KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang mengesahkan dirinya tidak akan mengambil bahagian pada Kejohanan Basikal Trek Asia (ACC) 2025 yang akan berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan, Februari tahun depan.
Bagaimanapun, pelumba yang mendapat julukan The Pocket Rocketman itu berkata, beliau tetap hadir ke kejohanan berkenaan untuk membantu serta memberi sokongan kepada pelumba-pelumba negara.
“Setakat ini tiada berita untuk niat berkayuh. Sudah tiba masanya untuk saya beri sokongan dari segi moral dan juga apa-apa yang saya boleh bantu.
“Sepertimana yang saya beritahu sebelum ini, selepas Olimpik baton telah diserahkan, kita ada (Muhammad) Shah Firdaus Sahrom, ada adik beliau Muhammad Ridwan Sahrom, Fadhil Zhonis dan pelumba muda lain dan harapnya mereka akan meningkat naik untuk persiapan bagi Sukan Asia, Sukan Komanwel seterusnya di Olimpik Los Angeles 2028,” katanya.
Sebelum ini, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill memberi bayangan atlet berusia 36 tahun itu berkemungkinan mengambil bahagian dalam ACC 2025.
Amarjit berkata, bekas juara dunia acara keirin itu masih bersemangat untuk mempamerkan kayuhan bertenaganya.
Dalam pada itu, Azizulhasni berkata, buat masa ini fokusnya adalah untuk menghabiskan pelajarannya dalam bidang jurusan Ijazah Sains Senaman Klinikal di Universiti Deakin Melbourne, Australia yang berbaki setahun lagi.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan kembali berkayuh, namun masih belum menetapkan tempoh masa untuk berbuat demikian.
“Tadi saya jumpa jawatankuasa PKBM, mereka ada pujuk saya untuk sertai Sukan Asia atau Sukan Komanwel, tetapi saya katakan kepada mereka saya tidak dapat menjanjikan apa-apa.
“Jadi, kita tunggu 2024 habis dulu, tahun yang penuh cabaran. Nanti kita tengok 2025 macam mana pula gambarannya,” katanya.
KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan besar kutipan pecah panggung bagi filem seram pertama Islamik dari negara Thailand bertajuk “Khong Khaek”, Yusrych Global Sdn Bhd menerbit dan mengedarkan sebuah lagi filem seram berjudul “Bisikan Dosa”.
Filem lakonan Uqasha Senrose, Sara Ali, Farid Kamil, Juliana Evans, Sherry Merlis dan Syazuwan Hassan itu diarahkan oleh Faizul A. Rashid.
Penerbit & Pengasas Yusrych Global Sdn Bhd, Yusry Makmor berkata, Bisikan Dosa ini juga bakal menjadi Sebuah lagi Filem Seram Box Office yang membuka tirai tahun 2025 dengan di sokong oleh Finas & Rakan Strategik Pemasaran Primeworks Studios, Media Prima Bhd serta yang terbabit.
Yusry berkata, idea untuk menghasilkan filem Bisikan Dosa tercetus apabila dia bersama Zafran sedang brainstorm serta membuat kajian berkaitan filem-filem seram yang mana menjadi tarikan kepada penonton pada ketika ini.
“Filem ini adalah satu naskhah yang tepat untuk diangkat menjadi sebuah filem seram yang mana ia bakal menjadi satu fenomena buat penonton yang masih dahagakan filem tempatan bergenre seram.
“Filem seram adalah salah satu genre yang dinantikan penonton, penceritaan Bisikan Dosa adalah satu jalan cerita yang realistik, misalnya amalan syirik seperti mandi bunga yang ada unsur khurafat yang masih diamalkan oleh sebilangan manusia tanpa mengira darjat dan keturunan walau dalam zaman yang serba moden kini,” katanya.
Yusry berkata, pembikinan filem Bisikan Dosa juga turut berdepan cabaran yang tersendiri, namun ia sebuah naskhah yang menarik untuk ditonton.
“Antara tarikan tersendiri apabila terdapat beberapa plot twist yang tak disangka oleh penonton.
“Selain itu, kesan solekan yang unik, dengan interprestasi tersendiri dan lakonan mantap oleh setiap pelakon dalam filem ini yang turut saling mendukung watak satu sama lain menghasilkan satu persembahan yang menarik dan gandingan yang sangat serasi,” katanya.
Selaku pengarah, Faizul A. Rashid berkata, filem Bisikan Dosa ini mempunyai keunikan yang tersendiri buat penggemar filem-filem hantu atau seram.
“Filem ini bukan sekadar sebuah naskhah seram semata-mata, tetapi penceritaannya juga cukup menarik dan membuatkan penonton perlu menontonnya sehingga habis untuk mengetahui kisah sebenar yang berlaku.
“Untuk babak-babak seram dan ‘jumpscare’, saya akan pastikan ia adalah yang terbaik dan barulah akan dimasukkan dalam filem ini agar dapat memberi kepuasan kepada penonton,” katanya.
Pada masa sama, Faizul turut berpuas hati dengan lakonan yang telah ditampilkan oleh barisan-barisan pelakon dengan masing-masing dapat menjiwai watak mereka lebih baik dan berkesan.
Menurutnya, semua pelakon telah diberikan skrip beberapa bulan lebih awal sebelum penggambaran dilakukan serta mereka turut menyertai kelas lakonan.
“Persiapan untuk memulakan penggambaran itu semuanya dah lengkap. Setiap pelakon pun sudah tahu karakter mereka dan apa yang perlu dibuat,” katanya.
Bisikan Dosa mengisahkan Sarimah berpindah ke Kuala Lumpur untuk memulakan hidup baharu berikutan kematian tragis anak kecilnya dan bekas suaminya pula curang dan telah berkahwin dengan wanita lain.
Dia menjadi pembantu rumah kepada keluarga Ayden tetapi tidak lama kemudian, dia dihantui oleh satu roh tidak tenang yang dia kenali dari potret keluarga itu sebagai Zara, arwah isteri Ayden.
Bisikan Dosa bakal menghantui penonton seluruh pawagam Malaysia, Singapura dan Brunei pada 9 Januari 2025.
KUALA LUMPUR – Penyertaan banyak syarikat besar dari Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China dalam Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) menunjukkan bahawa Malaysia bebas menjalin hubungan dagang dengan semua negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, NAIO adalah usaha untuk membawa Malaysia ke tahap kecerdasan buatan (AI) melalui inovasi, dengan penglibatan inklusif serta menekankan nilai dan etika tempatan.
Bagaimanapun, katanya penyertaan syarikat besar dari negara seperti AS, Eropah dan China dalam NAIO menunjukkan bahawa pendirian dagang dan sikap Malaysia bersahabat dengan semua negara.
“Kita lihat umpamanya banyak penyertaan yang besar dari AS kerana masih mengetuai bidang penguasaan teknologi maklumat dan AI.
“Kita juga dapat penyertaan banyak dari Eropah, dari negara China dengan Huawei dan ZTE.
“Ini menunjukkan bahawa sikap kita, negara yang bebas jalin hubungan dengan semua negara dan menekankan keperluan meningkatkan hubungan dagang melalui perjanjian perdagangan (FTA) dan beberapa hubungan perdagangan perjanjian peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran NAIO di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Untuk rekod, antara syarikat dalam dan luar negara terbabit dalam NAIO adalah Toshiba, Global AI Village, YTL, Microsoft, Google dan Amazon Web Service.
Anwar berkata, suatu yang agak istimewa dan unik kerana bidang digital mampu melonjak ekonomi sesebuah negara yang mana ekonomi digital bakal menjadi tunjang masa depan dunia.
“Disebut tentang kekuatan di ASEAN, saya masih ingat umpamanya daripada laporan dikaitkan dengan McKinsey Global Institute (MGI) untuk dunia sebelum 2030 (yang mana) kekuatan ekonomi itu (digital) akan mencecah hampir AS$13 trilion.
“Jika kajian World Economic Forum (WEF) dari segi peluang pekerjaan, itu (akan mewujudkan) mencecah hampir 100 juta pekerja baharu di dunia, hanya untuk 2025.
“Kemudian untuk negara kita, (Datuk Seri) Tengku Zafrul (Tengku Abdul Aziz) (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri) maklumkan (sumbangan ekonomi digital) mungkin mencecah sehingga 23 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara,” katanya.
Atas sebab itu, Perdana Menteri berkata peralihan agenda ekonomi dari getah dan bijih timah kepada kelapa sawit dan industri asas, sekarang sudah melonjak kepada bidang digital.
“Kita jangka dalam masa setahun ini dari apa yang saya catat 23 peratus lebih (sumbangan KDNK), kalau tahap kelajuan dan kepantasan begini, dia mungkin melonjak sehingga 25.5 peratus, sebab itu kita wujudkan Kementerian Digital,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata untuk memacu teknologi AI di negara ini memerlukan anjakan paradigma selain menangani jurang digital antara golongan elit bandar dan golongan miskin bandar serta penduduk luar bandar dan kawasan pedalaman yang terpencil.
“Hal ini tentunya tercermin dalam pelan tindakan Ekonomi Digital Malaysia kita. Kerangka digital yang dikaitkan dengan dasar negara ini bertujuan dan bermatlamat sesuatu yang besar yang belum terfikir atau terancang dan terjaga sebelum ini.
“Pada 20 hingga 30 tahun lalu, tatkala saya mengepalai Kementerian Kewangan, hal-hal ini hanya dianggap suatu permulaan, tetapi ia telah menjadi suatu kemestian.
“Ini yang dikatakan pemberdayaan mengangkat keupayaan kita dan mengharapkan dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi,” katanya yang turut menegaskan negara pendapatan tinggi hanya akan berlaku sekiranya ia didorong oleh digital.
TENOM – Seorang wanita memberitahu Mahkamah Majistret beliau memang berniat membuat laporan polis terhadap Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ebit Lew, mengenai gangguan seksual pendakwah itu pada April 2021 namun khuatir orang ramai tidak akan mempercayainya.
Bagaimanapun, wanita berusia 40-an itu, yang juga saksi pendakwaan kesembilan dan pengadu dalam kes berkenaan, berkata beliau kemudian nekad membuat laporan polis pada Ogos tahun sama dengan bantuan sebuah pertubuhan bukan kerajaan selepas berita gangguan seksual seorang pendakwah terkenal yang mengaitkan nama Ebit tersebar sekitar Julai.
Beliau memaklumkan demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.
Saksi itu juga memberi penjelasan mengenai jawapan ‘tidak setuju’ kepada soalan peguam Ram Singh sebelum ini yang mencadangkan bahawa tujuan beliau membuat laporan polis adalah untuk kepentingan dirinya.
“Saya tidak setuju sebab saya betul-betul dipengaruhi oleh dia semasa memberi gambar tanpa kerelaan dan saya membuat laporan bukan untuk kepentingan diri saya,” katanya.
Saksi juga berkata beliau tidak meminta semula gambar yang diberikannya kerana berpendapat Ebit tidak menyimpan gambar itu.
Wanita itu berkata, beliau membalas mesej Ebit dengan nada main-main kerana pada awalnya beranggapan tertuduh adalah seorang ustaz dan pendakwah yang baik.
Ebit, 38, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan mangsa dengan menghantar perkataan dan gambar lucah kepada wanita itu melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.
Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan bersambung pada 15 hingga 17 Januari depan. -Bernama
KUALA LUMPUR – Perhubungan kasih sayang di antara ayah dan anak perempuan adalah unik dan jarang diangkat.
Bagi seorang anak perempuan, ayah ialah cinta pertama yang hadir dalam hidup untuk menjaga dan melindungi mereka.
Bagi seorang ayah, anak perempuan adalah puteri kesayangannya sehingga bila-bila.
Oleh yang demikian, ia telah memberikan ilham buat syarikat produksi Nads Media Entertainment untuk menghasilkan sebuah filem berjudul Babah.
Idea untuk menghasilkan filem ini bermula setelah Nadia Nadzri selaku idea asal dan penerbit melihat sebuah klip video viral tentang seorang ayah membuat persembahan di majlis perkahwinan anak perempuannya.
“Emosi seorang ayah yang menjaga anak perempuannya dari kecil dan kemudian melepaskan tanggungjawab kepada lelaki lain adalah amat dalam.
“Selain itu, kami juga menggabungkan dengan sebuah lagi klip video tentang seorang perempuan yang bertarung nyawa menghidap Sindrom Gullain-Barre.
“Sejenis gangguan auto imun yang boleh melumpuhkan sistem saraf. Ianya bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.
“Jadi, ia memberikan idea kepada kami untuk menghasilkan sebuah filem dengan gabungan video-video viral itu dan diolah menjadi sebuah jalan cerita yang menarik dan cukup dekat dengan kehidupan masyarakat,” katanya.
Babah adalah kisah mengenai pengorbanan seorang ayah, Isyak untuk anak perempuannya, Maya.
Tiada mana-mana lelaki yang dapat mengambil tempat seorang ayah. Isyaklah lelaki pertama yang hadir dalam hidup Maya dan dialah hero yang sentiasa melindungi dan menjaga Maya.
Apabila dewasa Maya diuji musibah teruk, Isyaklah yang menjadi tempat dia bergantung harap.
Filem Babah adalah mengisahkan harapan yang didambakan. Ketika menghadapi ujian getir yang juga sebahagian daripada kehidupan.
Seorang ayah perlu berusaha selagi berdaya dan berharap untuk merasa sisa kebahagiaan bersama anaknya sehingga ke penghujung nyawa.
Ia menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Qi Razali, Cristina Suzanne, Sweet Qismina dan Adam Lee.
Dalam pada itu, Wan Rafiq selaku penulis skrip berkata, filem berkenaan juga cukup istimewa kerana ia sangat dekat dengan penonton yang akan menimbulkan rasa penuh emosi.
“Kita sudah banyak disajikan filem tentang rasa sedih. Berlainan dengan Babah, nashkah ingin mengetengahkan rasa rindu.
“Rindu adalah perasaan lebih besar dan mendalam yang dialami oleh semua orang. Ianya adalah emosi yang bercampur di antara gembira, sedih dan sayu yang datang hanya dari momen sendiri.
“Dalam filem Babah, saya percaya penonton akan dapat mengimbau semula kenangan mereka.
“Untuk seorang ayah, diharap dapat mengimbau semula perjalanan mereka dalam membesarkan anak perempuan sehingga masa untuk melepaskan mereka ke tangan suami.
“Untuk seorang anak perempuan, adalah untuk mengingatkan tentang pengorbanan seorang ayah yang tidak pernah mengeluh dalam membesarkan mereka,” katanya.
Bagi pengarah Babah, Mohd Shah Faizul Ibrahim pula, dia tertarik untuk mengarahkan filem berkenaan setelah membaca skrip yang diberikan kepadanya.
Mohd Shah berkata, apa yang membuatkan filem berkenaan menarik apabila kelainan dari segi penyampaiannya.
“Saya merasakan yang jalan ceritanya sangat dekat dengan diri saya. Lepas membaca skrip, saya terus beri kata putus kepada penerbit yang saya ingin mengarahkan Babah.
“Penulis skrip juga adalah penerbit kepada filem ini dan saya merasakan penulisannya sangat peribadi dan itu membuatkan saya yakin ia adalah sebuah naskhah yang baik,” katanya.
Mengenai pemilihan pelakon pula, pengarah berkenaan memberitahu mereka telah membuat sesi uji bakat dan bersyukur kerana berjaya memilih pelakon-pelakon yang dapat melakonkan watak masing-masing dengan cukup berkesan.
Sementara itu, Mohd Shah juga tidak menafikan penghasilan filem ini turut berdepan dengan cabaran yang tersendiri.
“Filem berlatarbelakang tahun-tahun yang berbeza iaitu mulai tahun 1990 sehingga 2020, jadi kami perlu pastikan babak dipaparkan perlu sama dengan tahun berkenaan dan itu memerlukan penyediaan props yang tepat dan bersesuaian.
“Selain itu, ada cabaran kepada pelakon untuk berlakon dan menyampaikan dialog kerana filem ini lebih kepada konsep cinema ‘verite’ iaitu penceritaan yang santai dan bersahaja untuk mendapatkan mood yang realistik,” katanya.
Menurutnya, sebagai seorang pengarah, dia berharap agar penonton dapat menerima cerita ini dan dapat merasai apa yang ingin disampaikan.
“Kita jarang disajikan dengan filem yang sebegini, maka saya rasa filem Babah memberi peluang kepada penonton untuk menonton sebuah naskhah yang selain memberikan hiburan, turut menyentuh emosi dan perasaan,” katanya.
Filem Babah kini sedang menemui penonton di pawagam seluruh negara sejak 5 Disember lalu.
SINOPSIS
Ketika Isyak dan anak perempuannya, Maya mengharungi pasang surut kehidupan seperti kehilangan pekerjaan, kehilangan pendengaran, dan ketika Maya disahkan menghidap
penyakit GBS setelah berkahwin, Isyak tepaksa menggalas semula tugas untuk menjaga Maya.
Ikatan yang kuat di antara mereka menunjukkan yang kasih sayang keluarga dapat membawa mereka bersama untuk melalui masa-masa yang sukar.
PUTRAJAYA – Koperasi Rakyat BR2.0 Malaysia Berhad (BR2.0) mengumumkan dividen sebanyak 5.5 peratus bagi tahun kewangan 2023 untuk semua anggotanya.
Dividen itu adalah hasil daripada pengurusan yang cekap dan strategi pelaburan yang mantap, yang telah memberikan pulangan yang kompetitif kepada anggota koperasi.
Pengerusinya Datuk Dr Abd Rani Lebai Jaafar berkata, pengagihan ini juga membuktikan kemampuan koperasi Rakyat BR2.0 Malaysia Berhad dalam membina ekonomi yang lebih kukuh dan mampan bukan sahaja kepada ahli tetapi juga buat rakyat Malaysia.
“Kami percaya dividen ini adalah bukti nyata bahawa BR2.0 bukan sahaja sebuah koperasi, tetapi sebuah institusi yang boleh diandalkan untuk memberikan pulangan yang kompetitif kepada anggota-anggota.
“Ini bukan sahaja tentang dividen. Ini adalah tentang mencapai matlamat bersama dan memastikan bahawa setiap ringgit yang dilaburkan memberikan manfaat yang nyata,” katanya pada majlis pengumuman dividen berkenaan, semalam.
Beliau berkata, koperasi Rakyat BR2.0 Malaysia Berhad juga bukan sekadar platform pelaburan, tetapi adalah sebuah komuniti yang berkembang bersama sekali gus membina kekuatan ekonomi melalui kerjasama.
Menurutnya, dengan pulangan yang berbaloi ini turut menjadi bukti Pelaburan dalam Koperasi Rakyat BR2.0 bukan sahaja menawarkan pulangan yang kompetitif, tetapi juga adalah langkah bijak untuk memastikan masa depan kewangan yang lebih terjamin.
“Di BR2.0, kami menyediakan peluang pelaburan yang menguntungkan, sambil memberi impak positif kepada kesejahteraan komuniti.
“Sebagai satu komuniti yang saling menyokong, kami percaya bahawa usaha rakyat untuk membantu rakyat akan membawa kepada pembangunan ekonomi yang lebih stabil dan mampan.
“Setiap pelaburan yang anda buat bukan sahaja memperkukuhkan kedudukan kewangan anda, tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan,”katanya.
Katanya, dengan komitmen dan usaha berterusan yang ditunjukkan, pihaknya juga yakin dividen tahun 2024 juga akan lebih baik berbanding tahun 2023 sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih berdaya saing.
KUALA LUMPUR – Terus mengorak langkah dan melebarkan perniagaannya, Usanita Sdn Bhd, melalui cabang terbarunya, Usanita Entertainment, dengan bangga mengumumkan pelantikan aktor terkenal, Fattah Amin, sebagai Duta Eksklusif serta bintang muda berbakat, Sophia Albarakbah, sebagai Wajah Baharu bagi tahun 2025.
Pelantikan itu bukan sahaja menandakan kemajuan syarikat, tetapi juga komitmen berterusan Usanita dalam memajukan industri kreatif tempatan dan membawa bakat Malaysia ke persada antarabangsa.
Sebagai langkah pertama yang menarik, Usanita Entertainment akan mempersembahkan drama bersiri pertama mereka, yang akan diarahkan oleh sutradara tersohor, Erma Fatima.
Drama ini bakal menampilkan Fattah Amin dan Sophia Albarakbah sebagai teraju utama, dan akan ditayangkan secara eksklusif di platform digital TikTok Usanita.
Tontonan drama ini pastinya menjanjikan pengalaman baru yang menarik kepada peminat.
Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan berkata, pelantikan Fattah Amin dan Sophia Albarakbah, serta penerbitan drama bersiri pertama ini, membuktikan kesungguhan mereka untuk memperkasa industri seni tempatan dengan gabungan seni kreatif dan teknologi digital.
“Usanita Entertainment bertujuan untuk mempromosikan seni Malaysia dan memperkukuhkan hubungan industri kreatif dengan masyarakat global,” katanya.
Selain itu, Usanita juga mengumumkan kesinambungan program Bridge to Brilliance 3.0, yang akan diadakan di Oxford, London pada Februari 2025.
Program ini bertujuan untuk merangsang perbincangan bermakna mengenai kepimpinan dan keusahawanan sosial.
Ini juga akan mencipta sejarah dengan Datuk Adzliana menjadi wanita pertama yang menganjurkan sesi townhall di Oxford.
“Bridge to Brilliance 3.0 adalah platform penting untuk menghubungkan pemimpin dan usahawan sosial dari seluruh dunia, mencetuskan idea-idea baharu yang berpotensi membawa perubahan positif di peringkat global,” katanya lagi.
PUTRAJAYA – Sebanyak 203,123 individu dan syarikat disekat perjalanan mereka oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) setakat 30 November lalu.
LHDN dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah itu, membabitkan 175,656 individu yang mempunyai tunggakan di bawah Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, dan 12,205 individu yang mempunyai tunggakan cukai di bawah Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah (ACKHT) 1976.
“Menurut Seksyen 104 dan 75A ACP 1967, dan Seksyen 22 ACKHT 1976, LHDN diberi kuasa untuk menghalang mana-mana individu daripada meninggalkan Malaysia, jika mereka atau syarikat mereka mempunyai tunggakan cukai yang tidak dijelaskan kepada kerajaan.
“Sekatan perjalanan adalah tindakan terakhir yang boleh dikenakan sekiranya pembayar cukai masih lagi gagal membuat bayaran terhadap baki cukai yang tertunggak (individu dan syarikat) selepas pelbagai peringatan dan notis telah diberikan,” kata kenyataan itu.
LHDN menjelaskan, tindakan sekatan perjalanan ke luar negara terhadap mana-mana pihak bukan bertujuan menafikan hak mereka, tetapi ia adalah usaha untuk menguatkuasakan undang-undang percukaian sedia ada kepada pembayar cukai yang gagal melunaskan tunggakan cukai.
Oleh itu, LHDN menasihatkan supaya pembayar cukai perlu sentiasa peka melaksanakan tanggungjawab mereka setiap masa dan tidak menangguhkan penyelesaikan hal-hal percukaian bagi mengelakkan sebarang kesulitan pada masa hadapan.
“Justeru, LHDN ingin menasihatkan kepada semua pembayar cukai yang ingin ke luar negara untuk menyemak status tunggakan cukai masing-masing terlebih dahulu menerusi portal MyTax yang boleh dicapai di https://mytax.hasil.gov.my/.
“Selain itu, semakan sekatan perjalanan ke luar negara boleh dilakukan menerusi portal rasmi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di https://sspi.imi.gov.my/sspi/,” kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan itu juga memaklumkan mulai 4 Mac 2024 permohonan pembatalan sekatan perjalanan boleh dibuat secara dalam talian menerusi perkhidmatan e-Sekatan Perjalanan yang boleh diakses menerusi portal MyTax.
Permohonan pembatalan sekatan perjalanan juga boleh dilakukan dengan prosedur dan saluran sedia ada iaitu menghubungi Hasil Contact Centre di talian 03-8911 1000 atau hadir ke pejabat LHDN berhampiran.
Maklumat lanjut berkenaan e-Sekatan Perjalanan boleh dirujuk pada soalan lazim permohonan pembatalan sekatan perjalanan menerusi capaian pantas di https://www.hasil.gov.my/individu/lain-lain/soalan-lazim-individu/.
“Seiring dengan trend terkini masyarakat Malaysia yang gemar melancong ke luar negara atau mengerjakan ibadah, LHDN ingin menyarankan kepada semua pembayar cukai untuk terlebih dahulu menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan masing-masing sebelum merancang sebarang perjalanan ke luar negara,” katanya.
KUALA LUMPUR – Bakal beraksi dalam konsert epik dan bersejarah bersama legenda tersohor Bollywood, Udit Narayan, penyanyi Kilafairy akui terkilan apabila arwah ibunya, Allahyarham Rohana Jalil tidak dapat menyaksikan persembahannya itu nanti.
Kila atau nama sebenar Syakila Nisha Jangir Khan berkata, jika arwah ibu masih hidup pasti beliau bangga menyaksikan malam bersejarah itu.
“Ada banyak sebab untuk saya berasa teruja dan berbangga selepas dipilih berkongsi satu panggung bersama ikon muzik Bollywood itu menerusi Konsert Udit Narayan In KL yang akan berlangsung pada 28 Disember ini.
“Saya menjadi penyanyi wanita Malaysia yang terbabit dalam Konsert Udit Narayan In KL yang akan diadakan di Mega Star Arena Kuala Lumpur,” katanya.
Nama Kilafairy dipilih oleh pihak penganjur, VVST Digital Creation kerana kredibilitinya sebagai seorang penyanyi yang fasih menyanyikan lagu Bollywood.
Kilafairy, 32, menyifatkan peluang emas yang diberikan kepadanya umpama mimpi menjadi kenyataan.
“Udit Narayan ada seorang figura yang sangat istimewa. Saya meminati Udit kerana peminat tegar Shah Rukh Khan dan kebanyakan lagu yang didendangkan SRK dalam filem adalah vokal Udit.
“Jadi apabila dilamar untuk terbabit dengan Konsert Udit Narayan In KL, saya terkejut, tidak percaya, gemuruh dan takut kerana akan berkongsi pentas dengan seorang ikon.
“Saya juga bangga kerana ini adalah penglibatan sulung saya dalam konsert Bollywood berskala besar, apa lagi membabitkan pesohor Udit Narayan. Ia umpama mimpi menjadi kenyataan,” katanya.
