editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan bahawa jurulatih beregu negara, Tan Bin Shen, akan meninggalkan badan induk terbabit pada 13 Januari depan.
Perkhabaran itu mengejutkan dunia sukan tanah air, setelah beliau berkhidmat sebagai jurulatih sejak 2020.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, dalam kenyataannya menyampaikan ucapan terima kasih kepada Bin Shen atas dedikasi dan sumbangan besar beliau kepada badminton negara.
“Bin Shen telah memberi impak yang signifikan dalam pembangunan badminton Malaysia. Komitmennya untuk membentuk bakat serta juara amat dihargai.
“Kami amat berterima kasih atas segala usaha dan kerja keras beliau,” katanya.
Tan Bin Shen menyertai BAM sebagai jurulatih beregu lelaki pada tahun 2020 dan memainkan peranan penting dalam kejayaan pasangan beregu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, yang telah mengukir nama di pentas dunia dan Olimpik.
Kejayaan mereka menjadi bukti hasil usaha gigih dan bimbingan beliau.
BAM juga menyatakan bahawa mereka akan mengumumkan pengganti Bin Shen dalam masa terdekat untuk memastikan kesinambungan prestasi tinggi dalam sukan badminton negara.
Dalam satu kenyataan, Bin Shen mengungkapkan rasa bangga dan kepuasan atas perjalanan bersama pasukan beregu lelaki.
“Ia adalah satu perjalanan yang memuaskan bekerja bersama pasukan beregu lelaki. Saya bangga dengan pencapaian yang telah kami raih, dan saya tidak sabar untuk menghadapi cabaran baharu yang akan datang,” katanya.
Dengan perpisahan ini, dunia badminton negara kini menantikan langkah seterusnya, serta siapa yang akan mengambil alih tugas berat untuk terus mengharumkan nama Malaysia di arena antarabangsa.

