26.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 16, 2026
Home Blog Page 155

Kisah tentang gangster ‘Wanna Be’, Sahak Gangster sarat dengan aksi & komedi

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Filem yang bercorak aksi komedi sememangnya masih lagi mempunyai tarikan tersendiri buat penggemar filem-filem tempatan.

Berikutan itu, ia telah mencetuskan idea buat syarikat produksi Millennium Megamas Sdn. Bhd. menerbitkan sebuah filem berjudul Sahak Gangster.

Pengarahnya, Dr. Ahmad Idham berkata, perancangan menghasilkan filem berkenaan adalah daripada penerbit sendiri.

“Saya tertarik untuk mengarahkan filem ini selepas melihat konsep ceritanya yang menjurus kepada istilah ‘Gangster Wanna Be’, yang sarat dengan humor dan aksi.

“Lagipun sudah lama saya tak hasilkan sebuah filem berkonsepkan komedi aksi. Jadi, saya sahut cabaran untuk bertindak sebagai pengarah filem ini,” katanya.

Bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 9 Januari 2025 depan, Sahak Gangster menampilkan dua pelakon yang semakin meningkat naik iaitu Hariz Hamdan dan Nelissa Nizam selaku teraju utama.

Dalam pada itu, Ahmad Idham menyatakan filem terbaharu arahannya itu mempunyai kelainan berbanding dengan filem-filem genre sama yang pernah dihasilkannya sebelum ini.

“Antara kelainannya adalah karakter Sahak itu sendiri. Dalam filem ini, saya paparkan Sahak seorang lelaki yang mahu melibatkan diri dalam dunia gangster.

“Namun, secara hakikatnya Sahak ini sebenarnya tidak sesuai untuk berada dalam dunia berkenaan dan kemudian terjebak dalam satu insiden sehingga dia diburu,” katanya.

Filem Sahak Gangster mengisahkan seorang lelaki iaitu Sahak (Hariz Hamdan) yang terpaksa melarikan diri daripada buruan ahli kumpulan dan polis setelah dituduh membunuh ketuanya sendiri.

Dia terpaksa bersembunyi dalam kereta seorang gadis, Suriani (Nelissa Nizam) sehingga menyebabkan gadis berkenaan turut terjebak dalam permasalahan yang dihadapi Sahak.

Mengenai pemilihan Hariz dan Nelissa sebagai teraju utama, Ahmad Idham melihat bakat serta potensi kedua-duanya yang dilihat mampu mencipta nama sebagai pelakon popular.

Mengakui mengambil risiko besar apabila menampilkan kedua-dua pelakon berkenaan, dia memberitahu Sahak Gangster turut dibarisi pelakon-pelakon popular.

“Memang saya rancang nak ketengahkan bakat-bakat baru dan saya menjangkakan apabila filem ini ditayangkan, nama Hariz dan Nelissa semakin dikenali ramai.

“Untuk mengurangkan risiko itu, saya tampilkan juga pelakon yang dah ada nama seperti Yana Samsudin, Usop Wilcha, Mamak Puteh, Razak Ahmad dan Chiwan Raja Lawak,” katanya lagi.

Katanya, pemilihan pelakon-pelakon berkenaan bukan sekadar tempelan sahaja, tetapi masing-masing mempunyai karakter yang tersendiri.

Malah, apa yang lebih menarik lagi, pengarah itu menjelaskan dia turut memuatkan genre ‘spoof’, iaitu memasukkan elemen filem-filem lain yang dalam naskhahnya itu.

“Misalnya, saya letakkan Yana Samsudin yang memegang watak Kak Yong dalam Sahak Gangster. Watak Kak Yong itu sendiri memang sudah cukup dikenali ramai.

“Begitu juga saya memasukkan elemen dalam filem Bad Boys dengan menggandingkan Razak dan Chiwan yang berpasangan sebagai anggota polis,” katanya.

Padat dengan ‘ramuan’ aksi, romantik dan komedi, Ahmad Idham berkata, apa yang diharapkan untuk naskhah terbaharunya itu mampu membuatkan penonton terhibur.

Sinopsis

Sahak dibesarkan Pak Andak, seorang gangster kawasan yang amat digeruni. Sahak adalah harapan utama Pak Andak untuk menerajui Geng Bunga Merah satu hari nanti.

Namun, segala harapan itu kemudiannya berubah apabila satu hari Pak Andak telah ditangkap polis ketika hendak menyelamatkan anak saudaranya, Maya dari musuh tradisinya Geng Pak Man.

Setelah lima tahun, Pak Andak dibebaskan dari penjara. Namun, pada hari dia dibebaskan, Pak Andak telah ditembak secara hendap dan meninggal dunia di pangkuan Sahak.

Sebelum meninggal, Pak Andak sempat meninggalkan amanat pada Sahak untuk mencari siapa yang menembaknya dan membalas dendam.

Sahak menjadi buruan polis disebabkan dia hilang dari tempat pembunuhan dan telah menjadi suspek utama.

Sahak yang pada mulanya berbelah bahagi sama ada mahu menyerah diri atau tidak, kemudiannya tekad untuk melaksanakan amanat terakhir Pak Andak.

Gebyar Nusantara 2024 rai persahabatan anak seni dua negara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Festival Gebyar Nusantara 2024 yang berlangsung hujung minggu lalu tidak sekadar menjadi platform promosi dan mengeratkan hubungan Indonesia serta Malaysia, malah turut meraikan persahabatan insan seni antara dua negara serumpun.

Festival anjuran Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur itu disifatkan penyanyi yang sedang meningkat populariti di negara ini, Allen Anderson sebagai platform penting yang mendekatkannya lagi dengan peminat di sini.

Jejaka kelahiran Tahuna, Sulawesi Utara itu berkata, penerimaan ramai terhadap kemunculannya di negara ini membuatkan dia semakin yakin mengatur langkah untuk terus memperkenalkan bakatnya.

Allan yang popular dengan lagu Rindu dan Ku Mau Bahagia Juga menyifatkan peluang yang diberikan penganjur adalah kesempatan terbaik untuk berkongsi bakat dan kecintaannya terhadap muzik dengan peminat di Malaysia.

“Sebelum ini, saya lebih banyak tertumpu pada persembahan tertutup dan hanya dihadiri sejumlah kecil peminat.

“Apabila dapat beraksi di pentas terbuka seperti Gebyar Nusantara 2024, saya berusaha memberikan yang terbaik kerana setiap panggung memberikan pengalaman berbeza.

“Sebagai penyanyi, saya perlu melunaskan tanggungjawab dengan baik kerana undangan diberikan adalah penghargaan daripada mereka yang mempercayai bakat saya,” katanya.

Selain Allan, festival dua hari yang berlangsung pada 30 November dan 1 Disember lalu itu turut menampilkan bakat tempatan seperti Erul Samah, JZ Vibes, selain persembahan galau yang dijayakan dua band iaitu Kureiji dan Patriots yang mengalunkan lagu-lagu popular Indonesia.

Lebih istimewa, pengunjung juga berpeluang untuk beramah mesra dengan bintang utama drama horror Indonesia, Zona Merah iaitu Devano Danendra, Maria Theodore dan Andri Mashadi pada festival yang diadakan di Raintree Plaza, Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai penganjuran Gebyar Nusantara 2024, Duta Republik Indonesia ke Malaysia, Dato’ Indera Hermono berkata, acara terbabit selain mempromosikan Indonesia menerusi pelancongan, makanan, kesenian dan ekonomi kreatif, ia juga mengeratkan hubungan dua negara menerusi ikatan budaya.

Kehadiran Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan turut menjadikan penganjuran festival itu lebih bermakna, sekali gus mengukuhkan lagi kerjasama dalam mempromosikan destinasi pelancongan serantau.

Khairul Firdaus dalam ucapannya berkata, acara yang julung kali diadakan di Malaysia itu bukan sahaja mempamerkan keindahan budaya Indonesia, tetapi juga membuka peluang untuk meneroka potensi kerjasama dalam sektor pelancongan antara kedua-dua negara.

“Perkongsian budaya, sejarah, dan warisan yang unik antara kedua-dua negara menjadi asas kukuh untuk kerjasama dalam mempromosikan destinasi pelancongan serantau.

“Semoga Gebyar Nusantara 2024 menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif bersama dalam sektor pelancongan, seni dan budaya antara Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Gebyar Nusantara 2024 adalah festival diplomasi ekonomi mempromosikan kulinari, pelancongan, seni dan ekonomi kreatif Indonesia kepada masyarakat serta pasaran Malaysia.

Festival itu memberikan pengalaman unik kepada pengunjung untuk meneroka destinasi pelancongan mengagumkan, menikmati hidangan autentik Nusantara dan hiburan penuh warna dari Indonesia di bawah satu bumbung.

Suasana festival turut dihangatkan dengan persembahan aneka tarian Jakarta dan Gambang Kromong dari Disparekraf DKI Jakarta serta penampilan variasi tari Nusantara daripada penuntut Sekolah Indonesia Kuala Lumpur.

“Insya-Allah dengan minat yang besar daripada masyarakat, saya rasa tahun depan kita boleh anjurkan acara lebih besar lagi,” kata Indera Hermono.

Terus unggul, Az Zuha Group & Travel Sdn Bhd terima Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Malaysia (MEBA 2024)

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Cabaran ekonomi global yang semakin tidak menentu sekarang ini tidak sedikitpun mematahkan semangat juang mereka sebaliknya, Az Zuha Group & Travel Sdn Bhd sekali lagi membuktikan keunggulannya apabila menjadi satu-satunya agensi pelancongan yang menerima pengiktirafan berprestij, baru-baru ini.

Menerusi Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Malaysia (MEBA) Edisi ke-8, agensi pelancongan itu memenangi kategori Kecemerlangan Dalam Perkhidmatan Pelancongan.

Majlis penganugerahan yang berlangsung di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur itu memberi penghormatan kepada perniagaan yang menunjukkan ketahanan luar biasa dan kebolehsuaian dalam menghadapi cabaran dunia pasca-pandemik.

Pengiktirafan itu sekali gus mengangkat nama Az Zuha sebagai peneraju dalam industri pelancongan Islam di Malaysia.

Sebagai sebuah syarikat yang telah beroperasi selama 12 tahun, Az Zuha Group & Travel Sdn Bhd berjaya mengekalkan rekod bersih dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelanggan.

Apatah lagi, syarikat ini telah dilantik oleh Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi Musim Haji 1446H/2025M untuk tiga tahun berturut-turut.

Ketua Pegawai Eksekutif Az Zuha Group & Travel Sdn Bhd, Haji Abdul Malik Abdul Raman berkata, pengiktirafan ini adalah satu pencapaian yang amat besar buat mereka di Az Zuha.

“Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan kami dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi dan operasi.

“Kami amat berterima kasih kepada semua pelanggan yang terus mempercayai kami sepanjang 12 tahun ini,” katanya.

Selari dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa, Az Zuha kini memperkenalkan aplikasi E-Azzuha, inovasi pertama di Malaysia yang direka khas bagi melancarkan pengurusan jemaah menjalankan ibadah di Tanah Suci.

Aplikasi ini bukan sahaja menjimatkan masa berbanding kaedah manual, tetapi turut memberikan kemudahan kepada bakal jemaah dalam memilih pakej, membuat tempahan, dan menguruskan perjalanan umrah secara digital.

Aplikasi E-Azzuha dilengkapi dengan pelbagai ciri canggih, termasuk modul perjalanan umrah yang komprehensif selain pengguna boleh mengikuti perkembangan perjalanan serta mendapatkan maklumat terkini mengenai status visa, penerbangan, tempat penginapan, dan panduan perjalanan.

Haji Abdul Malik berkata, aplikasi ini adalah usaha mereka untuk menyediakan pengalaman ibadah yang lebih lancar, moden, dan efisien kepada pelanggan.

“Ia adalah satu lonjakan ke arah transformasi digital dalam industri pelancongan Islam,” katanya.

Sebagai peneraju dalam industri pelancongan Islam, Az Zuha sentiasa komited untuk menyediakan pakej umrah dan haji yang telus dan berkualiti.

Rekod bersih syarikat ini mencerminkan integriti dan profesionalisme yang menjadi teras utama operasi mereka.

Az Zuha Group & Travel Sdn Bhd berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih banyak agensi pelancongan untuk terus meningkatkan standard perkhidmatan, sambil mengutamakan kepercayaan dan kesejahteraan pelanggan.

Dr Jue kongsi tips menerusi seminar ‘Manage Your Diabetes With Dr Jue’

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Terus berusaha memberi kesedaran dalam menjaga kesihatan kepada orang ramai terutamanya membabitkan penyakit kencing manis atau diabetes, D’jue Wellness sekali lagi menganjurkan seminar yang diberi nama ‘Manage Your Diabetes With Dr Jue’.

Bertempat di Midlands Convention Center, penganjuran kali keempat ini dihadiri lebih 800 peserta yang turut sama mahu mengubah kehidupan mereka menjadi lebih sihat.

Diterajui oleh Dr Siti Juariah Kusni atau Dr Jue seminar dimulakan dengan perkongsian mengenai peningkatan kes diabetes yang semakin membimbangkan di Malaysia sekarang ini.

Dr Jue berkata, ramai orang tidak menyedari mereka berada dalam tahap pradiabetes, yang juga tahap awal sebelum seseorang didiagnosis dengan penyakit berkenaan.

“Statistik menunjukkan bahawa 54 peratus rakyat Malaysia kini menghidap obesiti, yang juga faktor utama penyumbang kepada diabetes.

“Saya kongsikan punca, tanda awal, dan kesan negatif diabetes jika tidak dirawat dan saya menggalakkan peserta untuk mengubah amalan pemakanan mereka, seperti mengurangkan pengambilan gula dan karbohidrat yang sering menjadi penyebab utama peningkatan paras gula darah,” katanya.

Pada seminar itu Dr Jue turut berkongsi tips menyediakan nasi rendah karbohidrat, serta menu sihat yang menggunakan bahan semula jadi.

Beliau turut memperkenalkan 10 protokol untuk mencegah diabetes antaranya dengan mengamalkan puasa intermiten. Puasa ini dikatakan dapat membantu mengawal paras gula darah dan menurunkan berat badan.

Ia adalah satu panduan praktikal tentang cara berpuasa tanpa merasa lapar yang turut mendapat sambutan positif daripada ramai peserta.

Antara lain seminar ini juga turut berkongsi mengenai ubatan yang diamalkan dalam pengurusan diabetes.

Meskipun bergantung pada rawatan farmasi, mengubah gaya hidup dan pemakanan yang lebih sihat adalah kunci utama dalam mengawal diabetes.

Pada seminar itu, peserta turut diberi peluang untuk membeli produk kesihatan seperti makanan rendah karbohidrat dan suplemen kesihatan dengan harga diskaun khas ditawarkan.

Menutup tirai seminar, Dr Jue turut berpesan diabetes bukanlah hukuman mati, tetapi ia boleh dicegah dan diuruskan dan dimulakan sekarang.

Selain memberi tips berpuasa intermiten, Dr Jue turut berkongsi tentang rawatan alternatif bekam yang dianggap berkesan dalam merawat diabetes.

Meskipun rawatan bekam sering dianggap sebagai rawatan kuno, pihaknya yakin apabila dilakukan dengan betul ia boleh memberikan manfaat yang baik dalam pengurusan diabetes.

Beliau turut menekankan kepada ibu bapa dalam menjaga pemakanan anak-anak.

“Saya ingin menyeru kepada ibu bapa agar memberi perhatian serius kepada pemakanan anak-anak mereka. Makanan segera dan makanan tinggi gula seperti bijirin bergula, susu manis, dan snek yang diproses harus dielakkan.

“Sebaliknya, perkenalkan kepada mereka makanan yang penuh dengan nutrisi, seperti telur dan makanan berserat tinggi, adalah sangat penting dalam membentuk diet harian anak-anak,” katanya.

Sementara itu, salah seorang peserta seminar, Zainab Ahmad berkata, seminar ini adalah sumber ilmu yang berguna dan praktikal untuknya.

“Seminar ini membuka mata saya dan membuatkan saya lebih faham cara menjaga kesihatan diri dan keluarga.

“Selama ini saya menghidap diabetes tetapi tidak mengambil sebarang rawatan di hospital.

“Pada awal saya membuat diet cara sendiri tetapi tidak berjaya sehinggalah saya mendapat tahu mengenai kaedah dan cara yang dikongsi oleh Dr Jue menarik perhatian saya,” katanya.

Bagi anda yang berminat memyertai seminar ini atau mengetahui servis di D’Jue Wellness dengan lebih lanjut, boleh layari www.djuewellness.com.

Tiada keperluan isytihar darurat di kawasan banjir – Anwar Ibrahim

editormaxinfo@gmail.com

SETIU – Tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat kerana pasukan keselamatan dan jentera kerajaan yang terbabit dapat menangani masalah banjir dengan baik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini kesemua agensi yang diatur bergerak membantu mangsa banjir menjalankan tugas dengan berkesan selain tambahan peruntukan disediakan bagi memulihkan infrastruktur yang terjejas.

“Dari segi pasukan keselamatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), tidak memikirkan keperluan itu (isytihar darurat) kerana seluruh jentera pasukan keselamatan, Angkatan Tentera, Polis, APM dan seluruh jentera kerajaan persekutuan, negeri dan daerah itu menangani masalah dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan, Kampung Telaga Papan, Setiu yang menempatkan 269 mangsa.

Terdahulu, Perdana Menteri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, Kuala Terengganu pada jam 10.25 pagi tadi bagi meninjau sendiri situasi terkini banjir di negeri itu.

