editormaxinfo@gmail.com
SETIU – Tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat kerana pasukan keselamatan dan jentera kerajaan yang terbabit dapat menangani masalah banjir dengan baik.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini kesemua agensi yang diatur bergerak membantu mangsa banjir menjalankan tugas dengan berkesan selain tambahan peruntukan disediakan bagi memulihkan infrastruktur yang terjejas.
“Dari segi pasukan keselamatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), tidak memikirkan keperluan itu (isytihar darurat) kerana seluruh jentera pasukan keselamatan, Angkatan Tentera, Polis, APM dan seluruh jentera kerajaan persekutuan, negeri dan daerah itu menangani masalah dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan, Kampung Telaga Papan, Setiu yang menempatkan 269 mangsa.
Terdahulu, Perdana Menteri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, Kuala Terengganu pada jam 10.25 pagi tadi bagi meninjau sendiri situasi terkini banjir di negeri itu.
Susulan banjir serius di Kelantan dan Terengganu, Anwar yang juga Menteri Kewangan bersetuju peruntukan tambahan segera disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) masing-masing berjumlah RM25 juta.
Peruntukan ini akan digunakan untuk segera membaiki infrastruktur asas seperti jalan dan pembentung termasuk menaikkan aras jalan di Hulu Besut.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan pegawai kanan kerajaan persekutuan dan negeri.