28.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 9, 2025

Penyertaan banyak syarikat dunia bukti Malaysia bebas berdagang dengan semua negara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyertaan banyak syarikat besar dari Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China dalam Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) menunjukkan bahawa Malaysia bebas menjalin hubungan dagang dengan semua negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, NAIO adalah usaha untuk membawa Malaysia ke tahap kecerdasan buatan (AI) melalui inovasi, dengan penglibatan inklusif serta menekankan nilai dan etika tempatan.

Bagaimanapun, katanya penyertaan syarikat besar dari negara seperti AS, Eropah dan China dalam NAIO menunjukkan bahawa pendirian dagang dan sikap Malaysia bersahabat dengan semua negara.

“Kita lihat umpamanya banyak penyertaan yang besar dari AS kerana masih mengetuai bidang penguasaan teknologi maklumat dan AI.

“Kita juga dapat penyertaan banyak dari Eropah, dari negara China dengan Huawei dan ZTE.

“Ini menunjukkan bahawa sikap kita, negara yang bebas jalin hubungan dengan semua negara dan menekankan keperluan meningkatkan hubungan dagang melalui perjanjian perdagangan (FTA) dan beberapa hubungan perdagangan perjanjian peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran NAIO di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Untuk rekod, antara syarikat dalam dan luar negara terbabit dalam NAIO adalah Toshiba, Global AI Village, YTL, Microsoft, Google dan Amazon Web Service.

Anwar berkata, suatu yang agak istimewa dan unik kerana bidang digital mampu melonjak ekonomi sesebuah negara yang mana ekonomi digital bakal menjadi tunjang masa depan dunia.

“Disebut tentang kekuatan di ASEAN, saya masih ingat umpamanya daripada laporan dikaitkan dengan McKinsey Global Institute (MGI) untuk dunia sebelum 2030 (yang mana) kekuatan ekonomi itu (digital) akan mencecah hampir AS$13 trilion.

“Jika kajian World Economic Forum (WEF) dari segi peluang pekerjaan, itu (akan mewujudkan) mencecah hampir 100 juta pekerja baharu di dunia, hanya untuk 2025.

“Kemudian untuk negara kita, (Datuk Seri) Tengku Zafrul (Tengku Abdul Aziz) (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri) maklumkan (sumbangan ekonomi digital) mungkin mencecah sehingga 23 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara,” katanya.

Atas sebab itu, Perdana Menteri berkata peralihan agenda ekonomi dari getah dan bijih timah kepada kelapa sawit dan industri asas, sekarang sudah melonjak kepada bidang digital.

“Kita jangka dalam masa setahun ini dari apa yang saya catat 23 peratus lebih (sumbangan KDNK), kalau tahap kelajuan dan kepantasan begini, dia mungkin melonjak sehingga 25.5 peratus, sebab itu kita wujudkan Kementerian Digital,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata untuk memacu teknologi AI di negara ini memerlukan anjakan paradigma selain menangani jurang digital antara golongan elit bandar dan golongan miskin bandar serta penduduk luar bandar dan kawasan pedalaman yang terpencil.

“Hal ini tentunya tercermin dalam pelan tindakan Ekonomi Digital Malaysia kita. Kerangka digital yang dikaitkan dengan dasar negara ini bertujuan dan bermatlamat sesuatu yang besar yang belum terfikir atau terancang dan terjaga sebelum ini.

“Pada 20 hingga 30 tahun lalu, tatkala saya mengepalai Kementerian Kewangan, hal-hal ini hanya dianggap suatu permulaan, tetapi ia telah menjadi suatu kemestian.

“Ini yang dikatakan pemberdayaan mengangkat keupayaan kita dan mengharapkan dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi,” katanya yang turut menegaskan negara pendapatan tinggi hanya akan berlaku sekiranya ia didorong oleh digital.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular