28.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 16, 2026

Ahmad Zahid tidak terima pemakluman Tengku Zafrul keluar UMNO

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menerima sebarang pemakluman daripada Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk keluar daripada parti itu bagi menyertai parti lain.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, setakat ini Tengku Zafrul juga tidak ada bertemu dengannya untuk membincangkan perkara itu.

“Kita tak dapat mengesahkan berita berkenaan,” katanya selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah ke-4 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan media yang mendakwa Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri akan menyertai KEADILAN untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Ahmad Zahid berkata, parti yang dibentuk dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya mengambil mana-mana ahli parti lain dalam gabungan itu bagi menjaga parti masing-masing.

Justeru, beliau menasihati semua parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk terus menjaga perpaduan yang terbina dalam gabungan itu sebaiknya.

Beliau juga turut mengingatkan ahli dan pemimpin parti untuk mengutamakan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi masing-masing.

“Apa pun agenda peribadi hendaklah diketepikan jika seseorang itu mahu partinya diberikan keutamaan.

“Kalau memberikan kepentingan peribadi sebagai keutamaan, maka kita serahkan untuk ahli-ahli menilai integriti seseorang itu,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular