27.6 C
Kuala Lumpur
Monday, June 15, 2026
Home Blog Page 157

MagicOS 9.0 akan tiba ke peranti flagship HONOR Magic di Malaysia pertengahan Disember Ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sistem pengoperasian HONOR yang tercanggih, MagicOS 9.0 akan tersedia untuk peranti flagship Magic terpilih di Malaysia mulai pertengahan Disember ini.

Peranti-peranti yang bakal menerima kemas kini perisian baharu ini adalah HONOR Magic6 Pro, HONOR Magic6 RSR, HONOR Magic V2, HONOR Magic V2 RSR dan HONOR Magic V3.

Pengguna boleh memuat turun dan memasang kemas kini tersebut daripada menu Settings.

Sebagai sistem pengoperasian AI yang diperibadikan untuk semua keadaan yang pertama dalam industri, MagicOS 9.0 memperkenalkan ciri-ciri AI baharu kepada barisan telefon flagship ini dan juga akan tersedia kepada beberapa peranti lain HONOR yang layak.

MagicOS 9.0 Memperkenalkan Ciri-ciri AI Termaju Pada HONOR Magic7 Pro

Dengan kemunculan pertama HONOR Magic7 Pro di China baru-baru ini, telefon pintar flagship baharu yang dikuasakan AI ini menampilkan MagicOS 9.0 dan keupayaan AI yang menarik seperti Magic Avatar, AI Notes Summarization, AI Translation, dan Magic Portal 2.0 yang dipertingkatkan.

Telefon pintar ini belum dilancarkan di Malaysia, dan penambahbaikan hebat ini direka bagi memperkasakan pengguna bagi menjadikan setiap interaksi dengan peranti mereka menjadi lebih pintar, lebih kreatif, dan lebih menarik. Berikut antara ciri-ciri AI yang ada pada HONOR Magic7 Pro:

Magic Portal 2.0 – Circle to Anything

Magic Portal kini dipertingkatkan untuk menawarkan pengalaman mesra pengguna dan lebih tepat berbanding Circle to Search. Dengan ciri Circle to Anything yang baharu ini, pengguna hanya perlu membulatkan objek atau teks dan seretkannya ke bahagian tepi skrin untuk mengakses pelayanan pantas atau aplikasi dengan segera. Kini pelayaran, perkongsian pada media sosial serta membeli-belah menjadi lebih pantas.

Magic Avatar

Temui teman AI anda, Magic Avatar. Ciri baharu yang mengagumkan ini membolehkan pengguna mencipta dan memperibadikan karektor maya mereka sendiri. Ia juga boleh diselaraskan dengan status pengguna dan memberi respon secara interaktif, memberikan nilai tambah yang menyeronokkan dan sentuhan peribadi kepada pengalaman telefon pintar anda.

AI Notes Summarize

Ciri pada AI Notes ini boleh meringkaskan artikel panjang kepada isi-isi penting secara automatik, menjimatkan masa dan usaha, sekali gus membantu pengguna cepat memahami idea-idea utama.

AI Translation

Tembusi halangan bahasa dengan AI Translation yang menyokong sehingga 11 bahasa, termasuk Bahasa Malaysia. Ciri ini memastikan komunikasi yang lancar dan cekap dengan menawarkan terjemahan yang tepat dan masa sebenar, agar pengguna boleh memahami bahasa asing dengan lebih mudah.  

Apakah ciri-ciri yang mengujakan anda? Nantikan ketibaan ciri-ciri baharu AI yang menarik untuk HONOR Magic7 Pro.

‘Here Comes the Sun Eater’ kembali ke Kuala Lumpur dengan barisan pemuzik hebat

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan acara tahun lalu, Here Comes the Sun Eater (HCTS) kembali ke Kuala Lumpur dengan barisan pemuzik yang segar dan menarik, menjanjikan malam muzik yang tidak dapat dilupakan dengan gabungan aneka bunyi dan persembahan memukau.

Persembahan utama acara tahun ini adalah kolaborasi yang sangat dinanti-nantikan, PENTAS SIHIR, gabungan magis antara dua bintang alternatif terkenal Indonesia, HINDIA dan LOMBA SIHIR.

Dengan set istimewa selama dua jam, acara yang akan berlangsung pada 8 Disember di Zepp Kuala Lumpur itu bakal mempersembahkan lagu-lagu terbaik dari kedua-dua kugiran, menggabungkan gaya introspektif dan melangkaui-genre Hindia bersama persembahan bertenaga dan eklektik Lomba Sihir.

Kolaborasi yang jarang berlaku ini meraikan evolusi dunia muzik Indonesia, menawarkan pengalaman muzik yang luar biasa kepada peminat.

Turut bersama adalah RUB OF RUB, kugiran dub eksperimental dari Bandung.

Menggabungkan elemen psychedelic, elektronik, disko, reggae, dan dub progresif, mereka membawakan bunyi yang unik dan telah memikat hati penonton di seluruh Asia Tenggara.

Selepas mencuri perhatian di TAPAUfest 2023 dengan persembahan langsung mereka yang memukau, Rub of Rub kini bersedia untuk memikat penonton sekali lagi dengan lagu-lagu seperti “Lepas” daripada EP mereka, Ruang Waktu.

Kugiran grunge/fuzz tempatan SWEETASS akan membuka tirai persembahan tahun ini.

Berasal dari Kuala Lumpur, mereka berjaya menawan dunia muzik alt-rock Malaysia dengan persembahan bertenaga dan lirik yang pintar dalam berjenaka.

Dengan lagu-lagu daripada album debut mereka yang menjadi kultus, Wa Caya Lu, dan album kedua mereka pada tahun 2023, Heavy Rotation, kugiran ini wajib ditonton bagi peminat muzik rock yang bertenaga.

HCTS adalah hasil kerjasama antara Sun Eater, syarikat hiburan dan muzik terkemuka yang membawa beberapa bintang terbesar Indonesia, dan TAPAUasia, pusat komuniti indie Asia Tenggara dan penganjur festival muzik indie terbesar Malaysia, TAPAUfest.

Acara tahun ini menjanjikan sambutan kreativiti dan kepelbagaian muzik indie Asia Tenggara, memberikan malam persembahan yang tidak dapat dilupakan.

Bagi peminat yang ingin menyaksikan acara ini tiket boleh didapati di www.TAPAUtix.asia

Konsert Jiwa: Epilog 2024 tampil empat penyanyi serta kumpulan dengan lagu-lagu penuh jiwa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR –  Selepas membina nama dan jenama yang kuat melalui Konsert Jiwa Kacau dan Jiwa Malaysia, penganjur MND Sport & Events muncul pula dengan sebuah konsert yang dinamakan Konsert Jiwa: Epilog 2024.

Konsert yang akan diadakan di Stadium Malawati Shah Alam ini menampilkan empat barisan penyanyi serta Kumpulan yang mempunyai katalog lagu-lagu mereka yang dekat di hati peminat.

Konsert Jiwa: Epilog 2024 kali ini akan membariskan penyanyi dari Indonesia Fabio Asher yang terkenal dengan lagu Rumah Singgah.

Manakala Kumpulan Spider dan 6ixth Sense juga akan muncul pada konsert yang akan berlangsung pada 7 Disember mulai jam 8 malam.

Pastinya kemunculan Yuna dalam acara konsert ini antara yang ditunggu-tunggu peminat. Yuna akan muncul bersama band-nya dan bakal mempersembahkan lagu-lagu kegemaran ramai yang akan menjadikan malam 7 Disember itu sebuah malam yang penuh jiwa.

Konsert yang akan berlangsung selama tiga jam itu sudah mendapat sambutan yang mengalakkan dari segi jualan. Ternyata 80 peratus tiket sudah terjual sejak tiket dijual pada 25 September 2024, jam 3 petang lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MND Sport & Events, Harith Daniel berkata, mereka sangat berterima kasih dengan peminat konsert Malaysia terutama mereka yang setia dengan konsert-konsert yang dianjurkan oleh pihak MND Sport & Events.

“Sejak jenama Jiwa Kacau hinggalah ke Jiwa Malaysia dan kini Konsert Jiwa: Epiloq 2024, kami sentiasa mendapat sambutan malah komentar-komentar yang baik untuk penambahbaikan konsert- konsert yang kami adakan.

“Oleh itu, kami muncul dengan Konsert Jiwa: Epilog 2024 yang memberikan anda gabungan persembahan dari penyanyi dan kumpulan yang  kami rasakan mempunyai katalog lagu-lagu yang cukup berjiwa dan menyentuh perasaan peminat yang hadir nanti,” katanya.

Tiket-tiket mula dijual dengan harga  RM148 (berdiri), RM 148 CAT 1 (Free Seating), RM 118 CAT 2 (Free Seating), RM 88 CAT 3 (Free Seating)  dan RM 188 IP (Free Seating).

Peminat masih boleh mendapatkan tiket-tiket di laman web: https://www.ilassotickets.com/

Pierre Andre mahu tarik kembali penonton filem seram tempatan menerusi ‘Jangan Pandang Belakang…Aku Tahu Asal Usulmu’  

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Bagi mengimbau kembali kisah seram Jangan Pandang Belakang, MIG kembali membawakan Jangan Pandang Belakang…Aku Tahu Asal Usulmu.

Filem kesinambungan dari Jangan Pandang Belakang itu diarahkan oleh Pierre Andre selepas 10 tahun menyepi dari industri seni.

Filem Jangan Pandang Belakang … Aku Tahu Asal Usulmu diberi nafas baharu dan Pierre cuba mengangkat semula filem seram yang dilihat semakin kurang berkualiti di pasaran.

“Jangan Pandang Belakang yang dahulu skrip dihasilkan oleh saya dan diarahkan oleh Ahmad Idham, berbeza kali ini skrip orang lain tetapi saya yang perlu mengarahkannya.

“Pastinya ia bukan sesuatu yang mudah kerana saya perlu membawakan sesuatu yang lebih segar apatah lagi melihat filem seram sekarang ini semakin kurang berkualiti.

“Saya melihat di Indonesia filem seram mereka bagus dan kita begitu jauh sangat ketinggalan.

“Saya banyak berbincang dengan David Teo dan ingin melakukan sesuatu yang berlainan,” katanya.

Pierre berkata, dia juga pada awal bimbang akan jangkaan penonton terhadap filem ini yang mahukan ianya ‘box-office’ sama seperti filem yang pertama.

“Sebenarnya saya takut untuk mengarah filem ini kerana jangkaan orang ramai untuk filem ini sangat tinggi.

“Sejujurnya ia memberikan tekanan yang sangat besar buat saya apabila menerima tawaran mengarahkan filem ini.

“Sebelum memulakan sesi penggambaran saya sudah mula rasa tertekan kerana skrip sudah ada tetapi saya perlu menjadikan ia lebih baik.

“Disebabkan perkara ini, saya susah tidur malam akibat risau jika orang tidak dapat menerima karya saya ini,” katanya lagi.

Jangan Pandang Belakang…Aku Tahu Asal Usulmu sudahpun menemui penonton di seluruh pawagam tanah air sejak 21 November yang lalu.

Filem ini dilakonkan oleh Emma Maembong, Iedil Dzuhrie Alaudin, Mawar Rashid, Alif Hadi, Khatijah Tan, Ruminah Sidek, Hafidzuddin Fazil, Cat Farish, Kel Narima dan ramai lagi.

Filem ini juga bakal ditayangkan di 14 buah negara iaitu Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand, Indonesia, Cambodia, Philippine, Myanmar Vietnam, Laos, Rusia, New Zealand, Turki dan Australia.

Filem ini adalah kisah kesinambungan saka keluarga Opah yang mencari tuan baharu untuk didampingi. Namun, ada sesuatu yang menghalang dan membawa kepada pelbagai kejadian menyeramkan.

 

Hari Kanak-Kanak Sedunia: THR GEGAR hargai pesakit dan petugas kesihatan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA SELANGOR – Dalam usaha menyemarakkan sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia, Stesen radio nombor satu Pantai Timur, THR GEGAR, telah mengunjungi wad pediatrik di Hospital Sultan Abdullah, Puncak Alam, baru-baru ini.

Lawatan istimewa ini, membabitkan penyampai radio seperti Issey, Fizie, Ashwad, dan Ewan, bertujuan untuk menceriakan pesakit kanak-kanak sambil menunjukkan sokongan kepada petugas kesihatan yang berdedikasi.

Pengurus Jenama THR GEGAR, Eman Zaki, , program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara penyampai radio dan pesakit kanak-kanak serta memberikan sokongan moral kepada mereka yang sedang dirawat di wad terbabit.

“Lawatan ini bukan sahaja satu usaha murni, tetapi juga memberi peluang kepada penyampai kami untuk mendekati dan memahami situasi kanak-kanak yang sedang bertarung dengan masalah kesihatan mereka.

“Ia juga adalah pengalaman bermakna buat kami kerana ini adalah kali pertama kunjungan diadakan selepas hospital ini beroperasi selama tiga tahun,” katanya.

Lawatan berkenaan berlangsung selama dua jam dan turut merangkumi sesi siaran langsung bersama petugas wad menerusi platform media sosial rasmi THR GEGAR.

Sebanyak 20 katil di wad pediatrik itu menempatkan kanak-kanak yang sedang dirawat pelbagai jenis penyakit.

Sepanjang lawatan, penyampai THR GEGAR turut menyampaikan sumbangan berbentuk hamper makanan dan set mewarna untuk pesakit cilik di situ.

Aktiviti ini bertujuan menceriakan suasana di hospital dan menghargai jasa petugas kesihatan yang sentiasa berdedikasi merawat pesakit.

“Kami berharap kunjungan ini mampu menceriakan hati adik-adik kecil di wad pediatrik serta memberi sedikit kegembiraan kepada barisan petugas kesihatan yang tidak kenal penat lelah,” kata Eman Zaki.

Beliau juga menzahirkan keprihatinan THR GEGAR terhadap isu kesihatan kanak-kanak dan berharap agar mereka cepat sembuh dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

Menara Eiffel ditutup akibat salji lebat

editormaxinfo@gmail.com

JERMAN – Beberapa kawasan di barat Eropah, dilanda salji lebat menyebabkan gangguan serius kepada lalu lintas dan memaksa Menara Eiffel ditutup buat sementara waktu, lapor agensi berita Jerman dpa.

Perkhidmatan kecemasan di negeri Baden-Württemberg di barat daya Jerman digerakkan untuk membantu lebih daripada 380 insiden berkaitan cuaca dalam tempoh 18 jam, kata polis pada Jumaat.

Jurucakap polis berkata sekurang-kurangnya 30 orang cedera, kebanyakannya mengalami kecederaan ringan, dengan kerosakan melebihi €1 juta (AS$1.04 juta).

Kawasan yang paling teruk terjejas ialah bandar Freiburg dan Constance, yang mana polis dipanggil bagi menangani masing-masing 135 dan 140 operasi berkaitan cuaca antara petang Khamis dan pagi Jumaat, menurut mereka.

Di wilayah Perancis yang bersempadan Jerman, sekitar 1,750 lori terkandas di lebuh raya, dengan wilayah utara Burgundy dan Normandy yang paling terjejas, kata Menteri Pengangkutan François Durovray kepada stesen penyiar BFMTV.

Ratusan kenderaan berat terkandas di laluan yang sukar selepas pemandu dikatakan tidak mengendahkan larangan berkaitan keadaan cuaca. Ramai pemandu terpaksa bermalam di dalam kenderaan mereka.

Perkhidmatan kereta api juga terganggu di Perancis, manakala 200,000 isi rumah turut terputus bekalan elektrik disebabkan cuaca, menurut syarikat utiliti Enedis.

Di Paris, Menara Eiffel ditutup sementara waktu kepada pengunjung selepas dilitupi salji. -Agensi

Jadikan Malaysia sebagai pusat pertumbuhan serantau, Bin Zayed International buka pejabat di Kuala Lumpur

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Syarikat peneraju pelaburan global, Kumpulan Syarikat Bin Zayed International (BZI), membuka pejabat terbaharu di Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur.

Ini menandakan penceburannya yang sulung ke Asia Tenggara. Syarikat Bin Zayed International (M) Bhd ini, akan menjadi pangkalan utama operasi firma di rantau ini, meneroka peluang pelaburan lebih luas sambil menggiatkan pembangunan.

Peluasan operasi BZI ke Malaysia sesungguhnya menunjukkan potensi besar di rantau Asia Tenggara, yang dijangka kekal sebagai salah satu ekonomi yang paling pesat berkembang di dunia dalam dekad akan datang.

Pada tahun 2023, ekonomi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) adalah ekonomi kelima terbesar di dunia, dengan KDNK nominal mencecah USD 3.8 trilion.

Rantau ini dijangka menduduki tempat keempat di peringkat global menjelang tahun 2030. Selepas bertapak kukuh di pasaran-pasaran global utama, termasuk Eropah dan Timur Tengah, BZI kini berusaha untuk memacu pertumbuhan dan inovasi dalam persekitaran perniagaan Asia Tenggara yang dinamik.

“Kehadiran kami di Malaysia menandakan satu lagi langkah ke hadapan dalam perjalanan kami daripada sebuah syarikat tempatan di Emiriah Arab Bersatu kepada kumpulan yang berkembang di peringkat global.

“Memandangkan Asia Tenggara bakal muncul  sebagai sebuah kuasa ekonomi, kami bertekad untuk turut menjadi salah satu pihak berkepentingan di rantau ini dengan menyumbang kepada pertumbuhan ini dan memupuk kemakmuran yang meluas,” kata Duli Yang Mulia Sheikh Khaled Zayed Saquer Zayed Al Nahyan, Pengerusi dan Pengasas Kumpulan Syarikat Bin Zayed International.

Penubuhan entiti baharu BZI di Malaysia dirancang secara strategik untuk memanfaatkan lokasi utama Malaysia di rantau ini dan juga kekayaan sumbernya yang termasuk infrastruktur mantap, sambungan digital, tenaga kerja berkemahiran dan hubungan kukuh dengan negara-negara jiran.

Berbekalkan rangka kerja kawal selia yang kukuh dan kepakaran mendalam dalam pematuhan Syariah, Malaysia merupakan pemimpin antarabangsa dalam kewangan Islam, membolehkan firma ini memanfaatkan kumpulan pelanggan yang lebih luas.

Sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan strategik ini, BZI telah komited untuk membawa masuk USD 2 bilion ke Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang bagi mempercepatkan lagi aspirasi ekonomi negara.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Dr Johari Abdul, yang berucap bagi pihak Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan bahawa usaha ini jelas memperlihatkan daya tarikan Malaysia yang semakin meningkat kepada pelabur antarabangsa.

“Kami menyokong misi BZI untuk memacu pelaburan global ke Malaysia dan kawasan serantau yang lebih luas.

“Kerajaan bersedia untuk berganding bahu dengan Kumpulan sejajar dengan Rangka Kerja Ekonomi Madani untuk mencorakkan masa depan yang lebih cerah bagi seluruh rakyat Malaysia,” ,” katanya semasa merasmikan pembukaan pejabat berkenaan, semalam.

Ditubuhkan pada tahun 1988 oleh Sheikh Khaled Zayed Saquer Al Nahyan, seorang ahli perniagaan terkemuka dan kerabat diraja Emiriah Arab Bersatu, BZI adalah sebuah konglomerat global terkemuka dengan kepentingan perniagaan yang terpelbagai.

Kumpulan ini telah mempelopori pelaburan di berbilang benua, dengan melabur berbilion dolar AS merentasi pelbagai sektor termasuk pembinaan, tenaga, perdagangan, hartanah, teknologi, pendidikan dan perkhidmatan kewangan.

Pembukaan BZI (M) Bhd telah diraikan dalam acara yang meliputi dua bahagian.

Hari berkenaan dimulakan dengan majlis pemotongan reben eksklusif yang dirasmikan oleh Sheikh Khaled Zayed Saquer Zayed Al Nahyan, diiringi oleh puteranya, Sheikh Khalifa Bin Zayed Al Nehayan.

Turut hadir ialah Sheikh Midhat Kidwai, Pengarah Urusan Kumpulan Bin Zayed; Dato’ Sri Dr. Shamir Kumar Nandy, Pengarah Urusan Bin Zayed International (M) Bhd; serta ahli-ahli Lembaga Pengarah BZI dan kakitangan utama yang lain.

Hari bersejarah ini disusuli oleh majlis malam gala pembukaan, menghimpunkan pegawai kerajaan, tokoh industri dan tetamu kehormat asing, membuktikan kepentingan kehadiran firma terbabit di Kuala Lumpur.

Antara tetamu kehormat yang hadir termasuk Pengiran Muda Abdul Hakeem Ibni Jefri Bolkiah dari Brunei; Tuan Yang Terutama (TYT) Dr Betty Oyella Bigombe, Pesuruhjaya Tinggi Republik Uganda; TYT Cik Lada Phumas, Duta Besar Thailand,  dan TYT Thepthavone Sengmany, Duta Besar Laos.

Bintang filem terkenal Datuk Shah Rukh Khan yang turut hadir menyerikan majlis turut mengucapkan tahniah kepada BZI atas pembukaan syarikat terbaharunya itu.

“Komitmen mereka untuk merangsang pertumbuhan ekonomi di seluruh dunia dan membina masa depan yang lebih cerah sememangnya patut dipuji.

“Saya mengucapkan selamat maju jaya dalam usaha mereka untuk mencetus impak bermakna di seluruh dunia,” katanya.

Sambil menekankan komitmen firma kepada usaha membawa manfaat berkekalan kepada ekonomi serantau, Dato’ Sri Dr. Shamir Kumar Nandy, Pengarah Urusan Bin Zayed International (M) Bhd berkata, mereka berhasrat untuk membina masa depan yang diimpikan oleh kita semua.

“Kami mencapai hasrat ini dengan menetapkan wawasan, dan berusaha gigih untuk mencapainya. Kami akan memberi tumpuan terhadap apa yang boleh kami lakukan dengan lebih baik berbanding mana-mana organisasi lain di dunia dan inilah cara kami membuka laluan kejayaan.

“Dalam dunia yang kian berubah, kami perlu meramalkan apa yang akan berlaku seterusnya dan mempunyai fleksibiliti untuk berkembang maju dengan cara yang responsif dan relevan,” katanya.

Layak ke pentas AJL39, Nadeera dan Hael Husaini bakal terbang ke Indonesia jayakan ATA29

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR -Ramai yang tahu dua penyanyi iaitu Nadeera Zaini dan Hael Husaini, baru-baru ini telah berjaya melayakkan diri ke pertandingan berprestij dalam industri muzik Malaysia, Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39).

Dalam nada yang sebak dan tidak dapat menahan air mata kegembiraannya, Nadeera berkata, dia sangat terharu kerana ini adalah kali pertama layak ke pusingan ‘semi final’ dan berjaya menempah tiket ke pentas AJL39.

“Untuk mencapai ke tahap ini sebagai anak seni bukanlah mudah, hanya mereka yang bersama saya dalam perjuangan ini benar-benar faham betapa sukarnya buat saya untuk sampai ke hari ini.

“Terima kasih kepada pihak TV3 kerana mempercayai bakat yang saya miliki. Pemilihan ini seperti satu anugerah bagi saya,” katanya.

Setelah lebih sedekad menanti peluang untuk tampil di pentas AJL, impian Nadeera akhirnya tercapai apabila namanya diumumkan sebagai finalis melalui lagu hitnya, “Bukan Lagi Kita”, ciptaan Hael Husaini dan komposer Iqie Hugh.

“Akhirnya, tahun ini, rezeki menyebelahi saya dan saya dipilih untuk bertanding dengan lagu saya sendiri.

“Saya tidak mahu meletakkan apa-apa harapan. Sudah pasti semua yang bertanding mempunyai impian untuk menang. Kalau ada rezeki, Alhamdulillah.

“Dapat melayakkan diri ke AJL39 pun saya sudah bersyukur. Jadi, saya tidak kisah sama ada menang atau kalah,” katanya.

Sementara itu, Hael Husaini, yang juga calon berpengalaman dalam AJL sebelum ini, turut berkongsi perasaan gembiranya.

“Terima kasih kepada juri yang memilih lagu ‘Diam’. Dua karya saya terpilih untuk AJL39 dan saya benar-benar bersyukur. Tiada kata-kata yang mampu saya ungkapkan, hanya perasaan penuh terima kasih,” katanya.

Bagi Hael, penyertaannya dalam AJL39 dengan lagu “Diam” memberi makna yang tersendiri.

“Kali ini, saya mempersembahkan lagu ‘Diam’ yang jelas berbeza daripada lagu-lagu yang pernah saya bawakann sebelum ini di pentas AJL.

“Selain ‘Diam’, lagu ‘Bukan Milik Kita’ ciptaan saya buat Nadeera turut layak ke pentas AJL39, dan saya berbangga dengan pencapaian Nadeera kerana beliau sememangnya layak,” katanya.

Walaupun pernah menjuarai AJL32 dan AJL33, Hael masih merasakan debaran setiap kali bertanding.

“Perasaan gementar itu tetap ada setiap kali bertanding. Saya hanya memberikan yang terbaik, dan nantikan kejutan di pentas AJL39 nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Nadeera dan Hael akan terbang ke Jakarta, Indonesia bagi menjayakan acara penuh gemilang 29th Asian Television Award (ATA29) yang bakal berlangsung pada 29 dan 30 November 2024 ini.

Acara yang berprestij ini akan menyaksikan Nadeera dan Hael beraksi di pentas ATA29 selaku satu-satunya wakil artis perempuan dan lelaki dari Malaysia.

Selain membuat persembahan di anugerah terkemuka di Asia ini, mereka juga tercalon dalam kategori ‘Most Popular Solo Male Popular (Hael Husaini) dan Most Popular Solo Female Performer (Nadeera) di Asia Television Awards kali ini.

Sebuah penghormatan buat kedua-dua bintang tanah air membuat persembahan di persada antarabangsa yang bakal disaksikan secara langsung oleh negara-negara besar Asia seperti Indonesia, Singapura, Thailand, Vietnam, Filipina, Taiwan, Hong Kong dan juga Sri Lanka.

Antara nama-nama besar industri hiburan dari rantau Asia yang turut terbabit menjayakan anugerah berprestij itu adalah Luna Maya, Raffi Ahmad, Lesti Kejora, Putri Ariani dan ramai lagi.

 

Urban Jungle lancar ‘Holiday Gift Sets’ 2024

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama penjagaan kulit Australia yang sangat digemari,Urban Jungle, melancarkan ‘Holiday Gift Sets’ pertama mereka untuk tahun 2024, tepat pada waktu musim perayaan.

Set ini, adalah mesra bajet dan dibungkus dengan reka bentuk menarik serta ideal untuk mereka yang sukakan kecantikan atau sesiapa sahaja yang mencari hadiah bermakna dan mudah.

Antara koleksi yang tersedia tahun ini ialah-;

Body Language Duo, yang mengandungi:

● Grime Fighter Body Wash (500ml)

● Midas Touch Body Lotion (500ml)

RRP: RM156

Sama ada anda mencari hadiah kecil yang sempurna penuh makna untuk rakan, pasangan, atau adik-beradik, rangkaian penjagaan kulit Urban Jungle menawarkan sesuatu untuk semua orang miliki.

Koleksi ini turut menampilkan pembersih terlaris jenama ini iaitu, Melt Me Softly Cleanser, menjadikannya pilihan ideal untuk hadiah kecil atau hadiah utama.

Produk Urban Jungle juga boleh didapati di laman web Sephora dan platform afiliasi.