25.2 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 16, 2026
Home Blog Page 150

Rosmah dibebaskan, mahkamah batalkan 17 tuduhan pengubahan wang haram dan gagal isytihar pendapatan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 17 pertuduhan, termasuk 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM7 juta dan lima tuduhan kegagalan mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Keputusan itu dibuat oleh Hakim K. Muniandy, yang membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk membatalkan semua tuduhan terhadapnya.

Hakim Muniandy menyatakan bahawa tuduhan yang dikenakan terhadap Rosmah tidak mempunyai asas yang kukuh dan pihak pendakwaan gagal mengemukakan unsur kesalahan dalam tuduhan tersebut.

Rosmah, 73, telah memfailkan permohonan untuk membatalkan tuduhan ini pada September 2023, dan perbicaraan bermula pada 12 Disember tahun lalu selepas beberapa saksi memberikan keterangan.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 berhubung pengubahan wang haram, yang boleh dihukum mengikut seksyen yang sama.

Selain itu, beliau turut didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada LHDN.

Tuduhan tersebut berkait dengan kesalahan yang dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli di Jalan Ampang antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017, serta di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, antara 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Dalam keputusan bertulisnya, Hakim Muniandy berkata, mahkamah memutuskan untuk membatalkan kesemua 17 pertuduhan terhadap Rosmah setelah menilai hujah yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak.

Hakim itu turut menegaskan bahawa pertuduhan yang dikenakan berhubung pengubahan wang haram tidak menunjukkan kesalahan yang jelas dan wujud ketidakpatuhan terhadap undang-undang yang berkaitan dengan pengubahan wang haram.

Mahkamah juga menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam prosiding ini, termasuk peguam Rosmah, Amir Hamzah, serta Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, yang telah menjalankan tugas dengan profesionalisme yang tinggi.

Selain kes ini, Rosmah masih berdepan dengan prosiding rayuan terhadap keputusan Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadapnya atas tiga tuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.

Rosmah dalam rayuannya sebelum ini menyatakan bahawa prosedur dalam kes tersebut telah menjejaskan kualiti hidupnya, namun pihak pendakwaan menegaskan bahawa semua tuduhan adalah sah dan mencukupi untuk memberi notis yang jelas kepada tertuduh mengenai kesalahan yang didakwa.

Lancar Skuad Ihsan Madani SKM Prihatin dan Gerakan Koperasi, KUSKOP, SKM peruntuk lebih RM500,000 bantu mangsa banjir

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM580,000 diperuntukkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi membantu mangsa banjir yang terkesan.

Menerusi pelancaran Skuad Ihsan MADANI SKM Prihatin dan Gerakan Koperasi, sebanyak 14 buah kenderaan jenis 4×4 dan sebuah lori yang akan mewakili 14 Parlimen di seluruh negeri Kelantan dilepaskan bagi melaksanakan misi ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, daripada jumlah peruntukan itu, negeri Kelantan akan menerima peruntukan sebanyak RM200,000 berikutan negeri itu yang paling ramai terkesan dengan bencana banjir.

“Menerusi misi ini sebanyak lebih 2,000 ketua isi rumah (KIR) akan dibantu untuk negeri Kelantan dan secara keseluruhannya sebanyak 5,800 KIR akan menerima manfaat ini.

“Bantuan yang disalurkan merangkumi peralatan pembersihan kediaman dan bakul makanan, bertujuan meringankan beban mangsa banjir yang kehilangan harta benda dan menghadapi kesukaran meneruskan kehidupan harian pasca banjir,” katanya ketika melancarkan Skuad Ihsan MADANI SKM Prihatin dan Gerakan Koperasi di SKM, pagi tadi.

Beliau berkata, KUSKOP melalui SKM terus komited dan berdiri teguh bersama mangsa yang terkesan dalam bencana alam seperti banjir ini. 

“Di dalam membangunkan usahawan dan koperasi, bantuan kemanusiaan tetap menjadi keutamaan KUSKOP dan SKM,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Zamri Salleh; Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B) dan Ketua Pegawai Ekskekutif SKM, Datuk Rusli Jaafar. 

Persembahan lebih tiga jam, Konsert ‘The Journey of Sound: Datuk Seri Siti Nurhaliza & Judika’ hibur lebih 24,000 penonton

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Diarak masuk ke perkarangan Stadium Merdeka dengan menaiki kereta GTR, kehadiran biduanita negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Judika semenangnya begitu dinantikan.

Lebih 24,000 penonton menjadi saksi menyaksikan Konsert ‘The Journey of Sound: Datuk Seri Siti Nurhaliza & Judika’ yang pertama kali menggabungkan mereka berdua begitu meriah dan menghiburkan.

Masing-masing hadir mengikut tema yang diberi iaitu “putih dan denim.”

Konsert berskala besar itu menyajikan lebih 30 buah lagu secara solo dan duet bersama Judika termasuk rangkaian medley lagu hits mereka.

Sebelum hadir membuat kejutan menaiki kereta, penonton dihiburkan dengan persembahan solo daripada Faizal Tahir yang mempersembahkan tiga buah lagu iaitu Mahakarya Cinta, Sampai Syurga dan Santai.

Siti Nurhaliza dan Judika tampil ke pentas dengan mempersembahkan lagu duet popular mereka Kisah Ku Inginkan.

Antara lagu lain yang dipersembahkan ialah Aku Cinta Padamu, Kesilapanku Keegoanmu, Hati Kama, Seindah Biasa, Hati Yang Tersakiti, dan Hal Hebat, selain irama rancak seperti Nirmala dan Balqis.

Judika memulakan persembahan solo dengan himpuan lagu popularnya seperti Mama Papa Larang, Bukan Rayuan Gombal, Aku Yang Tersakiti dan banyak lagi.

Meluahkan perasaan teruja, Judika mengakui tidak menyangka dapat berkongsi pentas bersama Siti malahan turut mengadakan konsert di Kuala Lumpur bersama-sama buat pertama kalinya.

Tidak sekadar menghiburkan penonton, persembahan mereka diserikan dengan pertunjukan bunga api dan pencahayaan daripada Menara Merdeka 118, memberikan pengalaman yang tidak terlupakan kepada penonton.

Siti Nurhaliza turut meluahkan rasa teruja melihat sambutan peminat dan memberi bayangan akan menganjurkan konsert solo berirama Malaysia pada tahun hadapan.

JPA nafi keluar arahan wajibkan semua penjawat awam miliki BMI sihat

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau arahan untuk mewajibkan semua kakitangan dalam sektor itu memiliki indeks jisim badan (BMI) yang seimbang atau sihat mulai tahun depan.

JPA dalam satu kenyataan memaklumkan, Pekeliling Perkhidmatan Awam (MyPPSM) Ceraian S.R 2.5.1 Perisytiharan Rekod Kesihatan Bagi Membudayakan Gaya Hidup Sihat Pegawai Awam yang diedarkan pada 6 September 2022 lalu adalah menggalakkan semua pegawainya melaksanakan saringan kesihatan kendiri, termasuk mengambil ukuran berat badan dan tinggi bagi melihat status BMI dan diisytiharkan dalam sistem.

“Kami ingin menjelaskan bahawa sebarang kenyataan awam yang membabitkan JPA mestilah mendapat kebenaran rasmi daripada JPA.

“Selain itu, kami juga ingin mengingatkan agar JPA tidak dijadikan rujukan rasmi tanpa fakta disahkan terlebih dahulu.

“Kenyataan ini dibuat untuk memastikan maklumat yang disampaikan kepada umum adalah tepat dan tidak menimbulkan salah faham.

“JPA kekal komited untuk bekerjasama dengan KKM dalam usaha menangani isu obesiti di kalangan pegawai awam dan menyokong langkah-langkah dalam meningkatkan kesihatan awam secara keseluruhannya.

“JPA percaya penjelasan ini akan menyumbang kepada komunikasi lebih berkesan pada masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Hospital Miri, Dr Jack Wong Siew Yu pada 7 Disember mengeluarkan kenyataan bahawa JPA mewajibkan semua penjawat awam memiliki BMI yang sihat mulai tahun depan.

Kenyataan yang dibuat oleh beliau itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Maritim Malaysia terima pengiktirafan daripada agensi penguat kuasa antarabangsa

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerima pengiktirafan daripada agensi penguat kuasa antarabangsa atas kecemerlangan penguatkuasaan yang telah dijalankan selama ini.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pengiktirafan ini bukan sahaja membanggakan negara tetapi juga membuktikan keupayaan Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan maritim di kawasan perairan negara terpelihara.

Beliau menegaskan Maritim Malaysia akan terus memperkukuhkan kerjasama  dengan negara-negara luar, khususnya dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks.

“Kerjasama antarabangsa ini amat penting bagi menangani isu-isu keselamatan maritim yang tidak boleh diselesaikan secara bersendirian.

“Kita memerlukan sinergi antara negara untuk memastikan keselamatan serantau terus terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) anjuran bersama Maritim Malaysia, baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha KDN Datuk Awang Alik Jeman serta Ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah Kementerian ini.

Mohd Rosli turut menegaskan Maritim Malaysia akan meningkatkan kecekapan operasi agensi ini dengan menumpukan kepada program pembangunan kompetensi pegawai dan anggotanya.

“Latihan intensif dan peningkatan kemahiran amat penting bagi menghadapi ancaman jenayah yang semakin kompleks seperti isu pemerdagangan manusia, penyeludupan kontraband, dadah dan pencerobohan nelayan asing,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin dalam ucapan beliau pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN memaklumkan, bagi menyokong keperluan operasi Maritim Malaysia, Kerajaan MADANI memberi perhatian serius terhadap penambahan aset-aset strategik agensi ini seperti dua kapal Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV 2 dan OPV 3) yang kini pembinaannya diperhalusi bagi memastikan kapal-kapal ini dapat disiapkan.

Beliau turut mamaklumkan, sebanyak empat aset udara baharu Maritim Malaysia dijangka siap dalam tempoh dua tahun, sekali gus memperkukuhkan kawalan keselamatan di sempadan negara.

“Pada tahun hadapan, Maritim Malaysia juga akan menerima sebuah kapal Ex US Coast Guard Cutter Steadfast daripada Kerajaan Amerika Syarikat, yang bakal meningkatkan lagi keupayaan pengawasan maritim negara,” katanya.

Selain itu, Saifuddin turut menekankan keperluan kerjasama dengan Negara Vietnam dalam menangani isu pencerobohan nelayan negara berkenaan ke perairan Malaysia.

Beliau menyarankan agar satu pendekatan baharu yang lebih efektif dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah ini secara tuntas.

Pada majlis sama, turut diadakan Sesi Penyampaian Sijil Penghargaan Khas kepada enam individu yang telah menyelamatkan nyawa empat nelayan warga Indonesia yang hanyut dan terapung di perairan Pulau Jarak, Perak, pada 20 November lalu.

Majlis penghargaan ini diadakan bersempena dengan peluncuran Kempen Kesedaran Keselamatan sempena Monsun Timur Laut.

Kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang keselamatan di laut.

Anugerah ini turut mengiktiraf peranan penting komuniti maritim sebagai first responder dalam sebarang insiden kecemasan di laut.

Bas GoKL kenakan caj RM1 kepada warga asing

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM1 caj dikenakan kepada warga asing yang menggunakan kemudahan bas GoKL.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, sistem itu telah dilaksanakan secara berperingkat sejak awal tahun ini membabitkan empat laluan dan akan diteruskan kepada tiga laluan lagi pada awal Januari depan.

“Pada awal tahun ini, laluan yang telah dikenakan caj RM1 meliputi laluan 1 (hijau), 2 (ungu), 3 (merah) dan 4 (biru).

“Bermula 1 Januari depan, pengguna bukan warganegara bagi laluan 5 (jingga), 6 (merah jambu) dan 8 (merah manggis) turut akan dikenakan caj sama bagi setiap perjalanan,” katanya menerusi notis pemakluman yang dikeluarkan.

Katanya, transaksi pembayaran dibuat melalui bayaran tanpa tunai menggunakan kad touch n go, kad kredit atau kad debit.

Kenyataan itu berkata, perkhidmatan secara percuma dikekalkan kepada warganegara namun dikehendaki membuat pendaftaran sistem Mykad bagi menikmati kelebihan itu.

Selain itu katanya, perkhidmatan itu turut diberikan percuma bagi kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah.

“Warganegara yang ingin membuat pendaftaran Mykad boleh berbuat demikian melalui kaunter di hentian akhir Titiwangsa, stesen LRT Universiti (timur), hentian One Maxim serta Jabatan Pengangkutan Bandar tingkat 8 Menara DBKL 2 bermula 15 Disember.

“Kaunter pendaftaran beroperasi pada Isnin hingga Jumaat antara 7 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 4 petang,” kata kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan melalui emel ke jpb@dbkl.gov.my atau talian 03-2028 2298.

Ismail Izzani bawa pengalaman luar biasa menerusi pengalaman ImanPiano 2.0 di Aquaria KLCC

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pengalaman IMANpiano2.0 yang dinantikan ramai yang diterajui oleh bintang Malaysia Ismail Izzani, telah mencipta kegemparan di Aquaria KLCC.

Acara yang unik dan mengujakan ini menampilkan pengalaman muzik yang mendalam bersama cabaran yang penuh keseronokan, yang membuatkan peminat dan hadirin teruja.

The IMANpiano Experience 2.0 adalah cara yang luar biasa untuk berjumpa dan berinteraksi dengan peminatnya.

Satu kejutan istimewa dalam acara ini ialah cabaran yang diajukan oleh Ismail Izzani sendiri, di mana beliau dengan berani mencabar Fizi dari Hot FM untuk pertaruhan yang mendebarkan: pasukan yang kalah perlu ke dalam “Rage Cage” bersamanya.

Cabaran yang menarik ini telah mencetuskan perbincangan hangat di kalangan peminat sebelum acara bermula, dan apabila acara berlangsung, keterujaan semakin memuncak.

Seperti yang dijangka, Fizi dari Hot FM menerima cabaran berkenaan dan walaupun dengan usaha kerasnya, beliau akhirnya perlu menunaikan janji.

Fizi kalah dalam cabaran itu tetapi dalam semangat kesukanan yang tinggi, Ismail memutuskan untuk turut serta terjun bersama Fizi.

Hadirin bersorak apabila Fizi dan Ismail dengan berani terjun ke dalam Rage Cage, mencipta momen yang lucu dan tidak dapat dilupakan dalam sejarah acara terbabit.

Aksi ini bukan sahaja cara yang ringan untuk berinteraksi dengan peminat, malah ia turut mempamerkan sisi ceria Ismail yang dikenali dengan personalitinya yang karismatik dan hubungan eratnya dengan peminat.

“Kami tidak dapat meminta cara yang lebih baik untuk menutup Pengalaman ImanPiano 2.0. Ia adalah perjalanan yang mendebarkan dan kehadiran pasukan Hot FM dalam cabaran ini benar-benar menghidupkan acara ini,” kata Ismail Izzani.

Ismail juga menyatakan beliau adalah peminat aktiviti lasak, oleh itu ini ialah cara yang unik untuk berhubung dan membolehkan peminatnya mengenali beliau dengan lebih dekat.

HONOR Magic7 Pro meneraju revolusi AI dengan ciri-ciri lebih canggih

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – HONOR mengumumkan telefon pintar flagship terkininya, HONOR Magic7 Pro yang akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 9 Januari 2025 depan.

Digelar sebagai ‘Flagship AI Terbaik 2025’, HONOR Magic7 Pro menyandarkan teknologi AI HONOR secara eksklusif, dan membawakan pengalaman AI yang berasaskan manusiawi.

Ketika jenama telefon pintar lain bergantung kepada sama ada teknologi awan atau AI pada peranti, HONOR meletakkan dirinya di tahap berbeza dengan menjadi jenama pertama yang memanfaatkan gabungan tercanggih kedua-dua teknologi AI.

Strategi unik ini membolehkan HONOR menyampaikan pengalaman pengguna yang lebih diperibadikan, cekap dan selamat, sekaligus meletakkannya sebagai peneraju dalam pasaran telefon pintar yang dipacu oleh AI.

HONOR Magic7 Pro menggabungkan teknologi AI pada peranti yang canggih, termasuk menjadi telefon pintar pertama di dunia dimuatkan fungsi pengesan AI Deepfake Detection dan Magic Portal 2.0.

Ciri Magic Portal 2.0 yang dipertingkatkan ini mampu memahami hasrat pengguna dan membawa mereka kepada aplikasi berkaitan, seterusnya melancarkan pengalaman pengguna.

Selain fungsi AI, ciri yang dipertingkatkan pada HONOR Magic7 Pro adalah rekaannya yang dibina untuk lebih tahan lama, kalis air dan debu lebih baik, anti-jatuhan dan keupayaan bertahan dalam suhu tinggi tanpa menjejaskan prestasi peranti.

Tandakan kalendar anda untuk menyaksikan Magis paling hebat pernah disaksikan yang membawakan penambahbaikan ‘super’ pada HONOR Magic7 Pro, 9 Januari 2025.

KRU kembali gegarkan Malaysia dengan konsert berskala besar Mei tahun depan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dengan prestasi cemerlang, pelbagai anugerah dari berkredibiliti sehingga paling popular, laungan ‘ke tepi… ke tepi… gergasi sudah kembali’ adalah sangat signifikan untuk mempersembahkan satu-satunya trio legenda negara, KRU.

KRU, trio tiga beradik, Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim mula menularkan virus dan revolusi sebuah kumpulan muzik dengan irama pop dan hip hop di Malaysia pada tahun 1992.

Lebih dua dekad, pada saat banyak trio dan kugiran memasuki pasaran tempatan, KRU tidak pernah dilupakan. KRU adalah legenda sepanjang zaman.

Karya-karya KRU dari Mengerti, Apa Saja, Fanatik, Generasiku, Awas, Gadis Jelita, Terhangat Di Pasaran, Janji Tinggal Janji, Oh La La sehingga Di Dalam Dilema sentiasa lancar dinyanyikan.

Kini daripada hanya menyanyikan karya-karya KRU di bilik karaoke atau kamar mandi, buat julung kalinya ICON ENTERTAINMENT mencetak sejarah membawa KRU kembali menakluk semua peminat dengan sebuah konsert mega yang diluar jangka.

Diberi nama KONSERT GENKRU, peminat sudah boleh mengumpul duit menanti tiga figura tersohor ini membuat persembahan memukau di atas panggung AXIATA ARENA yang dijadual berlangsung pada 3 MEI 2025.

“Adalah menjadi penghormatan buat ICON ENTERTAINMENT mempersembahan KONSERT GENKRU kerana kredibiliti dan sejarah demi sejarah yang telah dicetak KRU sejak tahun 90-an sehingga membentuk gelombang muzik yang cukup berpengaruh kepada semua generasi sehingga kini.

“Saya sebenarnya telah merisik mereka dari 1 November 2022 lagi dan akhirnya pada September 2024, mereka bersetuju dengan pinangan saya.

“Tidak ada banyak janji yang ingin saya berikan kecuali anda akan rugi besar jika tidak menghadiri KONSERT GENKRU di AXIATA ARENA pada 3 MEI 2025 kerana ini adalah penampilan sulung Norman, Yusry dan Edry selepas sudah sangat ranum dalam semua aspek industri hiburan selepas menebarkan virus ‘fanatik’ terhadap muzik tempatan yang punya kualiti hebat setaraf muzik dunia,” kata Pengasas ICON ENTERTAINMENT, Iman Tang.

Sementara itu, KRU menyambut baik penganjuran GENKRU sesuai dengan kembalinya mereka ke ranah hiburan nusantara selepas 33 tahun berada dalam idnsurti.

Memasarkan karya dengan judul Kaset yang mempunyai nostalgia tersendiri buat KRU dan generasi yang membesar bersama karya-karya hebat mereka, KRU siap mempamerkan sebuah konsert mega selepas kali terakhir membuat persembahan di Istana Budaya menerusi Konsert GenerasiKRU25 pada Mei 2018.

“Selepas lebih enam tahun tidak membuat konsert berskala besar bersama KRU, kami menerima cadangan ICON ENTERTAINMENT menganjurkan KONSERT GENKRU kerana mempunyai misi dan visi yang sama dengan kami.

“KONSERT GENKRU bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi akan menjadi sebuah sejarah perjalanan lebih 30 tahun KRU dalam merevolusikan muzik tempatan setaraf dengan muzik Nusantara dan antarabangsa.

“Konsert ini akan menjadi medan peminat melihat transisi KRU dari generasi 90-an sehingga berkembang dan membina empayar kami pada masa kini,” kata KRU.

Enggan berkongsi butiran lanjut mengenai konsep dan persembahan yang dipamerkan pada KONSERT GENKRU, trio ini berikrar ia akan menjadi sebuah konsert epik di tahun 2025 buat seluruh peminat muzik tempatan.

Untuk menjadi salah seorang saksi mata, telinga serta jiwa dalam sejarah penganjuran konsert paling epik 2025, jangan terlepas membeli tiket-tiket mengikuti kategori harga yang ditetapkan.

Harga tiket bermula dari kategori OOH!LA!LA! (RM258), AWAS(RM358), MENGERTI (478), TERHANGAT DI PASARAN (RM508), APASAJA(RM548) dan FANATIK (RM588).

Sebarang pembelian kunjungi WWW.TICKET2U.COM.MY/KRU mulai 20 Disember 2024, jam 11 pagi.