28.5 C
Kuala Lumpur
Monday, June 22, 2026
Home Blog Page 13

Penulis Malaysia menang dua anugerah antarabangsa & tempatan menerusi buku Konservasi Penyu dan Tuntung

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penulis dan penjawat awam, Ts. Dr. Mohd Hairul Mohd Salleh, terus mencipta nama apabila karya beliau yang memfokuskan kepada pemuliharaan alam sekitar berjaya meraih dua pengiktirafan berprestij di peringkat tempatan dan antarabangsa sepanjang April 2026.

Karya berjudul Panduan Menyaksikan Penyu dan Tuntung Bertelur: Memuliharan Warisan Alam Ke Arah Kelestarian itu telah membuktikan nilai dan impaknya apabila menerima Anugerah Penerbitan Karya Asli (Buku) dalam Majlis Penyampaian Anugerah Penerbitan 2025 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Majlis anjuran USIM Writers’ Pool yang berlangsung pada 16 April 2026 itu menjadi platform penting dalam mengiktiraf sumbangan karya ilmiah yang berkualiti tinggi dalam dunia penerbitan negara.

Lebih membanggakan, kejayaan itu hadir seiring dengan satu lagi pengiktirafan di peringkat global apabila Ts. Dr. Mohd Hairul turut dinobatkan sebagai penerima Excellence Award in the Category of Male Writers dalam acara antarabangsa Global Author & Creator Summit 2026.

Program anjuran Exceller Books, India yang berlangsung secara dalam talian pada 10 April 2026 itu menghimpunkan penulis dan pencipta kandungan dari seluruh dunia, sekali gus meletakkan nama beliau sebaris dengan tokoh penulisan antarabangsa.

Mengulas mengenai pencapaian itu, Ts. Dr. Mohd Hairul menyifatkan pengiktirafan yang diterima sebagai satu amanah besar untuk terus menghasilkan karya yang memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya dalam bidang pemuliharaan alam sekitar dan pendidikan lestari.

Katanya, kejayaan itu bukan sekadar penghargaan peribadi, sebaliknya menjadi pemangkin untuk mempergiat usaha menyampaikan kesedaran tentang kepentingan memelihara khazanah alam kepada generasi akan datang melalui penulisan yang berimpak.

Buku terbitan Penerbit Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu menampilkan pendekatan ilmiah dan praktikal dalam mengetengahkan kepentingan pemeliharaan spesies penyu dan tuntung.

Selain itu, ia turut menyediakan panduan kepada masyarakat serta pelancong mengenai kaedah menyaksikan proses pendaratan dan peneluran haiwan itu secara beretika tanpa menjejaskan habitat semula jadi.

Karya berkenaan dilihat sebagai sumbangan signifikan dalam menyokong agenda kelestarian alam, pembangunan ekopelancongan dan pendidikan awam.

Ia selari dengan usaha berterusan negara dalam memelihara biodiversiti serta memastikan warisan semula jadi terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Kejayaan berganda yang diraih oleh Ts. Dr. Mohd Hairul ini sekali gus membuktikan bahawa karya yang berteraskan ilmu, konservasi dan nilai masyarakat mampu mendapat pengiktirafan meluas di pelbagai peringkat.

Pencapaian ini juga secara tidak langsung mengangkat martabat dunia penulisan negara ke persada antarabangsa serta memperkukuh peranan penulis tempatan dalam memacu agenda kelestarian global.

TV AlHijrah hidupkan detik Arafah 2026, dekatkan umat dengan Haji 1447H

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – TV AlHijrah terus memperkukuh peranannya sebagai stesen penyiaran Islam utama negara dengan membawakan rangkaian kandungan khas sempena musim Haji dan Aidiladha 1447H, yang disusun rapi bermula April hingga penghujung Mei 2026.

Inisiatif ini bertujuan mendekatkan umat Islam di Malaysia dengan pengalaman spiritual di Tanah Suci menerusi pelbagai program berteraskan ilmu, penghayatan rohani serta laporan semasa secara langsung.

Mengangkat tema kempen “Arafah: Puncak Munajat & Harapan”, TV AlHijrah menyajikan pengisian istimewa yang menzahirkan kemuliaan ibadah haji, keinsafan di bumi Arafah serta harapan umat Islam terhadap rahmat dan keampunan Allah SWT, selari dengan usaha memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap nilai-nilai ibadah berkenaan secara lebih mendalam.

Sebagai pembuka tirai musim haji tahun ini, program Interaktif Haji mula bersiaran pada 20 April 2026 setiap Isnin hingga Jumaat, jam 9 malam dengan memberi penekanan kepada kefahaman ibadah haji secara jelas, tepat dan praktikal.

Program ini dibimbing oleh barisan asatizah berpengalaman seperti Ustaz Harryanto Rizal dan Ustazah Yusnah Yusuf.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Haris berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja memberi gambaran jelas kepada umat Islam yang belum menunaikan haji, malah menjadi medium mengimbau kenangan buat mereka yang pernah melaksanakannya.

“Program-program yang disediakan berfungsi sebagai persediaan ilmu serta pengukuhan rohani kepada masyarakat Islam secara menyeluruh.

“Lebih menarik, musim ini turut diperkasa dengan integrasi digital secara langsung yang membolehkan penonton mengemukakan persoalan secara terus melalui platform media sosial bersama pengacara Zaim Zamani.

“Pendekatan ini dilihat mampu meningkatkan interaksi serta kefahaman secara masa nyata dalam kalangan penonton,” katanya.

Meneruskan momentum itu, TV AlHijrah menampilkan program Kisah Mutawif bermula 30 April 2026 yang bersiaran setiap Khamis dan Jumaat pada jam 10 malam bersama Ustaz Izzhar Nazri.

Program ini membawa penonton menyelami pengalaman sebenar mutawif dalam membimbing jemaah di Tanah Suci, termasuk kisah pengorbanan, kesabaran serta perjalanan spiritual menuju Allah SWT.

Kempen Haji 2026 turut diperkukuh dengan penerbitan Diari Labbaikallah yang akan mula bersiaran pada 11 Mei 2026 setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam.

Kapsul khas ini membawakan laporan semasa secara langsung dari Mekah, merangkumi suasana ibadah haji, pergerakan jemaah serta detik-detik penting sepanjang musim haji, sekali gus memberi peluang kepada penonton di tanah air merasai pengalaman seolah-olah berada di bumi suci.

Menjelang kemuncak ibadah haji, tumpuan utama pastinya siaran langsung Munajat Arafah pada 26 Mei 2026, jam 5 petang yang menampilkan tausiyah, zikir dan munajat dalam suasana penuh keinsafan.

Pada hari yang sama, TV AlHijrah turut menyiarkan secara langsung Khutbah Arafah 2026 yang akan disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan kepada jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.

Siaran langsung berkenaan dijadualkan sekitar jam 7 malam waktu Malaysia menerusi platform rasmi TV AlHijrah di Facebook dan TikTok, sekali gus membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk bersama-sama menghayati detik kemuncak ibadah haji yang menghimpunkan jutaan umat Islam di Padang Arafah dalam suasana penuh doa, taubat dan pengharapan kepada Allah SWT.

Sementara itu, Dr. Zulkifli Hasan berkata, TV AlHijrah bukan sekadar medium penyampaian ilmu, tetapi turut berperanan membentuk pemikiran masyarakat terhadap Islam yang progresif dan inklusif, selain membantu memperkukuh kefahaman agama dalam kalangan rakyat.

“Dalam meraikan ketibaan Aidiladha, TV AlHijrah turut membawakan program Peristiwa Hari Tasyrik yang akan bersiaran pada 28 hingga 30 Mei 2026, jam 9 malam. “Program ini mengupas makna dan hikmah tiga hari Tasyrik, termasuk kepentingan memperbanyakkan zikir serta menghayati pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS,” katanya.

Selain itu, rancangan pagi popular Assalamualaikum akan terus menyajikan segmen khas haji setiap hari pada jam 7 pagi menerusi perkongsian ilmu, simulasi ibadah dan panduan praktikal oleh para asatizah terpilih.

Berita AlHijrah pula akan menampilkan laporan harian musim Haji 1447H pada jam 8 malam dengan perkembangan terkini berdasarkan sumber sahih termasuk Lembaga Tabung Haji serta pihak berkuasa berkaitan di Arab Saudi.

Keseluruhan rangkaian kandungan ini mencerminkan peranan TV AlHijrah sebagai jambatan rohani yang menghubungkan rakyat Malaysia dengan detik-detik penting umat Islam di seluruh dunia, sekali gus memperkukuh aspirasi dalam menyatukan ummah melalui penyebaran ilmu dan penghayatan ibadah yang lebih mendalam.

Buakaw vs Gaofeng gegar Titiwangsa, pertarungan epik T-Fight All Star 2026 jadi tumpuan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Stadium Titiwangsa dijangka bergema dengan sorakan peminat apabila kejohanan T-Fight All Star 2026 menghimpunkan barisan petarung elit Muay Thai dari seluruh dunia dalam aksi penuh adrenalin pada esok, 24 April.

Kejohanan berprestij itu bakal menyaksikan penyertaan atlet dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Thailand, China, Indonesia, Kemboja, Uganda dan Maghribi, sekali gus menjadikannya antara pentas pertarungan Muay Thai paling dinanti-nantikan di rantau ini.

Tumpuan utama sudah pasti terarah kepada kemunculan legenda Muay Thai dunia, Buakaw Banchamek yang akan beraksi dalam perlawanan utama kategori 70 kilogram.

Lebih mencuri perhatian, beliau dijadualkan berdepan pencabar muda dari China, Meng Gaofeng dalam pertarungan yang dijangka berlangsung sengit dan berintensiti tinggi.

Gaofeng, 28, hadir dengan rekod menggerunkan apabila mencatat 33 kemenangan daripada 45 pertarungan profesional, termasuk sembilan kemenangan secara knockout.

Pertembungan ini bukan sahaja mempertemukan dua gaya bertarung berbeza, malah dilihat sebagai ujian terbesar buat Gaofeng untuk menumbangkan legenda yang telah lama mendominasi arena Muay Thai dunia.

Pegawai Pemasaran T Fight, Mohd Khairul Hafiz Hassan berkata, persiapan kejohanan kini berada pada tahap hampir sempurna menjelang hari pertarungan.

Menurut beliau, setakat ini persiapan telah mencapai kira-kira 80 peratus dengan semua proses berjalan lancar termasuk sesi timbang berat yang disaksikan bersama Persatuan Muaythai Malaysia.

Tambahnya, pihak penganjur kini giat melakukan persiapan akhir termasuk raptai penuh bagi memastikan kelancaran acara pada malam kejohanan.

Sambutan terhadap T-Fight All Star 2026 juga amat memberangsangkan apabila jualan meja telah habis, manakala tiket yang berbaki dianggarkan sekitar 300 keping sahaja.

“Harga tiket bermula dari RM185 hingga RM285 dan kami turut menyediakan siaran langsung berbayar pada harga RM19 bagi peminat yang tidak dapat hadir ke stadium,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, penganjuran kejohanan ini bukan sekadar hiburan semata-mata, sebaliknya menjadi platform penting dalam usaha mengangkat sukan Muay Thai ke tahap lebih tinggi di Malaysia, selain merangsang industri pelancongan sukan dan ekonomi tempatan.

Sementara itu, Buakaw mengakui teruja untuk beraksi di Malaysia buat kali pertama dalam perlawanan rasmi, sambil menyifatkan peluang berkenaan sebagai ruang untuk menghiburkan peminat tempatan.

Katanya, beliau akan memberikan persembahan terbaik bagi memastikan penonton menikmati aksi pertarungan yang berkualiti tinggi.

Legenda dari Thailand itu berkata, setiap pertarungan memerlukan persiapan rapi dan beliau kini berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi cabaran getir daripada lawannya.

Dalam pada itu, Gaofeng pula tidak gentar dengan reputasi besar lawannya, sebaliknya tampil penuh keyakinan untuk mencipta kejutan.

Beliau telah membuat persiapan lebih sebulan dan kini berada pada tahap terbaik menjelang pertarungan berkenaan.

Meskipun menyedari statusnya sebagai ‘underdog’, Gaofeng percaya sokongan daripada pasukan dan keluarga menjadi pembakar semangat untuk membuktikan keupayaannya di pentas antarabangsa, sekali gus berazam untuk memberikan saingan sengit kepada legenda Muay Thai itu.

Pertarungan ini dijangka menjadi antara aksi paling dinanti dalam kalendar sukan tempatan, dengan peminat berpeluang menyaksikan pertembungan dua generasi dan gaya bertarung yang berbeza dalam satu malam penuh debaran di ibu negara.

Nasib 6,200 pekerja KTMB jadi tanda tanya, RUM bimbang peranan terhakis

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kesatuan Pekerja-Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM) melahirkan kebimbangan serius terhadap masa depan kira-kira 6,200 pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) susulan penubuhan sebuah anak syarikat baharu, Tenang Capital Berhad (TCB), yang didakwa berpotensi mencetuskan lebihan tenaga kerja secara besar-besaran.

Presidennya, Muhammad Faizal Syahibul Kirayah berkata, entiti baharu itu difahamkan ditubuhkan sekitar Julai 2025 oleh pengurusan KTMB bagi menguruskan pelbagai perniagaan bukan teras, termasuk perkhidmatan tren sewa khas, pengiklanan, hartanah, aplikasi digital, cenderahati serta perkhidmatan nilai tambah dalam tren.

Beliau berkata, sebahagian besar fungsi berkenaan sebelum ini operasi sedia ada KTMB yang turut menyumbang kepada pendapatan syarikat induk.

“Perkembangan ini menimbulkan kebimbangan bahawa peranan KTMB sebagai pengendali utama perkhidmatan rel negara akan terhakis secara berperingkat, selain memberi kesan langsung kepada struktur pekerjaan sedia ada.

“Kebimbangan ini bukan lagi bersifat andaian apabila pekerja mula merasai kesannya melalui penurunan ketara pelarasan gaji di bawah Perjanjian Bersama (CA).

“Sebelum penubuhan entiti baharu ini, pelarasan gaji berada pada kadar sekitar 10 hingga 13 peratus, namun kini merosot kepada hanya sekitar tiga hingga lima peratus.

“Penurunan ini memberi kesan terus kepada pendapatan dan kebajikan pekerja,” katanya dalam sidang media.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan antara 1,000 hingga 3,000 pekerja berpotensi terjejas sekiranya proses pengambilalihan operasi oleh syarikat baharu itu diteruskan.

Keadaan itu boleh mewujudkan lebihan tenaga kerja yang akhirnya membawa kepada penempatan semula atau risiko lain yang menjejaskan keselamatan pekerjaan.

Kesatuan yang mewakili kira-kira 3,500 pekerja bukan eksekutif itu turut menyuarakan bantahan terhadap penubuhan Tenang Capital Berhad yang didakwa menggunakan dana dalaman KTMB selain mengambil alih beberapa perkhidmatan sedia ada syarikat induk.

Muhammad Faizal turut mempersoalkan tindakan Lembaga Pengarah KTMB yang didakwa meluluskan penubuhan syarikat terbabit secara tergesa-gesa, termasuk isu pelantikan pengurusan yang dikatakan berlaku ketika individu berkenaan masih memegang jawatan dalam KTMB.

Tambahnya, kesatuan juga tidak pernah dipanggil menghadiri sebarang taklimat rasmi walaupun mewakili ribuan pekerja, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap ketelusan proses terbabit.

Selain itu, beliau mendedahkan terdapat percanggahan maklumat berkaitan perkhidmatan Business Class ETS serta isu pembayaran elaun kakitangan yang ditempatkan secara ‘secondment’ ke Tenang Capital, yang didakwa dibuat tanpa kelulusan penuh.

Susulan itu, RUM telah membuat laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat aspek penubuhan dan tadbir urus anak syarikat berkenaan, termasuk dakwaan penyalahgunaan kuasa serta pengurusan kewangan.

Dalam perkembangan berkaitan, kesatuan turut merayu campur tangan kerajaan, khususnya Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, agar menilai semula keputusan itu demi memastikan kepentingan pekerja dan masa depan industri rel negara terus terpelihara.

“Kesatuan tidak akan berdiam diri sekiranya hak pekerja dan masa depan KTMB terjejas, kerana isu ini bukan sahaja membabitkan kebajikan ribuan pekerja, malah kepentingan perkhidmatan rel negara,” katanya.

Wanita kuasai pentas Dikir Barat RTM 2026, cipta sejarah baharu seni tradisional

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Buat pertama kali dalam sejarah penganjurannya sejak 1993, Pertandingan Dikir Barat RTM 2026 edisi ke-22 mencipta kelainan tersendiri apabila membuka pentas kepada penyertaan pendikir wanita, sekali gus memecahkan dominasi tradisi yang sekian lama dikuasai oleh golongan lelaki.

