editormaxinfo@gmail.com
KUALA SELANGOR – Dalam usaha menyemarakkan sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia, Stesen radio nombor satu Pantai Timur, THR GEGAR, telah mengunjungi wad pediatrik di Hospital Sultan Abdullah, Puncak Alam, baru-baru ini.
Lawatan istimewa ini, membabitkan penyampai radio seperti Issey, Fizie, Ashwad, dan Ewan, bertujuan untuk menceriakan pesakit kanak-kanak sambil menunjukkan sokongan kepada petugas kesihatan yang berdedikasi.

Pengurus Jenama THR GEGAR, Eman Zaki, , program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara penyampai radio dan pesakit kanak-kanak serta memberikan sokongan moral kepada mereka yang sedang dirawat di wad terbabit.
“Lawatan ini bukan sahaja satu usaha murni, tetapi juga memberi peluang kepada penyampai kami untuk mendekati dan memahami situasi kanak-kanak yang sedang bertarung dengan masalah kesihatan mereka.
“Ia juga adalah pengalaman bermakna buat kami kerana ini adalah kali pertama kunjungan diadakan selepas hospital ini beroperasi selama tiga tahun,” katanya.
Lawatan berkenaan berlangsung selama dua jam dan turut merangkumi sesi siaran langsung bersama petugas wad menerusi platform media sosial rasmi THR GEGAR.
Sebanyak 20 katil di wad pediatrik itu menempatkan kanak-kanak yang sedang dirawat pelbagai jenis penyakit.

Sepanjang lawatan, penyampai THR GEGAR turut menyampaikan sumbangan berbentuk hamper makanan dan set mewarna untuk pesakit cilik di situ.
Aktiviti ini bertujuan menceriakan suasana di hospital dan menghargai jasa petugas kesihatan yang sentiasa berdedikasi merawat pesakit.
“Kami berharap kunjungan ini mampu menceriakan hati adik-adik kecil di wad pediatrik serta memberi sedikit kegembiraan kepada barisan petugas kesihatan yang tidak kenal penat lelah,” kata Eman Zaki.
Beliau juga menzahirkan keprihatinan THR GEGAR terhadap isu kesihatan kanak-kanak dan berharap agar mereka cepat sembuh dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

