25.3 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 16, 2026

Alyah, Baby Shima sokong inisiatif ESG Hotel Tenera, Ttekankan mesej elak pembaziran Ramadan

editormaxinfo@gmail.com

BANGI – Bersempena Ramadan tahun ini, Hotel Tenera & Suites tampil dengan pendekatan lebih progresif apabila melaksanakan konsep Environmental, Social and Governance (ESG) dalam penganjuran bufet Ramadan mereka.

Langkah ini bukan sahaja memperkukuh komitmen hotel terhadap kelestarian alam sekitar, malah menegaskan tanggungjawab sosial dalam mendidik masyarakat agar lebih berhemah ketika menikmati juadah berbuka puasa.

Mengangkat tema Serantau Desa, Cita Rasa Mendunia, bufet Ramadan kali ini mengetengahkan kepelbagaian hidangan tradisional dari Malaysia, Thailand dan Indonesia.

Dalam masa yang sama, pihak hotel menekankan prinsip sifar pembaziran sepanjang bulan mulia ini dengan pelaksanaan kawalan penyediaan makanan secara berperingkat, pengurusan sisa makanan yang lebih sistematik serta penggunaan bahan mesra alam.

Tetamu turut digalakkan mengambil makanan secara sederhana bagi mengelakkan lebihan yang akhirnya terbuang.

Pengurus Besar Hotel Tenera & Suites, Fadzly Hamzah berkata, Ramadan bukan sekadar bulan untuk menikmati pelbagai juadah, sebaliknya medan mendidik jiwa tentang kesederhanaan, kesyukuran dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Pelaksanaan ESG dalam bufet Ramadan dilihat selari dengan nilai murni bulan Ramadan yang menuntut keseimbangan dan keprihatinan.

“Penyediaan makanan secara terkawal mampu mengurangkan lebihan yang tidak habis dimakan, sekali gus mengelakkan pembaziran yang sering berlaku sepanjang Ramadan.

“Pengurangan sisa makanan dan penggunaan bahan mesra alam membantu mengurangkan pelepasan karbon serta bebanan di tapak pelupusan sampah.

“Inisiatif ini juga memberi nilai tambah kepada pelanggan yang kini semakin peka terhadap isu kelestarian dan tanggungjawab sosial korporat,” katanya pada sidang media pelancaran buffet Ramadan Hotel Tenera & Suites, baru-baru ini.

Usaha murni itu turut mendapat sokongan selebriti popular tanah air seperti Datin Alyah dan Baby Shima yang hadir memeriahkan bufet Ramadan hotel berkenaan.

Kehadiran mereka bukan sekadar memeriahkan acara, malah membantu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan mengelakkan pembaziran makanan.

Baby Shima menyifatkan inisiatif ESG yang dilaksanakan sebagai langkah yang sangat baik dan wajar dicontohi, khususnya dalam bulan Ramadan yang menuntut umat Islam lebih berdisiplin dan sederhana.

“Ramai yang cenderung mengambil makanan melebihi kemampuan untuk dihabiskan, justeru tindakan hotel mengawal penyediaan serta mendidik pelanggan adalah sesuatu yang patut dipuji.

“Kemeriahan berbuka puasa tidak seharusnya mengorbankan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Datin Alyah menyifatkan pelaksanaan ESG sebagai satu langkah progresif dalam industri hospitaliti.

Beliau percaya kesedaran terhadap kelestarian alam perlu bermula daripada semua pihak termasuk pengusaha hotel dan restoran.

“Pendekatan yang diambil Hotel Tenera bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, malah mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab ketika menikmati juadah berbuka,” katanya.

Dari segi sajian, konsep Serantau Desa, Cita Rasa Mendunia membawa tetamu ‘mengembara rasa’ ke tiga negara serumpun menerusi hidangan autentik yang kaya dengan rempah dan teknik masakan tradisional.

Antara menu istimewa yang ditawarkan termasuk Dhalca Lutut Kambing, Gulai Kawah Raja Berangkat, Lidah Bakar, Sup Gear Box, Gulai Padang Urat Kering, Pecel Sayur, Nasi Khao Mok Kambing Panggang, Pulut Mangga, Tom Yam Merah, Som Tam, Ayam Pop dan Rendang Riau.

Dalam pada itu, Ketua Cef Hotel Tenera, Chef Sahisal Azrul berkata, masakan Malaysia, Thailand dan Indonesia berkongsi akar budaya yang hampir sama namun mempunyai identiti rasa tersendiri.

Malaysia terkenal dengan kuah berempah dan kepelbagaian rempah ratus, Thailand pula menitikberatkan keseimbangan rasa pedas, masam dan manis, manakala Indonesia kaya dengan masakan berempah pekat dan berani.

Gabungan ini menjadikan bufet Ramadan kali ini lebih istimewa dan beridentiti, sambil mengekalkan kualiti bahan mentah serta keaslian rasa.

Pendekatan ESG yang diterapkan dalam bufet Ramadan Hotel Tenera membuktikan bahawa kemeriahan berbuka puasa boleh diraikan secara bertanggungjawab tanpa mengabaikan aspek kelestarian alam.

Inisiatif ini bukan sahaja memberi pengalaman gastronomi yang memuaskan, malah menyampaikan mesej penting tentang kesederhanaan dan keprihatinan terhadap bumi yang dikongsi bersama.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular