26.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 16, 2026
Home Blog Page 156

Majlis pecah tanah, tanda permulaan transformasi taman komersial BEKL di Kuala Lumpur

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – M&M Ventures Holdings Sdn Bhd secara rasmi melancarkan majlis pecah tanah untuk BEKL, singkatan kepada Bali Escape Kuala Lumpur.

BEKL ialah taman komersial baharu yang direka untuk membawa sesuatu yang luar biasa ke teras Segitiga Emas Kuala Lumpur melalui konsep revolusi pengalaman membeli-belah dan riadah.

Projek bernilai RM50 juta ini akan mengubah empat ekar tanah utama di Bukit Bintang menjadi kompleks bersepadu yang menggabungkan gaya hidup, budaya, dan komersial moden dalam persekitaran yang mencantumkan ketenangan tropika dengan kehidupan bandar yang sibuk di Kuala Lumpur.

Majlis ini menandakan pencapaian utama dalam pembinaan pembangunan baharu ini, yang berjanji untuk membawakan suasana yang diilhamkan dari Bali ke tengah kota metropolitan yang sibuk.

Destinasi ini dijangka menjadi tarikan pelancong serta tempat santai untuk penduduk tempatan dan keluarga. BEKL akan menawarkan pengalaman membeli-belah yang berbeza daripada taman komersial lain di Kuala Lumpur, memenuhi keperluan semua dengan sajian makan terbuka, kedai fesyen terkenal, pusat sukan popular, bazar artisan, dan ruang seni.

Ketua Pegawai Operasi, M&M Ventures Holdings Sdn Bhd, Chris Stanley berkata, mereka ingin melihat BEKL bukan sekadar taman komersial tetapi ruang untuk meneroka, berkongsi, dan keramaian.

“Kami ingin membina sebuah tempat yang menarik untuk mereka yang mencari tempat riadah dan membeli-belah, sambil menawarkan pengalaman budaya dan tropika yang unik di tengah-tengah Kuala Lumpur.

“Kami teruja untuk mengiktiraf penyewa lain yang telah menyertai BEKL, seperti Sportizza, International Food Hall, Abeh Mart dan juga Caffee Lusso.

“Kerjasama mereka sangat penting untuk kejayaan projek ini. Komitmen mereka terhadap usaha ini akan meningkatkan kepelbagaian tawaran dan pengalaman yang ingin kami berikan,” katanya.

Tidak seperti taman komersial yang lain, BEKL memberi tumpuan kepada membangunkan tempat di mana orang ramai boleh meluangkan masa riadah mereka.

Melalui konsep unik “Sun-Up to Sun-Down Bazaar” yang diilhamkan dari budaya Asia Tenggara dan Timur Tengah, pusat ini akan memenuhi pelbagai cita rasa.

Pasar yang meriah ini akan menjadikan BEKL destinasi sepanjang hari bagi pengunjung, daripada mereka yang membelibelah seawal pagi, pelancong harian, hingga pembeli pada waktu malam yang berfungsi sebagai pusat komuniti sepanjang hari di kota ini.

Sementara itu, Pengarah Sportizza Chiew Chun Yong berkata, di Sportizza, mereka teruja untuk bekerjasama dengan BEKL dalam memanifestasikan semula persimpangan antara riadah, kesihatan, dan komuniti.

“Dengan menggabungkan aktiviti sukan inovatif ke dalam suasana tropika BEKL, kami mewujudkan persekitaran yang menggalakkan gaya hidup aktif dengan hubungan yang bermakna.

“Kami percaya BEKL dapat menjadi tempat yang unik menggabungkan kesejahteraan, budaya, dan kelestarian yang dapat dinikmati oleh keluarga, belia dan pelawat,” katanya.

Bagi Pengarah International Food Hall Adrian Loke, di International Food Hall, pihaknya berbangga membawa BEKL ke dalam konsep ‘Food Connect’ iaitu gabungan masakan yang mesra Muslim untuk mengetengahkan kepelbagaian budaya Malaysia.

“Kami juga berharap dengan gabungan rasa tempatan dan antarabangsa yang autentik, ia akan menjadi tempat komuniti di mana orang ramai datang untuk berhubung, meneroka, dan berkongsi melalui makanan.

“Dari hidangan sarapan pagi yang penuh tenaga hingga ke menu makan malam istimewa, pengalaman makan yang serba boleh ini memastikan setiap tetamu berasa sentiasa dialu-alukan, sama ada waktu sarapan mahupun waktu makan malam.

“Visi ini selaras dengan konsep dinamik BEKL, ‘Sun-Up to Sun-Down Bazaar’, yang meningkatkan lagi suasana tropika yang meriah,” katanya.

Dalam pada itu, pemilik Caffè Lusso dan Abeh Mart Somsak Tan pula berkata, di Abeh Mart, mereka komited untuk menyediakan akses pantas kepada keperluan harian sambil mengetengahkan produk terbaik Malaysia, dengan 70 hingga 75 peratus daripada inventori mereka adalah sumber tempatan untuk memenuhi keperluan pembeli tempatan dan pelancong antarabangsa.

“Caffè Lusso membawa sentuhan sofistikasi Itali ke syurga tropika BEKL, menawarkan kopi espreso yang dirumus dengan teliti, gelato yang menyegarkan, dan ruangan mesra untuk berehat dan berhubung.

“Oleh itu, Abeh Mart dan Caffè Lusso menyumbang kepada suasana meriah dan dinamik BEKL, menggabungkan kemudahan, budaya, dan kehalusan untuk mencipta pengalaman yang benar-benar unik buat pengunjung,” katanya.

Sportizza, International Food Hall, Abeh Mart, dan Caffè Lusso mewakili manifestasi visi BEKL ke dalam satu platform komuniti yang besar.

Sportizza menginspirasikan gaya hidup aktif dengan program sukan inovatif manakala International Food Hall menghubungkan pengunjung kepada kepelbagaian rasa budaya Malaysia.

Abeh Mart pula menumpukan kepada keperluan tempatan dan Caffè Lusso juga turut membawa sofistikasi Itali dengan suasana santai demi melengkapkan pengalaman ini dan semuanya digabungkan dengan sempurna melalui konsep dinamik ‘Sun-Up to Sun-Down’ BEKL, menjadikan ia sebagai destinasi holistik untuk meraikan kesejahteraan, budaya, dan kemudahan.

Terletak di tengah-tengah kawasan Segitiga Emas Kuala Lumpur yang pesat membangun, BEKL dijamin akan menjadi destinasi utama yang akan terus memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai wadah taman komersial dan pelancongan utama.

Ia akan menjadi pemacu ekonomi, penyedia peluang pekerjaan, dan platform untuk perniagaan berkembang maju.

Direka secara lestari, BEKL juga mengutamakan pemuliharaan alam sekitar dan budaya, menjadikannya penanda aras baharu dalam pembangunan bandar untuk rantau ini.

Taman ini dijangka dibuka pada suku ketiga 2025 dan diramalkan akan mengubah pengalaman membeli-belah dan gaya hidup di Malaysia.

Landskap tropika BEKL, bersama gaya seni bina moden, akan menarik pengunjung dengan pengalaman unik dari hiruk-pikuk kehidupan bandar kepada ketenangan dalam persekitaran bertemakan tropika.

Majlis pecah tanah ini turut disaksikan oleh Dominic Tan selaku Ketua Pegawai Eksekutif, M&M Ventures Holdings Sdn Bhd.

Keindahan semula jadi, budaya masyarakat Kelabit antara tarikan filem Tegkang

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jarang-jarang kita lihat tema tentang budaya sesebuah masyarakat diangkat dan dipersembahkan kepada penonton di layar perak.

Menampilkan budaya masyarakat Kelabit dan keindahan sebuah tempat bernama Bario yang terletak di negeri Sarawak, filem Tegkang mempersembahkan sebuah jalan cerita yang bukan sahaja bertemakan cinta semata.

Pengarahnya, Josh Nawan sendiri mengakui pemilihan Bario sebagai lokasi untuk filem Tegkang dibuat selepas melihat tarikan di kawasan berkenaan.

“Mungkin tidak ramai pernah datang ke Bario, padahal ia adalah sebuah tempat yang menarik dengan keindahan semula jadi yang boleh menjadi tumpuan pelancong.

“Selain itu, komuniti di sana iaitu kaum kelabit juga sangat unik dengan budaya yang tersendiri. Pastinya, Tegkang menjanjikan sebuah naskhah yang mempunya tarikan tersendiri untuk ditonton,” katanya.

Josh berkata, selain menampilkan Syafie Naswip dan Michelle Lungan sebagai pelakon utama, filem itu rata-ratanya menampilkan pelakon-pelakon dari kaum Kelabit serta 99 peratus penggambaran dilakukan di Bario.

Selain Syafie dan Michelle, Tegkang turut dibarisi pelakon-pelakon tempatan seperti Hezekiah Asim, Pun Ratu Aran dan Lian Tarawe.

Josh yang juga penulis skrip filem ini berkata, jalan cerita dalam filem Tegkang adalah inspirasi daripada kehidupannya sendiri.

“Skrip filem ini saya mula hasilkan sejak tahun 2010 dan selepas 14 tahun, barulah ia dapat diterjemahkan kepada sebuah filem.

“Sebenarnya, Tegkang adalah inspirasi daripada kisah kehidupan saya sendiri yang membesar di rumah panjang. Kisahnya berkait rapat dengan datuk saudara saya,” katanya.

Sementara itu, Jason Chong selaku Penerbit Eksekutif pula mengakui pihak produksi berhadapan dengan pelbagai cabaran ketika menghasilkan filem Tegkang.

“Pada mula memang rasa susah sebab lokasinya yang agak jauh, perbezaan bahasa serta nak memahami budaya setempat itu sendiri.

“Apapun sebaik sahaja selesai dan menontonnya di skrin pawagam, kami rasa bangga dengan filem ini. Termasuk dengan semua barisan pelakon yang banyak memberikan kerjasama yang baik,” katanya.

Diterbitkan oleh syarikat MyContent Distribution Sdn Bhd, filem Tegkang kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak semalam, 28 November.

Tegkang mengisahkan tentang hubungan antara seorang pelancong, Hanafi (Syafie) dengan seorang gadis tempatan iaitu Rinai (Michelle).

Namun begitu, kehadiran Hanafi ternyata telah mengubah kehidupan Rinai, yang akan mengakibatkan sebuah rahsia lama yang tersimpan akhirnya terbongkar.

Banjir di Pantai Timur, Anwar umum cuti semua anggota kabinet dibeku

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Berikutan bencana banjir yang melanda Pantai Timur, cuti bagi semua anggota Jemaah Menteri dibekukan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata semua menteri dan timbalan menteri juga diarahkan turun padang ke kawasan bencana.

“Semua menteri diminta teruskan tugas sekarang, turun ke lapangan. Ya, cuti dibekukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Pudina, Presint 17, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri meluangkan masa menyertai lebih 500 jemaah menunaikan solat Jumaat di surau itu.

Perdana Menteri tiba kira-kira jam 1 tengah hari disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau bersama jemaah lain turut mendengar khutbah bertajuk Tuntutan Mengimarah Rumah Allah sebelum menunaikan solat Jumaat diimamkan Ustaz Asyraf Ibrahim.

Selesai solat Jumaat, Perdana Menteri yang lengkap berbaju Melayu warna hijau sempat beramah mesra dengan pengurusan masjid dan kariah serta orang ramai sebelum beredar.

Perdana Menteri juga sempat meluangkan masa makan tengah hari bersama penduduk setempat di Medan Selera Taman Warisan Pertanian dekat sini.

Terdahulu, setakat pagi tadi, hujan berterusan menyebabkan jumlah mangsa banjir di beberapa negeri meningkat mendadak dengan Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu seramai 59,232 orang sudah dipindahkan ke 221 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 50,947 orang di 207 PPS malam tadi.

Di Terengganu, seramai 20,911 orang daripada 5,916 keluarga berlindung di 232 PPS setakat 8 pagi ini berbanding 17,762 orang pada jam 8 malam tadi.

Negeri lain yang turut terkesan banjir termasuk Kedah, Perlis, Perak, Negeri Sembilan dan Selangor.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan yang melibatkan lapan negeri, iaitu Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Johor hingga esok.

HONOR X9c Smart, edisi lite mesra bajet HONOR X9c 5G akan datang pada 11 Disember

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan pelancaran HONOR X9c 5G, peneraju inovasi teknologi global, HONOR telah menerima sambutan positif yang amat menggalakkan daripada pengguna.

Dengan membina atas momentum ini, HONOR teruja untuk memperkenalkan satu lagi telefon pintar baharu dalam Siri X di Malaysia, iaitu HONOR X9c Smart.

Telefon ini akan sedia untuk diperolehi di semua kedai di seluruh negara pada 11 Disember 2024 pada jam 8 malam.

Tambahan Mesra Bajet Kepada Siri HONOR X9
HONOR X9c Smart adalah edisi lite bagi HONOR X9c 5G dan menawarkan harga yang lebih mesra bajet dalam menampilkan sedikit penyelarasan spesifikasi. Model baharu ini ditujukan kepada pengguna yang mencari peranti berkualiti tinggi yang mampu milik.

Ketahanan Bertemu Kemampuan
Walaupun ianya merupakan edisi lite, HONOR X9c Smart mengekalkan ketahanan tiga tahap ultra kukuh seperti HONOR X9c 5G, menjadikannya ideal untuk rakyat Malaysia yang menginginkan telefon pintar yang lasak tetapi ekonomi.

Dengan perlindungan daripada jatuhan, kalis air dan kalis calar, peranti ini direka untuk tahan melalui kegunaan harian.

Paparan Leper untuk Kepenggunaan Yang Dipertingkatkan
Berdasarkan permintaan tinggi pengguna, HONOR X9c Smart didatangi dengan paparan yang leper, berbanding skrin melengkung pada HONOR X9c 5G.

Rekaan ini memberikan pengguna pengalaman menonton yang lebih berfungsi dan langsung, memberikan lebih produktiviti dan hiburan.

Rekaan Canggih, Inspirasi Daripada Alam Semula Jadi
HONOR X9c Smart bukan sekadar mempunyai prestasi yang baik, ianya juga tampak mengagumkan. Badan peranti canggih ini diinspirasi daripada kecantikan alami corak marmar, menambah kepada sentuhan artistik kepada rekaannya.

Peranti ini tersedia dalam warna Ocean Cyan dan Moonlight White yang menarik, sekaligus menggabungkan kecanggihan dan praktikaliti secara lancar.

Akan Datang ke Malaysia
Nantikan pengumuman untuk pelancaran rasmi HONOR X9c Smart. HONOR akan terus mentakrif inovasi mampu milik bagi pengguna di negara ini.

Penambahan kepada Siri X ini akan menawarkan ketahanan, kepenggunaan, dan gaya yang mengagumkan pada harga yang amat kompetitif.

Anjur Perkampungan Tauheed, PEMUDAH jemput orang ramai meriahkan acara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Musaadah Jaringan Insan (PEMUDAH) buat julung kalinya bakal mengadakan program Perkampungan Tauheed yang akan berlangsung pada 6 hingga 8 Disember ini.

Berlangsung di Masjid Al-Alami MITC Melaka, acara itu turut mendapat sokongan daripada Pertubuhan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), UstazLah dan kumpulan permotoran daripada Perodua seperti Myvi, Bezza dan Axia.

Pengerusi PEMUDAH, Hajah Hezla Hashim berkata, ini adalah program penganjuran pertama yang terbesar diadakan oleh mereka.

Katanya, Perkampungan Tauheed diadakan bagi menjana pendapatan dan mendapatkan dana untuk program utama mereka iaitu Kembara Al-Haramain.

Terdapat pelbagai pengisian bakal dijalankan selama tiga hari acara berlangsung.

“Antara program yang kami sediakan ialah sembang santai, malam selawat, forum dan pertandingan kanak-kanak sekolah di bawah Jabatan Agama Islam Melaka.

“Program ini juga akan diserikan dengan kehadiran beberapa individu seperti pendakwah dan selebriti yang sudah berhijrah iaitu Firdaus Wong, Zul Handy Black, Faizal Ismail (FBI) dan Iwan Shahman,” katanya pada sidang media program berkenaan.

Hezla berkata, selain di Melaka, pihaknya juga merancang untuk mengadakan program yang sama di Pulau Pinang selepas ini.

Justeru, beliau mengalu-alukan semua pihak berkaitan untuk terbabit sama bagi menjayakan Perkampungan Tauheed ini.

PEMUDAH yang ditubuhkan sejak Julai lalu mempunyai visi dan menumpukan kepada enam golongan sasar bagi menyediakan pembangunan dan pendidikan Islam.

Golongan yang disasarkan adalah mualaf, Orang Kurang Upaya (OKU), remaja dan dewasa bermasalah, fakir dan asnaf.

Berkongsi mengenai program Kembara Al-Haramain, Hezla berkata, program berkenaan dianjurkan bagi melahirkan pendakwah dan juga Dai daripada enam golongan sasar yang ditaja untuk mengerjakan umrah.

“Mereka yang terpilih ini selain berpendidikan, mereka juga memerlukan latihan praktikal dan akan kami bawa menunaikan umrah.

“Menerusi program ini maka terlahirlah Perkampungan Tauheed dengan harapan dalam melahirkan lebih ramai pendakwah dan Dai di mana mereka akan berkursus selama tiga hari di sini,” katanya.

Bagi syarikat yang berminat menjalinkan kerjasama atau peniaga yang hendak membuka gerai, sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut hubungi 010-3557577 atau emel Pemudah7577@gmail.com.

Lawatan ke Korea Selatan, PMX raih potensi pelaburan RM32 bilion

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya membawa potensi pelaburan sebanyak RM32 bilion hasil lawatan ke Korea Selatan.

Beliau melakukan lawatan rasmi selama tiga hari yang berakhir semalam selepas menerima jemputan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol.

Dalam sidang media di akhir lawatannya, Anwar berkata, lawatan rasmi beliau sejak Ahad lalu turut mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara dan pertemuan bersama syarikat besar Korea Selatan juga membuka ruang serta peluang untuk menarik pelaburan berimpak tinggi ke Malaysia.

Katanya, sehingga kini, kira-kira 400 syarikat Korea Selatan beroperasi di Malaysia dalam pelbagai sektor termasuk pembinaan.

Menambah pelaburan untuk negara adalah keutamaan Anwar setiap kali lawatan ke luar negara selain untuk mengukuhkan hubungan dua hala.

Katanya, pertemuan dengan ‘chaebol’ dan beberapa syarikat terkemuka Korea Selatan berjaya menjana potensi pelaburan berimpak yang tinggi untuk negara.

“Setakat ini potensi pelaburan yang berjaya dijana dari lawatan ini mencecah RM32.8 bilion dan eksport segera dari Malaysia mencecah RM1.3 bilion,” katanya.

Dalam lawatan ke Korea Selatan kali ini, potensi pelaburan yang berjaya dijana adalah daripada sektor kenderaan elektrik (EV), logam untuk aplikasi EV, biofarmaseutikal, teknologi hijau, pemerangkapan dan penyimpanan karbon serta hidrogen hijau.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz yang turut menyertai lawatan bersama Perdana Menteri berkata, hanya Hyundai Motor sahaja membuat pengumuman rasmi selepas komitmen mereka berjaya diluluskan lembaga pengarah syarikat berkenaan.

Hyundai Motor hari ini mengumumkan pelaburan AS$479 juta (kira-kira RM2.14 bilion) di Malaysia untuk lima tahun akan datang bermula 2025.

Hyundai Motor akan bekerjasama dengan Inokom Corporation Sdn Bhd, sebuah syarikat tempatan untuk menaik taraf kilang pengeluarannya di Kulim, Kedah.

Kilang yang dinaik taraf itu dijadual memulakan pengeluaran kenderaan pelbagai guna (MPV) dan mini van Staria keluaran Hyundai menjelang pertengahan 2025, dengan rancangan untuk memperluaskan rangkaian termasuk SUV bersaiz sederhana hingga besar.

Hyundai Motor memaklumkan, skala pengeluaran akan bermula dengan 20,000 unit setahun dan rancangan pengembangan secara berperingkat.

Dalam pada itu Anwar berkata, beliau juga ejen Kedah (dalam membawa pelaburan luar ke Kedah).

“Walaupun Sanusi (MB Kedah) ada plot untuk gagalkan pelaburan ke Kedah, tetapi saya masih sokong Hyundai untuk melabur di Kulim.

“Walaupun ada beberapa tempat (pilihan) lain, tetapi kerana infrastruktur yang disediakan dan juga saluran eksport melalui pelabuhan Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Pulau Pinang,  kita cadang di Kulim,” katanya lagi.

Belia ASEAN digalakkan berkarya berpandukan matlamat – Teo Nie Ching

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA –  Malaysia mencatat sejarah dengan menjadi tuan rumah Festival Video Kanak-Kanak Asia Tenggara ke-4, sebuah acara inspirasi yang menghimpunkan bakat kreatif muda dari 10 negara ASEAN.

Festival yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di Petaling Jaya, mencapai kemuncaknya dengan majlis anugerah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Sebagai satu pencapaian penting bagi Malaysia, festival ini menandakan peranan negara yang semakin berkembang sebagai pemimpin serantau dalam memupuk kreativiti dan kerjasama, sekaligus mempersiapkan langkah menuju kepengerusian ASEAN pada 2025.

Acara ini mempamerkan kandungan luar biasa yang dicipta untuk, oleh, dan tentang kanak-kanak, menyediakan platform bagi suara baharu untuk berkongsi perspektif mereka serta meraikan kekayaan kepelbagaian Asia Tenggara.

Dalam ucapan perasmiannya, Teo berkata, ketika Malaysia bersiap sedia untuk mengambil alih kepengerusian ASEAN pada 2025, ini adalah peluang untuk kita menonjolkan apa yang menjadikan Asia Tenggara begitu istimewa kepelbagaian, budaya, dan nilai-nilai bersama kita.

“Festival ini bukan sekadar perayaan kreativiti; ia adalah arena yang memaparkan potensi golongan muda untuk membawa perubahan dan perpaduan melalui kisah-kisah mereka.

“Saya menyeru pencipta kandungan muda agar mencipta dengan tujuan berkarya berpandukan matlamat. Fikirkan tentang kesan yang boleh dihasilkan oleh kandungan anda.

“Ia bukan hanya soal tontonan atau tanda suka. Ia juga mengenai kesan mendalam yang akan memberi impak kepada kanak-kanak melalui kandungan-kandungan anda.

“Kandungan anda mempunyai kuasa untuk membentuk cara kanak-kanak lain melihat dunia dan apa yang mereka pelajari, bagaimana mereka melayani orang lain, dan nilai-nilai yang mereka bawa ketika mereka membesar bersama anda,” katanya.

Majlis berkenaan dimeriahkan dengan perarakan bendera negara-negara Asia Tenggara, persembahan memukau daripada Koir Sweet 13 dan PERMATA Seni Tari, serta majlis penganugerahan Heart Awards yang sangat dinanti-nantikan.

Anugerah ini memberi pengiktirafan kepada sumbangan cemerlang dalam penceritaan kanak-kanak, menekankan pentingnya kandungan berkualiti dalam membentuk minda muda.

Pengerusi dan penganjur SEAVFC, Elvira Yap Go berkata, pihaknya terpesona dengan kualiti kandungan yang dihasilkan oleh peserta tahun ini.

“Bakat dan kisah luar biasa yang ditonjolkan pada festival tahun ini mengukuhkan keyakinan kami terhadap kuasa suara muda untuk membawa perubahan.

“Ketika festival ini berakhir, kami membawa harapan dan perpaduan yang baharu, mengetahui bahawa pencipta muda ini akan terus membentuk Asia Tenggara yang lebih cerah dan terhubung,” katanya.

Pengarah festival, Dato’ Mahyidin Mustakim berkata, pihaknya optimis mengenai peranan kandungan yang dicipta untuk, oleh, dan tentang kanak-kanak dalam menghubungkan budaya dan merangsang dialog.

“Festival ini membuktikan potensi luar biasa pencipta muda kita, begitu juga potensi kandungan kanak-kanak untuk merapatkan hubungan budaya dan mencetuskan perbincangan bermakna.

“Apabila festival ini melabuhkan tirai, saya berasa bangga dan yakin bahawa kisah-kisah yang dikongsikan di sini akan terus memberi inspirasi dan meninggalkan kesan di seluruh rantau ini,” katanya

Dalam momen simbolik perpaduan, festival ini diakhiri dengan penyerahan tanggungjawab penganjuran kepada Thailand, yang akan menjadi tuan rumah Festival Video Kanak-Kanak Asia Tenggara ke-5.

Ini menyerlahkan semangat kerjasama ASEAN dan visi bersama untuk memupuk pemahaman merentas budaya melalui penceritaan kreatif.

Festival Video Kanak-Kanak Asia Tenggara menjadi peringatan yang kuat tentang peranan media dalam membentuk masyarakat yang lebih inklusif dan empati.

Dengan memberi peluang kepada pencerita muda untuk berkarya, festival ini bukan sahaja meraikan bakat mereka tetapi juga membuka jalan ke arah masa depan yang lebih cerah dan terhubung di seluruh rantau ini.

SENARAI PEMENANG SEAVFC KE-4

  1. Professional (Fiction) 7 Years Old & Under – Fox Tales, Bear With Me (Singapore)
  2. Professional (Fiction) 8-12 Years Old – Upin & Ipin: Our Friend Susanti (Malaysia)
  3. Professional (Fiction) 13-17 Years Old – Tayan Tutu Anakku Satu (Indonesia)
  4. Professional (Non-Fiction) 7 Years Old & Under – Fun Nam Nom Club: Little Watcher (Thailand)
  5. Professional (Fiction) 8-12 Years Old – Poupai The Mahout Girl (Thailand)
  6. Professional (Fiction) 13-17 Years Old – About Us (Thailand)
  7. Aspiring Video Makers 18 Years Old & Above – Bata, Bata Ka Lang (Kid, You’re Just a Kid) (Philippines)
  8. Children Video Makers 12 Years Old & Under – A Silent Connection (Vietnam)
  9. Children Video Makers 13-15 Years Old – Kisapmata (Philippines)
  10. Children Video Makers 16-17 Years Old – Inabay (Philippines)
  11. Heart Award (Professional Category) – Upin & Ipin: Our Friend Susanti (Malaysia)
  12. Heart Award (Children Category) – Kisapmata (Philippines)
  13. Aspiring Video Makers – Bata, Bata Ka Lang (Kid You’re Just A Kid) (Philippines)
  14. Kids’ Choice Award – Mag-Igsukul (True Friendship) (Philippines)

Mikadation Foundation diiktiraf terbaik di The Highliter Beauty Awards Kl International Beauty Awards 2024

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Mikadation Foundation produk Zoey Rahman di bawah jenama Mikaseries diiktiraf terbaik bagi kategori lightweight liquid foundation menewaskan jenama lain di The Highliter Beauty Awards Kl International Beauty Awards 2024.

Acara yang berlangsung selama 3 hari bermula 22 hingga 24 November itu diadakan di Mid Valley Exhibition Centre (MVEC) Kuala Lumpur.

Zoey berkata, pihaknya turut mencalonkan beberapa produk yang lain untuk kategori yang berbeza mengikut jenis.

“Alhamdulillah tiga produk mikaseries tercalon ke peringkat akhir (top 5) penjurian antaranya MikaGlo Compact Powder, Mikadation Foundation dan Mikalipz Lipbalm (lipcare),” katanya.

Penjurian dilakukan oleh juri-juri yang dilantik dan undian secara online turut dibuka setelah top 5 diumumkan bagi setiap kategori.

Zoey berkata, produk Mikaseries mendapat undian dan pemarkahan tertinggi iaitu Mikadation Foundation dan MikaGlo Compact Powder.

“Sebelum ini bila saya cakap produk saya bagus, ‘formula lightweight’  ini memang terbaik tiada siapa yang akan percaya.  

“Walaupun kami telah berjaya menjual berpuluh ribu unit dan mempunyai pengikut serta pembeli setia di watsons dan di online, masih ada orang sekeliling yang memandang sepi terutamanya bagi mereka yang obses dengan jenama luar.

“Alhamdulillah dengan izin Allah SWT saya berjaya membuktikan bahawa apa yang saya usahakan selama ini bukanlah biasa-biasa.

