editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Seramai 30 artis termasuk pelakon, penyanyi, pengarah dan penyampai radio menerima sumbangan daripada Yayasan PEKEMA di bawah naungan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA).
Majlis berkenaan turut mendapat kerjasama dari Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) di mana sumbangan wang tunai RM5,000 diberikan kepada setiap seorang.
Majlis yang diberi nama Sumbangsih PEKEMA Prihatin itu turut dihadiri oleh Pengerusi Yayasan PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin dan Presiden Karyawan, Datuk Fredie Fernandez.
Antara penerima sumbangan ialah Zaiton Sameon, Shuib Freedom, Mariam Ahmad, Norlia Ghani, Ali XPDC, Sheqal, Isma Alif, Shima, Sazali P Ramlee, Shasha Rohaizad, Nas Ahmad, Alfred Ho, Roy, Dato’ Jefrydin, Datuk Andre Goh, Zul Mahat, Sathiya, Yus Barat, M. Jamil, Sofia Ibrahim dan Mak Wan.
Turut menerima sumbangan ialah Dr. Sam, Mak Jah, Kieran, Ebby Yus, Harun Hashim, Ruslan Salleh, Murali Abdullah, Zaleha Hamid dan Datuk Sarimah Ahmad.
Mohamed Nazari berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Karyawan dalam menyantuni kira-kira 30 artis yang memerlukan.
“Ini adalah tanggungjawab sosial kami untuk memastikan mereka yang memberi sumbangan besar kepada industri seni tidak dilupakan.
“Kami harap bantuan ini dapat memberi kelegaan kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Fredie berkata, majlis penyerahan sumbangan ini adalah satu penghargaan yang amat bermakna bagi penggiat seni yang uzur dan artis veteran yang telah banyak memberi sumbangan dalam dunia seni tanah air.
Menurutnya, sumbangan ini diberikan bagi menghargai mereka yang telah mencurahkan bakti dan tenaga sepanjang hayat dengan menghiburkan rakyat Malaysia melalui lakonan, nyanyian, dan karya seni yang memberi kesan mendalam kepada masyarakat.
“Disebabkan faktor usia dan kesihatan yang semakin merosot, mereka kini berdepan dengan cabaran yang memerlukan sokongan dari kita semua.
“Sebagai organisasi yang sentiasa mementingkan kebajikan dan kesejahteraan penggiat seni Karyawan amat menghargai sumbangan besar yang diberikan oleh Yayasan PEKEMA.
“Sumbangan sebanyak RM5,000 seorang kepada setiap penerima bukan sekadar wang ringgit tetapi lebih daripada itu kerana ia adalah simbol kasih sayang, penghargaan, dan penghormatan kepada segala pengorbanan yang telah mereka lakukan dalam memajukan seni tanah air.
“Artis-artis veteran dan penggiat ini adalah warisan seni yang telah menghiburkan kita semua melalui karya-karya yang tidak ternilai harganya.
“Setelah mereka memberikan segalanya, tiba masanya kita pula memberikan sedikit bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“Yayasan PEKEMA telah menunjukkan keprihatinan yang tinggi dalam menjaga kebajikan golongan ini, dan kami sangat berterima kasih atas kemurahan hati mereka.
“Kami berharap dengan sumbangan ini, seniman yang telah berkhidmat untuk negara dapat merasai penghargaan yang sewajarnya.
“Sumbangan ini bukan hanya meringankan beban kewangan, tetapi juga memberi semangat untuk mereka terus dihargai sepanjang hayat mereka,” katanya.