Susulan banjir serius di Kelantan dan Terengganu, Anwar yang juga Menteri Kewangan bersetuju peruntukan tambahan segera disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) masing-masing berjumlah RM25 juta.

Peruntukan ini akan digunakan untuk segera membaiki infrastruktur asas seperti jalan dan pembentung termasuk menaikkan aras jalan di Hulu Besut.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan pegawai kanan kerajaan persekutuan dan negeri.

Program Apresiasi Filem platform perkongsian idea, pendapat tentang filem secara ilmiah

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Meraikan acara Festival Filem Malaysia Ke-33 (FFM33) yang akan berlangsung pada 7 Disember ini, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan menganjurkan sebuah program iaitu Sesi Tayangan dan Apresiasi Filem selama lima hari bermula pada 2 Disember hingga 6 Disember ini.

Dalam satu kenyataan,  FINAS berkata, program ini membabitkan tayangan filem-filem yang tercalon bagi kategori Filem Terbaik untuk FFM33.

Tujuan utama program apresiasi filem ini dianjurkan adalah untuk membuka peluang penyertaan kepada masyarakat umum yang berminat untuk mengikuti sesi tayangan dan apresiasi filem berkaitan perkongsian idea dan pendapat mengenai filem-filem secara ilmiah bersama ahli-ahli panel.

“Selain itu, program ini juga membantu mempromosikan dan meningkatkan publisiti FFM33 dalam kalangan penggiat industri tempatan dan antarabangsa,” kata kenyataan itu.

Antara filem-filem yang terbabit adalah seperti Duan Nago Bogho, Imaginur, Mechamato Movie, Hungry Ghost Diner dan Rain Town.

FINAS berkata, program terbabit dibuat saban tahun yang mana Sesi Tayangan & Apresiasi merupakan program sisipan sempena Festival Filem Malaysia.

Sementara itu, program yang dianjurkan itu adalah terbuka kepada orang ramai dan tiada sebarang bayaran yang dikenakan.

Menurutnya, antara intipati aturcara semasa program berkenaan adalah tayangan filem dan kemudian sesi diskusi.

“Bagi sesi tayangan dan apresiasi, antara intipati program apresiasi akan dilaksanakan bermula dengan tayangan pada jam 8 malam di Hall 8, GSC Mid Valley, Kuala Lumpur.

“Sebaik sahaja selesai tayangan akan dimulakan sesi apresiasi dengan Moderator dan panel-panel bersama penonton yang hadir,” katanya.

FINAS turut menyarankan agar pendaftaran dapat dibuat segera kerana setiap sesi tayangan dan apresiasi adalah terhad kepada 100 orang sahaja.

Bagi orang ramai yang ingin menyertai program berkenaan boleh mendaftar kehadiran di pautan https://forms.gle/rwL63GvGEMY4UqUVA atau imbas QR Code yang tertera.

Setelah pendaftaran dibuat, boleh hadir di kaunter urusetia di pintu masuk pawagam dengan membawa notifikasi yang diterima di emel pendaftar.

Di samping itu, FINAS juga akan mengadakan sesi tayangan umum filem-filem yang bertanding sempena FFM33 secara percuma bermula 30 November hingga 6 Disember 2024 di pawagam GSC Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur dan tayangan pada 1 Disember 2024 di GSC Imago Kota Kinabalu, Sabah dan GSC Spring Mall Kuching Sarawak.

Sesi Tayangan & Apresiasi Filem Sempena FFM33

Tarikh: 2 Disember 2024, 8 malam (GSC MID VALLEY, Kuala Lumpur)

Filem: Duan Naga Bogho

Ahli Panel: Datuk Arifful Ahmadi Ab Rahman (Penerbit)

Mohd Asrulfaizal Kamaruzaman (Pelakon)

Tarikh: 3 Disember 2024, 8 malam (GSC MID VALLEY, Kuala Lumpur)

Filem: Imaginur

Ahli Panel: Nik Amir Mustapha (Pengarah)

Diana Danielle (Pelakon)

Tarikh: 4 Disember 2024, 8 malam (GSC MID VALLEY, Kuala Lumpur)

Filem: Mechamato Movie

Ahli Panel: Muhammad Anas Abdul Aziz (Pengarah Kreatif)

Dzubir Mohammed Zakaria (Pengarah)

Tarikh: 5 Disember 2024, 8 malam (GSC MID VALLEY, Kuala Lumpur)

Filem: Hungry Ghost Diner

Ahli Panel: Cho We Jun (Pengarah)

Chen Puie Heng @ Rabbit Heng (Pelakon)

Tarikh: 6 Disember 2024, 8 malam (GSC MID VALLEY, Kuala Lumpur)

Filem: Rain Town

Ahli Panel: Tunku Mona Riza (Pengarah)

Chew Kin Wah (Pelakon)

Sesi Tayangan Umum Filem-filem Yang Bertanding FFM33

1. Tayangan filem secara percuma kepada orang awam

2. Orang ramai boleh mendaftar melalui kaedah seperti berikut:

• Pendaftaran di pautan https://tinyurl.com/TayanganPercumaFFM33 atau

imbas QR Code pada Poster tayangan atau

• Hadir secara walk in semasa hari tayangan.

