28.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 24, 2026

Universal Music Malaysia turunkan video muzik Dolla, hormati sensitiviti masyarakat

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Universal Music Malaysia bertindak menurunkan video muzik terbaharu kumpulan Dolla dari semua platform digital susulan reaksi dan kebimbangan orang ramai terhadap penampilan anggota kumpulan tersebut yang dianggap tidak sesuai serta menimbulkan sensitiviti dalam kalangan penonton.

Keputusan itu turut mengambil kira kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, yang baru-baru ini mengulas mengenai isu berkenaan.

Universal Music Malaysia memaklumkan bahawa langkah terbabit diambil sebagai tanda tanggungjawab sosial dan komitmen menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama di negara ini.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, berkata keputusan menurunkan video muzik itu dibuat selepas penelitian semula terhadap keseluruhan kandungan produksi serta mengambil kira maklum balas masyarakat yang disifatkannya sebagai penting untuk dipertimbangkan.

“Sebagai sebuah syarikat rakaman yang beroperasi dalam ekosistem majmuk seperti Malaysia, kami sentiasa menghormati nilai budaya, sensitiviti agama dan pandangan peminat.

“Kami mengambil serius semua maklum balas dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kekhilafan yang berlaku.

“Kami percaya bahawa kreativiti dan ekspresi seni perlu seiring dengan kepekaan terhadap norma setempat.

“Oleh itu, keputusan untuk menurunkan video muzik tersebut adalah langkah yang wajar demi menjaga keharmonian dan rasa hormat semua pihak,” katanya.

Universal Music Malaysia berkata, syarikat begitu komited memperketat proses semakan dan kelulusan bagi setiap perancangan kreatif pada masa hadapan.

Proses terbabit akan membabitkan perbincangan dalaman yang lebih terperinci serta konsultasi profesional bagi mengelakkan berulangnya isu sensitif melibatkan kandungan seni dan hiburan.

Dalam pada itu, syarikat merakamkan penghargaan kepada semua peminat dan masyarakat yang memberikan maklum balas secara terbuka dan membina.

Universal Music Malaysia berharap isu berkenaan dapat diselesaikan dengan baik tanpa menjejaskan hubungan antara artis, peminat dan komuniti muzik tempatan.

Langkah yang diambil itu sekali lagi menekankan kepentingan keseimbangan antara kebebasan kreativiti dan tanggungjawab sosial, khususnya dalam industri hiburan yang sentiasa menjadi perhatian masyarakat majmuk seperti Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular