25.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 16, 2026
Home Blog Page 154

Maritim Malaysia, ABF perkukuh keselamatan perairan sempadan melalui OP Redback 19

editormaxinfo@gmail.com

KLANG – Selepas empat hari dijalankan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Australian Border Force (ABF) telah menutup tirai Operasi Redback 19, semalam.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Mohd Zawawi Abdullah berkata, sepanjang operasi ini dilaksanakan, pihak Maritim Malaysia bersama ABF telah menjalankan penguatkuasaan sehingga 118 batu nautika kawasan perairan dari Sabak Bernam hingga Kuala Sepang, Selangor.

Beliau memaklumkan, melalui operasi ini, sebanyak 60 pemeriksaan kapal dan bot telah dijalankan.

Daripada jumlah berkenaan, 1 tangkapan berjaya dilakukan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu disyaki melanggar syarat sah lesen kerana menangkap ikan di bawah 5 batu nautika.

“Untuk empat tahun terkini, Maritim Malaysia telah merekodkan 29 kes tangkapan di bawah ATIPSOM 2007 dengan 5 kes pada tahun 2021, 13 kes pada tahun 2022, 4 kes bagi tahun 2023 dan 7 kes sehingga November tahun ini.

“Melalui jumlah kes tangkapan yang dinyatakan tadi, ia membuktikan Operasi Redback merupakan kerjasama strategik Maritim Malaysia dan ABF yang memberikan impak positif dalam membanteras jenayah rentas sempadan khususnya penyeludupan migran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Majlis Penutup Operasi Redback19, hari ini.

Hadir sama, Counsellor of Australian Border Force, Australian High Commission, Superintendent Brooke Leung serta Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh.

Dalam pada itu, Zawawi turut memaklumkan dari Januari hingga November tahun ini, pihaknya turut berjaya merekodkan lebih 64 kes tangkapan membabitkan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di seluruh negara dengan jumlah individu ditahan adalah seramai 249 orang.

Selain PATI, Maritim Malaysia turut mencatatkan sejumlah 14 tangkapan membabitkan kes penyeludupan barangan kontrand iaitu rokok, dadah dan ketum dengan nilai rampasan keseluruhan melebihi RM1 juta bagi tahun 2024.

Selain operasi di laut, komponen komunikasi strategik turut menjadi fokus dengan penglibatan komuniti maritim di dua lokasi terpilih iaitu Kampung Nelayan Kelanang dan Kompleks Agrotourism Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sepang, Sepang Resort untuk OP Redback 19 ini.

Aktiviti seperti sesi dialog, pengagihan jaket keselamatan, dan pelekat talian kecemasan kepada nelayan telah dilaksanakan di kampung-kampung berkenaan untuk meningkatkan kesedaran komuniti di kawasan terbabit tentang ancaman jenayah seperti penyeludupan migran, dadah, dan barangan kontraban.

“Program ‘turun padang’ seperti ini juga dapat mendekatkan Maritim Malaysia dengan komuniti setempat di samping menjadikan mereka ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa seperti Maritim Malaysia dalam melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan di perairan negara,” katanya lagi.

Operasi Redback terhasil daripada Memorandum Persefahaman yang dimeterai pada 2011 antara kerajaan Malaysia dan Australia.

Inisiatif ini meliputi perkongsian maklumat pintar dan kepakaran, selain bengkel khas yang memfokuskan kepada pengukuhan keupayaan anggota Maritim Malaysia.

Dengan kejayaan ini, Maritim Malaysia dan ABF bertekad memperluas lagi kerjasama dalam operasi pada masa akan datang bagi memastikan Malaysia tidak dilabelkan sebagai hub jenayah rentas sempadan.

Tercalon dalam FFM33, filem animasi Mechamato Movie diharap setanding animasi luar negara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Industri pembuatan animasi semakin mendapat tempat dalam industri seni tempatan. Tidak hairanlah ia kini turut bersaing bersama-sama drama atau filem yang sedang popular sekarang ini.

Selain Upin Ipin, Boboiboy, Agen Ali, animasi Mechamato juga turut menjadi salah satu animasi yang semakin mendapat tempat dihati penggemar tempatan.

Tercalon sebanyak lima kategori pada anugerah Festival Filem Malaysia ke-33, Pengarah Kreatif dan pelakon suara filem Mechamato Movie, Muhammad Anas Abdul Aziz mengakui terharu dan teruja melihat perkembangan animasi Malaysia yang semakin mendapat perhatian.

Apatah lagi buat pertama kalinya filem Mechamato Movie tercalon dalam FFM ia adalah satu pencapaian yang membanggakan buat anak tempatan untuk terus menghasilkan karya yang lebih baik pada masa akan datang.

“Ini adalah pertama kali filem Mechamato Movie tercalon dalam anugerah di Malaysia dan juga FFM.

“Kami sangat berbesar hati atas pencalonan yang diberikan apatah lagi sebelum ini animasi hanya dilihat untuk tontonan kanak-kanak tetapi kini ia lebih dihargai.

“Hasil kerja untuk animasi dihargai sama seperti filem lain dalam bentuk karya dan saya mengharapkan yang terbaik untuk filem ini,” katanya pada Sesi Apresiasi Filem sempena FFM33.

Berkongsi harapan terhadap filem ini, Muhammad Anas berkata, besar harapannya jika filem Mechamato Movie terpilih sebagai pemenang pada malam berprestij itu nanti.

“Pastinya setiap yang tercalon mengharapkan kemenangan namun terpulang kepada juri untuk memilih.

“Bagi saya tercalon dalam kategori yang dipertandingkan sudah kira kemenangan buat kami semua,” katanya.

Untuk FFM ke-33, filem Mechamato Movie tercalon bagi lima kategori iaitu Filem terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Pengarah Terbaik, Kesan Khas Terbaik dan Poster Terbaik.

Malam anugerah FFM ke-33 bakal berlangsung Sabtu ini di Kota Media Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Didakwa pecah amanah dana pelaburan PNB, Khazanah RM8 juta, Vivy dan suami mengaku tidak bersalah

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar, mengaku tidak bersalah atas tuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta, enam tahun lalu.

Pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim, Rosli Ahmad di Mahkamah Sesyen, hari ini.

“Faham, mengaku tidak bersalah,” kata Vivy yang hadir ke mahkamah dengan memakai baju serba putih bersama Fadzarudin, yang mengenakan kot berwarna hitam.

Mengikut pertuduhan, Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 37, dan Fadzarudin, 36, didakwa dengan niat bersama sebagai ejen iaitu Pengarah FashionValet Sdn Bhd, diamanahkan dana pelaburan Khazanah dan PNB, telah melakukan pecah amanah jenayah dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta dari akaun bank milik syarikat fesyen e-dagang terkemuka ke syarikat 30 Maple Sdn Bhd, tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarahnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini, pada 21 Ogos 2018.

Pasangan itu dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ashok Athimulan.

Rosli membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasangan suami isteri itu perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur pada minggu pertama setiap bulan.

“Kedua-dua tertuduh juga perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dihalang mengganggu serta mempengaruhi saksi dalam kes ini sehingga kes selesai,” kata hakim itu yang turut menetapkan 22 Januari depan untuk sebutan kes.

Terdahulu, Wan Shaharuddin berkata, kesalahan itu tidak boleh dijamin namun kedua-dua tertuduh memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM.

“Oleh itu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan antara RM100,000 hingga RM200,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah dan jumlah terbabit sangat munasabah dengan mengambil kira keseriusan kes ini.

“Kami berhak untuk meminta syarat tambahan dalam kes ini iaitu kedua-dua tertuduh perlu melaporkan diri di ibu pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali, pasport diserahkan kepada mahkamah kerana kesalahan ini amat serius dan ada flight risk (melarikan diri).

“Mereka boleh memohon untuk mendapatkan pasport sementara pada bila-bila masa dengan alasan munasabah.

“Kedua-dua tertuduh juga dihalang mengganggu serta mempengaruhi saksi dalam kes ini kerana kebanyakan saksi terbabit dalam FashionValet,” kata Wan Shaharuddin yang juga Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM.

Pada 28 Oktober lalu, Kementerian Kewangan (MoF) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat memaklumkan, Khazanah dan PNB sekadar memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam FashionValet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023 berbanding pelaburan RM47 juta oleh Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 juta dan RM20 juta.

Dalam pada itu, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pengurusan FashionValet dan proses pelaburan kedua-dua syarikat berkenaan bagi memastikan tiada unsur penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa.

Susulan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, terdapat beberapa transaksi mencurigakan dikesan sejak tahun 2018 hingga tahun lalu, berhubung kerugian pelaburan dalam syarikat e-dagang berkenaan.

Media sebelum ini turut melaporkan SPRM menyerbu Fashion Valet dan serta Kementerian Kewangan (MOF), Khazanah dan PNB secara serentak.

Isu berhubung kerugian pelaburan terbabit turut mendapat perhatian di media sosial sebelum Vivy dan suaminya turut memohon maaf susulan kontroversi berkenaan yang menjejaskan PNB dan Khazanah.

Raikan musim perayaan bersama HONOR: jimat besar dan dapatkan hadiah percuma bernilai RM1,898

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Musim perayaan hampir tiba dan HONOR Malaysia akan menjadikannya lebih istimewa dengan diskaun eksklusif serta hadiah premium bagi peranti-peranti pilihan termask telefon pintar flagship HONOR Magic V3, dan HONOR Magic6 Pro.

Sama ada menaik taraf telefon pintar, mencari tablet baharu untuk bekerja, mahu pun mencari hadiah, kempen Festive Holiday Season HONOR yang akan bermula pada 6 Disember 2024 hingga 1 Januari 2025 pasti menawarkan sesuatu yang istimewa untuk semua.

Jimat RM500 Untuk HONOR Magic V3 – Telefon Boleh Lipat AI Paling Nipis Pada RM6,499

Pembeli kini boleh membuat penjimatan lebih besar dengan diskaun sehingga RM500 untuk peranti dan tablet terpilih.

Telefon boleh lipat AI paling nipis dan ringan HONOR iaitu HONOR Magic V3 kini ditawarkan pada harga hebat RM6,499, iaitu diskaun sebanyak RM500 daripada harga runcit.

Manakala HONOR Magic6 Pro ditawarkan pada harga RM3,699 selepas diskaun RM300. Tawaran eksklusif ini boleh didapati di semua HONOR Stores di seluruh negara dan kedai atas talian HONOR Malaysia.

Belanja RM699 untuk Sertai Kempen Kotak Misteri dan Menangi HONOR Magic V2

Sebagai tambahan, pembeli yang berbelanja RM699 ke atas di HONOR Stores terpilih di Johor, Pahang, Kuala Lumpur, Sarawak, dan Pulau Pinang akan berpeluang memenangi sebuah HONOR Magic V2 dengan menyertai Kempen Kotak Hadiah Misteri. Untuk butiran lanjut tentang kedai HONOR yang menyertai, kunjungi laman sesawang atau laman Facebook rasmi HONOR Malaysia.

Serlahkan Hadiah Premium dengan Setiap Pembelian

Membeli-belah untuk musim cuti kini memberikan lebih ganjaran. HONOR menawarkan hadiah premium dengan pembelian telefon pintar dan tablet terpilih, memberikan anda sebab yang sempurna untuk menghadiahi diri anda atau orang tersayang sempena musim perayaan ini.

Bawa pulang hadiah eksklusif bernilai sehingga RM1,898, termasuk dalam pembelian anda. Anda harus pantas kerana tawaran hebat ini hanya tersedia berdasarkan siapa cepat, dia dapat.

Untuk senarai penuh peranti dan tawaran yang terlibat, sila rujuk ke jadual berikut:

ProdukCadangan Harga Runcit Harga DiskaunHadiah Percuma
HONOR Magic V369996499Pelindung Skrin V3 HONOR 365 Hari dan pemegang pengecas tanpa wayar HONOR SuperCharge
HONOR Magic6 Pro39993699HONOR Earbuds X6, Penggantian 365 Hari Retak Depan & Belakang dan 1 Tahun Waranti Lanjutan
HONOR 200 Pro26992499HONOR Earbuds X6, Penggantian 365 Hari Retak Depan & Belakang dan hadiah percuma HONOR terpilih
HONOR 200 (512GB)21991999HONOR Earbuds X6, Penggantian 365 Hari Retak Depan & Belakang dan hadiah percuma HONOR terpilih
HONOR 200 (256GB)18991699HONOR Earbuds X6, Penggantian 365 Hari Retak Depan & Belakang dan hadiah percuma HONOR terpilih
HONOR 200 Lite1299Perlindungan 365 Hari Retak Depan & Belakang dan hadiah percuma HONOR terpilih
HONOR X9c 5G (512GB)1699HONOR Choice Earbuds X7e, Perlindungan 365 Hari Retak Depan & Belakang, Jaminan bateri 36 bulan, Penggantian Satu Sama Satu 180 Hari dan hadiah percuma HONOR terpilih
HONOR X9c 5G (256GB)1499
HONOR X7c 699Penggantian 365 Hari Depan & Belakang Replacement dan hadiah percuma HONOR terpilih
HONOR X7b 5G899769
HONOR X6b 599499
HONOR Pad 9 WiFi 14991399Papan Kekunci HONOR Pad 9 Smart Bluetooth, HONOR CHOICE Pencil dan hadiah percuma HONOR terpilih
HONOR Pad 9 5G17991699Papan Kekunci HONOR Pad 9 Smart Bluetooth, HONOR CHOICE Pencil dan hadiah percuma HONOR terpilih
HONOR Pad X9 (256GB)11991099Papan Kekunci HONOR Pad X9 Smart Bluetooth, HONOR SuperCharge Power Adapter dan hadiah percuma HONOR terpilih
HONOR Pad X9 (128GB)1099899Papan Kekunci HONOR Pad X9 Smart Bluetooth, HONOR SuperCharge Power Adapter dan hadiah percuma HONOR terpilih
HONOR MagicPad 22799Papan kekunci HONOR Magic Keyboard dan HONOR Magic Pencil 3
HONOR Pad X8a799749Pelindung Flip HONOR Pad X8a
HONOR Pad X8a Kids Edition699Percuma Pelindung Keselamatan Kanak-kanak dan Drawing Stick

Hadiah Paling Sempurna Bawah RM60 – HONOR CHOICE Earbuds X7 Lite

Mencari hadiah yang mesra bajet dan menarik? Dapatkan HONOR CHOICE Earbuds X7 Lite pada hanya RM59.90, sesuai untuk anda jadikan sebagai hadiah. Tersedia secara eksklusif di HONOR Stores mulai 9 Disember 2024 sehingga 1 Januari 2025, earbuds ini menggabungkan mampu milik dan prestasi baik, sementara stok masih ada.

Perkhidmatan Membalut Hadiah Percuma

Untuk menjadikan hadiah anda lebih bermakna, HONOR menawarkan perkhidmatan membalut hadiah secara percuma untuk semua pembelian semasa kempen perayaan ini. Biarkan HONOR menambah sentuhan magis untuk hadiah anda, sama untuk yang tersayang mahu pun kepada penggemar teknologi. Perkhidmatan ini tersedia di semua HONOR Stores.

HONOR Magic V3: Telefon Boleh Lipat AI Paling Nipis dan Ringan 

Menampilkan RAM 12GB RAM dan memori 512GB, HONOR Magic V3 tersedia dalam warna Mossy Green, Silk Brown dan Classic Black. Semasa kempen musim perayaan ini, pembeli boleh membawa pulang hadiah premium percuma bernilai RM1,898, yang mengandungi pengecas tanpa wayar HONOR SuperCharge dan Perlindungan Skrin 365 Hari HONOR.

HONOR Magic V3 merupakan telefon boleh lipat yang lasak, direka bagi menahan kegunaan dan lusuh seharian. Hasil rekaannya menampilkan paparan skrin yang dibuat daripada Srin Dalaman Kukuh Super HONOR dan Perisai Anti-Calar NanoCrystal.

Walaupun ianya sebuah telefon lipat, HONOR Magic V3 kekal sebagai peranti profil ultra-slim, berukuran hanya 9.2mm semasa dilipat dan berat 226g. Ia datang dengan semua ciri-ciri AI yang dikuasakan oleh Google Cloud termasuk Face-to-Face Translation, AI Eraser, HONOR Notes dan Magic Portal.

Selain ciri-ciri canggih ini, HONOR Magic V3 menampilkan bateri karbon silikon generasi ketiga dengan bateri, dengan kuasa sebesar 5,150mAh, selain dikuasakan oleh HONOR SuperCharge 66W berwayar dan 50W tanpa wayar. Untuk tujuan fotografi, peranti ini dilengkapi dengan 100X Periscope Telephoto Zoom serta dikuasakan oleh Qualcomm® Snapdragon® 8 Gen 3 Mobile Platform.

HONOR Magic6 Pro – Terokai Magisnya

HONOR Magic6 Pro membawakan RAM 12GB dan storan 512GB yang didatangkan dengan hadiah premium bernilai RM1,197 termasuk HONOR Earbuds X6, Penggantian Retak Depan & Belakang 365 hari, dan Waranti Lanjutan 1 Tahun.

HONOR Magic6 Pro pula mentakrif semula kecemerlangan flagship bersama dengan ciri-ciri canggih yang direka untuk meningkatkan pengalaman telefon pintar kepada pengguna.

Ianya memiliki Kamera Tele-falcon 180MP yang hebat, Kamera Utama Super Dynamic Falcon 50MP, dan Kamera Ultra-lebar untuk menangkap gambar-gambar menarik. Berkenaan paparan, skrin pada telefon ini dikukuhkan dengan HONOR NanoCrystal Shield bagi ketahanan 10 kali lebih tahan jatuhan berbanding kaca standard. Ia juga mendapat pensijilan SGS Keupayaan Calar Jatuhan Secara Keseluruhan Lima Bintang dalam pelbagai senario.

Ianya membawakan Bateri Karbon Silikon Generasi Kedua 5600mAh yang berkuasa, serta menyokong pengecasan 80W HONOR Wired SuperCharge. Diperkasakan oleh platform Snapdragon 8 Gen 3, HONOR Magic6 ini diperhebatkan oleh ciri-ciri Google Cloud AI seperi like Magic Portal, AI Eraser, dan Face to Face Translation.

‘Misi Bantuan Banjir Kumpulan FELDA’ peruntuk lebih RM1 juta untuk mangsa banjir

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Lebih RM1 juta diperuntukkan dalam melakukan Misi Bantuan Banjir Kumpulan FELDA yang dilancarkan, semalam.

Program menyaksikan gabungan usaha sembilan anak syarikat dan tiga badan bukan kerajaan (NGO) FELDA itu dilancarkan oleh Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad Shabery ketika ditemui berkata, bantuan berkenaan merangkumi barangan pemberian, dapur masak, pakaian, makanan, kit siap siaga, dan keperluan asas lain akan disalurkan kepada mangsa banjir.

“Peluncuran ini menampilkan penyampaian sumbangan ‘mock cheque’ oleh setiap anak syarikat dan pelepasan kenderaan pacuan 4 roda skuad misi bantuan banjir Kumpulan FELDA.

“FELDA komited dalam memastikan kebajikan peneroka sentiasa diutamakan.

“Inisiatif ini membuktikan kekuatan perpaduan komuniti FELDA dan semua rakan strategiknya dalam menghadapi cabaran bencana alam,” katanya.

Hadir sama, Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman; Pengerusi MSM Malaysia Holdings Berhad, Datuk Syed Hisham Syed Wazir; Ketua Pegawai Eksekutif FGV Holdings Berhad, Fakhrunniam Othman; Setiausaha Agong PeSPA, Leftenan Kernal Bersekutu, Khamarul Ariffin Zainal dan barisan ahli lembaga pengarah.

Antara anak syarikat yang turut menghulurkan sumbangan ialah Felda Plantation Management (FPM) sebanyak RM72,000; Waqaf Felda (RM49,300); FGV (RM60,000); MSM dan Yayasan Felda masing-masing (RM100,000).

Ahmad Shabery berkata, sebaik program dilancarkan, entiti terbabit akan terus bergerak ke kawasan terjejas bagi menyantuni mangsa banjir.

“Apabila bercakap tentang pasca banjir, ia menjadi komitmen kami untuk mengenalpasti kawasan yang memerlukan bantuan pembersihan contohnya sekolah, rumah, masjid atau balai raya.

“Saya percaya di tempat lain pun kerajaan negeri akan turut membantu golongan terjejas banjir.

“Bagaimanapun, saya menganggap banjir kali ini masih di peringkat sederhana. Namun, kita akan cuba selesaikan misi pembersihan sehingga habis,” katanya.

Sehingga 3 Disember 2024, empat negeri yang memiliki rancangan FELDA telah terjejas dengan bencana ini, membabitkan Terengganu (6 rancangan), Wilayah Alor Setar (1 rancangan), Wilayah Raja Alias (8 rancangan), dan Wilayah Trolak (3 rancangan).

Seramai 1,813 ahli keluarga daripada 496 buah rumah di kawasan terbabit kini sedang berdepan cabaran pasca banjir.

Wilayah Raja Alias mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu di Rancangan Jelai 4 dengan 117 rumah keluarga yang terjejas, diikuti oleh Seberang Tayor, Terengganu (107 rumah). Sebanyak 15 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diaktifkan untuk membantu mereka yang dipindahkan.

Keadaan lebih mencabar apabila beberapa kawasan FELDA seperti di Felda Aring (Wilayah Gua Musang) serta Felda Tersat dan Mengkawang (Wilayah Terengganu) terputus hubungan akibat banjir.

Situasi ini menjadikan misi bantuan FELDA lebih penting dalam memastikan bantuan sampai ke kawasan yang memerlukan.

Misi kali ini bukan sahaja menumpukan kepada bantuan segera, tetapi juga persediaan menghadapi gelombang banjir seterusnya.

Semua wilayah dan negeri telah diarahkan bersiap siaga untuk menghadapi kemungkinan ini.

Ananda Krishnan disemadikan hari ini

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Dalam dunia taikun perniagaan yang menyaksikan kejayaan lazimnya bertemankan kemasyhuran, kehebatan dan publisiti, seorang individu memilih jalan sebaliknya dengan mengetepikan semua itu walaupun berstatus antara orang terkaya Malaysia iaitu Ananda Krishnan.

Di sebalik kedudukannya sebagai individu ketiga terkaya Malaysia dan ke-667 terkaya dunia, Ananda atau lebih sinonim dengan “AK” yang meninggal dunia pada Jumaat lalu, juga dikenali sebagai dermawan dan pemurah.

Ketangkasannya dalam mengendalikan selok-belok perniagaan, membolehkan Ananda membangunkan beberapa syarikat gergasi yang merangkumi pelbagai sektor.

Walaupun melonjakkan profil korporat Malaysia dalam bidang telekomunikasi, hiburan, permainan, perkhidmatan medan minyak dan pembangunan satelit global, ternyata sikap rendah hatinya lebih menyerlah.

“Tolong jangan sebut nama saya untuk sebarang sumbangan. Katakan saja ini sumbangan daripada MCEF (Yayasan Pendidikan Komuniti Malaysia) …bukan daripada Ananda Krishnan,” kata Datuk A. Vaithilingam, rakan lama mendiang bilionair ketika berkongsi kenangan mengenai Ananda.

“Terma” enggan dikenali itu menjadi prasyarat ditetapkan Ananda dan hanya selepas ia dipersetujui, beliau akan melakukan sumbangan itu, termasuk kepada yayasan lain.

Vaithilingam juga mengimbau bagaimana Ananda memulakan sumbangan kepada Malaysia Hindu Sangam ketika tempoh Vaithilingam menjadi presiden dan wakil bagi badan penduduk Hindu di Malaysia.

Saban tahun bagi tempoh 2003 hingga 2009, pihak Malaysia Hindu Sangam mengemukakan laporan dan perancangan yang turut diteliti oleh akauntan bertauliah.

“Setiap kali juga, Ananda akan memuji ketelitian mereka, menumpukan impak kerja mereka dan bukannya mendapatkan sebarang kredit peribadi,” kata Vaithilingam.

Beliau kali pertama bertemu Ananda pada 1946 di Brickfields dan persahabatan mereka kian kukuh bertahun-tahun lamanya daripada zaman kanak-kanak kepada dewasa yang akrab.

Ananda, kata Vaithilingam, amat mengutamakan pendidikan dan pertumbuhan ekonomi di negara ini.

“Beliau sentiasa bersedia memberi pertimbangan sumbangan jika ada kaitan dengan kedua-dua aspek itu,” katanya.

Pada awal bersahabat, mereka juga sama-sama mendalami bahasa Tamil di Ashram Vivekananda.

“Beliau sememangnya pemalu, tidak banyak bercakap, …sama seperti ibunya. Malah, ibu Ananda sering mengunjungi keluarga saya selain bertembung di kuil.

“Ibu Ananda juga tidak suka dikenali dan sikap rendah diri itu ternyata diwarisi Ananda,” katanya.

Ananda yang meninggal dunia di Switzerland, mempunyai seorang anak lelaki yang juga seorang sami Buddha serta dua anak perempuan. Upacara bagi penghormatan terakhir untuk mendiang diadakan semalam.

Lahir di Brickfields pada 1938

Dilahirkan pada 1 April 1938 di Brickfields, Ananda atau nama penuhnya Tatparanandam Ananda Krishnan atau T Ananda Krishnan, muncul salah seorang tokoh perniagaan paling terkemuka di Malaysia.

Lepasan Harvard Business School, Ananda mengasaskan syarikat pegangan pelaburan, Usaha Tegas Sdn Bhd pada 1984 dan seterusnya Maxis Communications dan MEASAT Broadcast Network Systems. Syarikat lain milik beliau termasuk TGV Cinemas, Astro Holdings, Bumi Armada dan Tanjong Plc.

Kepimpinan dan strategi korporat beliau membantu mendorong Maxis menjadi salah satu penyedia telekomunikasi terkemuka Malaysia.

Media kewangan Forbes melaporkan kekayaan Ananda bernilai AS$5.1 bilion (RM22.4 bilion) setakat 27 November 2024 yang membolehkan beliau berstatus orang ke-667 terkaya dunia. -Bernama

Bantu promosi pelancongan negara, ASIA 2024 kembali lagi

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Menghimpunkan pempengaruh terbaik dari sembilan negara di Asia termasuk Malaysia, Anugerah All Star Influencers (ASIA) 2024 bakal menjadi pentas berprestij yang mengiktiraf mereka di samping menjadi medan mempromosi pelancongan negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pihak kementerian juga sedar dan berusaha menggunakan khidmat pempengaruh sebagai usaha menarik minat generasi muda dalam serta luar negara selain platform media sosial.

“Kita akui, di era serba moden ini, selain media sosial,  pempengaruh juga adalah satu platform mustahak untuk kita.

“Dalam mempromosi pelancongan, kita gunakan semua platform media sosial kerana sedar kepentingannya.

“Dengan ini kita boleh berkongsi destinasi pelancongan menarik dalam negara menerusi gambar dan video. Ini adalah platform utama untuk sektor pelancongan selain media arus perdana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Makan Malam All Star Influencer Award (ASIA) 2024, semalam.

Turut hadir Penganjur ASIA2024, Datuk Abd Rahman Soltan dan 60 pempengaruh dari sembilan negara antaranya Malaysia, Indonesia, Jepun, Filipina, Taiwan, Korea Selatan dan China.

Mengulas mengenai penganjuran ASIA2024, King Sing berkata, kehadiran 60 pempengaruh dari sembilan negara yang menyokong anugerah berkenaan dilihat sebagai usaha baik dalam mempromosikan negara.

“Terima kasih kepada ASIA2024 dan pempengaruh yang hadir, mereka bukan sahaja membantu mempromosikan acara anugerah ini, tetapi turut memainkan peranan penting dalam mempromosikan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan.

“Ini selaras dengan usaha kita menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. Kehadiran mereka memberikan impak besar dengan menonjolkan keindahan dan keunikan negara kepada global menerusi media sosial.

“Kandungan kreatif yang dihasilkan oleh pempengaruh memberikan dimensi baharu kepada strategi pemasaran pelancongan, membolehkan maklumat disampaikan dengan lebih menarik, pantas dan relevan,” katanya.

Sementara itu, Abd Rahman Soltan berkata, anugerah ini menghimpunkan bakat dan pengaruh digital dari pelbagai latar belakang budaya, dengan tujuan untuk meraikan serta memberi penghargaan kepada individu yang membawa impak positif dalam dunia digital Malaysia dan antarabangsa.

“Dengan lebih 300 juta pengikut di seluruh Asia, ASIA 2024 bukan sekadar acara sambutan, tetapi adalah sebahagian daripada visi besar untuk menghubungkan Asia melalui pengaruh digital.

“Kami membina rangkaian pengaruh yang dapat melahirkan inspirasi, membina kreativiti dan mempereratkan hubungan antara budaya.

“Misi utama adalah menyediakan platform memanfaatkan kekuatan media sosial dalam membawa perubahan positif di peringkat antarabangsa,” katanya.

pempengaruh yang tercalon bakal berentap dalam 13 kategori yang dipertandingkan.

Selain malam gala penganugerahan, peserta yang terdiri daripada pempengaruh dengan jutaan pengikut bakal menjalani aktiviti seni dan budaya selama tiga hari di Melaka.

Anugerah yang memasuki edisi kedua tahun ini juga selari dengan kempen Tahun Melawat Melaka 2024, iaitu menonjolkan keindahan dan kepelbagaian budaya Malaysia kepada seluruh Asia.

Untuk info, ASIA edisi pertama yang berlangsung tahun lalu mengiktiraf pempengaruh terkenal Indonesia, Ahieb Reborn yang berjaya menggondol anugerah utama sebagai Pempengaruh Media Sosial Terbaik.

Dengan kemenangan itu, Ahieb berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah USD10,000 (RM47,300) berserta trofi.

Sementara itu kategori Suntingan Terbaik dimenangi Hermansyah dari Indonesia yang membawa pulang hadiah wang tunai USD3,000 (RM14,200) beserta trofi, manakala kategori Penyampai Cerita Terbaik USD1,000 (RM4,730) dimenangi Tikaolaa (Indonesia), dan trofi Pilihan Orang Ramai dibawa pulang oleh Syellaisk (Indonesia) bersama wang tunai USD1,000 (RM4,730).

Lebih membanggakan, tanda pagar #AllStarInfluencerAward2023 berjaya mendapat lebih 205 juta capaian di aplikasi Tiktok dan tular di pelbagai platform media sosial dalam tempoh satu tahun sahaja.

Lancar tarikan terbaharu & kempen Sweetsville Christmas 2024, Melawati Mall tawar hadiah ekslusif dan hiburan hebat

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Musim perayaan kembali lagi, dan Melawati Mall (MM) bersedia mencipta momen istimewa buat anda seisi keluarga dengan kempen Christmas Sweetsville yang berlangsung dari 22 November 2024 hingga 1 Januari 2025.

Sambutan kali ini menjanjikan pengalaman Krismas yang penuh warna-warni, dengan hiasan dekorasi yang berwarna-warni bertemakan tema gula-gula fantasi yang memukau.

Kempen ini bukan sahaja menampilkan keindahan suasana Krismas tetapi turut menawarkan aktiviti menyeronokkan untuk seisi keluarga.

Tambah menarik, Melawati Mall memperkenalkan GAME ON THEMEPARK, taman tema dalaman terbesar di Tingkat 6 yang direka khas untuk hiburan anda.

Game On Themepark: Taman Tema Penuh Keseronokan

Taman tema ini menampilkan 10 tarikan unik yang pasti memenuhi kehendak semua lapisan umur. Antara tarikan menarik termasuklah Kung Fu District, Dodge Dash Challenge, Let’s Jump, Bubble Bang, Sports Hub, Imagination Playland, Ninja Challenge, e-Sports Gaming Portal, Karaoke Sing On, dan pelbagai lagi.

Inilah tempat ideal untuk seisi keluarga, sahabat handai, mahupun peminat cabaran yang mencari pengalaman luar biasa.

Selain Game On Themepark, di Melawati Mall juga ada beberapa pusat hiburan lain antaranya:

TopDrift: Adrenalin Drift Karting

Bagi anda yang mahukan pengalaman lasak tetapi selamat, TopDrift adalah destinasi wajib! Sesuai untuk semua peringkat umur, aktiviti ini menggabungkan kelajuan dan keseronokan dalam satu pakej.

Alami keseronokan drift karting dalaman yang sesuai untuk semua peringkat umur. Trek yang direka khas memastikan setiap pusingan mencabar dan mengujakan.

Sama ada untuk meraikan hari istimewa atau hanya untuk berseronok di hujung minggu, TopDrift pasti mencipta kenangan manis buat anda dan keluarga.

Fantasy World: Simulasi 9D Unik

Masuk ke dunia imaginasi di Fantasy Theatre di Tingkat 5. Alami pengalaman simulasi video 9D yang mendebarkan dengan klip filem pendek yang membawa anda ke pengembaraan yang tidak akan dilupakan.