Inisiatif bersejarah ini mencerminkan komitmen Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam memperkasa peranan wanita dalam bidang seni budaya, di samping memastikan warisan tradisional terus kekal relevan, dinamik dan inklusif seiring perkembangan zaman.

Penyertaan wanita dalam seni dikir barat dilihat sebagai satu langkah progresif yang bukan sahaja membuka ruang baharu, malah memperluas dimensi persembahan seni warisan negara.

Dalam konteks perkembangan seni tradisional, kemampuan untuk menjadi pendikir bukanlah sesuatu yang boleh dibentuk dalam tempoh singkat.

Golongan wanita khususnya sering berdepan pelbagai kekangan termasuk kurangnya pengiktirafan, sokongan, pendedahan serta ketiadaan tenaga pengajar wanita yang mencukupi.

Faktor-faktor ini selama ini menjadi antara sebab utama mengapa seni dikir barat kurang mendapat sambutan dalam kalangan wanita.

Namun, langkah berani RTM memperkenalkan kategori wanita dalam pertandingan tahun ini jelas memberi nafas baharu kepada landskap seni budaya tempatan.

Pertandingan Dikir Barat RTM 2026 turut menjadi sebahagian daripada strategi RTM dalam memperkukuh kandungan berkualiti di platform digital RTMKLIK, selain diangkat sebagai acara utama sempena sambutan ulang tahun ke-80 penyiar nasional itu.

Peringkat saringan yang berlangsung pada 7 dan 8 Februari lalu di beberapa stesen radio RTM terpilih di seluruh negara menyaksikan sambutan amat menggalakkan dengan penyertaan 14 kumpulan lelaki dan enam kumpulan wanita.

Daripada jumlah itu, enam kumpulan wanita berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir bersama empat kumpulan lelaki terbaik.

Separuh akhir pertandingan berlangsung di Auditorium Seri Angkasa pada 18 April, sebelum kemuncak pentas akhir dijadualkan pada 25 April.

Menariknya, beberapa kumpulan wanita yang bertanding turut melibatkan penuntut institusi pengajian tinggi, sekali gus mencerminkan potensi besar generasi muda sebagai pelapis seni tradisional ini.

Transformasi penganjuran edisi ke-22 ini menyerlahkan usaha berterusan RTM dalam menyuntik elemen pembaharuan agar seni warisan kekal segar dan relevan.

Pertandingan yang diadakan secara dwitahunan ini juga membuka peluang kepada penyertaan pendikir muda daripada pelbagai kaum, sekali gus memperkukuh keterangkuman seni dikir barat di peringkat nasional.

Selain mengetengahkan bakat dan kreativiti, pertandingan ini turut menawarkan hadiah wang tunai lumayan, dengan juara kategori lelaki berpeluang membawa pulang RM30,000 manakala juara kategori wanita bakal menerima RM25,000.

Inisiatif ini bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada penggiat seni, malah menjadi pemangkin kepada perkembangan seni tradisional dalam kalangan masyarakat.

Pentas separuh akhir yang berlangsung secara langsung pada jam 9 malam menerusi TV2 dan RTMKLIK turut dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan seperti Asmidar, Farez Adnan, Adik Waniey dan Aus Raja Perfume.

Program ini dikendalikan oleh barisan hos iaitu Jeed Zulkifli, Azidi, Izz Faiez dan Wadiey Bobby.

Bagi kategori wanita, enam kumpulan yang berjaya mara ke separuh akhir ialah Dewi Pujangga UMK, Queen Arwana, Sari Adiratna UNIMAIWP, Sri Andani, Sri Kandi Tumpat dan Teratai Manis IPGKSM.

Sementara itu, kategori lelaki menyaksikan persaingan sengit apabila hanya empat kumpulan terbaik layak ke peringkat ini, iaitu Kala Maharaja PKINK, Seruling Kasih, Medan Kemulang dan Sidi Sakti Melor.

Penganjuran Pertandingan Dikir Barat RTM 2026 bukan sekadar sebuah pertandingan hiburan, malah menjadi platform penting dalam memelihara warisan budaya sambil merapatkan hubungan antara generasi serta memperkukuh identiti seni tradisional negara di era digital.

AKAR gesa semakan semula PPPK, dakwa gagal tangani krisis tenaga

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Angkatan Karyawan Nasionalis (AKAR) menggesa kerajaan supaya melakukan penilaian menyeluruh terhadap peranan dan keberkesanan Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) yang beroperasi di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), susulan kebimbangan terhadap keupayaan badan itu dalam menangani krisis tenaga semasa.

Gesaan itu turut merangkumi keperluan untuk menstruktur semula PPPK sekiranya pasukan berkenaan didapati terus gagal bertindak secara efektif dan responsif dalam menghadapi cabaran krisis tenaga yang semakin meruncing di peringkat global.

AKAR dalam satu kenyataan berkata, pendekatan yang diambil oleh PPPK ketika ini dilihat bukan sahaja tidak berkesan, malah cenderung bersifat pasif sehingga berpotensi menghambat usaha kerajaan dalam mendepani tekanan ekonomi global.

Menurut kenyataan itu, dunia kini berdepan ketidaktentuan bekalan tenaga, tekanan inflasi serta gangguan rantaian bekalan yang memerlukan tindakan fiskal segera, terselaras dan berpaksikan realiti semasa.

Bagaimanapun, AKAR berpandangan PPPK masih belum menunjukkan tahap kesegeraan atau keberanian yang diperlukan, khususnya dalam mencadangkan pakej rangsangan fiskal yang mampu memberi sokongan menyeluruh kepada rakyat dan sektor perniagaan.

Lebih membimbangkan, organisasi itu turut membangkitkan kemungkinan wujudnya elemen “boikot senyap” dalam pendekatan PPPK yang dilihat tidak seiring dengan usaha proaktif Perdana Menteri.

AKAR berkata sejak awal, kepimpinan negara telah menggerakkan pendekatan menyeluruh termasuk mengadakan libat urus secara langsung dengan pemain industri, pimpinan negeri serta rakan serantau bagi menangani krisis yang berlaku.

Menurut AKAR, ketika kepimpinan tertinggi negara bertindak pantas dalam mod krisis, PPPK sebaliknya masih terperangkap dalam kerangka birokrasi yang tidak selari dengan keperluan mendesak di lapangan.

Jelasnya, keadaan ini berpotensi menjejaskan keberkesanan pelaksanaan dasar selain menggugat keyakinan rakyat dan pelabur terhadap keupayaan kerajaan untuk bertindak secara bersepadu dan berkesan.

Sehubungan itu, dalam situasi genting seperti sekarang, tiada ruang untuk sikap berkecuali atau pendekatan “business as usual”.

PPPK seharusnya memainkan peranan sebagai pemacu utama dalam penyelarasan dasar serta pelaksanaan rangsangan fiskal, bukannya menjadi penghalang kepada momentum yang telah digerakkan di peringkat kepimpinan tertinggi negara.

Ringgit terbaik Asia dua tahun berturut-turut, ekonomi Malaysia terus kukuh – Anwar Ibrahim

0

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Ringgit Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya di peringkat serantau apabila diiktiraf sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia selama dua tahun berturut-turut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu mencerminkan asas ekonomi negara yang semakin kukuh dengan pertumbuhan yang mampan, disokong oleh peningkatan pelaburan serta keyakinan berterusan daripada pasaran global terhadap Malaysia.

Menurutnya, dalam tempoh 10 bulan kebelakangan ini, negara turut mencatatkan aliran masuk dana global yang memberangsangkan apabila pelabur antarabangsa membeli bon Malaysia bernilai kira-kira AS$2 bilion (RM9.5 bilion), sekali gus menjadi antara rekod aliran masuk tertinggi.

Anwar berkata, ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik di Asia Barat memberi kesan kepada pasaran global, khususnya dari segi kenaikan harga tenaga serta aliran keluar modal dari beberapa negara.

Namun begitu, Malaysia dilihat mampu mengekalkan daya tarikannya apabila dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pelabur global kembali meningkatkan pegangan dalam bon tempatan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus pada tahun lalu dengan nilai pelaburan tertinggi pernah direkodkan, didorong oleh sektor utama seperti pembuatan, semikonduktor dan aeroangkasa.

