25.2 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 16, 2026
Home Blog Page 151

Langkah proaktif perkasa industri automotif Malaysia, PEKEMA jalin kerjasama dengan UUM

editormaxinfo@gmail.com

CYBERJAYA – Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) menjalinkan Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Universiti

Utara Malaysia (UUM) dalam usaha memperkasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) industri automotif negara.

Sebagai simbol sokongan kepada usaha ini, majlis turut menyaksikan penyerahan empat replika cek kepada UUM.

Tiga replika cek adalah geran kajian penyelidikan, manakala satu lagi penyerahan cek adalah bagi membiayai Program Biasiswa Yayasan PEKEMA yang berjumlah RM32,000.

Program Biasiswa Yayasan PEKEMA ini menzahirkan komitmen PEKEMA dalam menyokong usaha penyelidikan dan pembangunan di bidang pendidikan tinggi di Malaysia.

MoU itu turut menyaksikan kehadiran Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, bersama Prof. Dato’ Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, Naib Canselor UUM.

Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, sumbangan ini adalah sebahagian daripada inisiatif PEKEMA untuk menyokong usaha penyelidikan dan pembangunan pendidikan tinggi di Malaysia.

“Kami percaya kolaborasi ini bukan sahaja akan menghasilkan rumusan bagi memperkasa ahli-ahli PEKEMA tetapi juga akan menyumbang kepada pembangunan akademik dan modal insan, yang menjadi teras kepada kemajuan negara,” katanya.

Program biasiswa Yayasan PEKEMA yang diumumkan itu adalah inisiatif jangka panjang untuk menyokong pelajar yang berpotensi besar dalam bidang automotif, manakala geran kajian penyelidikan bertujuan menyediakan haluan strategik untuk membantu ahli-ahli PEKEMA dalam mengemudi laluan industri automotif yang dinamik.

Dengan adanya kerjasama ini, PEKEMA dan UUM berharap dapat mengukuhkan lagi sinergi antara dunia akademik dan industri.

Kesatuan idea ini seterusnya akan menyumbang kepada kemampanan dan kemajuan ekonomi Malaysia, khususnya dalam sektor automotif yang kini dipacu oleh teknologi hijau dan mesra alam.

“Gabungan kepakaran UUM dalam bidang akademik dan pengalaman PEKEMA dalam industri automotif diyakini mampu menghasilkan penyelesaian berimpak tinggi yang bakal memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan,” kata Mohamed Nazari.

Dalam ucapannya, Mohamed Nazari menekankan kepentingan jalinan ini sebagai langkah proaktif dalam memperkukuh daya tahan dan daya saing ahli PEKEMA dalam menghadapi landskap automotif yang kian mencabar.

“Melalui MOU ini, PEKEMA dan UUM akan bekerjasama rapat untuk menjalankan penyelidikan yang dapat memberikan wawasan strategik kepada ahli-ahli kami, termasuk strategi untuk inovasi produk, penambahbaikan operasi, dan penerokaan insentif cukai,” kata beliau.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata, kerjasama ini adalah langkah strategik untuk meningkatkan hubungan antara universiti dan industri.

“Penglibatan pihak industri dalam penyelidikan dan pembangunan berpotensi meningkatkan keupayaan industri tempatan.

“Kerjasama ini akan membuka pintu kepada pertukaran pengetahuan, teknologi dan sumber, mewujudkan ekosistem yang dinamik dan inovatif untuk menyokong pertumbuhan mampan industri automotif negara,” katanya.

Beliau turut menekankan UUM komited untuk menjadi rakan strategik kepada PEKEMA, khususnya dalam memperkasa sektor automotif tempatan.

Kerjasama ini memenuhi agenda transformasi universiti dan memperkukuh sinergi antara akademia dan industri, sekali gus memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Kerjasama ini juga diharap dapat menjadi panduan strategik bagi ahli PEKEMA dalam menyesuaikan diri dengan perubahan polisi sambil mengekalkan daya saing, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab automotif progresif di Asia Tenggara.

Majlis menandatangani MOU ini menandakan permulaan usaha bersama yang akan memberikan manfaat besar kepada kedua-dua pihak dan juga kepada industri automotif negara secara keseluruhan.

Majlis itu turut dihadiri oleh Penasihat PEKEMA yang juga mantan Presiden PEKEMA, Datuk Zainuddin Abd Rahman, Timbalan Presiden PEKEMA, Dato’ Wan Sazrudeen Dato’ Wan Zaid, delegasi dari Kementerian Pendidikan Tinggi dan Universiti Utara Malaysia, barisan EXCO serta ahli jawatan kuasa PEKEMA.

Kenaikan tambang feri ke Langkawi untuk warga Malaysia dibatalkan

editormaxinfo@gmail.com

ALOR SETAR – Susulan nasihat Kementerian Pengangkutan (MOT), Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd membatalkan kenaikan kadar tambang feri yang dijadualkan dikuatkuasakan 1 Januari depan. 

Pengurus Besar Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom berkata, pembatalan itu membabitkan kenaikan kadar tambang yang ditetapkan bagi warganegara Malaysia.

Namun begitu, katanya, kenaikan tambang bagi pelancong asing akan dikuatkuasakan mulai tahun hadapan.

“Atas nasihat Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Kerajaan Negeri Kedah, maka kenaikan tambang bagi warganegara Malaysia mulai 1 Januari 2025 ini dibatalkan.

“Bagaimanapun, kenaikan tambang bagi pelancong asing akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, media melaporkan Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd mengumumkan kenaikan kadar tambang feri Langkawi ke Kuala Perlis dan Kuala Kedah berkuat kuasa 1 Januari 2025.

Kenaikan itu adalah di antara RM3 hingga RM10.50 sehala mengikut kategori penumpang dan laluan perjalanan.

Media kemudian melaporkan Kementerian Pengangkutan (MOT) memberi amaran untuk membatalkan pemberian subsidi diesel terhadap pengusaha feri jika meneruskan kenaikan harga tambang khususnya kepada warga tempatan dan pelancong domestik.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya berasa kesal dengan tindakan terburu-buru yang diambil oleh pengusaha feri Langkawi.

‘Aku Bukan Ustazah’ cipta fenomena baharu, satu-satunya drama Melayu dalam Top 5 Google Trends 2024

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pernah mencetuskan sensasi pada pertengahan tahun 2024, drama Aku Bukan Ustazah sekali lagi menghangatkan dunia hiburan apabila menjadi satu-satunya drama Melayu yang berjaya menembusi Top 5 rancangan TV dalam Google Trends bagi tahun 2024.

Kejayaan luar biasa itu menyaksikan drama yang pernah menghiasi slot Akasia ini menduduki tempat keempat dalam carta, bersaing rapat dengan rancangan antarabangsa, terutamanya dari Korea, yang mendominasi senarai.

Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan kru produksi, tetapi juga membuktikan kemampuan industri drama tempatan untuk berdiri seiring dengan produksi antarabangsa.

Membawa nafas baharu ke layar kaca, drama ini mengetengahkan tema kekeluargaan dengan elemen islamik yang memaparkan gaya hidup individu yang berbeza.

Ia sememangnya memberi impak mendalam, membuktikan bahawa penonton masih dahagakan kisah islamik yang penuh pengajaran dan inspirasi.

Melalui pelbagai babak yang penuh emosi, drama ini mengajak penonton merenung realiti kehidupan yang tidak terjangkau, menyingkap hidup satu individu ke individu lain.

Siapa sangka, nama Aminah, Adam, dan Omar kembali mengisi ruang perbualan, membawa penonton mengimbau kembali detik-detik penuh emosi yang pernah mereka lalui sewaktu menonton drama ini.

Kejayaan drama ini terbukti dengan lambakan video reaksi di media sosial, yang bukan sahaja mencetuskan gelombang viral di tanah air, tetapi turut meraih perhatian negara jiran.

Lebih mengagumkan, drama ini juga berjaya menyatukan penonton daripada pelbagai lapisan umur, bangsa, dan agama, termasuklah geng abang motor, yang turut terhibur dengan jalan ceritanya yang mengacau jiwa.

Semua ini berkat lakonan hebat daripada barisan pelakon Aku Bukan Ustazah antaranya Erysha Emyra, MK K-Clique, Zahiril Adzim, Syad Mutalib, Haneesya Hanee, Shaza Bae, Qistina Khaled, dan Fikhree Bakar, yang berjaya menghidupkan watak masing-masing dengan berkesan, membuatkan penonton naik darah dan stres menyaksikannya.

Setiap karakter, baik utama mahupun sampingan, sememangnya telah jelas memikat hati penonton, malah memperluas lagi pengikut mereka.

Istimewanya, kejayaan drama ini turut telah membuatkan peminat setianya teruja dengan kemungkinan kembalinya Aku Bukan Ustazah untuk musim baharu di skrin televisyen.

 Walaupun masih menjadi teka-teki, pastikan anda sentiasa mengikuti perkembangan terkini agar tidak terlepas sebarang info berharga.

Kumpulan The Gadys lancar single baharu ‘Bullseye’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sering menampilkan lagu-lagu dengan melodi yang catchy, harmoni yang unik, dan mesej positif yang dekat dengan generasi muda, kumpulan The Gadys tampil dengan single terbaharu berjudul Bullseye.

Dianggotai oleh Aznie, Ayunie dan Thamiera, lagu ini, menonjolkan sisi segar dan dinamik kumpulan ini, sekaligus mengukuhkan kedudukan mereka dalam dunia muzik tempatan.

Bullseye yang dihasilkan oleh Romeo dan Shane Kennedy adalah sebuah lagu yang sarat dengan semangat dan keyakinan, menggambarkan usaha untuk mencapai sasaran hidup tanpa berputus asa.

Romeo dan Shane Kennedy juga dikenali dengan lagu-lagu The Gadys seperti Cuti Raya dan Gagal Cinta.

Mewakili The Gadys, Aznie berkata, lagu ini turut menggambarkan fokus The Gadys dalam kerjaya seni mereka.

“Macam kita tengah main ‘dart’, nak kena tepat di tengah-tengah ‘bullseye’ itu. Kalau tak kena pun kita takkan mengalah sebaliknya terus cuba.

“Secara keseluruhannya, lagu ni simbolik kepada usaha dan kesungguhan dalam mengejar apa apa yang kita nak capai.

“Ini juga salah satu sebab ‘Fan Activation’ The Gadys dilakukan di The Wedge, Petaling Jaya untuk merealisasikan MV Bullseye The Gadys.

“Inspirasi disebalik lagu ni pula sudah tentu mengenai kerja keras kami sebagai satu kumpulan. Ada yang tak percaya pada kami dan berasa macam kami tak cukup bagus.

“Tetapi, apabila fikir semula, semua itu membuatkan kami mahu menjadi lebih baik. Jadi, Bullseye ini macam satu peringatan, jangan terpengaruh dengan suara-suara negatif di luar sana. Fokus dan yakin dengan diri sendiri jika mahu maju ke hadapan,” katanya.

Dengan irama pop moden yang dipadukan elemen elektronik dan lirik yang bersemangat, lagu ini memberikan pengalaman muzik yang menghiburkan dan inspiratif.

Ayunie berkata, mereka ingin menghasilkan lagu yang bukan sahaja menghibur tetapi juga menyampaikan mesej kepada pendengar untuk terus percaya pada diri sendiri.

“Proses rakaman lagu ni memang seronok, tapi ada juga cabarannya. Untuk lagu ini memang mencabar untuk The Gadys sebab kami tak pernah nyanyi lagu pop yang rancak macam ini.

“Namun, semuanya berjalan lancar dengan bantuan cikgu vokal kami iaitu Cikgu Delly, ditambah penerbit iaitu Karazey pun banyak tolong ‘guide’ supaya lagu ini kedengaran lebih tepat dan kena dengan ‘vibe’ yang kita bayangkan dari awal.

“Boleh dikatakan yang mana lagu ini adalah simbol perjuangan dan keberanian untuk meraih impian, tidak kira apa pun cabarannya,” katanya.

Berkongsi mengenai muzik video (MV), Thamiera berkata, MV lagu itu diarahkan oleh seorang pengarah kreatif berbakat.

“Setiap warna dan elemen dalam MV ini sebenarnya ada maksud tersendiri yang mewakili perjalanan dan personaliti masing-masing.

“Kami nak pastikan setiap set ada cerita dan simbolik tersendiri, tapi semuanya tetap berkait dengan tema utama iaitu fokus dan mencapai ‘Bullseye’ dalam hidup.

“Proses penggambaran MV ini memang mencabar tapi penuh dengan momen yang tak boleh lupa. Dari awal lagi, kita semua sudah tetapkan minda yang MV ini mesti kena ‘on point’ dengan ‘vibe’ lagu yang energetik, fokus, tapi tetap ada mesej kuat di sebalik visual,” katanya.

Lagu Bullseye boleh didengar di semua platform penstriman muzik seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.

Ahmad Zahid tidak terima pemakluman Tengku Zafrul keluar UMNO

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menerima sebarang pemakluman daripada Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk keluar daripada parti itu bagi menyertai parti lain.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, setakat ini Tengku Zafrul juga tidak ada bertemu dengannya untuk membincangkan perkara itu.

“Kita tak dapat mengesahkan berita berkenaan,” katanya selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah ke-4 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan media yang mendakwa Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri akan menyertai KEADILAN untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Ahmad Zahid berkata, parti yang dibentuk dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya mengambil mana-mana ahli parti lain dalam gabungan itu bagi menjaga parti masing-masing.

Justeru, beliau menasihati semua parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk terus menjaga perpaduan yang terbina dalam gabungan itu sebaiknya.

Beliau juga turut mengingatkan ahli dan pemimpin parti untuk mengutamakan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi masing-masing.

“Apa pun agenda peribadi hendaklah diketepikan jika seseorang itu mahu partinya diberikan keutamaan.

“Kalau memberikan kepentingan peribadi sebagai keutamaan, maka kita serahkan untuk ahli-ahli menilai integriti seseorang itu,” katanya.

Dari Dapur Temu, saji lebih 200 menu tradisional setiap hari sepanjang Ramadan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sambut kehadiran Ramadan Al-Mubarak 1446 Hijrah dengan pengalaman iftar yang luar biasa di Menara Kuala Lumpur.

Istimewa ‘Dari Dapur TEMU’ yang bermula dari 5 Mac hingga 28 Mac 2025, akan membawa anda mengembara ke dunia kulinari tempatan dengan lebih 200 juadah tradisional setiap hari, mulai jam 6.30 petang hingga 9 malam di TEMU Utama, TH03, Menara Kuala Lumpur.

Seleksi Menu Istimewa Ramadan kali ini, kami menyajikan pelbagai hidangan yang pastinya menggamit selera pengunjung di Menara Kuala Lumpur, antaranya adalah:

• Kambing Golek Manja dengan perapan resipi tradisional turun temurun.

• Lidah Lembu Bakar yang lembut dan beraroma.

• Sup Power Rusuk Lembu, Urat Keting dan Perut.

Vietnamese Roll 288 dengan sos istimewa buatan sendiri ‘homemade’.

• Shawarma Ayam d’TEMU yang lembut dan berjus.

Lebih istimewa lagi, semua hidangan ini disediakan sepenuhnya oleh chef-chef berbakat dari MKL Cuisine Sdn. Bhd., yang juga anak syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd.

Tahun ini, Menara Kuala Lumpur dengan bangganya menguruskan 100 peratus penyediaan makanan dan minuman sepanjang Ramadan ini secara eksklusif untuk pengunjung.

Keindahan Pemandangan di Puncak Menara Kuala Lumpur Berbuka puasa di ketinggian 288 meter sambil menikmati panorama indah bandaraya Kuala Lumpur, sama ada ketika matahari terbenam mahupun di bawah sinaran lampu kota.

Bukan itu sahaja, pengunjung juga akan dihiburkan dengan alunan muzik santai dari kumpulan muzik Menara Kuala Lumpur, ‘The Sky Band’, yang akan memeriahkan lagi suasana iftar anda setiap hari.

Tempah tawaran ‘Early Bird’ sebelum 31 Januari 2025 untuk menikmati harga istimewa.

Ketua Pegawai Eksekutif, Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. Nazli Saad berkata, dari Dapur TEMU kali ini baginya sangat-sangat istimewa, dimana mereka menawarkan harga ‘EARLY BIRD’ yang amat berpatutan bermula sekarang sehingga 31 Januari 2025.

“Bukan itu sahaja, buat julung kalinya kami nak ‘belanja’ tiket masuk PERCUMA ke tarikan-tarikan Menara Kuala Lumpur iaitu Sky Deck, Pelantar Pemandangan TH01 dan TH04 (Observation Deck) dengan setiap pembelian pakej ‘Dari Dapur TEMU.

“Ini adalah peluang yang cukup menarik untuk dinikmati, sambil berbuka puasa, anda dapat meneroka keindahan Menara Kuala Lumpur dan semuanya dalam satu harga,” katanya.

Bagi merahmati bulan Ramadan yang mulia, Menara Kuala Lumpur juga akan mengadakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat, dimana anak-anak yatim, asnaf, pelajar madrasah,

dan sekolah tahfiz dari sekitar Lembah Klang akan dijemput untuk bersama-sama menikmati juadah berbuka puasa di Menara Kuala Lumpur.

Jangan lepaskan peluang untuk merebut tawaran istimewa ‘Early Bird’ –‘Dari Dapur TEMU’ dan rasai kelainan pengalaman berbuka puasa sambil mencipta memori Ramadan yang luar biasa di Menara Kuala Lumpur.

Untuk maklumat lanjut mengenai promosi dan acara di Menara Kuala Lumpur, hubungi talian khidmat pelangan di +603-2020 5421 atau layari media sosial rasmi @menarakl di Facebook, Instagram, dan TikTok, dan laman sesawang kltower.com.my.

Dua ratu TikTok bergabung menerusi lagu Cacaca

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dua penyanyi, Nabila Razali dan Bella Astillah, tampil dengan kolaborasi pertama mereka menerusi single terbaharu berjudul Cacaca.

Lagu ini menjanjikan satu pengalaman muzik yang segar dan penuh tenaga, mempamerkan sisi dinamik kedua-dua penyanyi berbakat ini.

Cacaca adalah sebuah lagu pop ceria dengan elemen tarian yang mengangkat tema keyakinan diri dan kebebasan bersuara.

Dengan irama yang ‘catchy’ dan lirik mudah diingati, lagu ini diyakini mampu mencipta fenomena baharu dalam kalangan pendengar.

Lagu ini menggambarkan keseimbangan antara usaha keras dan takdir dalam mengejar kejayaan.

Ia menunjukkan perjuangan untuk mencapai impian sambil menyedari kepentingan kesabaran dan ketekunan. Liriknya juga menyentuh tentang cabaran hidup yang tak terduga dan keinginan untuk mendapatkan kepuasan emosi.

Secara keseluruhannya, lagu ini menggalakkan pendengar untuk terus berusaha, memahami bahawa usaha dan nasib memainkan peranan dalam mencapai matlamat.

Proses rakaman dijalankan dengan penuh semangat dan kerjasama erat antara Nabila dan Bella, yang masing-masing turut terbabit secara langsung dalam menyampaikan mesej positif melalui lagu ini.

Nabila Razali berkata, lagu Cacaca ini sangat kena dengan karakter dan vokal dia dan Bella.

“Adib Hussin selaku penerbit muzik yang memahami karakter dan vokal kami. Ia lebih memudahkan untuk kami menyampaikan lagu ini. Alhamdulillah, semua berjalan lancar.

“Saya akui, ini sebuah lagi projek yang ‘fun’ dan menarik. Bekerjasama dengan Bella juga sangat mudah bekerja. Biarpun jadual kami masing-masing sibuk, tapi kami berdua cuba untuk memberi yang terbaik menerusi lagu ini.

“Begitu juga dengan semua pihak yang bekerjasama dengan sangat baik,” katanya.

Nabila berkata, dia berharap peminat dapat menerima dengan sepenuh hati buah tangan terbaharunya bersama Bella. Malah, Nabila meyakini bahawa kolaborasi itu adalah suatu karya yang dapat menghiburkan dan memuaskan hati peminat mereka.

“Buat masa sekarang, fokus utama saya adalah kepada lagu ini dahulu. Saya ingin memberi yang terbaik dengan segala usaha dan kreativiti saya untuk memastikan lagu ini dapat diterima dengan baik oleh seluruh peminat dan pendengar.

“Jika dalam masa akan datang terdapat peluang untuk melakukan kolaborasi lain, saya pasti akan berkongsi berita baik itu kepada semua, kerana keterbukaan dan interaksi dengan peminat sangat saya hargai,” katanya.

Sementara itu, Bella Astillah berkata, projek ini memberi pengalaman yang menyeronokkan kerana dia dan Nabila dapat menonjolkan keserasian yang unik dalam persembahan mereka.

“Proses rakaman lagu ini sebenarnya agak lucu. Ketika itu saya diberitahu bahawa ia adalah untuk nak ‘test key’ sahaja. Jadi, kami pun cuba nyanyi.

“Bila selesai, kami diberitahu itu adalah proses rakaman sebenar. Jadi, macam kena scam jugalah.

“Nasib baiklah ketika itu, kami memang sudah bersedia dari segi melodi dan lain-lain.

“Walaupun baharu dengar beberapa kali, pengalaman bekerja dengan Nabila dan lagu ini sesuatu yang menarik.

“Bagi saya, Nabila seorang yang sangat bekerja keras dan sangatlah menitikberatkan soal kualiti dalam kerja. Biarpun kita tahu ketika ini dia sedang sarat mengandung, semangat tetap hebat.

“Jadi, perkara sebegini sangat membantu. Begitu juga dengan saya. Kiranya, kami sentiasa inginkan yang terbaik,” katanya.

Diterbitkan oleh Universal Music Malaysia, lagu ciptaan Mage (Faithful Publishing), Ja’a (Faithful Publishing), Ezra Kong (Raksasa Studio) ini sudah boleh didapati di semua platform penstriman digital, termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.

Video muzik rasmi lagu ini turut dilancarkan serentak, menampilkan konsep visual yang penuh warna-warni dan koreografi bertenaga yang sesuai dengan tema lagu.

Verlune by Dato’ Jamal, cinta yang abadi dalam sebotol wangian mewah

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Meminati haruman wanita antara sebab tercetusnya idea dari penyanyi terkenal Dato Jamal Abdillah menghasilkan minyak wangi yang diberi nama Verlune by Dato’ Jamal.

Jamal, 65, berkata, bauan minyak wangi wanita lebih tahan lama dan beliau mengakui sudah menggunakannya sejak muda.

“Saya pengumpul minyak wangi dan banyak koleksi minyak wangi saya adalah minyak wangi wanita.

“Saya suka bauan wanita dan saya sedar ia lebih tahan lama, kerana itu saya kurang memakai bauan lelaki,” katanya.

Berkongsi mengenai minyak wangi yang dilancarkannya itu, Jamal berkata, ia adalah hasil ciptaannya dan diilhamkan dari rasa cinta dan penghargaan mendalamnya kepada isteri tercinta, Datin Zai Izzati.

Bukan hanya sekadar minyak wangi, produk ini adalah simbol cinta sejati dan kejayaan dalam perkahwinan mereka yang bahagia.

Berkongsi makna Verlune, Jamal berkata, ia membawa maksud “bulan” dalam bahasa Perancis.

“Nama ini dipilih kerana bulan mencerminkan ketenangan, cahaya, dan kestabilan yang saya rasai dalam menjalani kehidupan peribadi dan profesional.

“Saya melihat bulan sebagai simbol ketenangan dan kestabilan, terutamanya di tengah-tengah cabaran hidup saya sebagai seorang penyanyi.

“Bulan yang saya maksudkan itu adalah isteri saya, Datin Zai Izzati, yang sentiasa menjadi sumber kekuatan dan inspirasi saya,” katanya.

Minyak wangi Verlune by Dato’ Jamal menawarkan gabungan wangian bunga dan woody notes yang mewah, direka khas untuk mencerminkan keanggunan serta gaya hidup moden.

Ia menjadi pilihan sempurna untuk mereka yang ingin tampil dengan aura yang elegan dan berkelas.

Harga runcit untuk minyak wangi ini adalah RM198, namun sempena pelancaran eksklusif ini, pengurusan menawarkan harga promosi istimewa serendah RM149.

Verlune by Dato’ Jamal kini boleh didapati melalui platform dagangan e-digital, TikTok Shop @lecreateurdesparfum.

Jangan lepaskan peluang untuk memiliki wangian yang penuh dengan makna dan simbolik cinta ini.

Meraikan Suria 17 Tahun, Suria FM beri hadiah eksklusif untuk pendengar setia

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Bertepatan dengan ulang tahun Suria pada 24 November lalu, Suria FM mengadakan sambutan Suria 17 Tahun, Suria Penuh Memori yang berlangsung pada 6 Disember lalu.

Pada acara berkenaan, Suria FM turut mengadakan dua sesi siaran langsung TikTok yang berlangsung pada 9 pagi hingga 10 pagi dan 4 petang hingga 5 petang.

Sesi live itu disiarkan secara langsung di TikTok @SuriaMalaysia, di mana pendengar berpeluang memenangi cenderahati eksklusif Suria edisi terhad berupa t-shirt dan totebag.

Mengulas mengenai acara istimewa itu, Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid (DJ Lin), berkata, sambutan Suria 17 Tahun bukan sahaja meraikan ulang tahun mereka, tetapi turut meraikan kejayaan Suria yang telah berjaya menarik lebih 3.3 juta pendengar setiap minggu, berdasarkan keputusan GFK yang diumumkan, baru-baru ini.

“Ini adalah satu pencapaian yang membanggakan dan Suria sangat berbesar hati untuk berkongsi detik istimewa ini bersama pendengar setia kami.

“Sebagai tanda penghargaan kepada pendengar, Suria berbesar hati memberikan hadiah barangan eksklusif Suria edisi terhad kepada pendengar menerusi live Tiktok yang diadakan.

“Kami berharap acara ini akan terus mempereratkan hubungan bersama pendengar setia, terutamanya mereka yang telah menyokong kami sejak awal penubuhan Suria FM,” kata DJ Lin.

DJ Lin berkata, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pendengar, rakan media, dan klien atas sokongan yang berterusan selama 17 tahun.

“Tanpa sokongan mereka, kejayaan ini tidak mungkin tercapai dan sambutan Suria 17 Tahun ini menjadi bukti komitmen Suria FM untuk terus memberikan kandungan terbaik kepada semua pendengar di masa hadapan,” katanya.