editormaxinfo@gmail.com
CYBERJAYA – Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) menjalinkan Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Universiti
Utara Malaysia (UUM) dalam usaha memperkasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) industri automotif negara.
Sebagai simbol sokongan kepada usaha ini, majlis turut menyaksikan penyerahan empat replika cek kepada UUM.
Tiga replika cek adalah geran kajian penyelidikan, manakala satu lagi penyerahan cek adalah bagi membiayai Program Biasiswa Yayasan PEKEMA yang berjumlah RM32,000.
Program Biasiswa Yayasan PEKEMA ini menzahirkan komitmen PEKEMA dalam menyokong usaha penyelidikan dan pembangunan di bidang pendidikan tinggi di Malaysia.
MoU itu turut menyaksikan kehadiran Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, bersama Prof. Dato’ Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, Naib Canselor UUM.

Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, sumbangan ini adalah sebahagian daripada inisiatif PEKEMA untuk menyokong usaha penyelidikan dan pembangunan pendidikan tinggi di Malaysia.
“Kami percaya kolaborasi ini bukan sahaja akan menghasilkan rumusan bagi memperkasa ahli-ahli PEKEMA tetapi juga akan menyumbang kepada pembangunan akademik dan modal insan, yang menjadi teras kepada kemajuan negara,” katanya.
Program biasiswa Yayasan PEKEMA yang diumumkan itu adalah inisiatif jangka panjang untuk menyokong pelajar yang berpotensi besar dalam bidang automotif, manakala geran kajian penyelidikan bertujuan menyediakan haluan strategik untuk membantu ahli-ahli PEKEMA dalam mengemudi laluan industri automotif yang dinamik.
Dengan adanya kerjasama ini, PEKEMA dan UUM berharap dapat mengukuhkan lagi sinergi antara dunia akademik dan industri.
Kesatuan idea ini seterusnya akan menyumbang kepada kemampanan dan kemajuan ekonomi Malaysia, khususnya dalam sektor automotif yang kini dipacu oleh teknologi hijau dan mesra alam.
“Gabungan kepakaran UUM dalam bidang akademik dan pengalaman PEKEMA dalam industri automotif diyakini mampu menghasilkan penyelesaian berimpak tinggi yang bakal memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan,” kata Mohamed Nazari.
Dalam ucapannya, Mohamed Nazari menekankan kepentingan jalinan ini sebagai langkah proaktif dalam memperkukuh daya tahan dan daya saing ahli PEKEMA dalam menghadapi landskap automotif yang kian mencabar.
“Melalui MOU ini, PEKEMA dan UUM akan bekerjasama rapat untuk menjalankan penyelidikan yang dapat memberikan wawasan strategik kepada ahli-ahli kami, termasuk strategi untuk inovasi produk, penambahbaikan operasi, dan penerokaan insentif cukai,” kata beliau.
Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata, kerjasama ini adalah langkah strategik untuk meningkatkan hubungan antara universiti dan industri.
“Penglibatan pihak industri dalam penyelidikan dan pembangunan berpotensi meningkatkan keupayaan industri tempatan.
“Kerjasama ini akan membuka pintu kepada pertukaran pengetahuan, teknologi dan sumber, mewujudkan ekosistem yang dinamik dan inovatif untuk menyokong pertumbuhan mampan industri automotif negara,” katanya.

Beliau turut menekankan UUM komited untuk menjadi rakan strategik kepada PEKEMA, khususnya dalam memperkasa sektor automotif tempatan.
Kerjasama ini memenuhi agenda transformasi universiti dan memperkukuh sinergi antara akademia dan industri, sekali gus memberi manfaat kepada generasi akan datang.
Kerjasama ini juga diharap dapat menjadi panduan strategik bagi ahli PEKEMA dalam menyesuaikan diri dengan perubahan polisi sambil mengekalkan daya saing, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab automotif progresif di Asia Tenggara.
Majlis menandatangani MOU ini menandakan permulaan usaha bersama yang akan memberikan manfaat besar kepada kedua-dua pihak dan juga kepada industri automotif negara secara keseluruhan.
Majlis itu turut dihadiri oleh Penasihat PEKEMA yang juga mantan Presiden PEKEMA, Datuk Zainuddin Abd Rahman, Timbalan Presiden PEKEMA, Dato’ Wan Sazrudeen Dato’ Wan Zaid, delegasi dari Kementerian Pendidikan Tinggi dan Universiti Utara Malaysia, barisan EXCO serta ahli jawatan kuasa PEKEMA.

