27.6 C
Kuala Lumpur
Monday, June 15, 2026
Home Blog Page 158

Iklan SKSPS bantu tingkat kesedaran awam carum PERKESO

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Berikutan masih ramai tidak mengetahui akan kewujudan perlindungan caruman bagi yang bekerja sendiri di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), usaha itu giat diteruskan dengan iklan Pesanan khidmat masyarakat (PSA).

Malah, iklan perlindungan itu akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata pendekatan strategik sedemikian dilaksana bagi memacu liputan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang ketika ini berkadar 24.08 peratus atau 727,094 daripada keseluruhan 3.02 juta individu di sektor tidak formal.

“Inisiatif ini bukan sekadar usaha meningkatkan kesedaran, tetapi adalah strategi transformasi PERKESO dalam memastikan perlindungan sosial yang lebih inklusif dan mampan untuk golongan bekerja sendiri.

“Video PSA arahan sutradara Wan Saiful Shahrizan Wan Nawi ini lebih bermakna kerana beliau sendiri adalah penerima manfaat SKSPS dan sedang menjalani rawatan pemulihan fisioterapi di Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak (PRPTAR), Melaka,” katanya ketika menyampaikan ucaptama perasmian video PSA SKSPS, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib dan Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Khalil Salleh.

Dr. Mohammed Azman menyifatkan, penerapan PSA sebelum tayangan filem di panggung adalah tepat pada masanya, selari komitmen dicerminkan kerajaan yang meluluskan peruntukan tambahan RM86.2 juta dalam Belanjawan 2024.

Menurutnya, peruntukan untuk membiayai caruman padanan SKSPS sebanyak 90 peratus sehingga 31 Disember 2024 ini berupaya meringankan beban individu bekerja sendiri yang berdepan ketidaktentuan pendapatan harian.

“Peruntukan tambahan ini adalah manifestasi kepentingan perlindungan sosial, selain demi memastikan tiada jurang antara sektor formal dan tidak formal di Malaysia,” katanya.

Stream secara langsung ‘2024 MAMA AWARDS’ dalam saluran tvN Asia melalui Tonton

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Anugerah No. 1 dunia K-POP, 2024 MAMA AWARDS kembali meraikan muzik global dan kreativiti pemuzik dengan tema menarik tahun ini, ‘BIG BLUR: What is Real?’.

Anugerah penuh berprestij ini akan disiarkan secara langsung dalam saluran linear tvN Asia melalui Tonton, membawakan pengalaman istimewa kepada penonton Malaysia, seolah-olah berada di barisan hadapan pesta K-Pop yang terunggul.

Buat kali pertama dalam sejarah, tahun ini MAMA AWARDS akan dimulakan di Amerika Syarikat sebelum diteruskan ke Osaka, Jepun.

Acara bermula pada 22 November, dengan majlis anugerah di Los Angeles pada jam 11 pagi (waktu Malaysia), diikuti sesi karpet merah pada jam 3 petang dan majlis anugerah yang dinanti-nantikan di Jepun pada jam 5 petang (waktu Malaysia).

Kemeriahan akan berterusan pada keesokan harinya, 23 November, dengan sesi karpet merah pada jam 12 tengah hari dan majlis anugerah pada jam 2 petang (waktu Malaysia).

Sebagai festival muzik hujung tahun yang ikonik, 2024 MAMA AWARDS menyatukan peminat dan artis K-POP dari seluruh dunia, meraikan persembahan hebat dan semangat K-POP yang luar biasa.

Acara tahun ini bakal menjanjikan detik-detik yang tidak akan dilupakan, dengan persembahan daripada artis popular seperti G-DRAGON, ILLIT, KATSEYE, RIIZE, ENHYPEN, TXT, IVE, aespa, INI, dan ZEROBASEONE, serta banyak lagi kejutan yang akan diumumkan.

Daftar akaun Tonton anda untuk sama-sama menyaksikan secara langsung 2024 MAMA AWARDS di saluran linear tvN Asia.

Untuk menonton MAMA AWARDS bersama kandungan dan saluran premium lain di Tonton, langgan TontonUp dengan pelan bermula daripada RM9.90 sebulan.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan acara epik ini, nikmati fenomena global K-POP dari keselesaan rumah anda.

‘Turkish Airlines KL Tower International Towerthon Challenge 2024’ bakal pecah rekod baharu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Acara sukan menguji ketahanan yang dinanti-nantikan oleh penggemar sukan larian anak tangga, Turkish Airlines KL Tower International Towerthon Challenge 2024 (KLTITC24) kembali lagi tahun ini.

Dibawakan oleh Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, tahun ini, peserta akan memecahkan rekod baharu iaitu sebanyak 1,608 anak tangga pada ketinggian 292 meter iaitu di Pelantar Pemandangan Tertutup (Observation Deck), TH04.

Dengan tawaran hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM80,000, acara ini dijangka menarik penyertaan penggemar sukan mendaki anak tangga bagi peserta tempatan dan antarabangsa yang bersemangat untuk menguji ketahanan dan mencabar diri mereka.

KLTITC24 yang memasuki edisi ke-22, bakal membangkitkan momentum peserta di mana rekod baharu bakal tercipta, dan peserta dapat bersama-sama meraikan kejayaan terbaharu mereka pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Nazli Saad berkata, acara Turkish Airlines KL Tower International Towerthon Challenge tahun ini membawa maksud yang istimewa kerana Menara Kuala Lumpur turut meraikan ulang tahun ke-28.

“Di sebalik cabaran fizikalnya, acara ini meraikan dan menyatukan orang ramai yang berkongsi minat sama daripada pelbagai latar belakang.

“Kami teruja untuk melihat pencapaian luar biasa yang akan dibawakan oleh peserta Towerthon tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, KLTITC24 ini selaras dengan matlamat Menara Kuala Lumpur untuk mempromosikan gaya hidup aktif dan menyerlahkan lagi mercu tanda utama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Dirancang dengan strategi yang tepat, KLTITC24 kali ini dapat meningkatkan profil Menara Kuala Lumpur sebagai pusat pelancongan yang wajib dilawati dan meletakkan Malaysia sebagai salah satu pusat pelancongan utama di Asia Tenggara.

Melalui kerjasama bersama Turkish Airlines, Menara Kuala Lumpur berhasrat untuk memperluaskan lagi nama dan jenamanya di peringkat global dan pada masa yang sama menarik penyertaan dari pelbagai lapisan masyarakat.

Bagi peserta yang ingin menyertai acara KLTITC24 ini, layari portal rasmi di

https://v2.checkpointspot.asia/event/KL-Tower-Run-24.

TV AlHijrah lancar IQRA di aplikasi TikTok

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – TV AlHijrah membawakan satu inisiatif baharu dalam menjalankan misi dakwah platform digital dengan melancarkan IQRA, sebuah program celik al-Quran di aplikasi TikTok.

Dengan kerjasama Darul Fikir, program ini bertujuan menghidupkan aspirasi Kerajaan MADANI untuk membina masyarakat berilmu yang berlandaskan prinsip rohani dan intelektual, menjadikan al-Quran sebagai asas kehidupan seharian.

IQRA dilihat mampu menjadi platform yang menjadikan Malaysia sebagai negara unggul dalam ilmu dan akhlak, di mana al-Quran menjadi teras kehidupan seharian.

Ini selari dengan hadis Nabi SAW tentang kelebihan membaca al-Quran yang berbunyi: Seorang yang mahir dalam membaca al-Quran akan bersama para malaikat yang mulia dan sentiasa taat kepada Allah dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya maka untuknya itu dua ganjaran.” (Riwayat Muslim).

Disiarkan pada setiap hari, jam 9 malam, rancangan ini akan membawa penonton untuk mempelajari asas-asas bacaan al-Quran, kaedah tarannum, tajwid, serta mendalami makna ayat-ayat suci melalui pendekatan yang santai dan interaktif.

Menariknya, pelayar laman TikTok TV AlHijrah akan dibimbing oleh Ustaz Ammar Mukhlis, Tilmiz Fahmi, dan Tilmizah Maghfirah dalam mendalami asas al-Quran menerusi 79 kapsul harian berdurasi 2 minit yang  ringkas, namun mendalam dalam setiap sesi, sesuai untuk semua peringkat umur.

Pembelajaran dalam program ini bermula dengan asas Iqra 1 hingga Iqra 4, meliputi pengenalan huruf hijaiyah, makhraj huruf, sifat huruf, dan teknik bacaan yang dipermudahkan.

Jangan lepaskan peluang untuk bersama-sama dalam IQRA di TikTok TV AlHijrah. Pastinya, rancangan ini mampu menjadikan perjalanan pembelajaran al-Quran anda menjadi mudah, santai, dan inspiratif.

Pastikan anda mengikuti akaun TikTok TV AlHijrah untuk bersama-sama menyemarakkan program ini. Ayuh kita bersama membentuk generasi yang celik al-Quran dan berakhlak mulia.

Yayasan PEKEMA sumbang lebih RM40,000 kepada rumah jagaan warga emas

editormaxinfo@gmail.com

AMPANG – Yayasan PEKEMA di bawah Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) melancarkan Program ‘Charity BOX Yayasan PEKEMA’ pada Sabtu, lalu sebagai salah satu daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PEKEMA.

Program Charity BOX Yayasan PEKEMA ini adalah satu inisiatif untuk menjenamakan semula dan memberikan nafas baharu kepada aktiviti-aktiviti kebajikan PEKEMA.

Program ini turut mendapat sokongan daripada anak syarikat PEKEMA, Central Auto Distributors Berhad (CADB), yang dengan sukacitanya menawarkan kenderaan elektrik (EV) Dongfeng BOX sebagai kenderaan rasmi sepanjang perjalanan program ini.

Program yang julung kali diadakan itu menyumbangkan sebanyak RM40,900 kepada Pertubuhan Kebajikan Pusat Jagaan Sri Mesra, Taman Seri Watan, Ampang, Selangor atau juga dikenali sebagai ‘Mesra Home’.

Daripada jumlah itu, peruntukan terbesar disalurkan dalam bentuk sumbangan sebanyak RM20,000 untuk menambah baik premis rumah jagaan ini.

Pada masa sama, sebahagian sumbangan turut diberikan kepada 19 warga emas dan tidak dilupakan kepada lima penjaga.

Sebagai simbolik pelancaran sumbangan, setiap warga emas menerima cenderahati dalam bentuk “Gift BOX” oleh pihak Yayasan PEKEMA.

Yayasan PEKEMA turut menyantuni warga emas dengan melaksanakan aktiviti gotong royong yang turut disertai oleh wakil dari Yayasan PEKEMA, CADB, Sukarelawan Kelab Rekreasi & Sukan PEKEMA (KRESMA) dan Jabatan Komunikasi Korporat PEKEMA.

Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, Yayasan PEKEMA berharap program ini dapat memberikan sinar kebahagiaan kepada warga emas yang telah banyak berbakti dan berkorban untuk masyarakat.

Katanya, warga emas adalah permata yang amat berharga, dan sudah semestinya berhak menerima kasih sayang serta perhatian sepenuhnya daripada seluruh komuniti sebagai tanda penghargaan atas segala sumbangan mereka.

“Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi kesempatan untuk berkumpul pada hari yang penuh bermakna ini, di mana Yayasan PEKEMA dapat melancarkan Program Charity BOX Yayasan PEKEMA buat julung kalinya.

“Program ini bukan sahaja menggambarkan komitmen kita terhadap kesejahteraan golongan warga emas, tetapi juga menandakan titik penjenamaan semula satu inisiatif besar yang akan terus berjalan untuk memberi manfaat kepada masyarakat, terutamanya mereka yang memerlukan perhatian dan kasih sayang kita.

“Hari ini, kita melihat satu usaha murni yang membabitkan penyertaan pelbagai pihak, termasuk anak syarikat kami, Central Auto Distributors Bhd (CADB), yang telah berbesar hati menyediakan kenderaan elektrik (EV) Dongfeng BOX sebagai kenderaan rasmi untuk perjalanan program Charity BOX Yayasan PEKEMA.

“Insya-Allah progam ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa. Inilah contoh bagaimana kerjasama antara sektor korporat dan yayasan dapat mencipta impak yang lebih besar dalam usaha murni kita.

“Sebagai langkah pertama, kita berada di sini, di Pertubuhan Kebajikan Pusat Jagaan Sri Mesra, di mana kita memberi sumbangan kepada warga emas yang telah banyak berbakti kepada negara.

“Program ini bukan sekadar memberi bantuan kewangan, tetapi juga membabitkan aktiviti-aktiviti yang menyatukan kita semua dalam semangat gotong-royong dan kasih sayang.

“Penyerahan cek sumbangan sebanyak RM20,000 kepada pihak pengurusan rumah jagaan, pemberian wang tunai, serta Gift BOX kepada warga emas di sini adalah sedikit tanda penghargaan dari kami,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Operasi CADB, Dato’ Sheikh Mohamed Zulkifli SM Amin berkata, beliau amat berbesar hati dan berasa sangat teruja kerana diberi kesempatan untuk menjadi pembekal kenderaan rasmi Dongfeng BOX bagi Program Charity BOX yang dianjurkan oleh Yayasan PEKEMA.

“Ini adalah satu penghormatan besar bagi kami, dan kami melihat ini sebagai peluang yang sangat bermakna untuk turut serta dalam usaha murni menyantuni golongan warga emas yang telah banyak berjasa kepada masyarakat.

“Kami percaya bahawa dengan menyumbangkan kenderaan elektrik Dongfeng BOX sebagai kenderaan, kami dapat memberikan sokongan kepada program ini dari segi logistik, sekaligus memastikan perjalanan program ini berjalan dengan lancar dan selesa.

“Ini adalah salah satu cara kami untuk menyumbang kepada komuniti, khususnya kepada mereka yang memerlukan perhatian dan kasih sayang.

“Ini bertepatan juga dengan salah satu tema utama kenderaan ini yang membawa mesej kasih sayang “BOX of Love”.

“Kami berharap kerjasama ini bukan sahaja dapat memudahkan perjalanan program, tetapi juga dapat memperkukuh lagi hubungan antara CADB dan Yayasan

PEKEMA dalam mencapai matlamat kebajikan bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Yayasan PEKEMA, Mohd Yusof Rebu berkata, Yayasan PEKEMA merakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada semua pihak yang terbabit dalam menjayakan Program Charity BOX Yayasan PEKEMA ini, khususnya kepada CADB, Sukarelawan Kelab Rekreasi & Sukan PEKEMA, serta Jabatan Komunikasi Korporat PEKEMA.

“Marilah kita bersama-sama meneruskan usaha ini, untuk memastikan kebajikan warga emas sentiasa terbela, dan mereka terus menerima kasih sayang yang selayaknya,” katanya.

Jadilah yang pertama di Malaysia cuba HONOR Magic7 Pro yang belum dilancarkan 

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – HONOR Malaysia hari ini memulakan Program Beta Experiencer untuk HONOR Magic7 Pro yang belum dilancarkan, beberapa minggu selepas telefon pintar dikuasakan AI ini diperkenalkan di China.

Program ini mempelawa orang ramai berkelayakan untuk menjadi antara yang pertama dalam negara untuk alami dan membuat ulasan tentang HONOR Magic7 Pro.

Mereka juga berpeluang menilai proses pembangunan peranti serta menerokai kecanggihan MagicOS 9.0 baharu yang merupakan sistem pengoperasian AI diperibadikan untuk semua keadaan yang pertama dalam industri.

Ia menawarkan rangkaian ciri-ciri AI yang menarik dari segi perisian dan perkakasan.

