editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya membawa potensi pelaburan sebanyak RM32 bilion hasil lawatan ke Korea Selatan.
Beliau melakukan lawatan rasmi selama tiga hari yang berakhir semalam selepas menerima jemputan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol.
Dalam sidang media di akhir lawatannya, Anwar berkata, lawatan rasmi beliau sejak Ahad lalu turut mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara dan pertemuan bersama syarikat besar Korea Selatan juga membuka ruang serta peluang untuk menarik pelaburan berimpak tinggi ke Malaysia.
Katanya, sehingga kini, kira-kira 400 syarikat Korea Selatan beroperasi di Malaysia dalam pelbagai sektor termasuk pembinaan.
Menambah pelaburan untuk negara adalah keutamaan Anwar setiap kali lawatan ke luar negara selain untuk mengukuhkan hubungan dua hala.
Katanya, pertemuan dengan ‘chaebol’ dan beberapa syarikat terkemuka Korea Selatan berjaya menjana potensi pelaburan berimpak yang tinggi untuk negara.
“Setakat ini potensi pelaburan yang berjaya dijana dari lawatan ini mencecah RM32.8 bilion dan eksport segera dari Malaysia mencecah RM1.3 bilion,” katanya.
Dalam lawatan ke Korea Selatan kali ini, potensi pelaburan yang berjaya dijana adalah daripada sektor kenderaan elektrik (EV), logam untuk aplikasi EV, biofarmaseutikal, teknologi hijau, pemerangkapan dan penyimpanan karbon serta hidrogen hijau.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz yang turut menyertai lawatan bersama Perdana Menteri berkata, hanya Hyundai Motor sahaja membuat pengumuman rasmi selepas komitmen mereka berjaya diluluskan lembaga pengarah syarikat berkenaan.
Hyundai Motor hari ini mengumumkan pelaburan AS$479 juta (kira-kira RM2.14 bilion) di Malaysia untuk lima tahun akan datang bermula 2025.
Hyundai Motor akan bekerjasama dengan Inokom Corporation Sdn Bhd, sebuah syarikat tempatan untuk menaik taraf kilang pengeluarannya di Kulim, Kedah.
Kilang yang dinaik taraf itu dijadual memulakan pengeluaran kenderaan pelbagai guna (MPV) dan mini van Staria keluaran Hyundai menjelang pertengahan 2025, dengan rancangan untuk memperluaskan rangkaian termasuk SUV bersaiz sederhana hingga besar.
Hyundai Motor memaklumkan, skala pengeluaran akan bermula dengan 20,000 unit setahun dan rancangan pengembangan secara berperingkat.
Dalam pada itu Anwar berkata, beliau juga ejen Kedah (dalam membawa pelaburan luar ke Kedah).
“Walaupun Sanusi (MB Kedah) ada plot untuk gagalkan pelaburan ke Kedah, tetapi saya masih sokong Hyundai untuk melabur di Kulim.
“Walaupun ada beberapa tempat (pilihan) lain, tetapi kerana infrastruktur yang disediakan dan juga saluran eksport melalui pelabuhan Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Pulau Pinang, kita cadang di Kulim,” katanya lagi.