Bercerita lanjut, Kilafairy yang kini giat menjalani latihan vokal memberitahu akan membawakan sebuah lagu solo dan dua buah lagu duet bersama penyanyi Syamel.
“Saya akan menyanyikan sebuah lagu solo dan berduet dua buah lagu dengan Syamel pada malam 28 Disember itu nanti.
“Sekarang saya giat menjalani latihan vokal serta mendalami lenggok nyanyian Hindustan kerana penghayatan daripada segi lenggok Bollywood sangat berbeza dengan Melayu.
“Ia penting malah lagu Tamil dan Hindi juga punya lenggok berbeza,” katanya.
Menyanyi Bollywood Sejak Kecil
Ironi dunia Bollywood bukan sesuatu yang asing buat penyanyi dan pelakon ini.
Kilafairy mula menyanyi lagu-lagu Bollywood sejak berusia 8 tahun dan menonton karya-karyanya sejak kecil bersama keluarga.
Katanya, Bollywood selalu membawa dirinya pulang ke masa silam, menikmati momen bersama keluarga terutama arwah ibu yang kembali ke Rahmatullah pada 2023.
“Saya mula menyanyikan lagu-lagu Bollywood sejak usia 8 tahun dan menonton karyanya sudah seperti menjadi satu tradisi dalam keluarga sejak saya kecil.
“Saya juga belajar ‘permainan’ emosi dalam dunia lakonan menerusi filem Bollywood. Saya suka bagaimana karakter diterjemahkan dan instrumen serta bunyi-bunyian dalam naskhah Bollywood.
“Apabila terbabit dalam Konsert Udit Narayan In KL, saya terasa pulang kembali ke masa silam saat menghabiskan momen menonton filem Bollywood.
“Khabi Khushi Khabi Gham adalah filem yang saya dan keluarga tonton sebanyak lima kali dan masih menangis.
“Arwah ibu saya juga sangat meminati lagu Khushiyan Aur Gham Movie dari filem Mann.
“Saya sendiri meminati terlalu banyak karya Udit Narayan terutama daripada filem Devdas, Mann dan Taal. Semuanya menusuk jiwa,” katanya lagi.
Menaruh harapan agar Konsert Udit Narayan In KL berjalan lancar, Kilafairy juga mendedahkan akan tampil dengan kostum bertemakan Bollywood.
“Saya akan menyarung busana daripada pereka Shanell Harun. Tentu sahaja ia akan punya tema Bollywood namun tidak ada yang berlebihan.
“Saya akan tampil dengan gaya sederhana tapi elegan seperti penampilan selalu,” katanya.
Konsert Udit Narayan In KL akan menjadi saksi ikon legenda muzik Bollywood yang terkenal dengan gelaran Raja Melodi dan memiliki lebih 25,000 lagu dalam 36 bahasa sepanjang tiga dekad berkarier kembali ke Malaysia selepas 12 tahun.
Cukup terkenal dengan lagu ikonik beliau, “Papa Kehte Hain,” dan persembahan beliau dalam filem “Qayamat Se Qayamat Tak”, Udit akan membawa peminat lagu Hindustan ke zaman kegemilangan industri filem dan lagu Bollywood iaitu era 90-an sehinggalah ke hari ini.
Jangan sampai terlepas menyaksikan Konsert Udit Narayan In KL yang berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 28 Disember 2024.
Sebarang pembelian tiket layari https://myticket.asia/ atau hubungi VVST Digital Creation di vvstdigital@gmail.com.
Untuk makluman, pembatalan konsert Udit Narayan di Pulau Pinang baru-baru ini tidak berkaitan dengan penganjur konsert penyanyi itu di Kuala Lumpur, iaitu VVST Digital Creation.
Pihak penganjur juga memberi jaminan bahawa konsert Udit Narayan di Kuala Lumpur akan berlangsung seperti yang dijanjikan tanpa sebarang masalah.