Daftar untuk menjadi Beta Experiencer HONOR Magic7 Pro sekarang

Pendaftaran untuk Program Beta Experiencer HONOR Magic7 Pro bermula hari ini sehingga 27 November 2024. Peserta boleh membuat pendaftaran di https://www.honor.com/my/shop/new-product-beta/ 

Peserta akan menilai kamera, paparan, bateri, sistem pengoperasian dan prestasi peranti ini. HONOR Experiencers terpilih akan dikehendaki untuk melengkapkan tugasan mingguan mengikut tema sepanjang tempoh ujian, termasuk berkongsi pengalaman menarik mereka di platform media sosial.

Lebih menarik, 50 peratus peserta yang mencatat markah tertinggi pada penghujung program akan menerima satu HONOR Magic7 Pro secara percuma.

Manakala 50 peratus peserta selebihnya setiap seorang akan menerima e-baucar bernilai RM500.

Jangan tunggu dan lepaskan peluang ini dengan menyertai Program Beta Experiencer HONOR Magic7 Pro sekarang.

Program eksklusif ini pasti mengujakan orang ramai yang menanti-nantikan HONOR Magic7 Pro.

Membentuk HONOR Magic7 Pro melalui maklum balas sebenar

Pengambilan peserta Beta Experiencers untuk HONOR Magic7 Pro mengetengahkan kekukuhan komitmen HONOR terhadap nilai-nilai yang mementingkan pengguna.

Langkah tegas dan strategik ini yang dimulakan sebelum pelancaran rasmi menunjukkan keyakinan HONOR dalam peranti flagship terbabit.

Dengan mengumpulkan maklum balas sebenar daripada Beta Experiencers, HONOR memperolehi pandangan berguna terhadap keutamaan dan tabiat penggunaan oleh pengguna tempatan.

Selain itu, maklum balas ini juga membolehkan syarikat untuk memperuntukkan sumber secara cekap bagi menambah baik dan memperkayakan produk.

Usaha-usaha ini menggariskan dedikasi HONOR dalam menyampaikan teknologi flagship yang benar-benar memberi kepuasan kepada pengguna.

Siri Magic membawakan usaha berterusan HONOR dalam inovasi teknologi, pada masa sama memenuhi keperluan pengguna yang mencari penyelesaian termaju dan canggih yang semakin meningkat.

Dengan HONOR Magic7 Pro, HONOR terus menembusi sempadan dengan inovasi peneraju industri, memperkenalkan ciri-ciri yang dicipta untuk mentakrif semula jangkaan pengguna.

SELECT, Rakan Bola Rasmi Kerteh FC dan Rakan Utama SELECT Turtle Liga Persahabatan 2025

editormaxinfo@gmail.com

KERTEH – SELECT, peneraju global dalam penghasilan bola sepak berkualiti tinggi yang dijahit tangan, menjadi Rakan Bola Rasmi untuk musim 2025.

Kerteh FC menerusi kerjasama dengan SELECT, melalui Touchtronics Ryudben Sports, akan membekalkan bola rasmi kepada Kerteh Soccer School dan Akademi Kerteh di sepanjang musim, memastikan pemain berlatih dan bertanding menggunakan bola bertaraf antarabangsa.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, Turtle Liga Persahabatan kini secara rasmi dinamakan sebagai SELECT Turtle Liga Persahabatan 2025.

Liga akar umbi ini, yang dianjurkan oleh KAL Leagues di bawah naungan Kerteh FC, berfungsi sebagai platform penting untuk membangunkan bakat muda dan memberikan peluang kepada pemain akar umbi untuk bersaing dalam persekitaran profesional dan kompetitif.

Dengan SELECT sebagai rakan utama, Kerteh FC yakin liga ini akan memberikan impak besar kepada pembangunan bola sepak komuniti.

SELECT, dengan pensijilan FIFA Quality Pro, adalah pembekal rasmi untuk liga-liga utama dunia termasuk Jupiler Pro League di Belgium, Bundesliga di Jerman, Super Liga di Denmark, dan Eredivisie di Belanda, antara lain.

Dengan reputasi antarabangsa ini, Kerteh FC yakin pemain akan mendapat manfaat besar daripada penggunaan bola berkualiti tinggi semasa latihan dan perlawanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kerteh FC, Syed Khairi Amier Syed Radzuan berkata, mereka sangat teruja untuk bekerjasama dengan SELECT, jenama yang mempunyai rekod prestasi cemerlang dalam bola sepak profesional di seluruh dunia.

“Bola berkualiti tinggi daripada SELECT ini bukan sahaja akan meningkatkan pengalaman latihan, malah menginspirasi pemain kami untuk mengejar impian bola sepak mereka.

“Melalui SELECT Turtle Liga Persahabatan, kami berharap dapat menyemai minat terhadap sukan ini dan memupuk bakat muda di seluruh komuniti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ryudben Sports Singapore, Sherman Lim yang juga pengedar rasmi untuk SELECT dan Mizuno Soccer, berkata, kerjasama dengan Kerteh FC untuk SELECT Turtle Liga Persahabatan 2025 membuktikan sokongan mereka terhadap pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.

“Kami berharap liga ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dan kejayaan bola sepak akar umbi di Malaysia.

“Sebagai pengedar rasmi, kami berbesar hati melihat SELECT menjadi sebahagian daripada inisiatif penting ini yang bukan sahaja mengukuhkan jenama di Malaysia, tetapi juga menyokong pemain dalam membangunkan bakat mereka dalam suasana yang penuh semangat dan sokongan,” katanya.

Kerjasama ini mencerminkan komitmen Kerteh FC dan SELECT untuk memperkasakan pembangunan bola sepak akar umbi serta menyokong usaha memajukan komuniti bola sepak di Malaysia.

Dengan SELECT sebagai rakan rasmi, Kerteh FC yakin musim 2025 akan menjadi penanda aras penting dalam usaha mengukuhkan ekosistem bola sepak komuniti.

Selepas tiga tahun, Misha Omar kembali dengan ‘Misha Omar Back To Basic Showcase’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi Misha Omar bakal melaksanakan impian peminat yang ingin melihat dia kembali beraksi di pentas menerusi persembahan solonya pada Disember ini.

Menerusi persembahan solonya kali terakhir yang diadakan di Istana Budaya pada 2021, Misha Omar tetap memilih sebuah panggung kecil namun dijangka akan penuh intim berbanding beraksi di pentas konsert yang megah.

Menerusi Misha Omar Back To Basic Showcase, persembahan yang sekian lama dinantikan itu bakal berlangsung pada 21 Disember 2024 di Odeum At Jiospace, Petaling Jaya bermula jam 8.30 malam.

Menurut pesohor seni kelahiran Kelantan ini, persembahan itu diadakan bukan dalam skala besar adalah sebagai sebuah apresiasi buat peminat yang tidak pernah berpaling daripada mendukung dua dekad karier.

Misha Omar Back To Basic Showcase juga akan menjadi ‘pemanas’ kepada sebuah konsert berskala besar yang menjadi impian emasnya pada waktu mendatang.

“Sebagai penghibur yang sudah dua dekad berada dalam belantika muzik malah masih mampu kekal relevan, bohong jika saya katakan tidak punya mimpi mengadakan konsert besar-besaran.

“Mengapa persembahan berskala kecil bukan sebuah konsert mega adalah kerana saya suka untuk memulakan sesuatu dengan langkah kecil sebelum mencetak sejarah yang lebih besar.

“Persembahan ini juga saya adakan khas buat peminat yang sentiasa bertanya mengenai bila saya akan menghiburkan mereka secara langsung.

“Ironi, saya sendiri seorang penyanyi yang juga tidak mementingkan soal sudah lama dalam industri maka perlu bikin konsert tapi lebih memilih melakukan kerja secara berperingkat.

“Mana tahu bermula dengan Misha Omar Back To Basic Showcase yang berskala kecil ini menjadi ‘pintu’ menuju konsert mega pada masa akan datang? Kita doa bersama,” katanya.

Berkongsi mengenai konsep showcase yang dianjurkan oleh Double M Productions ini, Misha akan menghiburkan peminat selama 90 minit dengan iringan pemuzik yang berprofil tinggi.

Bintang berusia 42 tahun yang menggunakan khidmat Datuk Syafinaz Selamat selaku pengarah vokal meletakkan tanggungjawab pengarah muzik kepada Ayop Azril bersama sembilan pemuzik di bawah pimpinannya.

Jennifer Thompson diberi kepercayaan selaku pengarah konsert sementara Simon Khoo menggalas tugas pengarah teknikal.

Pada malam nan indah itu, Misha hanya mahu ‘bersenang-senang’ bersama peminat dengan seleksi tembang yang akan mengejutkan.

“Alasan di sebalik pemilihan nama Misha Omar Back To Basic Showcase juga punya signifikan tersendiri dengan konsep persembahan malam terbabit. Ia seperti pulang kepada asas.

“Saya akan membawa peminat pulang ke saat seorang Misha Omar baru mahu mencetak nama sebagai penyanyi selepas pertama kali mengikat kontrak bersama syarikat rakaman besar pada tahun 2002.

“Bagaimana saya sangat menghargai momen menyanyi di pentas kecil seperti Planet Hollywood dan menyanyikan tembang-tembang milik penghibur lain yang telah memberi saya kepercayaan dan inspirasi untuk terus berkarya.

“Selebihnya saya senang merahsiakannya dahulu tetapi yang pasti kejutan luar biasa sudah saya siapkan buat peminat yang hadir ke showcase itu nanti,” kata Misha.

Dapatkan tiket-tiket dengan harga RM288 (CAT 2- free standing), RM338 (CAT 1- free standing), RM388 (Mezzanine- numbered seat), RM488 (VIP: Numbered seat ~ with Photo Session Pass)  di platform JIOTIX : https://www.jiotix.asia/ .

Tiket akan mula dijual pada 27 November 2024, jam 10 pagi. Untuk keterangan lanjut, hubungi +6011-51003111 (teks Whatsapp sahaja) dan emel ask@jiotix.asia.

Sijil halal kepada Genting tiada kaitan dengan premis judi – Jakim

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang diberikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada Genting Malaysia Berhad tidak mempunyai kaitan dengan premis judi seperti yang tular di media sosial.

Jakim berkata,  pensijilan itu diberikan kepada syarikat berkenaan yang meliputi premis-premis makanan dikelolakan olehnya di Genting Highlands seperti Jom Makan Street Food Restaurant & Kitchen dan Jom Makan SkyAvenue Restaurant & Kitchen.

“Selain itu, syarikat ini juga sangat mematuhi keperluan dan piawaian pensijilan halal Malaysia yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa berwibawa sehingga dinobatkan sebagai Halal Champion Negeri Pahang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, media melaporkan syarikat terkemuka dalam bidang rekreasi dan hospitaliti, Genting Malaysia Berhad mendapat pengiktirafan sebagai Halal Champion Negeri Pahang di majlis pelancaran Halal on Track Pahang 2024.

Genting Malaysia Berhad dalam satu kenyataan berkata, pengiktirafan itu diberi selepas penyerahan status halal dan penilaian menyeluruh oleh Majlis Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) terhadap operasi harian dan latihan selain dokumentasi Jom Makan SkyAvenue serta Jom Makan Street Food yang dimiliki dan diuruskan Resorts World Genting.

Bagaimanapun, pengiktirafan berkenaan telah menjadi polemik di media sosial dan menimbulkan persoalan kepada orang ramai berikutan didakwa syarikat itu mempunyai kaitan dengan premis judi.

Dalam pada itu, Jakim menasihatkan pengguna supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sesuatu berita tanpa usul periksa dan mengelak daripada mengelirukan pengguna lain.