32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 6, 2026

RaRa 2026 Astro meriahkan Ramadan Terengganu, 3,000 hadir di Masjid Seberang Takir

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Astro terus menyemarakkan sambutan Ramadan menerusi penganjuran ‘Assalamualaikum RaRa 2026’ yang kali ini dibawakan khas ke Pantai Timur.

Program yang berlangsung meriah di Masjid Seberang Takir pada 7 Februari lalu berjaya menghimpunkan kira-kira 3,000 pengunjung dalam kalangan masyarakat setempat, selebriti, personaliti radio serta rakan media.

Mengangkat tema ‘Bila Bersama Lagi Jadi’, penganjuran tahun ini menekankan nilai kebersamaan dan semangat ukhwah dalam kalangan umat Islam melalui pelbagai pengisian bermanfaat.

Perkarangan masjid dipenuhi pengunjung yang hadir bagi mengimarahkan program sambil mengeratkan silaturahim sempena kedatangan Ramadan.

Antara yang menjadi tumpuan ialah barisan duta RaRa Astro iaitu Zizan Razak, Sharifah Shahirah, ALPHA dan Auddra yang bukan sahaja memeriahkan acara, malah memperkenalkan pelbagai kandungan baharu Astro yang bakal disiarkan sepanjang Ramadan menerusi platform televisyen, digital dan radio.

Program dimulakan dengan aktiviti ‘Bekwoh RASA bersama Borak SeeNI’ yang menyaksikan Sharifah Shahirah dan Auddra turun padang bersama komuniti setempat bergotong-royong menyediakan juadah sebelum diagihkan kepada pengunjung oleh Zizan Razak dan ALPHA.

Suasana muafakat dan kerjasama jelas terpancar menerusi aktiviti rewang yang sinonim dengan budaya masyarakat Pantai Timur.

Pengunjung turut berpeluang mengikuti sesi rakaman khas MeleTOP x Tazkirah Malam Jumaat yang menampilkan pendakwah selebriti seperti Amin Idris dan Fakrul UNIC, bersama pengacara MeleTOP Namie serta Ustaz Syed Mohd Norhisyam dan Ustaz Nabil Ahmad.

Pengisian ilmiah itu menjadi antara tarikan utama sebagai persiapan rohani menjelang Ramadan, dan bakal disiarkan menerusi saluran Astro Ria serta Astro Oasis pada tarikh yang telah dijadualkan.

Selain majlis ilmu, suasana turut dihangatkan dengan persembahan nasyid oleh kumpulan UNIC, ALPHA dan Mawi, di samping kemunculan istimewa watak animasi popular Omar & Hana serta Didi & Friends yang mencuit hati kanak-kanak.

Aktiviti pentas bersama penyampai radio ZAYAN dan GEGAR menambahkan lagi kemeriahan program yang bersifat kekeluargaan ini.

Di sekitar perkarangan masjid, pelbagai aktiviti komuniti seperti pertandingan tulisan khat, mewarna dan memanah turut dianjurkan, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung pelbagai peringkat usia untuk terbabit secara aktif.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular