editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – TV AlHijrah membawakan satu inisiatif baharu dalam menjalankan misi dakwah platform digital dengan melancarkan IQRA, sebuah program celik al-Quran di aplikasi TikTok.
Dengan kerjasama Darul Fikir, program ini bertujuan menghidupkan aspirasi Kerajaan MADANI untuk membina masyarakat berilmu yang berlandaskan prinsip rohani dan intelektual, menjadikan al-Quran sebagai asas kehidupan seharian.
IQRA dilihat mampu menjadi platform yang menjadikan Malaysia sebagai negara unggul dalam ilmu dan akhlak, di mana al-Quran menjadi teras kehidupan seharian.
Ini selari dengan hadis Nabi SAW tentang kelebihan membaca al-Quran yang berbunyi: “Seorang yang mahir dalam membaca al-Quran akan bersama para malaikat yang mulia dan sentiasa taat kepada Allah dan bagi yang membaca al-Quran namun tersangkut-sangkut dan berasa susah buatnya maka untuknya itu dua ganjaran.” (Riwayat Muslim).
Disiarkan pada setiap hari, jam 9 malam, rancangan ini akan membawa penonton untuk mempelajari asas-asas bacaan al-Quran, kaedah tarannum, tajwid, serta mendalami makna ayat-ayat suci melalui pendekatan yang santai dan interaktif.

Menariknya, pelayar laman TikTok TV AlHijrah akan dibimbing oleh Ustaz Ammar Mukhlis, Tilmiz Fahmi, dan Tilmizah Maghfirah dalam mendalami asas al-Quran menerusi 79 kapsul harian berdurasi 2 minit yang ringkas, namun mendalam dalam setiap sesi, sesuai untuk semua peringkat umur.
Pembelajaran dalam program ini bermula dengan asas Iqra 1 hingga Iqra 4, meliputi pengenalan huruf hijaiyah, makhraj huruf, sifat huruf, dan teknik bacaan yang dipermudahkan.
Jangan lepaskan peluang untuk bersama-sama dalam IQRA di TikTok TV AlHijrah. Pastinya, rancangan ini mampu menjadikan perjalanan pembelajaran al-Quran anda menjadi mudah, santai, dan inspiratif.
Pastikan anda mengikuti akaun TikTok TV AlHijrah untuk bersama-sama menyemarakkan program ini. Ayuh kita bersama membentuk generasi yang celik al-Quran dan berakhlak mulia.