Fantasy World menjemput anda untuk menikmati pengalaman simulasi 9D yang memukau. Setiap sesi dipenuhi dengan kesan angin, air dan salji yang mengasyikkan.

Say Cheese Studio:

Abadikan momen indah anda dengan sesi fotografi bersama rakan-rakan anda. Tidak cukup dengan itu, taman tema ini turut dilengkapi dengan bilik karaoke peribadi dan pelbagai aktiviti interaktif, menjadikannya destinasi hiburan serba lengkap untuk semua lapisan masyarakat.

Christmas Sweetsville: Ganjaran membeli-belah di Melawati Mall

Musim Krismas tidak lengkap tanpa kejutan hadiah dan aktiviti menarik! Di Melawati Mall, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai aktiviti menarik serta hadiah istimewa:

• Hadiah Eksklusif Krismas:

  – Belanja RM150 (atau RM80 di mana-mana kedai F&B) untuk menebus MM Christmas Mug yang menarik.

 – Belanja RM300 untuk mendapatkan MM Ceramic Mug bertemakan Krismas.

• Shop & Win Lucky Draw: Dengan perbelanjaan RM100 ke atas, anda berpeluang memenangi hadiah menarik seperti iPhone 16 Pro, Kerusi Urut Gintell AI, dan banyak lagi.

• MM Kidz Club: Program eksklusif untuk kanak-kanak yang berusia dari 4-12 tahun. Ianya adalah percuma dan terdapat banyak aktiviti menarik dan promosi yang ditawarkan jika anda mendaftarkan anak-anak anda menjadi ahli MM Kidz Club.

Acara Menarik & Tarikh Penting

1. Sweet Deals: Cheetah Roadshow

– Nikmati promosi istimewa untuk pakaian bergaya anda sepanjang kempen Krismas ini dan and juga bakal bertemu dengan  “Abang Batman” pada 1 dan 28 Disember 2024.

2. Persembahan bertemakan “Candyland”

– Alami persembahan pentas ajaib, nyanyian carol, dan bengkel kreatif untuk menceriakan cuti Krismas anda.

3. Aiskrim Wall’s PERCUMA

 – Nikmati perisa baharu Wall’s iaitu Café Latte Chocolate Chip pada 1 Disember 2024. Ianya adalah terhad dari jam 11 pagi sehingga 3 petang sahaja. Acara ini berlangsung di GF, Outdoor South Entrance berhampiran Molten Chocolate Café.

4. MMKC Sprinkle of Fun Party

 – Pengembaraan Krismas fantasi dengan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan untuk ahli MM Kidz Club. Acara ini berlangsung pada 28 Disember 2024 jam 11 pagi hingga 4 petang di GF, Meranti Court.

Pelbagai Hidangan Menarik Disediakan Untuk Anda Seisi Keluarga

Di Melawati Mall, terdapat pelbagai pilihan makanan yang pasti memenuhi selera anda dan seisi keluarga. Jika anda peminat masakan Cina asli, kunjungi Golden Valley yang terkenal dengan hidangan berkonsepkan “Hidangan Cina Muslim Asli” – di sini, anda akan dapat menikmati pelbagai menu klasik yang lazat dengan cita rasa yang asli dan berkualiti tinggi.

Untuk pengalaman makan yang unik dan menyeronokkan, jangan lepaskan peluang ke Chizu, di mana anda bukan sahaja dapat menikmati minuman yang menyegarkan tetapi juga mencuba hidangan kreatif yang pasti menarik perhatian.

Kafe konsep Jepun yang berasal dari Malaysia ini terkenal dengan minuman berasaskan buih keju yang unik dan pastri yang enak. Musim Krismas kali ini, mereka memperkenalkan rangkaian biskut lembut baharu yang pasti menggoda selera anda.

Selain itu, jika anda ingin mencuba sesuatu yang terkenal dari Sabah, singgah di QCC Baked, kedai pencuci mulut yang menyajikan pelbagai pilihan lazat seperti yogurt diraja, biskut segar dan tart telur yang lembut – semuanya dengan rasa yang pasti memikat! Serius, “yummy bahhh!”

Jadi, apa lagi? Datanglah ke Melawati Mall dan nikmati pengalaman kulinari yang pelbagai dan mengujakan ini bersama keluarga.

Destinasi Membeli-Belah & Menikmati Hidangan Terbaik

Melawati Mall juga terkenal sebagai lokasi membeli-belah dan makan-makan yang sempurna. Pengunjung boleh membeli-belah di jenama popular seperti Uniqlo, Skechers, HLA, PUMA, Variante, Sport Direct dan banyak lagi.

Melawati Mall sekali lagi membuktikan ia sebagai destinasi utama untuk musim perayaan. Dengan pelancaran Gameon Themepark dan kempen Christmas Sweetsville, pusat membeli-belah ini membawa pengalaman hiburan, membeli-belah, dan menjamu selera ke tahap yang lebih tinggi.

Ternyata, Melawati Mall kali ini membawa anda ke dunia penuh keajaiban Krismas. Sama ada untuk membeli hadiah, menikmati suasana indah, atau mencipta kenangan bersama keluarga, pasti ada sesuatu untuk semua. Jangan lepaskan peluang ini – jadikan sambutan Krismas anda tahun ini lebih istimewa.

Tunggu apa lagi? Bawa keluarga dan rakan-rakan anda untuk merasai magis Krismas di Melawati Mall. Jom cipta memori indah bersama.

Kahar: Kapla High Council, kisah dendam dan penyesalan yang penuh emosi

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kahar: Kapla High Council iaitu prekuel kepada siri premium popular Project : High Council yang mencipta gelombang fenomena tahun lalu, kini bersedia menemui peminat di pawagam seluruh Malaysia, Brunei, sejak 28 November dan Singapura pada 5 Disember ini.

Filem ini mengembalikan watak Kahar yang paling hangat diperkatakan dalam siri terdahulu dengan memaparkan kisah silamnya sebelum bergelar Kapla atau ‘ketua’ bagi badan pelajar.

Watak itu digerak dengan begitu baik oleh pelakon Amir Ahnaf, selain barisan pelakon seperti Aedy Ashraf, Sky Iskandar, Fazziq Muqris, Fadhli Masoot, Thompson Goh, Khenobu, Husyairi Hussain, Hasnul Rahmat, serta penampilan istimewa Naim Daniel, Mierul Aiman, Nadhir Nasar, Sathisvaran Magesvaaran, Yusof Hashim (Ucop) dan Ameer Asyraf. 

Bukan sekadar mempertaruhkan jalan cerita dengan babak-babak yang mengundang keterujaan, filem berdurasi 102 minit ini mengangkat isu buli yang berlaku di kalangan remaja.

Ia turut membicarakan isu kritikal seperti kepentingan institusi kekeluargaan kepada pembangunan diri seseorang dan menekankan mesej kekerasan bukanlah jalan penyelesaian.

Penerbit Eksekutif Kahar : Kapla High Council merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, filem Kahar: Kapla High Council tercetus daripada impak luar biasa siri premium Project : High Council.

“Walaupun siri premium terbabit ditayangkan tahun lalu, ia masih diperkatakan sehingga hari ini dan menjadi drama paling popular di platform Astro Go dan On Demand.

“Malah, di platform Netflix, ia menjadi konten nombor satu dan berada dalam top 5 selama 6 minggu berturut-turut.

“Ini menunjukkan jenama High Council masih kuat untuk kami menghasilkan filem dengan subjek remaja dan isu buli, namun menerusi mesej yang lebih besar, iaitu ‘stop violence’.

“Realitinya, Isu buli dan keganasan masih berlaku dalam masyarakat kita. Sebagai penerbit, kami menjadikan platform seni sebagai medium dalam menyampaikan mesej iktibar kepada semua. 

“Kahar: Kapla High Council memaparkan babak yang diinspirasikan daripada situasi sebenar. Kita tidak boleh bercakap atau menyampaikan mesej tentang buli dan keganasan tanpa menunjukkan sebarang contoh.

“Selain itu, Kahar: Kapla High Council turut membicarakan isu yang kritikal; antaranya konflik kekeluargaan seperti harapan tinggi seorang bapa dan bagaimana ia memberi kesan kepada kesihatan mental seseorang.

“Kami berharap usaha ini dapat mencetus topik perbincangan dan luaskan kesedaran #StopViolence,” katanya.

Kahar : Kapla High Council diarahkan Razaisyam Rashid, manakala skrip ditulis oleh ‘creator’ Project : High Council, Anwari Ashraf bersama beberapa penulis lain.

Filem ini diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama GSC, HM Entertainment dan ZAK Capital.  

Filem ini turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Mental Illness Awareness & Support Association (MIASA Malaysia) dan Malaysia Crime Prevention Foundation (MCPF) dalam menghebahkan mesej keganasan bukalah jawapannya dan menyebarkan kesedaran tentang kempen anti buli dan keganasan.

Kerjasama ini menyaksikan anjuran beberapa majlis bersama masyarakat serta menghasilkan video pesanan khidmat masyarakat bersama barisan pelakon.

Usaha membawa kempen ‘#StopViolence’, turut memperlihatkan kerjasama dengan Group M untuk papan iklan digital Laguna, Seni jaya, dan AOS bagi memaparkan video kempen anti  keganasan. Video terbabit ditayangkan serentak (roadblock) bermula 27 hingga 29 November di sekitar Lembah Klang.

Selain itu, filem ini turut bekerjasama dengan rakan kerjasama pemasaran strategik, Tune Talk. Dapatkan sim pek Tune Talk edisi Kahar : Kapla High Council berharga RM35, dan lebih menarik memberi peluang kepada peminat untuk memenangi Lesen High Council.

Buat peminat dan penonton, jangan lepaskan peluang untuk temui barisan pelakon di siri jelajah Kahar : Kapla High Counci pada 29, 30 November & 1 Disember di Kedah, Penang, Perak; 6, 7, 8 Disember di Negeri Sembilan, Johor Melaka; 13, 14, 15 Disember di Terengganu, Pahang.

Koleksi hoodie rasmi Kahar : Kapla High Council edisi terhad menawarkan dua warna iaitu hitam dan kelabu.

Selain itu barangan lain yang boleh dijadikan koleksi adalah tote bag, baju-t, enamel pins dan banyak lagi akan dikeluarkan di masa akan datang.

Semua cenderahati eksklusif ini boleh didapati menerusi Gempak Official Store di platform Shopee.

 

Sinopsis

Pada tahun 2005, setahun sebelum berlakunya peristiwa dalam siri Project: High Council, Kahar adalah seorang pelajar tingkatan 4 sekolah berasrama penuh Kolej Ungku Deramat (KUDRAT).

Seorang yang pendiam dan kerap menyisihkan diri, dia sering berasa tertekan kerana bapanya, Dato Abu Yamin, meletakkan harapan begitu tinggi terhadapnya.

Keadaan semakin meruncing apabila dengan tidak sengaja, Kahar terjerumus dalam pemilihan ketua tidak rasmi bagi seluruh badan pelajar. Kemenangan Kahar membuatkan dia leka dengan kedudukannya itu.