Jumlah tayangan filem : 63 judul filemTarikh tayangan: 30 November – 6 Disember 2024

Masa: Bermula 11.00 pagi – 8.00 malam

Lokasi Tayangan:

• Hall 7 & 8, GSC Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur,

• Hall 2, GSC Imago Kota Kinabalu, Sabah dan;

• Hall 8, GSC Spring Mall, Kuching, Sarawak

Konsert “Perayaan Patah Hati” Babak 1 di Kuala Lumpur Jumaat ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Miebird Projects bakal mempersembahkan konsert “Perayaan Patah Hati”Babak 1. Kuala Lumpur yang akan menampilkan band emo terkenal masa kini, asal Bandung, Indonesia for Revenge dari Indonesia.

Berlangsung pada 6 Disember, Jumaat ini, bertempat di Zepp Kuala Lumpur, bermula jam 8 malam, konsert itu bakal diserikan dengan persembahan grup lokal iaitu Insomniacks.

For Revenge adalah sebuah grup musik emo yang dibentuk di Bandung, Indonesia pada tahun 2006. Grup ini terdiri dari vokalis Boniex Noer, gitaris Arief Ismail, basis Izha Muhammad, dan drumer Ari Pribadi.

Kekuatan utama for Revenge terletak pada pemahaman mereka bahawa, dalam mengusahakan muzik emo, ekspresi emosi yang jujur dan lantang.

Komitmen dan keberanian for Revenge dalam mencipta muzik beremosi telah ditunjukkan sejak mereka muncul di persada muzik bebas menerusi album Fireworks (2010), Second Chance (2013), dan Auristella (2019).

Perlahan tetapi pasti, for Revenge telah berjaya membina salah satu pangkalan peminat band yang paling setia dalam persada muzik independen, menjadikan mereka antara bakat baharu yang paling dikagumi di kota Bandung.

Selain daripada rekod prestasi mereka yang telah mencapai sedekad, kejayaan besar yang dicapai oleh album Heartbreak Celebration – Round 1 pada 2022 membawa untuk Revenge menjadi perhatian ramai.

Bersandarkan balada pop-rock beremosi seperti “Serana,” “Jakarta Hari Ini” dan “Untuk Siapa?” yang telah membawa ke pencalonan Anugerah Musik Indonesia atau Anugerah AMI pertama mereka dalam kategori Duo/Kumpulan/Kolaborasi Pop Terbaik), untuk Revenge juga membayangkan kelahiran semula kegemilangan band kontemporari dalam industri muzik Indonesia.

Memasuki 2024, for Revenge menyertai label muzik baharu dan mengeluarkan “Sadrah”, yang juga prolog kepada album baharu mereka yang seterusnya yang diberikan judul Perayaan Patah Hati – Babak 2.

Dapatkan tiket bermula harga RM 168 – JAKARTA HARI INI -(Berdiri – Zon Belakang ), RM 198 – SERANA(Berdiri – Zon Hadapan), RM 238 – PULANG – (Duduk – Biasa), RM 298 – SADRAH  – (Duduk – Premium), RM 438 -Per Pax – VIP BOX (Tshirt+Lanyard+VIP Tag+Poster), RM 258 – MEET & GREET (Pass Istimewa + Poster) (Harga tiket termasuk 10 peratus duti hiburan dan tidak termasuk RM4 caj proses) di illasotickets.com.

Isu kesesakan di platform MRT Pasar Seni, Prasarana ambil langkah penambahbaikan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) ingin mengesahkan satu video yang tular di media sosial berhubung isu kesesakan di platform Stesen MRT Pasar Seni pada 26 November lalu.

Kejadian terbabit dilaporkan berlaku pada waktu puncak sekitar jam 6.45 petang disebabkan oleh kelewatan jadual perjalanan sebuah tren.

Dalam satu kenyataan, Prasarana berkata, situasi ini telah menyebabkan pergerakan penumpang terganggu dan mengakibatkan kesesakan di platform Stesen MRT Pasar Seni.

“Untuk memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang, pihak Prasarana telah memperkukuhkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan penumpang, terutamanya ketika waktu puncak bagi memastikan pergerakan penumpang di stesen berjalan lancar dan selamat.

“Salah satu penambahbaikan adalah dengan menyusun semula penempatan Polis Bantuan di kawasan-kawasan utama yang mempunyai risiko keselamatan yang lebih tinggi seperti platform dan eskalator. Ini adalah langkah untuk memastikan kawalan keselamatan yang lebih efektif,” katanya.

Selain itu, pemantauan yang lebih kerap turut dijalankan bagi memantau kepadatan penumpang di stesen terutama di platform ketika waktu puncak.

“Ini membolehkan pasukan Polis Bantuan bertindak dengan lebih cepat dan menempatkan anggota-anggotanya di kawasan yang kritikal.

“Menjelang Mac 2025, perkhidmatan MRT Laluan Kajang akan dipertingkatkan dengan penambahan bilangan tren daripada 39 tren kepada 42 tren.

“Peningkatan ini bertujuan untuk meningkatkan kapasiti tren dan mengurangkan kesesakan di stesen–stesen sepanjang Laluan Kajang.

“Selain dari peningkatan jumlah tren, kekerapan tren turut dipendekkan. Pada waktu puncak, kekerapan tren pada masa ini adalah 4 minit akan dikurangkan kepada 3.7 minit.

“Ini dapat mengurangkan waktu menunggu di platform terutama pada waktu puncak. Langkah–langkah yang telah diambil ini adalah usaha berterusan Prasarana untuk

meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan penumpang terutama semasa waktu puncak,” kata kenyataan itu lagi.

Prasarana memohon maaf di atas kesulitan yang dialami oleh penumpang semasa kejadian dan akan terus melakukan penambahbaikan bagi memastikan perjalanan penumpang Rapid KL selamat, selesa dan lancar.

Capai matlamat Malaysia mengamalkan pertanian pintar bebas racun berbahaya, ASF2024 bakal jelajah seluruh Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pameran dan Persidangan Antarabangsa 2nd  Asia Smart Farming & Food Security 2024 (ASF 2024) yang berlangsung selama tiga hari bermula 26 November lalu, semakin hampir mencapai matlamatnya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan pertanian pintar tanpa penggunaan racun kimia berbahaya.

ASF 2024 berlangsung dari 26 November sehingga 28 November 2024  di Dewan Bankuet (Banquet Hall), Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.

ASF 2024 dianjurkan oleh ABS Greentech Sdn Bhd selaku penganjur utama dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) turut disokong oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia.

Dengan tagline “Pesticide-Free Farming for a Healthier Nation,” ASF 2024 menekankan komitmen terhadap pertanian lestari dan selamat.

Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato’ Sri Dr Stephen Rundi Utom, melalui timbalannya Dato’ Dr Abdul Rahman Ismail, yakin Malaysia mampu mencapai matlamat ini.

“Saya yakin kita mampu menjadikan Malaysia sebuah negara bebas racun kimia dan selamat pada masa depan.

“Misi ini selari dengan kempen ‘Safe to Eat Food Products’ yang baru dilancarkan oleh Sarawak dan prinsip kerajaan negeri untuk mengharamkan penggunaan racun kimia tidak lama lagi,” kata Dato’ Dr Abdul Rahman Ismail.

Atas tanggungjawab untuk memberi kesedaran dan kesinambungan daripada acara ASF 2024, penganjur merancang untuk mengadakan pameran serantau yang lebih meluas di seluruh Malaysia iaitu di Sabah, Sarawak, utara dan selatan Malaysia.

Sarawak bakal menjadi negeri pertama yang menganjurkan acara ini, memanfaatkan kedudukannya sebagai peneraju teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui yang sepadan dengan objektif ASF.

ASF bertekad membantu petani beralih kepada amalan bebas bahan kimia berbahaya melalui penggunaan teknologi terkini.

Pengerusi Penganjur dan Ketua Pegawai Eksekutif ABS Greentech Sdn Bhd, RM Ravichandar berkata, pentingnya mendidik petani tentang kaedah pertanian lestari.

“Misi kami untuk memberi kesedaran tentang pertanian bebas bahan racun kimia dan untuk memastikan mesejnya sampai kepada semua, pihak kami merancang untuk menubuhkan pusat latihan di setiap kawasan bagi mendidik petani tentang penanaman tanpa bahan kimia berbahaya.

“Ini sekali gus meningkatkan produktiviti dan kesihatan. Jika rakyat kita tidak sihat, negara kita juga tidak akan sihat,” katanya.

Pencapaian Utama ASF 2024

Salah satu kejayaan utama ASF 2024 adalah terjalinnya beberapa kerjasama baru yang akan memberi manfaat kepada syarikat tempatan dan memudahkan pertukaran teknologi, seterusnya memberi impak positif kepada petani dan masyarakat Malaysia.

Beberapa Memorandum Persefahaman (MOU) telah ditandatangani termasuk: ABS Greentech Sdn Bhd dan IFFCO-Nanoventions Private Limited, ABS Greentech Sdn Bhd dan Western Power China, ABS Greentech Sdn Bhd dan Innofriends untuk projek tenaga boleh diperbaharui serta ABS Greentech Sdn Bhd dan AND Biological B.V. (Belanda) untuk memperkenalkan Teknologi NoSelf (DNA).

Kerjasama ini akan membawa teknologi terkini ke Malaysia seperti ladang solar, sistem pengurusan perosak maju, penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, dan pembungkusan makanan yang lestari.

“Acara ini adalah daripada petani untuk petani. Bersama-sama, kita sedang membina masa depan pertanian yang lebih sihat dan mampan untuk Malaysia dan dunia,” kata Ravichandar.

Menarik Golongan Muda ke Dalam Pertanian

ABS Greentech, bersama Universiti Putra Malaysia (UPM), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), mengambil langkah untuk menarik lebih ramai golongan muda menceburi sektor pertanian.

“Cabaran utama dalam sektor pertanian hari ini adalah kekurangan minat dalam kalangan generasi muda. Ramai petani Malaysia semakin berusia, dan tiada waris untuk meneruskan usaha mereka.

“Dengan menyediakan latihan dan pengetahuan, kami ingin menunjukkan bahawa pertanian boleh berkembang dengan teknologi moden,” jelas Ravichandar lagi.

ABS Greentech bekerjasama dengan UPM, MARDI, dan MTDC menawarkan program latihan yang menumpukan kepada amalan pertanian moden, termasuk penggunaan teknologi pertanian tepat dan Integrated Pest Management (IPM) tanpa bahan kimia berbahaya.

“Ilmu tentang teknologi terkini memainkan peranan penting. Petani muda akan dilatih menggunakan data dan peralatan berteknologi tinggi untuk mengoptimumkan hasil tanaman mereka.

“Sebagai contoh, di Belanda, petani kecil dengan hanya 3 hingga 5 ekar tanah mampu menguruskan sumber dengan lebih cekap melalui teknologi. Kami yakin amalan serupa boleh diterapkan di Malaysia,” katanya.

Rakan Strategik ASF 2024 

ASF 2024 menyaksikan penglibatan syarikat-syarikat gergasi dunia dan tempatan berkongsi teknologi dalam bidang pertanian antaranya Western Power (China), INOFRIENDS (Korea Selatan), IFFCO Nanoventions Private Limited (India), UPL Global (India), AND Biologicals (Belanda), Lentiz Education Group (Belanda) dan Tropical Agrosystem (India) Pvt Ltd.

Syarikat Malaysia yang terbabit sama ialah Adastra IP (M) Sdn. Bhd., ARISE Consulting, ViTrox Agritech, Vigor Agribiotech Solutions, Picasynergy Holdings (M) Sdn Bhd, Pesticide Action Network Asia Pacific (PANAP), Global Psytech, Ken Microbes dan Aerodyne Group (Malaysia).

Dalam pada itu, ASF 2024 turut mendapat kerjasama dan sokongan daripada Jabatan Pertanian Negeri Selangor, Malaysia Productivity Corporation (MPC), Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Malaysian Industrial Development Finance (MIDF), Agrobank Malaysia, Langkawi Development Authority (LADA), Persatuan Promosi Ekonomi dan Perdagangan Borneo Malaysia, Asia-Africa Chamber of Commerce (AACCI) Kenya Chapter, Northern Corridor Implementation Authority (NCIA) dan Universiti Sains Malaysia.

ASF 2024 turut menampilkan kehadiran delegasi dan penceramah dari 26 buah negara Belanda, Itali, Sepanyol, India, Maldives, China, Taiwan, Jepun, Korea Selatan, Kemboja, Indonesia, Singapura, South Africa dan Malaysia sekali gus menarik graduan-graduan pertanian dari universiti seluruh Malaysia termasuklah UPM yang menghantar 100 orang pelajarnya.