26.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, June 13, 2026

Sijil halal kepada Genting tiada kaitan dengan premis judi – Jakim

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang diberikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada Genting Malaysia Berhad tidak mempunyai kaitan dengan premis judi seperti yang tular di media sosial.

Jakim berkata,  pensijilan itu diberikan kepada syarikat berkenaan yang meliputi premis-premis makanan dikelolakan olehnya di Genting Highlands seperti Jom Makan Street Food Restaurant & Kitchen dan Jom Makan SkyAvenue Restaurant & Kitchen.

“Selain itu, syarikat ini juga sangat mematuhi keperluan dan piawaian pensijilan halal Malaysia yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa berwibawa sehingga dinobatkan sebagai Halal Champion Negeri Pahang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, media melaporkan syarikat terkemuka dalam bidang rekreasi dan hospitaliti, Genting Malaysia Berhad mendapat pengiktirafan sebagai Halal Champion Negeri Pahang di majlis pelancaran Halal on Track Pahang 2024.

Genting Malaysia Berhad dalam satu kenyataan berkata, pengiktirafan itu diberi selepas penyerahan status halal dan penilaian menyeluruh oleh Majlis Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) terhadap operasi harian dan latihan selain dokumentasi Jom Makan SkyAvenue serta Jom Makan Street Food yang dimiliki dan diuruskan Resorts World Genting.

Bagaimanapun, pengiktirafan berkenaan telah menjadi polemik di media sosial dan menimbulkan persoalan kepada orang ramai berikutan didakwa syarikat itu mempunyai kaitan dengan premis judi.

Dalam pada itu, Jakim menasihatkan pengguna supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sesuatu berita tanpa usul periksa dan mengelak daripada mengelirukan pengguna lain.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular