dinikmati peminat muzik tanah air.
Dengan gabungan kekuatan muzik, mesej mendalam dan kaitan langsung dengan perjalanan batin watak utama filem Penghukum: Nusantara Assassin, “Tanda Kasih” dijangka menjadi antara OST paling diingati tahun 2025.