Katanya, kejayaan itu adalah hasil komitmen berterusan kerajaan dalam melaksanakan reformasi dasar serta memperkukuh penglibatan dengan syarikat dan pengurus dana antarabangsa.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menekankan keupayaan industri tempatan dalam sektor pertahanan yang semakin berkembang, khususnya dalam bidang aeroangkasa dan semikonduktor yang memainkan peranan penting dalam pengujian serta pembungkusan cip bagi sistem keselamatan moden.

Menurutnya, beberapa syarikat tempatan kini berjaya mencapai status pembekal Tier 1 kepada pengeluar enjin aero global terkemuka, sekali gus membuktikan keupayaan Malaysia dalam menghasilkan komponen berteknologi tinggi.

Pencapaian ini mencerminkan budaya ketepatan dan akauntabiliti tinggi dalam kalangan industri tempatan yang turut diterapkan dalam sektor aeroangkasa pertahanan negara.

‘Khadam’ lancar teaser pertama, filem seram saka penuh emosi bakal gegar pawagam

2

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Industri perfileman tempatan terus disemarakkan dengan kemunculan karya baharu apabila Red Communications bersama Komet Productions melancarkan teaser pertama bagi filem seram dramatik berjudul Khadam, arahan Shamyl Othman.

Filem ini dijangka mencuri perhatian penonton menerusi gabungan penceritaan yang padat, lakonan penuh emosi serta visual sinematik yang memikat.

Mengangkat tema saka dengan tagline “Jangan Sampai Jadi Tuan”, Khadam membawa mesej mendalam tentang bahaya sesuatu yang pada awalnya dianggap sebagai pembantu, namun akhirnya mampu bertukar menjadi kuasa yang mengawal kehidupan manusia.

Dalam konteks kepercayaan masyarakat tempatan, khadam merujuk kepada makhluk halus atau jin yang mendampingi pemiliknya dan diwarisi secara turun-temurun, sekali gus menjadi asas kepada konflik utama dalam filem ini.

Teaser berdurasi 60 saat yang dilancarkan memberi gambaran awal dunia Khadam, memaparkan kehidupan sebuah keluarga yang pada mulanya harmoni sebelum perlahan-lahan berubah apabila satu entiti misteri mula mempengaruhi dan menguasai kehidupan mereka.

Pendekatan penceritaan ini dilihat mampu membina ketegangan emosi secara berperingkat, sekali gus menarik minat penonton untuk mengikuti perkembangan seterusnya.

Penerbit Eksekutif, Lina Tan berkata, pihaknya yakin terhadap kekuatan tenaga kreatif yang terbabit dalam pembikinan filem ini, khususnya gabungan visi pengarah Shamyl Othman dan penulis skrip Fariza Azlina Isahak.

Menurut beliau, naskhah ini tampil lebih berani dengan susunan jalan cerita yang tersusun serta perkembangan konflik yang tidak dijangka, menjadikannya sebuah karya yang segar dalam genre seram tempatan.

Sementara itu, Shamyl Othman berkata, Khadam bukan bertujuan mempromosikan amalan saka, sebaliknya mengetengahkan kesan serta tanggungjawab yang datang bersama kepercayaan terbabit.

Beliau menggambarkan saka sebagai satu gangguan yang perlahan-lahan mengambil alih diri seseorang sehingga individu itu sendiri tidak lagi mampu membezakan antara identiti sebenar dan pengaruh yang menguasainya.

Dari sudut lakonan, Shamyl berkata, pemilihan pelakon menjadi asas utama dalam membentuk kekuatan emosi filem ini.

“Setiap watak memerlukan keupayaan untuk menzahirkan emosi yang kompleks dan halus, selari dengan konflik dalaman yang menjadi tunjang penceritaan,” katanya.

Khadam menampilkan pelakon Indonesia, Aghniny Haque, dalam penampilan sulungnya dalam produksi Malaysia menerusi watak Melor, seorang wanita yang kelihatan tenang namun menyimpan rahsia mendalam.

Watak itu memainkan peranan penting dalam membentuk perjalanan emosi serta hala tuju cerita.

Beliau digandingkan bersama Datuk Remy Ishak sebagai Awang, selain dibarisi Siti Khadijah Halim sebagai Manis, Zarra Zhaf sebagai Puteh dan Karl El sebagai Hitam, dengan kemunculan istimewa Jun Lojong sebagai Nek Mak.

Hubungan kekeluargaan yang dibina secara teliti antara watak-watak ini menambahkan lagi realisme serta kekuatan konflik dalam naratif filem.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif, Datuk Ahmad Izham Omar pula menekankan bahawa kekuatan Khadam terletak pada keseimbangan antara penceritaan, lakonan dan visual sinematik yang saling melengkapi.

Menurut beliau, teaser yang dilancarkan hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan filem, namun sudah cukup untuk memberikan gambaran awal tentang kualiti visual yang dihasilkan melalui komposisi babak, penggunaan cahaya dan suasana yang dibina dengan teliti.

Dengan pelancaran treler rasmi yang dijangka menyusul dalam masa terdekat, penonton boleh menjangkakan lebih banyak pendedahan mengenai dunia Khadam.

Filem ini dijadualkan untuk ditayangkan di pawagam seluruh negara pada tahun ini, dibawakan oleh GSC Movies dengan kerjasama Primeworks Studios, sekali gus menambah satu lagi karya berpotensi tinggi dalam landskap filem seram Malaysia.

Dasar inklusif berasaskan suara rakyat kunci keharmonian nasional

0

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Usaha merangka dasar yang tegas dan berkesan perlu dilaksanakan secara inklusif dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak, khususnya apabila membabitkan isu sensitif seperti agama, budaya dan keselamatan awam, demi memastikan keharmonian nasional terus terpelihara.

Pengerusi Teras Sosial Musyawarah Nasional, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pendekatan konsultatif yang membabitkan pakar, badan bukan kerajaan, wakil masyarakat serta agensi berkaitan adalah elemen penting dalam proses penggubalan dasar yang mampan dan diterima secara meluas oleh rakyat.

Menurut beliau, sebarang usaha menggubal dasar tanpa mengambil kira pandangan kolektif, sebaliknya hanya berpaksikan suara minoriti atau pandangan terpencil, merupakan langkah berisiko tinggi yang boleh menjejaskan kestabilan sosial negara.

“Pendekatan eksklusif dalam pembentukan dasar berpotensi menimbulkan rasa terpinggir dalam kalangan masyarakat serta menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan sedia ada.

“Setiap dasar yang dirangka perlu mengambil kira realiti masyarakat majmuk di Malaysia dan tidak seharusnya digubal berdasarkan pandangan individu semata-mata,” katanya.

Dalam konteks itu, beliau turut menyentuh cadangan untuk tidak mengenakan hukuman berat terhadap kesalahan tertentu seperti pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah, yang menurutnya tidak boleh dipandang ringan kerana mempunyai implikasi besar terhadap struktur sosial dan keharmonian negara.

Mohammad Shatar berkata, dalam sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama, setiap kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti berupaya mempengaruhi persepsi awam serta mencetuskan reaksi berantai dalam kalangan rakyat.

Walaupun statistik kemalangan jalan raya yang membabitkan pemandu di bawah pengaruh alkohol mungkin tidak tinggi, isu terbabit tetap membimbangkan kerana polemik yang timbul mampu menggugat keharmonian masyarakat.

Katanya, lebih membimbangkan, terdapat insiden tragis yang membabitkan kehilangan nyawa individu tidak bersalah yang menjadi mangsa kepada kecuaian pihak lain, sekali gus menimbulkan persoalan serius terhadap tahap keselamatan awam.

Dalam masa sama, majoriti rakyat Malaysia yang beragama Islam jelas menolak pengambilan alkohol sebagai sebahagian daripada sistem nilai mereka.

“Walaupun kebebasan individu perlu dihormati, saya berpandangan bahawa batasan wajar dikenakan apabila membabitkan aspek keselamatan dan kesejahteraan awam.

“Ingin saya tekankan kesalahan seperti pemanduan dalam keadaan mabuk atau khayal tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan risiko besar terhadap nyawa orang awam yang tidak bersalah,” katanya.

Katanya lagi, hukuman ringan hanya akan membuka ruang kepada pengulangan kesalahan dan gagal memberi kesan pencegahan yang efektif.

“Undang-undang yang tegas adalah manifestasi keadilan dalam melindungi kepentingan majoriti rakyat.

“Suara kolektif rakyat mesti dijadikan asas dalam setiap penggubalan dasar kerana di situlah terletaknya kekuatan sebenar Malaysia untuk mengekalkan keharmonian nasional,” katanya.