editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Musaadah Jaringan Insan (PEMUDAH) buat julung kalinya bakal mengadakan program Perkampungan Tauheed yang akan berlangsung pada 6 hingga 8 Disember ini.
Berlangsung di Masjid Al-Alami MITC Melaka, acara itu turut mendapat sokongan daripada Pertubuhan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), UstazLah dan kumpulan permotoran daripada Perodua seperti Myvi, Bezza dan Axia.
Pengerusi PEMUDAH, Hajah Hezla Hashim berkata, ini adalah program penganjuran pertama yang terbesar diadakan oleh mereka.
Katanya, Perkampungan Tauheed diadakan bagi menjana pendapatan dan mendapatkan dana untuk program utama mereka iaitu Kembara Al-Haramain.
Terdapat pelbagai pengisian bakal dijalankan selama tiga hari acara berlangsung.

“Antara program yang kami sediakan ialah sembang santai, malam selawat, forum dan pertandingan kanak-kanak sekolah di bawah Jabatan Agama Islam Melaka.
“Program ini juga akan diserikan dengan kehadiran beberapa individu seperti pendakwah dan selebriti yang sudah berhijrah iaitu Firdaus Wong, Zul Handy Black, Faizal Ismail (FBI) dan Iwan Shahman,” katanya pada sidang media program berkenaan.
Hezla berkata, selain di Melaka, pihaknya juga merancang untuk mengadakan program yang sama di Pulau Pinang selepas ini.
Justeru, beliau mengalu-alukan semua pihak berkaitan untuk terbabit sama bagi menjayakan Perkampungan Tauheed ini.
PEMUDAH yang ditubuhkan sejak Julai lalu mempunyai visi dan menumpukan kepada enam golongan sasar bagi menyediakan pembangunan dan pendidikan Islam.

Golongan yang disasarkan adalah mualaf, Orang Kurang Upaya (OKU), remaja dan dewasa bermasalah, fakir dan asnaf.
Berkongsi mengenai program Kembara Al-Haramain, Hezla berkata, program berkenaan dianjurkan bagi melahirkan pendakwah dan juga Dai daripada enam golongan sasar yang ditaja untuk mengerjakan umrah.
“Mereka yang terpilih ini selain berpendidikan, mereka juga memerlukan latihan praktikal dan akan kami bawa menunaikan umrah.

“Menerusi program ini maka terlahirlah Perkampungan Tauheed dengan harapan dalam melahirkan lebih ramai pendakwah dan Dai di mana mereka akan berkursus selama tiga hari di sini,” katanya.
Bagi syarikat yang berminat menjalinkan kerjasama atau peniaga yang hendak membuka gerai, sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut hubungi 010-3557577 atau emel Pemudah7577@gmail.com.

