28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, March 7, 2026

Bas GoKL kenakan caj RM1 kepada warga asing

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM1 caj dikenakan kepada warga asing yang menggunakan kemudahan bas GoKL.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, sistem itu telah dilaksanakan secara berperingkat sejak awal tahun ini membabitkan empat laluan dan akan diteruskan kepada tiga laluan lagi pada awal Januari depan.

“Pada awal tahun ini, laluan yang telah dikenakan caj RM1 meliputi laluan 1 (hijau), 2 (ungu), 3 (merah) dan 4 (biru).

“Bermula 1 Januari depan, pengguna bukan warganegara bagi laluan 5 (jingga), 6 (merah jambu) dan 8 (merah manggis) turut akan dikenakan caj sama bagi setiap perjalanan,” katanya menerusi notis pemakluman yang dikeluarkan.

Katanya, transaksi pembayaran dibuat melalui bayaran tanpa tunai menggunakan kad touch n go, kad kredit atau kad debit.

Kenyataan itu berkata, perkhidmatan secara percuma dikekalkan kepada warganegara namun dikehendaki membuat pendaftaran sistem Mykad bagi menikmati kelebihan itu.

Selain itu katanya, perkhidmatan itu turut diberikan percuma bagi kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah.

“Warganegara yang ingin membuat pendaftaran Mykad boleh berbuat demikian melalui kaunter di hentian akhir Titiwangsa, stesen LRT Universiti (timur), hentian One Maxim serta Jabatan Pengangkutan Bandar tingkat 8 Menara DBKL 2 bermula 15 Disember.

“Kaunter pendaftaran beroperasi pada Isnin hingga Jumaat antara 7 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 4 petang,” kata kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan melalui emel ke jpb@dbkl.gov.my atau talian 03-2028 2298.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular