editormaxinfo@gmail.com
PETALING JAYA – Bagi mengimbau kembali kisah seram Jangan Pandang Belakang, MIG kembali membawakan Jangan Pandang Belakang…Aku Tahu Asal Usulmu.
Filem kesinambungan dari Jangan Pandang Belakang itu diarahkan oleh Pierre Andre selepas 10 tahun menyepi dari industri seni.
Filem Jangan Pandang Belakang … Aku Tahu Asal Usulmu diberi nafas baharu dan Pierre cuba mengangkat semula filem seram yang dilihat semakin kurang berkualiti di pasaran.
“Jangan Pandang Belakang yang dahulu skrip dihasilkan oleh saya dan diarahkan oleh Ahmad Idham, berbeza kali ini skrip orang lain tetapi saya yang perlu mengarahkannya.
“Pastinya ia bukan sesuatu yang mudah kerana saya perlu membawakan sesuatu yang lebih segar apatah lagi melihat filem seram sekarang ini semakin kurang berkualiti.

“Saya melihat di Indonesia filem seram mereka bagus dan kita begitu jauh sangat ketinggalan.
“Saya banyak berbincang dengan David Teo dan ingin melakukan sesuatu yang berlainan,” katanya.
Pierre berkata, dia juga pada awal bimbang akan jangkaan penonton terhadap filem ini yang mahukan ianya ‘box-office’ sama seperti filem yang pertama.
“Sebenarnya saya takut untuk mengarah filem ini kerana jangkaan orang ramai untuk filem ini sangat tinggi.
“Sejujurnya ia memberikan tekanan yang sangat besar buat saya apabila menerima tawaran mengarahkan filem ini.

“Sebelum memulakan sesi penggambaran saya sudah mula rasa tertekan kerana skrip sudah ada tetapi saya perlu menjadikan ia lebih baik.
“Disebabkan perkara ini, saya susah tidur malam akibat risau jika orang tidak dapat menerima karya saya ini,” katanya lagi.
Jangan Pandang Belakang…Aku Tahu Asal Usulmu sudahpun menemui penonton di seluruh pawagam tanah air sejak 21 November yang lalu.
Filem ini dilakonkan oleh Emma Maembong, Iedil Dzuhrie Alaudin, Mawar Rashid, Alif Hadi, Khatijah Tan, Ruminah Sidek, Hafidzuddin Fazil, Cat Farish, Kel Narima dan ramai lagi.

Filem ini juga bakal ditayangkan di 14 buah negara iaitu Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand, Indonesia, Cambodia, Philippine, Myanmar Vietnam, Laos, Rusia, New Zealand, Turki dan Australia.
Filem ini adalah kisah kesinambungan saka keluarga Opah yang mencari tuan baharu untuk didampingi. Namun, ada sesuatu yang menghalang dan membawa kepada pelbagai kejadian menyeramkan.


