editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) ingin mengesahkan satu video yang tular di media sosial berhubung isu kesesakan di platform Stesen MRT Pasar Seni pada 26 November lalu.
Kejadian terbabit dilaporkan berlaku pada waktu puncak sekitar jam 6.45 petang disebabkan oleh kelewatan jadual perjalanan sebuah tren.
Dalam satu kenyataan, Prasarana berkata, situasi ini telah menyebabkan pergerakan penumpang terganggu dan mengakibatkan kesesakan di platform Stesen MRT Pasar Seni.
“Untuk memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang, pihak Prasarana telah memperkukuhkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan penumpang, terutamanya ketika waktu puncak bagi memastikan pergerakan penumpang di stesen berjalan lancar dan selamat.
“Salah satu penambahbaikan adalah dengan menyusun semula penempatan Polis Bantuan di kawasan-kawasan utama yang mempunyai risiko keselamatan yang lebih tinggi seperti platform dan eskalator. Ini adalah langkah untuk memastikan kawalan keselamatan yang lebih efektif,” katanya.
Selain itu, pemantauan yang lebih kerap turut dijalankan bagi memantau kepadatan penumpang di stesen terutama di platform ketika waktu puncak.
“Ini membolehkan pasukan Polis Bantuan bertindak dengan lebih cepat dan menempatkan anggota-anggotanya di kawasan yang kritikal.
“Menjelang Mac 2025, perkhidmatan MRT Laluan Kajang akan dipertingkatkan dengan penambahan bilangan tren daripada 39 tren kepada 42 tren.
“Peningkatan ini bertujuan untuk meningkatkan kapasiti tren dan mengurangkan kesesakan di stesen–stesen sepanjang Laluan Kajang.
“Selain dari peningkatan jumlah tren, kekerapan tren turut dipendekkan. Pada waktu puncak, kekerapan tren pada masa ini adalah 4 minit akan dikurangkan kepada 3.7 minit.
“Ini dapat mengurangkan waktu menunggu di platform terutama pada waktu puncak. Langkah–langkah yang telah diambil ini adalah usaha berterusan Prasarana untuk
meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan penumpang terutama semasa waktu puncak,” kata kenyataan itu lagi.
Prasarana memohon maaf di atas kesulitan yang dialami oleh penumpang semasa kejadian dan akan terus melakukan penambahbaikan bagi memastikan perjalanan penumpang Rapid KL selamat, selesa dan lancar.

