29.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 10, 2026

Konvensyen Amanah Johor fokus kerjasama dengan UMNO, putuskan kerusi Muda

editormaxinfo@gmail.com

JOHOR BAHRU – Konvensyen Parti Amanah Negara (Amanah) Johor yang bakal berlangsung pada Sabtu ini akan memberi tumpuan kepada kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Aminolhuda Hassan, Pengerusi Amanah Johor, berkata selain itu, persediaan untuk PRU16 juga akan menjadi agenda utama, termasuk perbincangan mengenai kerusi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa dan Parlimen Muar yang kini disandang oleh wakil rakyat dari Parti Ikatan Demokratik (Muda).

“Antara perkara yang akan dibincangkan dan diputuskan dalam konvensyen kali ini adalah berkaitan kerjasama dengan UMNO/BN bagi menghadapi PRN dan PRU yang akan datang.

“Tema konvensyen kali ini adalah ‘Membugar Kekuatan Mendepani Pilihan Raya’, yang lebih menekankan persediaan kami untuk menghadapi PRU16,” kata Aminolhuda.

Aminolhuda, yang juga Ahli Parlimen Sri Gading, menambah bahawa antara isu lain yang turut diketengahkan adalah berkaitan dengan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pulau Batu Puteh, yang telah lama diperjuangkan oleh pihaknya.

Konvensyen ini akan berlangsung di sebuah resort di Skudai dan dirasmikan oleh Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Sebelum ini, Amanah Johor turut menuntut penubuhan Kerajaan Perpaduan di Johor, selaras dengan seruan yang dibuat di peringkat pusat.

Pihak Amanah menegaskan bahawa wakil mereka serta rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) perlu diberikan tempat dalam kepimpinan kerajaan negeri, walaupun BN kini menguasai dengan 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selain itu, Amanah Johor turut mencadangkan agar kerusi Muda di Parlimen Muar dan DUN Puteri Wangsa diserahkan kepada PH pada pilihan raya akan datang.

Pada PRN Johor Mac 2022, BN memperoleh kemenangan besar dengan meraih 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

PH memenangi 13 kerusi, dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala PKR, Amanah, dan Muda masing-masing memperoleh satu kerusi.

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) hanya memenangi tiga kerusi, yang terdiri daripada Bersatu (dua) dan Pas (satu).

ARTIKEL BERKAITAN

Popular