32.9 C
Kuala Lumpur
Monday, June 22, 2026
Home Blog Page 12

Peranti Had Laju solusi utama tingkat keselamatan kenderaan komersial

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Peranti had laju (SLD) dilihat semakin memainkan peranan penting sebagai pemacu utama dalam memperkukuh aspek keselamatan kenderaan komersial di negara ini, seiring usaha industri pengangkutan beralih kepada penggunaan teknologi pintar yang lebih sistematik.

Inisiatif yang diperkenalkan oleh AetherDrive itu bukan sekadar menawarkan alat kawalan kelajuan biasa, sebaliknya membentuk sebahagian daripada ekosistem keselamatan yang lebih menyeluruh dan bersepadu.

Pengerusi Lembaga Pengarah Shanghai Xingrong Automotive Technology Co., Ltd, Jackie Cai Jiye berkata, syarikat berkenaan memberi penekanan kepada pembangunan sistem keselamatan pintar yang komprehensif, bukan hanya tertumpu kepada penjualan produk semata-mata.

Menurut beliau, pendekatan itu membabitkan pembinaan infrastruktur teknologi yang stabil, cekap dan mampu menyokong keperluan industri pengangkutan moden yang semakin mencabar.

“SLD hanyalah salah satu komponen dalam rangkaian teknologi yang dibangunkan, merangkumi aspek keselamatan, kawalan serta pengurusan kenderaan secara lebih tersusun dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena Majlis Pelancaran Produk SLD Kenderaan Komersial.

Mengulas lanjut, Jackie berkata, teknologi SLD yang diperkenalkan di Malaysia bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya telah digunakan secara meluas di China selama lebih 20 tahun.

Pengalaman itu membuktikan keberkesanan sistem berkenaan dalam mengawal kelajuan kenderaan sekali gus mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Dalam masa sama, beliau berkata, kelajuan berlebihan antara faktor utama penyumbang kemalangan, menjadikan kawalan kelajuan yang konsisten sebagai keperluan kritikal dalam industri pengangkutan komersial.

Berdasarkan data dan pengalaman di China, pelaksanaan sistem kawalan kelajuan yang lebih ketat mampu mengurangkan kadar kemalangan secara signifikan, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya secara keseluruhan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan tidak semua sistem SLD di pasaran mampu menjamin keselamatan, khususnya peranti yang memperlahankan kenderaan secara mengejut.

Menurutnya, pendekatan sedemikian berpotensi mencetuskan risiko baharu terutama dalam keadaan trafik padat atau di lebuh raya berkelajuan tinggi.

Sehubungan itu, peranti yang dibangunkan oleh pihaknya direka untuk mengawal kelajuan secara berperingkat dan lebih stabil, bagi mengelakkan kejutan kepada pemandu serta pengguna jalan raya lain.

“Teknologi ini sesuai diaplikasikan dalam pelbagai sektor termasuk logistik, minyak dan gas serta pengangkutan komersial lain yang memerlukan tahap keselamatan tinggi,” katanya.

Mengulas potensi di pasaran tempatan, beliau optimis sistem itu mudah disesuaikan memandangkan struktur kenderaan komersial di Malaysia tidak jauh berbeza dengan di China.

Keadaan ini sekali gus membuka peluang kerjasama jangka panjang dengan pelbagai pihak termasuk institusi penyelidikan dan agensi berkaitan dalam memperkukuh keselamatan jalan raya negara.

RichWorks catat rekod MBOR, 4,305 usahawan jutawan berjaya dilahirkan

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Satu lagi pencapaian membanggakan tercipta dalam landskap keusahawanan negara apabila RichWorks International secara rasmi menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Largest MSMEs Entrepreneurship Mentoring Program.

Pengiktirafan berprestij ini bukan sahaja mengangkat nama RichWorks, malah menjadi simbol kejayaan dan potensi besar usahawan tempatan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Majlis penyampaian pengiktirafan berlangsung di RichQ dalam suasana penuh bermakna, dihiasi rasa syukur, kegembiraan dan semangat tinggi dalam kalangan usahawan, rakan strategik serta tetamu jemputan.

Lebih daripada sekadar acara rasmi, ia menjadi manifestasi kepada kejayaan ribuan individu yang berani mengambil langkah mengubah kehidupan melalui dunia perniagaan.

Pengiktirafan itu diberikan susulan kejayaan RichWorks membimbing seramai 4,305 usahawan mencapai status jutawan menerusi pelbagai program latihan, mentoring dan pembangunan bisnes yang dilaksanakan secara konsisten.

Di sebalik angka berkenaan, tersimpan pelbagai kisah inspirasi daripada usahawan yang bermula secara kecil-kecilan di rumah, pernah berdepan kegagalan, hinggalah yang memulakan perniagaan dengan modal terhad, namun berjaya mengubah kehidupan melalui ilmu dan tindakan yang berterusan.

Pengasas dan Presiden RichWorks, Datuk Wira Dr Azizan Osman berkata, pengiktirafan itu bukan hanya kejayaan organisasi, sebaliknya milik semua usahawan yang komited untuk belajar, berusaha dan berubah demi masa depan lebih baik.

“Potensi besar yang dimiliki oleh usahawan tempatan hanya memerlukan panduan yang tepat, sistem yang tersusun serta sokongan komuniti yang positif untuk berkembang lebih jauh,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Lebih signifikan, komuniti usahawan bimbingan RichWorks berjaya merekodkan jumlah jualan keseluruhan sebanyak RM15.1 bilion dalam tempoh lima tahun bermula 2021 hingga 2025.

Bagi tahun 2025 sahaja, jualan mencecah RM3.3 bilion, sekali gus mencerminkan peningkatan kukuh dalam keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk berkembang walaupun berdepan cabaran ekonomi semasa.

Pencapaian ini memperlihatkan bahawa sektor PMKS bukan lagi sekadar pelengkap ekonomi, sebaliknya mampu menjadi pemacu utama pertumbuhan negara.

Perkembangan perniagaan dalam sektor ini bukan sahaja membuka lebih banyak peluang pekerjaan, malah meningkatkan kuasa beli masyarakat dan menyumbang secara langsung kepada kestabilan ekonomi.

Dalam majlis sama, RichWorks turut melancarkan program baharu dikenali sebagai Potensi Diri Wang & Bisnes yang boleh diakses secara dalam talian.

Program percuma ini diperkenalkan bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia menyertai latihan pembangunan diri dan perniagaan tanpa kekangan lokasi.

Dr Azizan berkata, inisiatif itu diwujudkan bagi membantu individu yang berdepan tekanan kos sara hidup, kekangan pendapatan serta kekeliruan dalam menentukan hala tuju kewangan.

Katanya, terdapat ramai yang ingin memulakan perniagaan tetapi tidak mengetahui langkah pertama, manakala sebahagian lagi sedang bergelut untuk meningkatkan jualan atau mencari arah baharu selepas berdepan cabaran hidup.

“Melalui program ini, peserta akan dibimbing untuk mengenal potensi diri, memahami peluang pasaran serta membina model perniagaan yang bersesuaian dengan kemampuan masing-masing.

“Usaha ini diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia untuk membina masa depan kewangan yang lebih stabil dan mampan,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, RichWorks turut menyorot cabaran semasa yang dihadapi usahawan, termasuk peningkatan kos operasi seperti bahan mentah, sewaan premis dan logistik.

Tekanan persaingan pasaran menyukarkan peniaga menaikkan harga jualan, sekali gus menjejaskan margin keuntungan.

Selain itu, kebergantungan kepada platform digital juga memberi cabaran tersendiri apabila caj dan komisen yang dikenakan memberi tekanan tambahan kepada usahawan kecil.

Ditambah pula dengan persaingan daripada produk luar negara yang ditawarkan pada harga lebih rendah, keadaan ini menuntut usahawan tempatan menjadi lebih kreatif dalam menonjolkan kelebihan produk dan jenama masing-masing.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, RichWorks percaya peluang tetap wujud bagi mereka yang bersedia untuk berubah dan bertindak pantas mengikut keperluan pasaran.

Kejayaan melahirkan ribuan usahawan jutawan menjadi bukti bahawa pendekatan yang betul mampu menghasilkan impak besar.

Seiring dengan itu, RichWorks kini menyasarkan untuk membantu lebih ramai usahawan mencapai jualan tahunan melebihi RM10 juta.

Ketika ini, ratusan usahawan dalam komuniti mereka telah mencapai tahap berkenaan dan jumlah itu dijangka terus meningkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records ini membawa mesej jelas bahawa usahawan tempatan memiliki keupayaan, daya tahan dan potensi untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.

Dengan ilmu yang tepat, tindakan konsisten serta bimbingan berterusan, perniagaan kecil mampu berkembang menjadi entiti yang lebih besar dan berdaya saing.

Kejayaan ini bukan sekadar diraikan sebagai pencapaian organisasi, tetapi sebagai simbol harapan bahawa masa depan lebih cerah boleh dibina melalui keberanian untuk bermula dan kesungguhan untuk terus belajar.

Ia sekali gus membuktikan bahawa kejayaan usahawan bukan sahaja memberi impak kepada diri sendiri, malah turut memberi manfaat kepada keluarga, pekerja dan masyarakat secara keseluruhan.

Usahawan yang ingin memahami potensi diri serta membina strategi yang lebih tepat dalam perniagaan dan kewangan boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftar melalui laman web rasmi www.potensidiri.com/media.

Malam FYP Timur satukan fenomena muzik digital dan peminat generasi baharu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Konsert ‘Malam FYP Timur’ yang berlangsung pada Jumaat lalu di Zepp Kuala Lumpur berjaya mencetuskan fenomena tersendiri apabila menghimpunkan peminat muzik digital dalam satu malam penuh bertenaga, sekali gus membuktikan pengaruh besar budaya “For You Page” (FYP) dalam landskap industri hiburan masa kini.

Seawal pintu dibuka, ribuan peminat mula membanjiri ruang konsert dengan keterujaan yang jelas terpancar, majoritinya terdiri daripada generasi muda yang sebelum ini mengikuti rapat artis kegemaran mereka di platform media sosial.

Kehadiran mereka bukan sahaja untuk menyaksikan persembahan secara langsung, malah untuk merasai sendiri pengalaman yang selama ini hanya dinikmati melalui skrin digital.

Konsert dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh Ecko Show yang tampil penuh bertenaga menerusi lagu seperti “Gacor”, “Jomblo”, “Kids Jaman Mow” dan “Ih Abang Jahat”, sekali gus memanaskan suasana dan mencetuskan sorakan gemuruh penonton.

Momentum itu diteruskan dengan kemunculan Fariz Adam yang membawakan rangkaian lagu popular antaranya “Gamon Lucu Lucu”, “Salting Gila”, “Layang Layang”, “Lamu” dan “Dola”, yang nyata mendapat sambutan hangat daripada penonton yang tidak henti-henti menyanyi bersama.

Suasana semakin rancak apabila kumpulan Silet Open Up mengambil alih pentas dengan persembahan bertenaga menerusi lagu seperti “Kaka Main Salah”, “Tambah Gaga”, “Gaya Lama”, “Ubur Ubur” dan “Ngapain Repot”.

Setiap persembahan diserikan dengan elemen visual dan koreografi yang dinamik, selari dengan identiti artis-artis yang sinonim dengan kandungan tular di media sosial.

Kemuncak malam itu menyaksikan gabungan istimewa membabitkan Ecko Show, Fariz Adam dan SonaOne menerusi segmen kolaborasi yang menampilkan lagu seperti “Bercanda”, “Taguling Guling”, “Body Pata Pata”, “Cinta Realistis” serta beberapa versi asli dan remix termasuk “Tor Monitor”, “Tabola Bale”, “Stecu” dan “Timurnesia”.

Gabungan ini bukan sahaja memperlihatkan keserasian artis, malah berjaya mengangkat lagi suasana konsert ke tahap yang lebih tinggi.

Apa yang menjadikan “Malam FYP Timur” unik ialah keupayaannya menggabungkan dunia digital dengan pengalaman fizikal secara harmoni.

Lagu-lagu yang sebelum ini popular di platform media sosial diterjemahkan ke pentas secara lebih segar dan bertenaga, sekali gus memberikan pengalaman imersif kepada penonton.

Interaksi dua hala antara artis dan peminat turut memperkukuh hubungan, menjadikan setiap detik di dalam dewan penuh bermakna.

Sepanjang konsert berlangsung, suasana tidak pernah surut dengan sorakan, rakaman video dan nyanyian beramai-ramai yang menggambarkan keterlibatan aktif penonton.

Pendekatan yang meraikan kepelbagaian genre muzik serta kreativiti generasi baharu turut menjadi kekuatan utama acara ini, apabila elemen moden dan tradisional digabungkan dengan sentuhan kontemporari.

Menjelang penghujung acara, suasana bertukar lebih emosional apabila penonton seakan-akan enggan melepaskan momen berakhir.

Sorakan gemuruh dan tepukan panjang menjadi simbol kejayaan konsert ini yang bukan sahaja menghiburkan, malah mencerminkan perubahan trend industri muzik yang semakin dipacu oleh platform digital.

