27.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 18, 2026

Along Cham hadapi dua pertuduhan miliki ganja, mengaku tidak bersalah

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Pelakon dan pelawak terkenal, Muhammad Nizamuddin Ahmad, 41, atau lebih dikenali sebagai Along Cham, dihadapkan ke mahkamah hari ini dengan dua pertuduhan berasingan berkaitan kesalahan memiliki ganja.

Pertuduhan pertama membabitkan ganja seberat 58.23 gram, manakala pertuduhan kedua melibatkan ganja seberat 2.07 gram.

Bagaimanapun, Along Cham mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan dua hakim yang berbeza.

Di Mahkamah Sesyen, Along didakwa memiliki ganja seberat 58.23 gram di sebuah rumah di Cyber 9, Cyberjaya pada jam 3.10 petang, 14 Disember lalu.

Pertuduhan ini dikemukakan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, dan dia berdepan hukuman berat di bawah Seksyen 39A (2) akta yang sama, iaitu penjara seumur hidup atau tempoh tidak kurang lima tahun, serta sebat tidak melebihi 10 sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin, dalam prosiding tersebut memaklumkan bahawa kesalahan ini tidak boleh dijamin.

Namun, Along memohon supaya diberi jaminan atas alasan mempunyai anak yang akan mula bersekolah pada tahun hadapan.

” Saya merayu jaminan kerana ada anak mula bersekolah,” kata Along dalam rayuannya.

Walaupun demikian, Hakim Ahmad Fuad Othman menegaskan bahawa mengikut undang-undang, kesalahan ini tidak boleh dijamin, dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 27 Januari depan untuk laporan kimia.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Along turut menghadapi pertuduhan kedua berkenaan dengan ganja seberat 2.07 gram.

Dia sekali lagi mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Muhamad Bukhori Ruslan. Perbicaraan bagi kes ini ditetapkan pada 28 Februari tahun hadapan.

Kehadiran Along di mahkamah turut ditemani oleh isterinya, Afreena Suhaimi, serta pengurusnya, Farid Shahril.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular