25.2 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 16, 2026
Home Blog Page 149

HONOR Magic V3 dinamakan antara Ciptaan Terbaik TIME Tahun 2024

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – HONOR dengan bangganya mengumumkan HONOR Magic V3 telah mendapat tempat dalam senarai Ciptaan Terbaik 2024 yang berprestij oleh media antarabangsa terkemuka, TIME.

Dengan pengiktirafan yang diperolehi daripada peneraju industri, rakyat Malaysia dan pakar teknologi, HONOR Magic V3 mentakrif semula kategori telefon boleh lipat dengan gabungan luar biasa yang merangkumi rekaan canggih, kefungsian lancar, dan ketahanan tiada tandingan.

HONOR Magic V3 Menerima Pujian Daripada Peneraju Industri

Terkenal dengan rekaan yang moden dan ultra nipis, HONOR Magic V3 telah menarik perhatian pengendali teknologi terkemuka dunia, antaranya CNN, Android Authority, Gadget Match, dan Tech Radar.

Dengan ketebalan 9.2mm apabila dilipat dan seberat hanya 226g, HONOR Magic V3 berhak dinobatkan sebagai telefon boleh lipat paling nipis dan ringan dalam pasaran.

HONOR Magic V3 turut menawarkan pengalaman pengguna yang transformatif. Apabila lipatan dibuka, paparan luasnya menjadi platform untuk multitugas secara lancar, menjadikannya peranti sempurna untuk pengguna bekerja dan bersantai.

“Sekali lagi, HONOR telah mencetus magis menerusi Magic V3 dengan mempersembahkan telefon boleh lipat paling nipis dan ringan dalam pasaran,” menurut Android Authority.

Sentimen ini disokong oleh Tom’s Guide, yang memberi tumpuan kepada keupayaan prestasi tinggi dan rekaan moden HONOR Magic V3 berbanding telefon boleh lipat tradisional.

Dengan menawarkan keseimbangan mudah alih dan inovasi, peranti ini memberikan pengalaman pengguna yang versatil dan premium yang memudahkan peralihan antara mod skrin kompak dan luas dengan lancar.

Pandangan Pengguna Sebenar – Mengapa Ramai Terpesona Dengan HONOR Magic V3

Beberapa penguji beta HONOR Magic V3 turut berkongsi pengalaman mereka mereka selepas meggunakan peranti ini.

“Ia amat nipis dan ringan, menjadikannya mesra poket dan mudah dipegang,” kata Ian Thang Cheok Hung yang kagum dengan kekukuhan peranti tersebut selepas ia beberapa kali terjatuh tanpa sarung, sekaligus membuktikan ketahanan HONOR Magic V3 dalam situasi harian.

Selain itu, ciri-ciri keselesaan mata HONOR Magic V3 telah menerima pujian daripada pengguna yang kecenderungan mata penat atau mabuk pergerakan.

Penguji beta Lim Kok Wei berkata, “Saya tidak pernah mengalami keletihan mata semasa menggunakan HONOR Magic V3 dalam masa yang panjang, walaupun saya mudah mengalami mabuk pergerakan,” katanya.

Inovasi ini memberikan keselesaan visual yang lama, menjadikan HONOR Magic V3 sangat sesuai untuk kegunaan dalam tempoh yang panjang.

HONOR Magic V3 turut menonjol dengan perkakasan yang praktikal bagi golongan profesional. Salah seorang pengguji beta, Dzulmajdi Mohamed Zom memberi pujian kepada ciri penyalinan rakaman suaran yang boleh menterjemah rakaman ke dalam teks Bahasa Malaysia secara automatik.

“Peranti ini perkakas yang amat bernilai untuk tugasan saya, terutamanya semasa mesyuarat dan persidangan. Ia menjadikan catatan nota lebih cekap dan lancer,” katanya.

Ketahanan HONOR Magic V3 dalam situasi sebenar juga menjadi perhatian, seperti dilalui oleh Naveena Jeevan Kumar: “Bayi saya mengambil telefon itu, menggigit dan menutupnya dengan kasar tetapi ia masih berfungsi dengan baik!”

Ketua Pegawai Eksekutif HONOR, George Zhao menzahirkan kebanggaan jenama atas pengiktirafan ini: “Kami amat berbesar hati dengan pengiktirafan kepada HONOR Magic V3 sebagai antara Ciptaan Terbaik TIME bagi 2024, menandakan dedikasi kami terhadap inovasi dan kualiti.

“HONOR Magic V3 mewakili langlah seterusnya dalam evolusi telefon boleh lipat, menggabungkan rekaan mengagumkan dengan kefungsian luar biasa,” katanya.

Menerusi rekaan mengagumkan, prestasi hebat, dan ciri-ciri praktikal, HONOR Magic V3 terus melangkaui sempadan teknologi mudah alih, menetapkan tanda aras untuk peranti boleh lipat pada 2024 dan akan datang.

Kerajaan MADANI yakin menang jika PRU diadakan sekarang -Anwar Ibrahim

editormaxinfo@gmail.com

SUBANG JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyuarakan keyakinannya bahawa Kerajaan MADANI mempunyai kelebihan untuk memenangi pilihan raya umum (PRU) jika diadakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, keyakinan itu berasaskan kepada kerangka pentadbiran yang memfokuskan kepada pengurusan ekonomi yang mantap.

“Jika pilihan raya umum diadakan sekarang, saya lebih yakin untuk menang. Namun, ia memerlukan usaha besar untuk memastikan agenda ekonomi berada pada landasan yang betul,” katanya pada sidang media, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Anwar juga mengakui bahawa prestasi Kerajaan MADANI, termasuk Jemaah Menteri, masih boleh ditingkatkan.

Beliau berkata, walaupun ada menteri yang cemerlang, ada juga yang masih berada di tahap sederhana.

“Adakah saya berpuas hati? Saya cuba sedaya upaya, namun masih ada ruang untuk penambahbaikan. Ada menteri yang cemerlang, ada yang sederhana, dan begitu juga dengan saya sebagai Perdana Menteri,” kata beliau.

Selain itu, Anwar menegaskan bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan sebarang kes salah guna kuasa dalam kalangan anggota Kabinet.

Dalam tempoh dua tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, beliau memerangi amalan lama seperti rundingan terus projek dan pengambilalihan komisen yang tidak sah.

“Ini bukan sahaja membabitkan menteri, tetapi juga pegawai kerajaan. Kami menekankan soal tatakelola yang telus. Ada kes-kes lama yang masih perlu diselesaikan, dan kami akan terus ambil langkah untuk memperbaikinya,” katanya.

Anwar juga memberi peringatan bahawa kerajaan perlu menghormati proses undang-undang walaupun kadang-kadang penguatkuasaannya agak perlahan.

Beliau turut mengingatkan bahawa badan kehakiman harus kekal bebas, walaupun ada keputusan kes tertentu yang tidak dipersetujui oleh beliau.

“Walaupun ada tokoh politik yang lantang mempertahankan rasuah, saya percaya penguatkuasaan mesti berjalan. Saya tidak sabar dengan kelambatan ini, namun kita perlu hormati proses undang-undang yang ada,” katanya.

Mengenai penilaian yang dilakukan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) terhadap prestasi kerajaan, Datuk Seri Anwar berkata pihaknya terbuka dengan sebarang penilaian.

Namun, beliau berpendapat bahawa aspek penting seperti rasuah, tatakelola, dan pengurusan ekonomi sering diabaikan dalam penilaian terbabit.

Beliau juga menegaskan bahawa agenda reformasi memerlukan masa dan tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh setahun atau dua tahun.

Walaupun demikian, usaha-usaha reformasi tetap berjalan, termasuk pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Mengulas mengenai mesyuarat Kabinet terbaru, Anwar berkata, beberapa idea telah dibangkitkan, antaranya berkaitan penambahbaikan dalam tindakan terhadap kes-kes tertentu.

“Ada cadangan untuk mengadakan ‘retreat’ pada Januari untuk menilai kekuatan dan kelemahan kita,” katanya.

Anwar juga tidak menafikan adanya kritikan terhadap isu-isu seperti penangkapan, rasuah, dan tindakan polis, serta peranan media dalam menangani isu moral.

“Jika terdapat penguatkuasaan yang keterlaluan, saya akui dan kami akan memperbaikinya,” katanya lagi.

Waspada keselamatan laut semasa cuti musim perayaan – Maritim Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Ketika musim cuti sekolah dan perayaan Hari Krismas yang bakal disambut pada 25 Disember ini, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, mengingatkan orang ramai untuk meningkatkan tahap keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut.

Beliau menekankan pentingnya pemakaian jaket keselamatan serta memastikan bot yang digunakan berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan sebarang insiden.

Peringatan ini menjadi lebih penting memandangkan cuaca yang tidak menentu pada penghujung tahun akibat Monsun Timur Laut yang boleh menyebabkan perubahan keadaan cuaca secara tiba-tiba.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana (BCLBB) Maritim Malaysia, sebanyak 3,275 kes insiden laut telah direkodkan dari tahun 2006 hingga 20 Disember 2024, melibatkan 16,420 mangsa.

Dari jumlah tersebut, 1,643 mangsa dilaporkan meninggal dunia dan 777 mangsa masih hilang. Bagi tahun 2024 sahaja, sebanyak 216 kes insiden laut telah direkodkan dengan 1,253 mangsa terlibat.

Daripada jumlah itu, 62 orang dilaporkan meninggal dunia dan 26 lagi masih hilang.

Mohd Rosli turut mengingatkan pengendali bot penumpang untuk memastikan bot yang digunakan berada dalam keadaan baik serta menyediakan jaket keselamatan untuk penumpang. Selain itu, pengendali bot juga diminta untuk tidak membawa penumpang melebihi kapasiti yang ditetapkan demi memastikan keselamatan bersama.

Beliau juga menyeru orang ramai untuk segera melaporkan sebarang insiden atau kecemasan di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim yang terdekat bagi tindakan segera.

Dengan langkah-langkah keselamatan ini, Maritim Malaysia berharap semua rakyat Malaysia dapat menikmati cuti perayaan dengan selamat tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

 

Tan Bin Shen umum tinggalkan BAM, tamatkan perjalanan bersama beregu negara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan bahawa jurulatih beregu negara, Tan Bin Shen, akan meninggalkan badan induk terbabit pada 13 Januari depan.

Perkhabaran itu mengejutkan dunia sukan tanah air, setelah beliau berkhidmat sebagai jurulatih sejak 2020.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, dalam kenyataannya menyampaikan ucapan terima kasih kepada Bin Shen atas dedikasi dan sumbangan besar beliau kepada badminton negara.

“Bin Shen telah memberi impak yang signifikan dalam pembangunan badminton Malaysia. Komitmennya untuk membentuk bakat serta juara amat dihargai.

“Kami amat berterima kasih atas segala usaha dan kerja keras beliau,” katanya.

Tan Bin Shen menyertai BAM sebagai jurulatih beregu lelaki pada tahun 2020 dan memainkan peranan penting dalam kejayaan pasangan beregu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, yang telah mengukir nama di pentas dunia dan Olimpik.

Kejayaan mereka menjadi bukti hasil usaha gigih dan bimbingan beliau.

BAM juga menyatakan bahawa mereka akan mengumumkan pengganti Bin Shen dalam masa terdekat untuk memastikan kesinambungan prestasi tinggi dalam sukan badminton negara.

Dalam satu kenyataan, Bin Shen mengungkapkan rasa bangga dan kepuasan atas perjalanan bersama pasukan beregu lelaki.

“Ia adalah satu perjalanan yang memuaskan bekerja bersama pasukan beregu lelaki. Saya bangga dengan pencapaian yang telah kami raih, dan saya tidak sabar untuk menghadapi cabaran baharu yang akan datang,” katanya.

Dengan perpisahan ini, dunia badminton negara kini menantikan langkah seterusnya, serta siapa yang akan mengambil alih tugas berat untuk terus mengharumkan nama Malaysia di arena antarabangsa.

Along Cham hadapi dua pertuduhan miliki ganja, mengaku tidak bersalah

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Pelakon dan pelawak terkenal, Muhammad Nizamuddin Ahmad, 41, atau lebih dikenali sebagai Along Cham, dihadapkan ke mahkamah hari ini dengan dua pertuduhan berasingan berkaitan kesalahan memiliki ganja.

Pertuduhan pertama membabitkan ganja seberat 58.23 gram, manakala pertuduhan kedua melibatkan ganja seberat 2.07 gram.

Bagaimanapun, Along Cham mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan dua hakim yang berbeza.

Di Mahkamah Sesyen, Along didakwa memiliki ganja seberat 58.23 gram di sebuah rumah di Cyber 9, Cyberjaya pada jam 3.10 petang, 14 Disember lalu.

Pertuduhan ini dikemukakan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, dan dia berdepan hukuman berat di bawah Seksyen 39A (2) akta yang sama, iaitu penjara seumur hidup atau tempoh tidak kurang lima tahun, serta sebat tidak melebihi 10 sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin, dalam prosiding tersebut memaklumkan bahawa kesalahan ini tidak boleh dijamin.

Namun, Along memohon supaya diberi jaminan atas alasan mempunyai anak yang akan mula bersekolah pada tahun hadapan.

” Saya merayu jaminan kerana ada anak mula bersekolah,” kata Along dalam rayuannya.

Walaupun demikian, Hakim Ahmad Fuad Othman menegaskan bahawa mengikut undang-undang, kesalahan ini tidak boleh dijamin, dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 27 Januari depan untuk laporan kimia.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Along turut menghadapi pertuduhan kedua berkenaan dengan ganja seberat 2.07 gram.

Dia sekali lagi mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Muhamad Bukhori Ruslan. Perbicaraan bagi kes ini ditetapkan pada 28 Februari tahun hadapan.

Kehadiran Along di mahkamah turut ditemani oleh isterinya, Afreena Suhaimi, serta pengurusnya, Farid Shahril.

Dapur Shangri-La Kuala Lumpur raih sijil halal, janji pengalaman menyantap tanpa ragu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Shangri-La Hotel Kuala Lumpur baru-baru ini menerima pengiktirafan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk beberapa dapur miliknya.

Sijil ini meliputi operasi bankuet hotel dan restoran bufet terkenal, Lemon Garden, yang menyajikan hidangan tempatan dan antarabangsa.

Pengurus Besar Shangri-La Kuala Lumpur, Daniel Karflein berkata, pencapaian ini semakin mengukuhkan komitmen hotel terbabit dalam menyediakan pengalaman bersantap yang bukan sahaja berkualiti tinggi tetapi juga halal, memberi jaminan kepada tetamu untuk menikmati hidangan tanpa keraguan.

“Kami amat berbesar hati menerima pensijilan halal daripada Jakim.

“Kami akan terus menawarkan layanan mesra dan menyajikan hidangan yang memenuhi piawaian tertinggi dari segi kualiti, keaslian, serta pematuhan halal,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dipetik oleh portal businesstoday.com.

Bagi penggemar makanan, Lemon Garden menawarkan pelbagai hidangan bufet yang meriah, termasuk stesen masak langsung dengan pilihan hidangan Melayu tempatan, daging panggang segar, dan piza bakar.

Shangri-La Kuala Lumpur juga menyediakan perkhidmatan katering dan jamuan untuk pelbagai acara, semuanya dengan pensijilan halal yang memberi jaminan kepada pelanggan.

Dengan sijil halal ini, Shangri-La Kuala Lumpur terus memperkukuhkan reputasinya sebagai destinasi pilihan untuk pengunjung yang mengutamakan hidangan berkualiti dan halal.

