33.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 16, 2026

Maritim Malaysia terima pengiktirafan daripada agensi penguat kuasa antarabangsa

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerima pengiktirafan daripada agensi penguat kuasa antarabangsa atas kecemerlangan penguatkuasaan yang telah dijalankan selama ini.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pengiktirafan ini bukan sahaja membanggakan negara tetapi juga membuktikan keupayaan Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan maritim di kawasan perairan negara terpelihara.

Beliau menegaskan Maritim Malaysia akan terus memperkukuhkan kerjasama  dengan negara-negara luar, khususnya dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks.

“Kerjasama antarabangsa ini amat penting bagi menangani isu-isu keselamatan maritim yang tidak boleh diselesaikan secara bersendirian.

“Kita memerlukan sinergi antara negara untuk memastikan keselamatan serantau terus terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) anjuran bersama Maritim Malaysia, baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha KDN Datuk Awang Alik Jeman serta Ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah Kementerian ini.

Mohd Rosli turut menegaskan Maritim Malaysia akan meningkatkan kecekapan operasi agensi ini dengan menumpukan kepada program pembangunan kompetensi pegawai dan anggotanya.

“Latihan intensif dan peningkatan kemahiran amat penting bagi menghadapi ancaman jenayah yang semakin kompleks seperti isu pemerdagangan manusia, penyeludupan kontraband, dadah dan pencerobohan nelayan asing,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin dalam ucapan beliau pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN memaklumkan, bagi menyokong keperluan operasi Maritim Malaysia, Kerajaan MADANI memberi perhatian serius terhadap penambahan aset-aset strategik agensi ini seperti dua kapal Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV 2 dan OPV 3) yang kini pembinaannya diperhalusi bagi memastikan kapal-kapal ini dapat disiapkan.

Beliau turut mamaklumkan, sebanyak empat aset udara baharu Maritim Malaysia dijangka siap dalam tempoh dua tahun, sekali gus memperkukuhkan kawalan keselamatan di sempadan negara.

“Pada tahun hadapan, Maritim Malaysia juga akan menerima sebuah kapal Ex US Coast Guard Cutter Steadfast daripada Kerajaan Amerika Syarikat, yang bakal meningkatkan lagi keupayaan pengawasan maritim negara,” katanya.

Selain itu, Saifuddin turut menekankan keperluan kerjasama dengan Negara Vietnam dalam menangani isu pencerobohan nelayan negara berkenaan ke perairan Malaysia.

Beliau menyarankan agar satu pendekatan baharu yang lebih efektif dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah ini secara tuntas.

Pada majlis sama, turut diadakan Sesi Penyampaian Sijil Penghargaan Khas kepada enam individu yang telah menyelamatkan nyawa empat nelayan warga Indonesia yang hanyut dan terapung di perairan Pulau Jarak, Perak, pada 20 November lalu.

Majlis penghargaan ini diadakan bersempena dengan peluncuran Kempen Kesedaran Keselamatan sempena Monsun Timur Laut.

Kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang keselamatan di laut.

Anugerah ini turut mengiktiraf peranan penting komuniti maritim sebagai first responder dalam sebarang insiden kecemasan di laut.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular