25.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 16, 2026
Home Blog Page 153

Terima LOD berkaitan kenderaan, Fattah serah pada peguam

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pelakon popular, Fattah Amin mengesahkan ada menerima surat tuntutan (Letter Of Demand) daripada bekas isterinya, Nur Fazura berkenaan tuntutan kenderaan jenis, Range Rover.

Fattah berkata, dia enggan berkongsi lanjut mengenai isu itu, sebaliknya menyerahkan urusan berkenaan kepada pihak peguam.

“Saya akui ada menerima surat tuntutan itu dan perkara ini diuruskan oleh peguam saya. Saya sudah bagi kenyataan mengenai perkara itu di mahkamah sebelum ini.

“Oleh itu, saya tidak mahu komen apa-apa lagi.  Ini adalah perkara privasi dan saya tidak boleh kongsi.

“Saya serahkan semuanya kepada peguam untuk membalas mengenai hal itu,” katanya.

Fattah ditemui pada majlis perasmian Usanita Entertainment yang diadakan di Restoran De’Wan Bangsar, Kuala Lumpur.

Untuk info, Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia 4 tahun.

Dalam perkembangan lain, Fattah bersama pelakon jelita, Sophia Albarakbah diberi tugas menggalas tanggung jawab menjadi ‘wajah’ bagi Usanita.

Kedua-dua pelakon itu bakal tampil dalam drama bersiri berjudul, ‘Aku Cinta Dia’ sebagai langkah mempromosikan produk di bawah Usanita Ertertainment.

Drama 30 episod itu diarahkan oleh pengarah dan pelakon popular, Erma Fatima.

Pempengaruh media sosial dari Indonesia sekali lagi dinobatkan sebagai Pempengaruh Media Sosial Terbaik ASIA 2024

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial dari Indonesia sekali lagi mendominasi anugerah utama All Asia Influencers Award (ASIA) 2024 apabila ia dimenangi oleh Saal Haerid yang berasal dari Samarinda, Kalimantan Timur.

Saal Haerid atau nama sebenar Said Uday Al Haerid membawa pulang hadiah wang tunai bernilai AS$10,000, trofi eksklusif, dan pakej percutian mewah ke Dubai.

Tempat kedua pula dirangkul oleh Abyan Calief dari Indonesia yang membawa pula trofi, wang tunai AS5,000 dan percutian ke Dubai manakala pempengaruh Malaysia, Imranul Effendi membawa pulang trofi, wang tunai AS3,000 dan percutian ke Dubai.

Kemenangan besar itu diumumkan pada malam gala ASIA 2024 yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Hotel Flamingo, malam Sabtu lalu.

Berkongsi mengenai perasaannya, Saal, 21, berkata, dia sangat terkejut sekaligus gembira apabila dinobatkan sebagai juara.

“Saya masih terkejut dan tidak menyangka kemenangan berpihak kepada saya kali ini. Jika tahun lalu saya tercalon tetapi belum rezeki lagi untuk menang.

“Tidak dinafikan apabila tercalon sekali lagi untuk ASIA 2024 ini, saya berusaha menghasilkan konten yang lebih menarik dan mengikut trend.

“Tidak menyangka rezeki kali ini berpihak pada saya dan berharap dapat menghasilkan lebih banyak lagi konten yang menarik pada masa akan datang,” katanya yang mula terbabit dalam media sosial sejak tahun 2019.

Selain anugerah utama, Saal turut meraih anugerah untuk Kategori Ciptaan Kandungan Terbaik yang melayakkannya membawa pulang trofi dan wang tunai AS$1,000.

Manakala bagi kategori Suntingan Terbaik dimenangi oleh Herony dari Filipina. Karya Ulasan Makanan Terbaik pula menjadi milik pempengaruh Indonesia, Abyan Calief, yang mendapat pengiktirafan atas kreativiti dan keunikan kandungannya.

Kategori Penyampai Cerita Terbaik menyaksikan kemenangan Berliana dari Indonesia, manakala anugerah Pilihan Orang Ramai yang menjadi antara kategori paling dinantikan jatuh kepada Ananda Natasha, juga dari Malaysia, hasil undian peminat dan pengikut.

Acara terbabit dihoskan oleh personaliti popular, Dina Nadzir dan Asyraf Nasir, yang berjaya menceriakan suasana dengan celoteh dan pengacaraan mantap mereka.

Sementara itu, Pengerusi ASIA 2024, Datuk Abd Rahman Soltan berkata, ASIA 2024 juga mencatat sejarah tersendiri apabila meraih 254 juta tontonan kandungan di media sosial menggunakan tanda pagar #AllStarInfluencerAward2024 sepanjang program berlangsung.

Abd Rahman berkata, ASIA 2024 bertujuan mempromosikan tiga elemen utama pelancongan tempatan iaitu kebudayaan, lokasi menarik dan bersejarah, serta makanan melalui platform media sosial, sekali gus mampu meningkatkan pendapatan negara.

“ASIA 2024 menampilkan konsep unik dengan mengetengahkan tema Visit Malaysia 2026, peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, World Tourism Day Melaka dan Visit Melaka 2024,” katanya ketika ditemui selepas anugerah berkenaan.

Acara gilang gemilang itu dirasmikan oleh Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Dr Yasmin Mahmood, dan diserikan dengan kehadiran lebih 60 pempengaruh media sosial dari Jepun, Taiwan, China, Vietnam, Indonesia, Thailand, Korea Selatan dan Filipina.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Dalam pada itu, Abd Rahman berkata, konsep tahun ini juga memberi fokus kepada Melaka sebagai destinasi utama, di mana peserta berpeluang mempelajari kebudayaan perkahwinan Melayu di Melaka.

“Juri yang terbabit adalah mereka yang sangat arif dalam menentukan kaedah pemilihan pemenang terbaik, dan pihak pengurusan tidak campur tangan atau bersikap pilih kasih.

“Sejak awal lagi, kami tekankan bahawa pemarkahan dilakukan secara adil,” katanya.

Penonton turut dihiburkan dengan persembahan memukau daripada selebriti terkenal seperti Bella Astillah, Yonnyboii dan kumpulan 53 Studio.

Acara ini adalah sebahagian daripada program empat hari yang dianjurkan oleh Aston Creative, dengan matlamat meraikan bakat dan kreativiti dalam penghasilan kandungan digital.

Sebanyak 13 kategori anugerah disampaikan yang memberi pengiktirafan kepada individu dan kumpulan yang telah memberi impak besar dalam dunia media sosial di peringkat Asia.

Imaginur raih Anugerah Filem Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-33

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) melabuhkan tirainya dengan kejayaan filem “Imaginur” yang merangkul Anugerah Filem Terbaik.

Filem ini adalah terbitan Lumatic Films Sdn. Bhd. serta arahan oleh Nik Amir Mustapha. Pemenang membawa pulang trofi FFM33 dan insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM500,000.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media.

Bertemakan “EMAS – Evolusi Sinema Malaysia”, FFM33 mengangkat bakat tempatan serta pencapaian filem Malaysia di peringkat antarabangsa.

Selain itu, sebanyak 28 kategori anugerah lain turut disampaikan, antaranya dokumenteri “Pekik” terbitan Stereo Pixels Sdn. Bhd. yang memenangi kategori Dokumentari Terbaik menerima wang tunai RM5,000 berserta trofi.

Sementara itu, “The Missing Trophy” terbitan Wayang Works Sdn. Bhd. diangkat sebagai Filem Pendek Terbaik yang membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta trofi.

Malam kemuncak FFM33 juga menyaksikan pengiktirafan Anugerah Khas Karyawan Sepanjang Zaman kepada Zakaria bin Ahmad atau lebih dikenali dengan nama pentasnya A. Galak serta Anugerah Khas Karyawan kepada Indera Che Muda Redzuan.

Kedua-dua penerima masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta trofi sebagai penghargaan atas sumbangan besar kepada industri kreatif tanah air.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin; Pengerusi FINAS, Dato’ Kamil Othman; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib; serta barisan penaja utama iaitu U Mobile Sdn. Bhd., KNKV Group dan D’Tandoor Group of Companies.

Senarai pemenang:

1. Filem Box Office – Filem Sheriff: Narko Integriti (Skop Productions & Astro Shaw)
2. Poster Terbaik – Filem Walid (Layar Pictures Sdn. Bhd)
3. Kesan Khas Visual Terbaik – Filem Sheriff: Narko Integriti (Viper Studios Sdn. Bhd)
4. Filem Pendek Terbaik – The Missing Trophy (Wayang Works Sdn. Bhd)
5. Dokumentari Terbaik – Pekik (Stereo Pixels Sdn. Bhd)
6. Tatarias / Solekan Terbaik – Filem Abang Adik
7. Rekaan Busana / Kostum Terbaik – Filem Abang Adik (Elaine Ng)
8. Penataan Seni Terbaik – Imaginur (Rabbani Sujak)
9. Penataan Bunyi Terbaik – Mechamato Movie (Nizam Razak)
10. Skor Muzik Asal Terbaik – Malbatt: Misi Bakara (Jackey Yeow)
11. Lagu Tema Terbaik – Hasrat – Filem Imaginur (Amir Jahari)
12. Sinematografi Terbaik – Filem Sheriff: Narko Integriti (Rahimi Maidin)
13. Penyunting Terbaik – Filem Imaginur (Johan Arif Mazlan)
14. Pelakon Kanak-Kanak Terbaik – Qisha Hairulzain (Filem Magik)
15. Pelakon Wanita Harapan – Trisha Ooi (Filem Janna Endoro)
16. Pelakon Lelaki Harapan – Aniq Durar (Filem Pagari Bulan)
17. Pengarah Harapan – Jin Ong (Filem Abang Adik)
18. Cerita Asal Terbaik – Filem Imaginur (Redza Minhat & Nik Amir Mustapha)
19. Lakon Layar Terbaik – Filem Abang Adik (Jin Ong)
20. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik – Elizabeth Tan (Filem Sheriff: Narko Integriti)
21. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik – Jack Tan (Filem Abang Adik)
22. Pelakon Wanita Terbaik – Susan Lankester (Filem Rain Town)
23. Pelakon Lelaki Terbaik – Beto Kusyairy (Filem Imaginur)
24. Pengarah Terbaik – Nik Amir Mustapha (Filem Imaginur)
25. Filem Terbaik – Imaginur
26. Anugerah Khas Karyawan – Indra Che Muda
27. Anugerah Khas Juri (1) – Naam Katra Isai
28. Anugerah Khas Juri (2) – Duan Nago Bogho

Anwar Ibrahim tekad hentikan amalan bina kekayaan guna kuasa politik

editormaxinfo@gmail.com

SEBERANG PERAI – Tekad untuk menghentikan amalan mana-mana pihak membina kekayaan dengan menggunakan kuasa politik dan kedudukan di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan membuktikan segala usaha dan mandatnya itu dalam memerangi kepincangan individu-individu berkuasa termasuk dalam kalangan pegawai kerajaan yang sedang berada dalam perkhidmatan.

Sejak November 2022, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiasat lebih daripada 50 kes berprofil tinggi termasuk membabitkan bekas perdana menteri dan pegawai tinggi yang sedang berkhidmat, tanpa campur tangan Perdana Menteri.

“Insya-Allah dalam beberapa tahun Allah izinkan saya tentukan supaya dasar negara kita ini menghentikan orang politik atau pegawai ataupun orang-orang besar yang asal dengan kuasa dia boleh bina kekayaan,” katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang 2024 (PIHEX 2024), hari ini.

Anwar menjelaskan, individu yang menguruskan negara perlu bersih dan telus serta menggunakan kuasa yang ada padanya untuk mempertahankan prinsip membela rakyat berbanding mempertahankan golongan maha kaya.

“Sebab itu, bila ada sesuatu kes itu kita kena siasat, berani tegur, bukannya mempertahankan orang yang mengambil rasuah,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

PIHEX 2024 adalah ekspo anjuran kerajaan negeri Pulau Pinang yang berlangsung dari 5 hingga 8 Disember bagi mempromosi produk dan perkhidmatan halal yang boleh dimanfaatkan pengguna termasuk bukan Islam.

Stacy kembali ‘Menyala’ menerusi buah tangan terbaharu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sejak membuat kemunculan dalam industri muzik Malaysia, bintang kelahiran Negeri di Bawah Bayu, Stacy Anam sering mencuri perhatian pencinta muzik tanah air.

Mempunyai bakat luar biasa berkat kemantapan vokal serta kelincahannya menari di atas pentas, Stacy sangat sinonim dengan lagu-lagu rancak dan bertempo laju.

Tidak hairanlah jika dirinya pernah dinobat juara rancangan realiti nyanyian nombor satu Malaysia, Akademi Fantasia (musim keenam) pada tahun 2008.

Kini Stacy bukan sahaja masih aktif menyanyi dan membuat persembahan, tetapi juga sudah berjaya mencipta dan menulis banyak lagu berkualiti bersama suaminya Akim Ahmad.

“Lagu Menyala ini dicipta bermula daripada siulan melodi yang mempunyai dua penyampaian perasaan berbeza. Pada awalnya ia lebih lembut dan seterusnya bertukar ke unsur rock yang lebih bertenaga.

“Terjemahan liriknya pula dihasilkan melalui feel melodi lagu terbabit dan dihabiskan dalam satu cerita,” kata Stacy membuka bicara.

Lagu ini adalah sebuah lagi karya hebat nukilan pasangan penulis dan pencipta lagu Bunga Cantik serta Hang Nadim.

“Kerjasama di antara Bunga Cantik & Hang Nadim dalam menghasilkan lirik lagu Menyala tidak mengambil masa yang lama.

“Masing-masing memahami tujuan dan isi lagu. Inspirasi untuk menghasilkan lagu ini lebih kepada kreativiti yang terinspirasi dari kesungguhan dan imajinasi bentuk persembahan secara langsung.

“Manakala liriknya pula diisi mengikut mood lagu iaitu dengan mencari titik tengah dalam meniti kehidupan dan juga meresap ketenangan, tidak kira dalam susunan muzik yang santai mahu pun ke susunan muzik yang lebih keras,” katanya lagi.

Susunan muzik lagu Menyala membuatkan melodi dan lirik lagunya lebih hidup seiring dengan konsep dan nuansa lagu berkenaan.

Ia membawa hasil gabungan rentak reggaeton, rock dan kesan dramatik yang turut menjurus kepada pengaruh Nusantara.

Lirik lagunya pula lebih kepada mengingatkan diri sendiri untuk sentiasa beringat dan berpada-pada dalam melakukan sesuatu hal.

“Macam saya sendiri, saya banyak menggunakan peringatan ini ketika membuat persembahan. Untuk mendapatkan keadaan sederhana ketika beraksi bersama penari, saya memerlukan ketenangan dan fokus yang jitu.

“Tak kisahlah dalam kehidupan atau apa sahaja perkara, kita perlu ada ketenangan ikut bersama.

“Kalau pada penyampaian menerusi muzik lagu ini sendiri, dia lebih kepada susunan graf momentum muzik,” katanya.

Saat ditanya tentang harapan buat karya ini, Stacy hanya mahukan yang terbaik dari peminat dan pendengar.

“Semoga lagu ini mendapat tempat di halwa pendengar terutama sekali para pengikut dan penyokong muzik Stacy.

“Lagu Menyala berbeza dengan lagu-lagu saya yang ada sebelum ni namun masih tetap atas landasan muzik Stacy.

“Semoga lagu Menyala turut dapat mewarnai industri muzik tempatan,” kata Stacy menutup bicara.

Menyala adalah kerjasama antara Sony Music Entertainment Malaysia, Alternate Records dan Rhythm & Rhyme Entertainment yang sudah berada di semua platform digital sejak 8 November yang lalu manakala muzik video Menyala kini boleh ditonton oleh semua.

Cat Fashion Week, peluang si bulus menjadi bintang TV

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Adakah kucing anda fashionista sebenar? Ini adalah peluang yang dinanti-nantikan kepada pencinta kucing. Kami sedang mencari kucing-kucing yang penuh gaya untuk melangkah di pentas peragaan dalam acara terbesar untuk pencinta kucing, Cat Fashion Week.

Adakah kucing anda bersedia untuk tampil bergaya dan menonjolkan kehebatan fesyen mereka? Inilah masa untuk kucing kesayangan anda menjadi bintang di TV3.

Mulakan perjalanan kucing kesayangan anda menjadi bintang dengan hanya menghantar video pendek mereka memperagakan fesyen paling on point. Sertai uji bakat Cat Fashion Week bermula pada 29 November 2024 dengan cara yang mudah sahaja:

  1. Rakam video berdurasi 1 minit kucing anda memperagakan fesyen terbaik mereka.
  2. Hantar video tersebut menerusi e-mel ke contest@tv3.com.my atau muat naik ke media sosial anda dengan hashtag #CatFashionWeekTV3.

Ini adalah peluang keemasan untuk si bulus anda menjadi bintang TV.

Pastikan anda sertai uji bakat ini dan jadikan kucing anda simbol gaya dan kecantikan dunia fesyen kucing. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 15 Disember ini. Sertai sekarang dan berpeluang menjadi bintang di kaca TV.

Jika terpilih, kucing kesayangan anda akan melangkah ke peringkat seterusnya dan berpeluang mara ke Pentas Akhir Cat Fashion Week.

Saksikan si comel anda ber “catwalk” di pentas peragaan kucing pertama yang bakal disiarkan secara eksklusif di TV3.

Kandungan penipuan di Malaysia semakin meningkat, HONOR guna pengesanan ‘deepfake’ elak peniruan individu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penipuan deepfake menjadi kebimbangan global yang semakin meningkat.

Di Malaysia jumlah kerugian yang dicatatkan akibat penipuan ini pada 2024 adalah sebanyak RM500 juta, menurut laporan New Straits Times.

Penjenayah menggunakan AI untuk menyunting kandungan video bagi menyerupai individu, termasuk tokoh terkemuka, bagi memperdaya mangsa untuk membuat penipuan urus niaga.

Wajah dan suara beberapa figura awam termasuk Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Lee Chong Wei dan Khairul Aming telah dieksploitasi menggunakan AI bagi tujuan penipuan, lapor Free Malaysia Today.

Mangsa yang terperdaya akan menyerahkan wang atau maklumat peribadi.

Bagi memerangi kandungan penipuan, HONOR Magic7 Pro dilengkapi teknologi AI Deepfake Detection bagi mengesan penipuan dan kandungan digital yang dimanipulasi.

Sebagai telefon pintar pertama di dunia yang mempunyai teknologi pada peranti ini, HONOR Magic7 Pro mampu melindungi pengguna daripada ancaman penipuan digital.

HONOR Magic7 Pro juga telefon pintar pertama jenama ini dimuatkan dengan teknologi AI Deepfake Detection.

Semasa panggilan video, AI Deepfake Detection akan mengimbas pandangan mata, cahaya, kejelasan imej, dan ulangan video bagi mengenal pasti kecacatan yang mungkin tidak kelihatan pada pandangan mata kasar.

Dengan memeriksa sifat-sifat ini, AI Deepfake Detection mampu mengesan kandungan yang dimanipulasi dengan tepat bagi membezakan antara media sebenar dan pengubahsuaian penipuan.

Jika terdapat sebarang anomali dikesan dalam tempoh tiga saat, HONOR Magic7 Pro akan mengeluarkan amaran pada skrin dengan segera, mengelakkan pengguna daripada menjadi mangsa kepada penipuan, sekaligus mencipta persekitaran yang lebih selamat untuk berkomunikasi.

HONOR Magic7 Pro akan datang ke Malaysia

Penantian kini hampir berakhir. Telefon pintar flagship baharu dikuasakan AI, HONOR Magic7 Pro bakal memasuki pasaran Malaysia, tidak lama lagi.

Lebih banyak butiran, pandangan pertama rekaan serta ciri-ciri AI HONOR Magic7 Pro, akan disiarkan pada 9 Disember nanti.

Menu Krismas Savor kembali dengan tambahan menu yang menarik

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas mendapat permintaan yang luar biasa tahun lalu, Savor Restaurant yang terletak di Desa Sri Hartamas dengan bangganya memperkenalkan semula menu Krismas yang popular, kini dengan hidangan baru yang penuh citarasa dan sentuhan berasaskan tumbuhan yang menarik untuk meraikan musim perayaan.

Tersedia sejak 1 Disember lalu, menu ini menampilkan hidangan perayaan yang direka untuk memikat semua selera  sama ada anda vegan, vegetarian, atau sekadar penggemar makanan yang hebat.

Musim perayaan ini, pasukan kulinari Savor telah mencipta beberapa hidangan baru dan inovatif, termasuk Beet Wellington yang memukau, Fettuccine Winter Berry yang berkrim, Cauliflower Panggang Keju yang menyelerakan, dan Mousse Coklat yang kaya serta lazat.

Tambahan baru ini turut menyertakan hidangan kegemaran pelanggan yang kembali seperti Steak Cendawan Lion’s Mane, Sup Golden Harvest yang menyegarkan, Salad Kale Autumn, serta Puding Krismas klasik, Cheesecake Perayaan Savor, dan Tiramisu.

“Maklum balas yang kami terima terhadap menu Krismas kami tahun lalu sangat menggalakkan, dengan tetamu yang datang dari seluruh Malaysia untuk bersama-sama meraikan makanan berasaskan tumbuhan dan kesihatan.

“Kami melancarkan menu kami lebih awal tahun ini untuk memastikan setiap orang mempunyai peluang untuk merasai perayaan ini, menikmati rasa yang lazat, dan menikmati jamuan percutian yang bukan sahaja enak tetapi juga meninggalkan kesan,” kata Peter Lee, Pengasas Bersama Savor.

Setiap hidangan yang disediakan dengan penuh perhatian, Savor menegaskan komitmennya untuk menunjukkan kepelbagaian masakan berasaskan tumbuhan.

Menu Krismas istimewa ini menggabungkan bahan-bahan bermusim yang kaya untuk menggambarkan kegembiraan musim perayaan.

“Menu Krismas kami menggabungkan rasa perayaan yang memanjakan dan disediakan dengan penuh perhatian untuk pengalaman makan yang benar-benar tidak dapat dilupakan.

“Kami ingin mencipta menu yang mengundang semua orang, dari peminat daging hingga penggemar makanan berasaskan tumbuhan untuk meraikan bersama-sama dengan hidangan yang selesa dan memberi inspirasi,” kata Roland Teo, Ketua Cef Savor.

Menu Krismas Savor sudahpun tersedia sejak 1 Disember sepanjang bulan ini, menawarkan peluang yang banyak untuk menikmati hidangan perayaan dalam semangat kebersamaan.

Pengunjung digalakkan membuat tempahan kerana permintaan untuk hidangan eksklusif ini dijangka meningkat. Untuk tempahan: WhatsApp +60 11-5430 6870.

OMNO lancar Nourish & Protect: garis penjagaan kulit mesra alam mengatasi cuaca tropika yang terik

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama penjagaan diri dari Singapura, Omno, memperkenalkan koleksi Nourish & Protect, sebuah garis penjagaan kulit mesra alam yang direka untuk menangani cabaran unik cuaca tropika di Asia Tenggara.

Dengan haba, kelembapan, dan pencemaran yang berterusan di rantau ini, Nourish & Protect adalah rutin penjagaan kulit tiga langkah yang dipermudahkan, direka untuk melindungi, menghidrasi, dan memulihkan kulit dalam kondisi tropika.

Di Malaysia dan Singapura, banyaknya cahaya matahari dan haba menjadikan persekitaran yang subur dan meriah, tetapi pendedahan harian kepada tahap UV yang tinggi, ditambah dengan panas dan kelembapan yang berterusan, boleh memberi kesan buruk kepada kulit.

Kesan faktor alam sekitar ini sering mengakibatkan kerosakan yang kelihatan, menjadikan perjalanan ke arah kulit yang sihat dan berseri sukar bagi ramai orang.

Dengan itu, koleksi ini menawarkan penyelesaian yang mudah diakses untuk rakyat Malaysia dan Singapura yang menghadapi masalah kulit harian seperti kerosakan akibat matahari, dehidrasi, dan kerengsaan.

Selain itu, produk inovatif Omno mengimbangi keberkesanan tinggi dengan formulasi yang mesra alam, mencipta penjagaan kulit yang boleh dipercayai untuk kulit yang berseri dan terlindung, dengan formulasi yang selamat untuk semua jenis kulit termasuk kulit sensitif menggabungkan kesederhanaan, sains, dan kelestarian dalam rutin yang menyasarkan keperluan penjagaan kulit unik rakyat Malaysia.

Bahagian pertama dalam rutin penjagaan ini membabitkan Gaea Solar Defence, pelindung matahari SPF 50+ yang sangat ringan dan serbaguna yang memberikan perlindungan luas terhadap UVA dan UVB, bersama dengan wangian menenangkan daripada geranium, cedarwood, sage, dan lavender.

Sesuai untuk melindungi kulit sebelum terdedah kepada matahari, Gaea Solar Defence boleh digunakan sama ada di bawah atau di atas makeup mengikut keperluan, dengan pilihan untuk memohon semula sepanjang hari.

Produk ini menggunakan teknologi penyebaran termaju untuk lapisan yang rata, perlindungan tahan lama, dan memastikan penapis matahari tidak diserap ke dalam kulit.

Selain itu, ia mengandungi partikel pelindung matahari mikron yang memberikan perlindungan yang lebih unggul dan seragam; ini bukan sahaja meningkatkan perlindungan matahari tetapi juga mengurangkan kerengsaan, menjadikannya selamat untuk kulit sensitif, malah untuk bayi.

Diformulakan dengan ekstrak tumbuhan menenangkan dan aloe vera, Gaea Solar Defence memberikan penjagaan menyeluruh, melindungi kulit daripada kerosakan matahari sambil menyuburkannya dengan mendalam, menjadikannya penyelesaian sempurna untuk mereka yang peka terhadap alam sekitar dan pemilik kulit sensitif.

Seterusnya, Nourish & Protect Hydration Gel adalah pelembap tanpa minyak yang menggunakan asid hyaluronik untuk memberikan penghidratan tahan lama, serta menenangkan kulit yang teriritasi dan kemerahan menggunakan ekstrak aloe vera dan chamomile.

Gel ini amat sesuai untuk kulit yang telah terdedah kepada matahari dalam jangka masa panjang, atau kulit yang sangat dehidrasi, tetapi ia juga berfungsi dengan baik untuk penghidratan harian dan penyegaran kulit secara umum.

Selain itu, Hydration Gel boleh digunakan sebelum atau selepas terdedah kepada matahari.

Jika digunakan sebelum terdedah kepada matahari, ia memastikan kulit terhidrat dengan baik dan dilindungi daripada kekeringan akibat pendedahan UV dan haba yang berpanjangan, tetapi jika digunakan selepas terdedah kepada matahari, ia juga berfungsi untuk menenangkan dan mengembalikan kelembapan kulit, memberikan kesan penyejukan serta merta.

Akhir sekali, koleksi ini menampilkan Solace Radiant Body Oil, campuran mewah minyak rawatan badan tanpa pengawet yang direka untuk memberikan kilauan dan penyuburan pada tubuh dengan nota bergamot, lavender, halia, rosemary, dan eucalyptus.

Produk ini sebaiknya digunakan selepas aplikasi Hydration Gel untuk mengunci kelembapan dan meningkatkan cahaya semulajadi kulit.

Campuran ini bukan sahaja memberikan kulit penampilan seperti kena cahaya matahari secara organik, tetapi juga mengandungi gabungan vitamin yang kaya (A, C, & E) dan asid lemak penting (omega 3, 6, dan 9), memberi manfaat kepada kulit sambil menangani tanda regangan dan parut.

Dengan penjagaan diri yang semakin menjadi budaya utama dalam gaya hidup rakyat Malaysia, garis Omno Nourish & Protect dilancarkan pada masa yang tepat, memberikan jawapan kepada permintaan untuk kesederhanaan dalam penjagaan kulit tanpa mengorbankan keberkesanannya.

Koleksi ini boleh didapati di platform dalam talian Omno serta di kedai New Bahru, Singapura, di mana pengunjung boleh mendapatkan konsultasi penjagaan kulit yang disesuaikan dan mencuba produk secara langsung.