“Selain penjenamaan dan strategi pemasaran, Mikaseries amat menitikberatkan kualiti.  Saya mahu berada dalam bidang ini lama.

“Oleh itu, saya perlu persembahkan yang terbaik untuk pembeli dan penyokong produk Mikaseries,” katanya.

Katanya, beliau amat bersyukur kerana Mikaseries tidak pernah ketinggalan menyertai acara tahunan pameran dan jualan kosmetik terbesar serta gah seperti ini.

Yayasan PEKEMA beri sumbangan kepada 30 anak seni berjumlah RM150,000

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Seramai 30 artis termasuk pelakon, penyanyi, pengarah dan penyampai radio menerima sumbangan daripada Yayasan PEKEMA di bawah naungan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA).

Majlis berkenaan turut mendapat kerjasama dari Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) di mana sumbangan wang tunai RM5,000 diberikan kepada setiap seorang.

Majlis yang diberi nama Sumbangsih PEKEMA Prihatin itu turut dihadiri oleh Pengerusi Yayasan PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin dan Presiden Karyawan, Datuk Fredie Fernandez.

Antara penerima sumbangan ialah Zaiton Sameon, Shuib Freedom, Mariam Ahmad, Norlia Ghani, Ali XPDC, Sheqal, Isma Alif, Shima, Sazali P Ramlee, Shasha Rohaizad, Nas Ahmad, Alfred Ho, Roy, Dato’ Jefrydin, Datuk Andre Goh, Zul Mahat, Sathiya, Yus Barat, M. Jamil, Sofia Ibrahim dan Mak Wan.

Turut menerima sumbangan ialah Dr. Sam, Mak Jah, Kieran, Ebby Yus, Harun Hashim, Ruslan Salleh, Murali Abdullah, Zaleha Hamid dan Datuk Sarimah Ahmad.

Mohamed Nazari berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Karyawan dalam menyantuni kira-kira 30 artis yang memerlukan.

“Ini adalah tanggungjawab sosial kami untuk memastikan mereka yang memberi sumbangan besar kepada industri seni tidak dilupakan.

“Kami harap bantuan ini dapat memberi kelegaan kepada mereka,” katanya.

 

Sementara itu, Fredie berkata, majlis penyerahan sumbangan ini adalah satu penghargaan yang amat bermakna bagi penggiat seni yang uzur dan artis veteran yang telah banyak memberi sumbangan dalam dunia seni tanah air.

Menurutnya, sumbangan ini diberikan bagi menghargai mereka yang telah mencurahkan bakti dan tenaga sepanjang hayat dengan menghiburkan rakyat Malaysia melalui lakonan, nyanyian, dan karya seni yang memberi kesan mendalam kepada masyarakat.

“Disebabkan faktor usia dan kesihatan yang semakin merosot, mereka kini berdepan dengan cabaran yang memerlukan sokongan dari kita semua.

“Sebagai organisasi yang sentiasa mementingkan kebajikan dan kesejahteraan penggiat seni Karyawan amat menghargai sumbangan besar yang diberikan oleh Yayasan PEKEMA.

“Sumbangan sebanyak RM5,000 seorang kepada setiap penerima bukan sekadar wang ringgit tetapi lebih daripada itu kerana ia adalah simbol kasih sayang, penghargaan, dan penghormatan kepada segala pengorbanan yang telah mereka lakukan dalam memajukan seni tanah air.

“Artis-artis veteran dan penggiat ini adalah warisan seni yang telah menghiburkan kita semua melalui karya-karya yang tidak ternilai harganya.

“Setelah mereka memberikan segalanya, tiba masanya kita pula memberikan sedikit bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Yayasan PEKEMA telah menunjukkan keprihatinan yang tinggi dalam menjaga kebajikan golongan ini, dan kami sangat berterima kasih atas kemurahan hati mereka.

“Kami berharap dengan sumbangan ini, seniman yang telah berkhidmat untuk negara dapat merasai penghargaan yang sewajarnya.

“Sumbangan ini bukan hanya meringankan beban kewangan, tetapi juga memberi semangat untuk mereka terus dihargai sepanjang hayat mereka,” katanya.