“Malam FYP Timur” dilihat sebagai satu pencapaian penting dalam evolusi hiburan tempatan, membuka ruang kepada lebih banyak penganjuran konsert berkonsepkan digital pada masa hadapan.

Dengan sambutan yang memberangsangkan, acara ini berpotensi menjadi platform utama dalam mengetengahkan bakat baharu serta memperkukuh ekosistem muzik moden di Malaysia.

Kad Budaya Digital tarik 500,000 pelancong China sebulan ke Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Malaysia terus memperkukuh strategi pelancongan berteraskan digital apabila melancarkan inisiatif Kad Budaya Digital Malaysia–China sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), yang dijangka mampu menarik sehingga 500,000 pelancong dari China setiap bulan.

Inisiatif berkenaan dilihat sebagai langkah progresif dalam mentransformasikan sektor pelancongan negara ke arah penggunaan teknologi digital, sejajar dengan perubahan trend global yang semakin menekankan pengalaman pelancongan berasaskan teknologi dan keterlibatan pengguna.

Presiden Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITDA), Kapten Mahadzir Mansor berkata, unjuran itu dibuat berdasarkan kekuatan pasaran China yang kekal sebagai antara penyumbang utama pelancong antarabangsa ke Malaysia.

Menurut beliau, sambutan awal yang positif terhadap pendekatan digital ini turut menyumbang kepada keyakinan bahawa inisiatif berkenaan mampu mencapai sasaran ditetapkan.

“Penggunaan platform digital dalam sektor pelancongan bukan sahaja memudahkan akses kepada pelancong, malah berpotensi meningkatkan nilai perbelanjaan sepanjang mereka berada di Malaysia.

“Pendekatan itu tidak hanya memberi tumpuan kepada peningkatan jumlah pelawat, tetapi juga menitikberatkan kualiti perbelanjaan bagi memastikan impak ekonomi yang lebih menyeluruh kepada negara,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Projek Kad Budaya Digital Visit Malaysia 2026, hari ini.

Majlis itu turut menghimpunkan pemain industri pelancongan serta rakan strategik dari dalam dan luar negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata kad berkenaan direka khusus bagi membolehkan pengguna di China mengumpul ganjaran melalui transaksi harian di negara asal mereka.

Ganjaran berkenaan kemudian boleh ditebus dalam bentuk pelbagai tawaran menarik ketika berada di Malaysia, sekali gus menghubungkan gaya hidup pengguna luar negara dengan ekosistem pelancongan tempatan secara lebih tersusun dan bersepadu.

Menurutnya, model terbabit mampu mewujudkan pengalaman pelancongan yang lebih bernilai tinggi serta menggalakkan pelancong untuk tinggal lebih lama dan berbelanja dengan lebih aktif sepanjang tempoh lawatan mereka di negara ini.

Dalam perkembangan sama, Kapten Mahadzir memaklumkan projek yang digerakkan oleh NQ Cultural Commercial Sdn Bhd kini berada pada peringkat penyelarasan bersama rakan industri tempatan.

Kerjasama strategik membabitkan penyedia perkhidmatan dan vendor tempatan amat penting bagi memastikan rangkaian tawaran yang kompetitif dan berkualiti dapat disediakan kepada pelancong.

“Penglibatan menyeluruh pelbagai pihak dalam pelaksanaan inisiatif ini turut dijangka memberi limpahan manfaat kepada pemain industri pelancongan tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi domestik.

“Pelaksanaan Kad Budaya Digital Malaysia–China dijangka bermula sekitar pertengahan tahun ini menerusi beberapa fasa pelaksanaan yang telah dirancang secara berperingkat.

“Jika semua perancangan berjalan lancar, inisiatif ini berupaya menjadi antara pemacu utama dalam menarik pelancong berkualiti tinggi ke Malaysia, di samping memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan pilihan di rantau ini,” katanya.

Forum Voices of Ladies 2026 himpun tokoh wanita & artis ternama, perkasa belia di Kuala Lumpur

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Yayasan Bina Kesejahteraan dan Yayasan Basmi Kemiskinan terus memperkukuh agenda pembangunan komuniti menerusi penganjuran Forum dan Konsert Voices of Ladies 2026 yang berlangsung pada 25 dan 26 April 2026 di Dewan Perdana Mestika Institut Latihan DBKL.

Program berimpak tinggi ini menggabungkan elemen hiburan, wacana intelektual serta pembangunan sosial dengan menampilkan barisan artis terkenal tanah air seperti Liza Aziz, Noryn Aziz dan Aisha Retno yang diiringi Orkestra Kuala Lumpur, sekali gus menyuntik elemen nostalgia dan inspirasi kepada para penonton.

Selain persembahan konsert, program ini turut menampilkan Forum Pemerkasaan Wanita yang menghimpunkan tokoh berpengaruh termasuk Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah Mohd Sharif, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad serta Senator Saraswathy Kandasami.

Forum terbabit dikendalikan oleh Datin Dr. Hajah Hartini Osman Pengerusi Yayasan Bina Kesejahteraan merangkap Presiden G100 Global Club.

Forum berkenaan menekankan kepentingan wanita untuk berani ke hadapan, memanfaatkan peluang kepimpinan serta memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dan di peringkat antarabangsa.

Antara mesej utama yang diketengahkan adalah keperluan wanita untuk berada di meja membuat keputusan, bukan sekadar menjadi pemerhati dalam arus pembangunan.

Sementara itu, Forum Pemerkasaan Generasi Muda yang berlangsung pada hari kedua menampilkan barisan panel terdiri daripada Dr. Daphne Ng, Datin Ira Ghani, Kavita Maheendran serta Asya Rahman.

Forum ini dikendalikan oleh Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz yang juga Tokoh Belia Negara dan ASEAN 2017.

Perkongsian panelis memberi fokus kepada cabaran serta peluang yang dihadapi golongan belia, termasuk aspek keusahawanan, kreativiti, pembangunan jati diri dan kesejahteraan sosial dalam mendepani dunia moden yang semakin mencabar.

Mengulas mengenai penganjuran ini, Datin Dr. Hajah Hartini Osman berkata program Voices of Ladies berjaya menarik kehadiran lebih 1,000 pengunjung pada hari pertama, sekali gus mencerminkan sokongan padu masyarakat terhadap usaha memperkasa wanita dan belia.

Katanya, inisiatif seumpama ini penting dalam membuka ruang kepada wanita untuk terus berkembang dalam pelbagai bidang serta menggalakkan penyertaan aktif dalam kepimpinan, keusahawanan dan pembangunan komuniti.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti sokongan turut diadakan termasuk gerai pameran dan jualan yang membabitkan sektor keusahawanan, makanan dan minuman serta produk komuniti, sekali gus membantu merancakkan ekonomi setempat.

Penganjuran Voices of Ladies 2026 mencerminkan komitmen berterusan DBKL bersama rakan strategik dalam memperkukuh pembangunan komuniti bandar melalui pendekatan menyeluruh merangkumi seni, pendidikan, jaringan sosial dan pemerkasaan ekonomi.

“Suci diri sebelum bicara integriti” – Fadhli Ismail tegur Azmin, persoal kepimpinan Bersatu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kenyataan Mohamed Azmin Ali yang mendakwa kononnya “ahli yang dipecat telah dibersihkan” disifatkan sebagai naratif dangkal dan bermotif politik oleh mantan Ketua Bahagian Ipoh Timor Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Muhammad Fadhli Ismail.

Menurut beliau, dakwaan itu dilihat sebagai cubaan memanipulasi persepsi awam, sedangkan individu yang dipecat daripada parti itu tetap berpegang kepada prinsip dan tidak tunduk kepada budaya politik yang berasaskan kepentingan peribadi.

Fadhli dalam satu kenyataan berkata, jika isu “pembersihan” ingin dibangkitkan, Azmin terlebih dahulu perlu menjelaskan pelbagai persoalan yang pernah dikaitkan dengan dirinya, termasuk isu integriti dan moral yang menurutnya masih belum terjawab sepenuhnya di mata rakyat.

Beliau turut mempersoalkan kredibiliti dakwaan bahawa parti itu kononnya telah “bersih” daripada sebarang kelompok tertentu, sambil menyifatkan kenyataan sedemikian sebagai propaganda yang tidak mencerminkan realiti semasa.

Dalam pada itu, Fadhli turut mencabar Azmin untuk menggunakan saluran undang-undang bagi menjawab segala dakwaan yang pernah dikaitkan dengannya sekiranya benar tidak bersalah.

Katanya, pendekatan menafikan tuduhan sambil menyerang pihak lain hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan.

Mengulas lanjut, beliau turut menyentuh kepimpinan Muhyiddin Yassin yang menurutnya tidak boleh terlepas daripada persoalan berkaitan integriti, khususnya membabitkan isu-isu yang menimbulkan persepsi negatif terhadap parti berkenaan.

Selain itu, Fadhli menyifatkan serangan berterusan terhadap Hamzah Zainudin sebagai tidak membantu mengukuhkan parti, malah boleh menjejaskan perpaduan dalaman.

“Politik seharusnya dibina atas nilai dan prinsip, bukannya didorong oleh dendam atau percaturan sempit.

“Rakyat kini semakin matang dan mampu menilai kepimpinan berdasarkan integriti, akhlak dan keupayaan sebenar, bukan sekadar retorik politik,” katanya.

Fadhli turut mengingatkan parti politik tidak boleh dijadikan platform untuk “pemutihan imej” tanpa mengambil kira persepsi akar umbi.

Menurutnya, kegagalan kepimpinan semasa mencerminkan prinsip asal parti berisiko menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap perjuangan yang dibawa.

Beliau menambah, dalam landskap politik semasa, rakyat menuntut kepimpinan yang bersih, berprinsip dan bebas daripada kontroversi, selaras dengan aspirasi untuk melihat tadbir urus yang lebih telus dan berintegriti.

Sehubungan itu, Fadhli menegaskan setiap pemimpin wajar bermuhasabah dan menjawab segala persoalan yang masih berlegar dalam ruang awam sebelum mengangkat naratif mengenai “kesucian” parti.

‘Dendam Seorang Mentua’ drama Astro Prima sarat konflik, kisah balas dendam dalam keluarga elite

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Astro Malaysia sekali lagi mencuri perhatian peminat drama tempatan menerusi naskhah terbaharu berjudul Dendam Seorang Mentua yang bakal bersiaran di Astro Prima bermula 4 Mei 2026, setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 6 petang.

Mengangkat tema cinta, pengkhianatan dan perebutan kuasa dalam institusi kekeluargaan, drama ini tampil dengan jalan cerita yang lebih berani dan mencengkam, selari dengan perkembangan citarasa penonton masa kini yang mahukan kandungan lebih segar dan penuh emosi.

Ia turut meneruskan kejayaan jenama “Dendam Seorang…” yang sebelum ini mendapat sambutan hangat.

Drama ini mengisahkan Sofia, seorang wanita yang menjadi mangsa pengkhianatan kekasih dan sahabat baiknya sehingga dipenjarakan atas jenayah yang tidak pernah dilakukannya.

Setelah dibebaskan, Sofia bangkit dengan tekad untuk membalas dendam dengan cara yang tidak dijangka apabila mengahwini Datuk Muzaffar, bapa kepada bekas kekasihnya sendiri.

Tindakan itu membuka lembaran konflik baharu apabila hubungan kekeluargaan bertukar menjadi medan perebutan kuasa dan emosi yang kompleks.

Watak Sofia dibawakan oleh Tracie Sinidol yang membuat penampilan sulung dalam slot Tiara Astro, menampilkan sisi wanita lembut namun sarat dengan kekuatan dalaman dan dendam terpendam.

Beliau digandingkan bersama Chacha Maembong sebagai Harlina dan Hariz Hamdan sebagai Hariz, dua watak yang menjadi pencetus kepada kejatuhan hidup Sofia.

Turut mencuri tumpuan ialah gandingan mantap antara Aaron Aziz sebagai Karl dan Yusry Abdul Halim sebagai Datuk Muzaffar, yang menjanjikan persembahan lakonan penuh karisma.

Selain itu, kemunculan semula Intan Ladyana sebagai Yasmin turut menambah tarikan kepada drama ini.

Menurut Ketua Saluran Melayu Astro, Norzeha Mohd Salleh, kejayaan siri terdahulu menjadi pemangkin untuk menghasilkan naskhah baharu yang lebih berani dari segi penceritaan.

Katanya, penonton kini semakin bijak dan dahagakan jalan cerita yang berbeza, sekali gus mendorong Astro untuk meneroka perspektif baharu dalam mengangkat konflik kekeluargaan yang lebih kompleks.

Diterbitkan oleh Metrowealth International Group (MiG) dan diarahkan oleh Feroz Kader, drama ini turut dijangka mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan penonton, seiring dengan komitmen produksi dalam menghasilkan karya berkualiti tinggi.

Selain siaran televisyen, Dendam Seorang Mentua juga boleh distrim menerusi platform digital Astro GO dan Sooka, memberikan fleksibiliti kepada penonton untuk mengikuti drama ini pada bila-bila masa.

Dengan gabungan jalan cerita penuh dramatik, barisan pelakon berpengalaman serta tema balas dendam dalam institusi kekeluargaan, Dendam Seorang Mentua dijangka menjadi antara drama tempatan paling mendapat perhatian sepanjang tahun ini.

Exists kembali gegar Kuala Lumpur: Konsert Memento Mori 2026 satukan 7 anggota asal

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kugiran legenda tanah air, Exists, bakal kembali menggegarkan pentas muzik tempatan menerusi penganjuran Konsert Exists Memento Mori yang dijadual berlangsung pada 1 Ogos 2026 di Unifi Arena.

Mengangkat frasa Latin “Memento Mori” yang membawa maksud menghargai setiap detik kehidupan, konsert berskala besar ini menjadi simbolik kepada perjalanan panjang Exists yang telah bertahan lebih tiga dekad dalam industri muzik Nusantara.

Dari fenomena awal menerusi lagu ikonik Untukmu Ibu sehinggalah melalui fasa pasang surut industri sebelum kembali relevan dengan karya malar segar, konsert ini dilihat sebagai manifestasi perjalanan seni mereka yang penuh warna.

Lebih istimewa, konsert ini menyatukan semula tujuh anggota utama Exists iaitu Ajai, Shah, Ujang, Along dan Musa bersama dua vokalis yang pernah mewarnai perjalanan kumpulan ini iaitu Mamat dan Ezad.

Gabungan ini menjadikan Konsert Exists Memento Mori sebagai antara penganjuran paling dinanti peminat yang merindui era kegemilangan kumpulan itu.

Menurut wakil penganjur, ICON Entertainment, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya sebuah penghargaan terhadap legasi Exists yang kekal relevan meskipun berdepan cabaran industri yang sentiasa berubah. Penganjuran ini juga bertujuan meraikan sumbangan muzik Exists yang telah “dirantai digelangi rindu” dalam jiwa peminat sejak sekian lama.

Walaupun Exists dilihat aktif mengadakan persembahan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Konsert Exists Memento Mori dijanjikan tampil berbeza dengan konsep ‘sing along’ yang mengetengahkan lagu-lagu hits yang dekat di hati peminat.

Ia sekali gus memberi peluang kepada generasi lama dan baharu untuk bersama-sama menghayati karya yang telah mencorakkan sejarah muzik tempatan.

Mewakili kumpulan itu, Along menyifatkan konsert ini sebagai refleksi kepada kekuatan kolektif tujuh anggota yang sentiasa saling melengkapi dalam berkarya.

Katanya, walaupun pernah melalui perbezaan pendapat dan perubahan formasi, kesemua anggota tetap profesional serta menghormati antara satu sama lain demi kelangsungan Exists sebagai sebuah kugiran.

Tambahnya, Konsert Exists Memento Mori menjadi simbol penghargaan terhadap setiap detik yang telah dilalui sepanjang perjalanan seni mereka, sekali gus menzahirkan komitmen untuk terus relevan dalam industri muzik tanah air.

Tiket konsert akan mula dijual pada 30 April 2026 bermula jam 11 pagi menerusi platform Ticket2U dengan harga bermula RM228 hingga RM488, manakala pakej eksklusif sofa turut ditawarkan pada harga RM5,000.

Kategori tiket dinamakan sempena lagu-lagu popular Exists seperti Untukmu Ibu, Mencari Alasan, Langkah Seiringan dan Percayakan Siti, yang pastinya menambah nilai sentimental kepada peminat.

Dengan gabungan barisan legenda, deretan lagu ikonik serta konsep persembahan yang penuh emosi, Konsert Exists Memento Mori dijangka menjadi antara acara muzik paling dinanti tahun ini, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Exists sebagai antara kugiran terbaik yang pernah lahir di Malaysia.

Huawei MatePad Mini & Watch GT Runner 2 dilancar di Malaysia, perkukuh ekosistem peranti pintar berprestasi tinggi

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Huawei Malaysia terus memperkukuh kedudukannya dalam pasaran teknologi tempatan menerusi pelancaran dua produk terbaharu iaitu HUAWEI MatePad Mini dan HUAWEI Watch GT Runner 2, yang direka bagi memenuhi keperluan gaya hidup digital moden serta meningkatkan produktiviti harian pengguna.

Pelancaran ini menyaksikan pengenalan konsep “All-in-Mini” menerusi HUAWEI MatePad Mini, sebuah tablet kompak yang menggabungkan prestasi tinggi, fleksibiliti dan pengalaman penggunaan imersif dalam reka bentuk yang ringan dan mudah dibawa ke mana sahaja.

Dengan ketebalan hanya 5.2mm dan berat sekitar 260 gram, peranti ini direka untuk memberikan pengalaman produktiviti lengkap dalam saiz yang lebih praktikal.

Tablet ini turut menampilkan nisbah skrin 16:10 yang diinspirasikan daripada pengalaman membaca buku bercetak, sekali gus menawarkan keselesaan penggunaan sama ada dalam mod menegak mahupun melintang.

Walaupun tampil dengan reka bentuk ultra nipis, struktur dalaman peranti ini diperkukuh menggunakan bahan berkekuatan tinggi bertaraf aeroangkasa bagi memastikan ketahanan optimum dalam penggunaan harian.

Dari segi paparan, HUAWEI MatePad Mini dilengkapi skrin 8.8 inci Flexible OLED PaperMatte yang menyokong gamut warna luas P3, kecerahan puncak sehingga 1800 nits, resolusi 2.5K serta kadar segar semula 120Hz.

Teknologi ini bukan sahaja memberikan visual yang jelas dan tajam, malah membantu mengurangkan silau serta melindungi mata untuk penggunaan jangka panjang.

Sebagai sebahagian daripada ekosistem pintar Huawei, peranti ini menyokong kolaborasi pelbagai peranti secara lancar, membolehkan pengguna beralih antara tugasan dengan lebih efisien.

Sokongan stylus turut dipertingkatkan menerusi HUAWEI M-Pencil Pro yang menawarkan ciri interaksi tulisan tangan lebih responsif, fungsi butang khas Star Ring serta kawalan gerakan seperti cubit dan putar bagi memudahkan penggunaan.

Selain itu, tablet ini turut dilengkapi kamera utama 50MP dan kamera hadapan 32MP, serta bateri berkapasiti 6400mAh yang menyokong pengecasan pantas 66W HUAWEI SuperCharge, menjadikannya sesuai untuk kegunaan kerja dan hiburan.

Dalam masa sama, Huawei turut memperkenalkan HUAWEI Watch GT Runner 2 yang direka khusus untuk peminat sukan larian dengan konsep “Aesthetic of Speed”.

Jam pintar ini menampilkan sokongan sistem GNSS pelbagai jalur yang memberikan penjejakan lokasi lebih tepat, termasuk di kawasan mencabar seperti bandar padat dan laluan hutan.

Peranti ini turut dilengkapi teknologi antena terapung 3D serta algoritma penentududukan pintar X-DR yang memastikan penjejakan kekal konsisten walaupun berlaku gangguan isyarat.

Antara ciri utama yang diketengahkan ialah mod Intelligent Marathon yang dibangunkan bersama pasukan larian profesional termasuk Eliud Kipchoge, menawarkan pelan latihan diperibadikan, panduan rentak masa nyata serta analisis prestasi selepas larian.

Jam pintar ini juga menyediakan pelbagai metrik profesional seperti analisis kuasa larian, pengesanan ambang laktat dan Running Ability Index, selain pemantauan kadar denyutan jantung yang tepat bagi membantu pengguna meningkatkan prestasi secara selamat dan berkesan.

Dari segi reka bentuk, HUAWEI Watch GT Runner 2 diperbuat daripada aloi titanium bertaraf aeroangkasa dengan berat hanya 34.5 gram, selain tahan air dan lasak untuk pelbagai keadaan cuaca.

Ia turut menyokong lebih 100 mod sukan serta menawarkan hayat bateri sehingga 14 hari.

HUAWEI MatePad Mini ditawarkan pada harga RM2,199, dengan pakej pra-tempahan yang merangkumi pelbagai hadiah percuma bernilai sehingga RM2,014 termasuk stylus, pelindung peranti serta jaminan tambahan.

Sementara itu, HUAWEI Watch GT Runner 2 pula dijual pada harga RM1,499 dan boleh didapati melalui saluran rasmi Huawei di seluruh negara.

Pelancaran kedua-dua peranti ini mencerminkan komitmen Huawei dalam memperluas ekosistem teknologi pintar yang bukan sahaja inovatif, malah mampu memenuhi keperluan pengguna moden yang mengutamakan produktiviti, kesihatan dan gaya hidup aktif dalam satu platform bersepadu.