editormaxinfo@gmail.com
SUBANG JAYA – Yayasan PEKEMA memperuntukkan lebih RM700,000 menerusi pelaksanaan Program Shopping Raya 2026 bagi membantu anak-anak asnaf dan pelajar tahfiz membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Inisiatif tahunan yang menjadi antara program teras yayasan itu dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara, membabitkan beberapa zon termasuk Sabah, Sarawak, Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Usaha ini mencerminkan kesungguhan Yayasan PEKEMA dalam memastikan bantuan yang disalurkan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh golongan sasar, tanpa mengira lokasi geografi.
Majlis pelancaran bagi Zon Tengah telah berlangsung dengan jayanya di Mydin Mall USJ, menyaksikan penyertaan lebih 500 anak-anak asnaf dan pelajar tahfiz.
Menerusi program berkenaan, setiap penerima menerima baucar membeli-belah bernilai RM200 yang membolehkan mereka memilih sendiri kelengkapan Hari Raya seperti pakaian, kasut dan barangan keperluan lain.

Pendekatan ini bukan sahaja memberi bantuan berbentuk material, malah membuka ruang kepada mereka merasai pengalaman membeli-belah secara lebih bermakna serta meningkatkan keyakinan diri menjelang Syawal.
Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin, berkata program berkenaan bukan sekadar satu bentuk sumbangan kewangan, sebaliknya simbol solidariti dan kasih sayang terhadap masyarakat yang memerlukan.
“Kami mahu menghadirkan kegembiraan dan harapan buat anak-anak ini agar mereka turut merasai kemeriahan Syawal seperti insan lain.
“Kebajikan adalah tanggungjawab bersama dan PEKEMA komited untuk terus memainkan peranan ini secara konsisten saban tahun,” katanya.

Antara institusi yang menerima manfaat daripada Program Shopping Raya 2026 termasuk Persatuan Kebajikan Al Rayyan Malaysia (OKU Mata), Madrasah Quran Darussalam Banin, Persatuan Kebajikan Ahsana Kuala Lumpur serta anak-anak asnaf dari Kampung Pendamar, Klang dan sekitar Selayang, Damansara serta Shah Alam.
Program ini turut mendapat kerjasama strategik daripada pihak Mydin, dengan kehadiran barisan kepimpinan PEKEMA dalam sesi penyampaian sumbangan secara simbolik.
Kerjasama ini memperlihatkan sinergi antara sektor swasta dan badan kebajikan dalam memperkukuh jaringan bantuan kepada golongan memerlukan.

Melalui pelaksanaan yang konsisten setiap tahun, Yayasan PEKEMA beriltizam untuk terus memperluaskan capaian bantuan agar lebih ramai golongan asnaf dan pelajar tahfiz di seluruh negara dapat menikmati manfaat yang disediakan, khususnya menjelang musim perayaan.
Yayasan PEKEMA turut berharap agar usaha murni ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak pihak untuk bersama-sama menyumbang serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam masyarakat, demi memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada menikmati kemeriahan Aidilfitri.