Konvensyen Amanah Johor fokus kerjasama dengan UMNO, putuskan kerusi Muda

editormaxinfo@gmail.com

JOHOR BAHRU – Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) Johor yang bakal berlangsung pada Sabtu ini akan memberi tumpuan kepada kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Aminolhuda Hassan, Pengerusi Amanah Johor, berkata selain itu, persediaan untuk PRU16 juga akan menjadi agenda utama, termasuk perbincangan mengenai kerusi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa dan Parlimen Muar yang kini disandang oleh wakil rakyat dari Parti Ikatan Demokratik (Muda).

“Antara perkara yang akan dibincangkan dan diputuskan dalam konvensyen kali ini adalah berkaitan kerjasama dengan UMNO/BN bagi menghadapi PRN dan PRU yang akan datang.

“Tema konvensyen kali ini adalah ‘Membugar Kekuatan Mendepani Pilihan Raya’, yang lebih menekankan persediaan kami untuk menghadapi PRU16,” kata Aminolhuda.

Aminolhuda, yang juga Ahli Parlimen Sri Gading, menambah bahawa antara isu lain yang turut diketengahkan adalah berkaitan dengan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pulau Batu Puteh, yang telah lama diperjuangkan oleh pihaknya.

Konvensyen ini akan berlangsung di sebuah resort di Skudai dan dirasmikan oleh Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Sebelum ini, Amanah Johor turut menuntut penubuhan Kerajaan Perpaduan di Johor, selaras dengan seruan yang dibuat di peringkat pusat.

Pihak Amanah menegaskan bahawa wakil mereka serta rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) perlu diberikan tempat dalam kepimpinan kerajaan negeri, walaupun BN kini menguasai dengan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selain itu, Amanah Johor turut mencadangkan agar kerusi Muda di Parlimen Muar dan DUN Puteri Wangsa diserahkan kepada PH pada pilihan raya akan datang.

Pada PRN Johor Mac 2022, BN memperoleh kemenangan besar dengan meraih 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

PH memenangi 13 kerusi, dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala PKR, Amanah, dan Muda masing-masing memperoleh satu kerusi.

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) hanya memenangi tiga kerusi, yang terdiri daripada Bersatu (dua) dan Pas (satu).

Anwar Ibrahim hadiri Malam Manifestasi Tiga Seni DBP

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan penuh hormat hadir pada Malam Manifestasi Tiga Seni, sebuah acara yang menggabungkan tiga seni utama – puisi, lukisan, dan lagu – dalam satu pentas yang penuh makna.

Kehadiran beliau yang tiba tepat pada jam 8 malam disambut dengan penuh kehangatan oleh kira-kira 1,000 tetamu, termasuk tokoh-tokoh seni dan budaya tanah air.

Tetamu dihidangkan dengan persembahan deklamasi puisi oleh tokoh sastera negara, selain persembahan muzik oleh beberapa artis terkenal, antaranya Datuk Ramli Sarip dan Asmidar.

Dalam acara yang penuh dengan keberkatan seni ini, Sasterawan Sarawak, Dr. Abang Patdeli Abang Muni, turut mendeklamasikan puisi, bersama dengan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Setiausaha Politik Kanan Anwar.

Kehadiran Sasterawan Negara, Datuk Seri Abdul Samad Muhammad Said (A Samad Said), serta Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Anwar Ridhwan, turut memeriahkan acara yang penuh makna ini.

Sebelum mengakhiri lawatannya, Anwar sempat mengunjungi pameran seni halus yang mempamerkan karya-karya daripada tujuh seniman visual Malaysia yang dipamerkan di pekarangan Balai Budaya Tun Syed Nasir di Wisma DBP.

Acara yang bermula sejak awal 1970-an ini telah dihidupkan semula di Wisma DBP malam ini, menggamit kenangan dan semangat seni yang terus berkembang.

Sejak penubuhannya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus menjadi pusat utama bagi seniman dan budayawan untuk berkumpul, berkarya, dan mempersembahkan hasil seni mereka kepada khalayak.

DBP kekal menjadi pilihan utama bagi pelbagai acara ilmu, seni, dan budaya, yang secara langsung memperkembangkan bahasa dan persuratan Melayu kepada masyarakat.

Triad: Lagenda rock, tiga kumpulan ikonik, satu pentas

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Buat pertama kali dalam sejarah, lagenda rock Malaysia, Dato’ Awie, yang terkenal dengan vokal yang memukau, bakal membuat kemunculan epik dalam konsert yang pasti dikenang, Triad.

 

Awie akan muncul sebagai penyanyi utama untuk tiga kumpulan rock ikonik: Wings, Search Kid Din, dan juga Dragon Malaya, yang kini dianggotai oleh Lan Taro, Eddie Def Gab C, dan Pae.

 

Ditubuhkan pada tahun 1998, Dragon Malaya telah menjadi kumpulan pengiring untuk persembahan solo Awie, termasuk album solo beliau, Rentap, yang menampilkan lagu ikonik seperti Kuda Tiga Kaki dan Bumi Kita Ada Naga.

 

Konsert yang dianjurkan oleh Rumah Produksi Merah, milik Awie, ini akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 14 Februari 2025, jam 8.30 malam.

 

Konsert Triad bukan sahaja akan mencipta sejarah, tetapi juga berpotensi memasuki The Malaysian Book of Records, apabila seorang penyanyi utama menggabungkan tiga kumpulan rock besar dalam satu pentas.

 

Awie akan membawa peminat menyelami semangat rock dengan barisan lagu-lagu nostalgia yang pasti tidak akan dilupakan.

 

“Triad adalah tentang penyatuan iaitu menyatukan bunyi, tenaga, jiwa, dan semangat rock yang sejati. Ini bukan sekadar konsert, tetapi satu malam yang akan mencipta sejarah dan menghidupkan semangat rock.

 

“Alhamdulillah, ini akan menjadi kenyataan. Saya teruja untuk berkongsi pentas bersama penyokong dan rakan-rakan lagenda di malam yang luar biasa ini,” kata Awie.

 

Awie berkata, konsert ini adalah impian yang akhirnya menjadi kenyataan, selain turut mencatatkan nama dalam The Malaysian Book of Records.

 

Menggabungkan tiga kumpulan ikonik dan seorang penyanyi utama bukanlah satu tugas yang mudah.

 

“Ia memerlukan doa, fokus, dedikasi, dan komitmen untuk memastikan kesihatan serta stamina berada pada tahap maksimum.

 

“Semua ini perlu dijaga untuk memberikan persembahan terbaik kepada penyokong seni tanah air. Dengan izin Allah SWT. ARTFORALL,” katanya lagi.

 

ONE CONQUER ALL – Konsert TRIAD ini adalah simbol kesatuan dan kehebatan muzik rock Malaysia. Gabungan unik ini bukan sahaja bakal menggegarkan malam anda, tetapi juga akan menjadi momen penting dalam sejarah muzik tanah air.

 

Tiket untuk konsert TRIAD sudah mula dijual sejak 7 Disember lalu dan boleh didapati secara dalam talian melalui laman web https://rpm.ubertickets.asia/.

 

Maklumat tiket:

Kategori 1 (standing): RM 258

Kategori 2 (standing): RM 188

Kategori 3 (numbered seating): RM 788

Kategori 4 (numbered seating): RM 438 VIP BOX: RM 10,000

Kelebihan bag pembeli tiket Kategori 3 akan mendapat Goodies manakala bagi pembeli VIP Box pula akan mendapat sesi Meet & Greet, hidangan F&B Buffet serta Goodies.

Tiket adalah terhad dan dijangka akan habis terjual dalam masa yang singkat.

Peminat disarankan untuk mendapatkan tiket mereka seawal mungkin bagi memastikan tempat mereka di malam penuh magis dan bertenaga ini. Pastikan anda tidak ketinggalan.