30.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 23, 2026
Home Blog Page 11

Nabila Huda raih trofi sulung di pentas teater, curi tumpuan di Anugerah Seni Cameronian BOH ke-21

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Nabila Huda mencipta detik bermakna dalam perjalanan seninya apabila meraih trofi sulung di pentas teater menerusi Anugerah Seni Cameronian BOH ke-21, sekali gus mencuri perhatian pada malam penuh gemilang yang berlangsung di Petaling Jaya Performing Arts Centre.

Pada acara berprestij itu, dua karya teater iaitu “Fragments of Tuah” oleh Five Arts Centre dan “Setanggi Tari Melayu 2025 – Quintessential Malay Dance” oleh ASK Dance Company diumumkan sebagai pemenang kategori utama Persembahan Terbaik 2025.

Kedua-dua naskhah itu berjaya mengetepikan beberapa finalis lain termasuk “A Salute to Cinema”, “Animal Farm”, “TEWAS: No Light at the End of the Tunnel” dan “Visits”.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Presiden Kakiseni, Low Ngai Yu bersama Pengerusi Eksekutif BOH Plantations, Caroline Russell, sekali gus menutup tirai acara yang menjadi antara platform paling penting dalam mengiktiraf seni persembahan tanah air.

“Fragments of Tuah” tampil sebagai persembahan berkonsep dokumentari yang diiringi muzik asli, mengangkat semula figura Hang Tuah dalam interpretasi baharu sebagai pahlawan abad ke-15.

Sementara itu, “Setanggi Tari Melayu 2025 – Quintessential Malay Dance” pula menonjolkan keindahan dan kehalusan seni tari Melayu, sekali gus memartabatkannya sebagai antara warisan seni yang unggul di peringkat global.

Dalam kategori lakonan, Ileana Matin dinobatkan sebagai Pelakon Utama Terbaik (Teater Muzikal) menerusi watak Finn Dewey dalam “School of Rock, The Musical”, manakala Kingsley Judd meraih Pelakon Utama Terbaik (Teater) hasil lakonannya sebagai Edward dalam “Someone Who’ll Watch Over Me”.

Namun, antara momen paling mencuri perhatian ialah kemenangan Nabila Huda dalam kategori Pelakon Pembantu Terbaik menerusi watak Malam dalam teater “Masmoona”.

Kejayaan itu disifatkan sebagai pencapaian peribadi yang cukup bermakna memandangkan beliau masih baharu dalam dunia teater.

Menurut Nabila, beliau tidak menyangka akan memenangi anugerah berkenaan kerana merasakan dirinya masih belajar dan amat menghormati pelakon teater lain yang disifatkan memiliki kelebihan dari segi nyanyian dan tarian.

Malah, beliau turut mengakui berasa rendah diri apabila melihat barisan pencalonan yang disifatkan lebih berpengalaman dan berbakat besar.

Selain “Masmoona”, Nabila turut terbabit dalam pementasan “Visits” terbitan Dramalab arahan Ida Nerina, bergandingan bersama pelakon berpengalaman seperti Sofia Jane dan Nadia Aqilah yang turut menerima pencalonan dalam beberapa kategori.

Dalam pada itu, Prof. Dr. Mohd Anis Md Nor dianugerahkan Anugerah Sepanjang Hayat BOH Cameronian sebagai penghargaan terhadap sumbangan besar beliau dalam memartabatkan seni Zapin serta dunia seni persembahan di Malaysia.

Edisi ke-21 anugerah ini menyaksikan sebanyak 40 kategori dipertandingkan melibatkan 81 penyertaan merangkumi teater, tarian, muzik dan teater muzikal.

Daripada jumlah itu, 44 produksi berjaya dicalonkan dengan pecahan kategori melibatkan tarian, teater muzikal, muzik dan teater.

Anugerah Seni Cameronian BOH atau Cammies terus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform penting dalam membentuk masa depan industri seni kreatif negara.

Bertemakan “COLLABeyond: Cipta Bersama Masa Depan”, penganjuran kali ini bukan sahaja meraikan kecemerlangan, malah menekankan kepentingan kolaborasi, inovasi serta nilai etika dalam penghasilan karya seni selari dengan perubahan teknologi dan sosial.

Anugerah ini dibawakan oleh BOH Plantations dan Kakiseni dengan sokongan Majlis Kebudayaan Negara serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, selain kerjasama pelbagai rakan industri termasuk Taylor’s University, A Cut Above, BDO Malaysia, Capri Communications, CloudJoi dan Steven Sunn.

Syamel lancar single “PERTAMA”, tampil gaya muzik baharu dan segar

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi berprestasi vokal tinggi, Syamel, kembali menghangatkan industri muzik tempatan dengan pelancaran single terbaharu berjudul “PERTAMA”.

Single ini adalah sebuah karya segar ciptaan dan terbitan Edry Abdul Halim yang menandakan fasa baharu dalam perjalanan seninya.

Lagu “PERTAMA” hadir dengan pendekatan muzik yang lebih groovy dan moden, sekali gus memperlihatkan transformasi berani Syamel daripada genre balada emosional yang sering menjadi identitinya sebelum ini.

Melalui sentuhan kreatif Edry Abdul Halim, lagu ini menampilkan gabungan bunyi kontemporari dan elemen vintage yang memberikan keunikan tersendiri serta membezakan ia daripada karya-karya terdahulu penyanyi tersebut.

Mengangkat tema cinta pandang pertama, “PERTAMA” tidak hanya tertumpu kepada hubungan antara dua insan, sebaliknya memperluaskan interpretasi kepada pengalaman spontan yang mencetuskan rasa teruja apabila pertama kali melihat sesuatu yang diminati.

Sama ada kereta impian, rumah idaman atau apa sahaja yang menyentuh hati, lagu ini meraikan momen ‘klik’ yang sukar dijelaskan namun cukup kuat untuk mencetuskan kebahagiaan.

Menurut Syamel, lagu ini menggambarkan perasaan spontan yang hadir tanpa diduga tetapi meninggalkan kesan mendalam.

Katanya, terdapat detik dalam kehidupan di mana seseorang terus merasakan satu hubungan emosi sebaik sahaja melihat sesuatu dan perasaan itulah yang cuba diterjemahkan melalui karya terbabit.

Melengkapkan penceritaan lagu, video muzik rasmi “PERTAMA” tampil dengan konsep sinematik yang unik.

Ia mengisahkan pertemuan ringkas antara dua individu asing yang berkembang menjadi kisah cinta sempurna, sebelum penonton akhirnya menyedari bahawa keseluruhan naratif itu hanyalah imaginasi yang tercipta dalam sekelip mata.

Pendekatan ini menggambarkan bagaimana satu detik singkat mampu terasa begitu besar apabila perasaan hadir dengan begitu kuat.

Video muzik ini turut menampilkan kolaborasi bersama pempengaruh tempatan, Aya Amiruddin dan Sharmaine Alexander, yang membawa elemen segar serta karisma tersendiri dalam penceritaan visual.

Kehadiran mereka menambah daya tarikan kepada keseluruhan konsep yang sarat dengan elemen manis, lucu dan penuh fantasi.

Dari sudut persembahan vokal, Syamel tampil dengan gaya yang lebih santai, berani dan penuh ‘attitude’, selari dengan visi produksi lagu ini.

Kerjasama bersama Edry Abdul Halim juga memberi dimensi baharu kepada cara penyampaiannya, dengan penekanan terhadap emosi dan ekspresi yang lebih bebas serta bertenaga.

Dalam masa sama, “PERTAMA” turut membawa nilai sentimental apabila didedikasikan khas kepada para peminat setia yang sentiasa menyokong perjalanan seni Syamel sejak awal.

Mereka dianggap sebagai antara individu terawal yang percaya terhadap bakatnya, menjadikan lagu ini sebagai tanda penghargaan yang cukup bermakna.

Lebih daripada sekadar sebuah single, “PERTAMA” menjadi simbolik kepada permulaan baharu dalam evolusi muzik Syamel.

Ia membuka ruang kepada pelbagai eksplorasi seni yang bakal diketengahkan pada masa hadapan, termasuk pelbagai cerita, emosi dan kejutan yang dijanjikan oleh penyanyi berkenaan.

Single “PERTAMA” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital, manakala tarikh pelancaran video muzik rasmi akan diumumkan melalui saluran media sosial rasmi Syamel dalam masa terdekat.

Konsert Aishah 40 Chapters of Love 2026 di Kuala Lumpur 4 Julai ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi legenda tanah air, Aishah bakal mengukir satu lagi detik bersejarah dalam perjalanan seninya menerusi konsert solo berskala besar bertajuk “Aishah 40 Chapters of Love” yang dijadualkan berlangsung pada 4 Julai 2026, jam 8 malam di Megastar Arena.

Konsert anjuran Vox Nation Live ini dianjurkan bersempena sambutan empat dekad penglibatan Aishah dalam industri muzik, sekali gus meraikan legasi seni yang telah menjadikan beliau antara ikon paling berpengaruh dalam dunia hiburan Malaysia.

Majlis pelancaran rasmi konsert berlangsung dalam suasana eksklusif memperlihatkan keterujaan tinggi dalam kalangan pihak penganjur serta rakan media terhadap penganjuran acara berprestij ini.

Lebih daripada sekadar persembahan pentas, “Aishah 40 Chapters of Love” dirangka sebagai sebuah pengalaman penuh emosi yang menggabungkan elemen cinta, nostalgia dan evolusi seni.

Setiap segmen konsert akan membawa penonton menyusuri perjalanan seni Aishah melalui penceritaan muzik yang dibahagikan kepada fasa-fasa penting dalam hidup dan kerjayanya.

Penonton bakal dihiburkan dengan deretan lagu malar segar yang telah menjadi sebahagian daripada memori kolektif rakyat Malaysia, termasuk karya ikonik seperti “Janji Manismu”, “Camar Yang Pulang” dan “Kemaafan Dendam Yang Terindah”, selain pelbagai lagu lain yang pernah mewarnai industri muzik tempatan.

Menambah kemeriahan malam itu, penyanyi berbakat Ara Johari turut diumumkan sebagai artis undangan istimewa.

Gabungan dua generasi ini dijangka mencipta momen pentas yang unik, menggabungkan kekuatan vokal klasik dan kontemporari dalam satu persembahan yang segar dan beremosi.

Sebagai penghargaan kepada peminat setia, sebuah edisi terhad “vinyl” eksklusif turut akan dilancarkan bersempena konsert ini.

Keluaran khas ini dijangka menjadi koleksi bernilai tinggi, khususnya bagi peminat dan pengumpul karya muzik yang menghargai nilai sentimental dalam bentuk fizikal.

Menjelang konsert berkenaan, Aishah kini giat melakukan persiapan rapi dari segi vokal, mental dan fizikal bagi memastikan persembahan yang terbaik.

Menurut beliau, konsert ini adalah hadiah istimewa buat peminat yang telah setia menyokong perjalanan seninya selama ini, dengan harapan ia menjadi pengalaman bermakna buat semua yang hadir.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Vox Nation Live, Shawn Chang menyifatkan konsert ini sebagai sebuah penghormatan terhadap perjalanan seni yang luar biasa.

Katanya, penganjur menyasarkan pengalaman konsert bertaraf tinggi yang mampu menyentuh emosi penonton dan meninggalkan kesan mendalam.

Tiket konsert kini boleh didapati secara rasmi menerusi platform Ticketmelon dengan pelbagai kategori harga ditawarkan, sekali gus memberi peluang kepada peminat daripada pelbagai lapisan untuk turut sama menjadi sebahagian daripada malam bersejarah ini.

Konsert ini turut mendapat sokongan rakan media seperti Sinar FM, ERA FM, Mix FM, Lite FM serta platform hiburan digital Astro Gempak dan Meletop yang memainkan peranan penting dalam mempromosikan acara ini kepada khalayak lebih luas.

Dengan gabungan vokal yang terus relevan merentas generasi, susunan muzik yang menyentuh emosi serta produksi bertaraf tinggi, “Aishah 40 Chapters of Love” dijangka menjadi sebuah konsert yang bukan sahaja mengimbau nostalgia, malah mencipta kenangan baharu yang akan kekal dalam ingatan peminat.

Evanescence Kuala Lumpur 2026: Konsert eksklusif Asia Tenggara 28 November ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kumpulan rock antarabangsa Evanescence bakal menggegarkan ibu negara apabila memilih Kuala Lumpur sebagai satu-satunya destinasi di Asia Tenggara untuk konsert eksklusif mereka selepas 14 tahun tidak membuat persembahan di Malaysia.

Konsert yang dinanti-nantikan ini dijadual berlangsung pada 28 November 2026 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sekali gus menjadikannya antara acara muzik terbesar tahun ini yang dijangka menarik kehadiran peminat dari seluruh rantau Asia.

Pemilihan Kuala Lumpur sebagai satu-satunya lokasi di Asia Tenggara menjadikan persembahan ini cukup istimewa, malah membuka peluang kepada peminat serantau untuk menyaksikan secara langsung kumpulan yang telah mencipta fenomena global selama lebih dua dekad.

Dikenali dengan gabungan muzik rock alternatif yang kuat bersama melodi emosional, Evanescence terus kekal relevan dengan karya-karya ikonik seperti “Bring Me To Life” dan “My Immortal”.

Dipimpin oleh vokalis utama Amy Lee, kumpulan ini terkenal dengan persembahan bertenaga yang sarat emosi, sekali gus menjadikan setiap konsert mereka sebagai pengalaman yang mendalam dan tidak mudah dilupakan.

Menambahkan lagi keterujaan, Evanescence baru sahaja melancarkan single terbaharu, manakala album baharu mereka yang dinanti-nantikan dijadualkan untuk dilancarkan pada Jun 2026.

Konsert di Kuala Lumpur ini bakal menjadi antara peluang terawal bagi peminat di rantau ini untuk menikmati karya baharu berkenaan secara langsung, selain lagu-lagu klasik yang telah membentuk generasi peminat mereka.

Kali terakhir Evanescence beraksi di Malaysia adalah pada tahun 2012, menjadikan kemunculan semula ini sebagai detik yang cukup bermakna buat peminat setia yang telah lama menantikan kepulangan mereka ke pentas tempatan.

Acara ini dibawakan oleh Hello Universe, penganjur yang terkenal dengan penganjuran konsert antarabangsa berskala besar di Malaysia, termasuk kejayaan konsert dua malam kumpulan My Chemical Romance yang mendapat sambutan hangat sebelum ini.

Dengan produksi antarabangsa berskala penuh, persembahan ini dijangka menampilkan pengalaman ‘live’ signature Evanescence yang menggabungkan vokal bertenaga, susunan muzik dinamik serta visual pentas yang imersif.

Tiket konsert akan mula dijual pada 8 Mei 2026, jam 10 pagi (MYT) menerusi platform GoLive.

Peminat disarankan untuk mendapatkan tiket lebih awal memandangkan permintaan dijangka tinggi, manakala maklumat lanjut mengenai kategori tiket dan harga akan diumumkan dalam masa terdekat.

Sebagai rekod, Evanescence adalah kumpulan rock dari Amerika Syarikat yang memenangi Anugerah Grammy dan ditubuhkan pada tahun 1995.

Album sulung mereka, Fallen yang dilancarkan pada tahun 2003 mencatat kejayaan global dengan jualan melebihi 17 juta unit di seluruh dunia, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara kumpulan rock paling berpengaruh di peringkat antarabangsa.

‘Good Boys Go To Heaven’: Thriller Astro Originals lakonan Beto Kusyairy & Zahirah MacWilson, tayang 8 Mei ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Astro terus mengukuhkan kedudukannya dalam penerbitan kandungan premium menerusi jenama Astro Originals dengan pelancaran siri terbaharu berjudul “Good Boys Go To Heaven”, sebuah naskhah thriller psikologi yang sarat dengan elemen saspens dan trauma yang dijangka memikat perhatian penonton tempatan.

Terbitan Astro Shaw ini bakal menemui penonton bermula 8 Mei 2026, disiarkan setiap hari Jumaat pada jam 12 tengah malam menerusi On Demand, selain turut ditayangkan pada jam 9 malam di Astro Ria (Saluran 104) dan Astro Citra (Saluran 108).

Siri ini juga boleh ditonton lebih awal secara eksklusif melalui platform Astro GO serta aplikasi Sooka.

Selari dengan usaha Astro Originals dalam mengembangkan genre thriller psikologi, “Good Boys Go To Heaven” diterajui oleh penulis skrip terkemuka, Mira Mustaffa, yang juga pemenang Anugerah Festival Filem Malaysia (FFM).

Beliau yang juga bakat kreatif dari Astro Shaw turut menggalas tanggungjawab sebagai showrunner bagi siri ini, sekali gus menjanjikan jalan cerita yang kukuh dan berimpak tinggi.

Naskhah ini mengangkat kisah menyayat hati seorang bapa, Yasser, yang berdepan mimpi ngeri apabila anak lelakinya, Ahyan, dilaporkan hilang sebelum jasad kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan tragis selepas dibunuh dengan kejam.

Penceritaan ini bukan sahaja menyentuh emosi, malah menelusuri kesan trauma mendalam yang dialami oleh individu serta impaknya terhadap orang sekeliling.

“Good Boys Go To Heaven” diarahkan oleh Ariff Zulkarnain, yang sebelum ini mencipta kejayaan menerusi “One Cent Thief 2”, manakala produksi dikendalikan oleh Indigo Film.

Kekuatan siri ini turut diperkukuhkan dengan barisan pelakon berkaliber termasuk Beto Kusyairy sebagai Yasser, Zahirah MacWilson sebagai Dahlia, Firdaus Karim sebagai Bahamin, Malek McCrone sebagai Zayd, Amerul Affendi sebagai Inspektor Kamal, Amanda Ang sebagai Sarjan Leona, Sky Iskandar sebagai Ustaz Reyhan serta bakat cilik baharu, Sayf Mikael yang memegang watak Ahyan.

Penerbit Eksekutif “Good Boys Go To Heaven” merangkap Ketua Astro Shaw dan Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara, Astro, Raja Jastina Raja Arshad berkata, karya ini adalah usaha berterusan Astro Shaw untuk memperluas kandungan Astro Originals dengan penceritaan yang lebih berani dan relevan, disokong oleh skala produksi berkualiti tinggi.

Menurut beliau, projek itu juga mencerminkan keyakinan terhadap bakat tempatan, khususnya dalam memberi ruang kepada penulis terbaik industri.

Kerjasama dengan Mira Mustaffa sebagai showrunner dilihat sebagai langkah strategik, selain mengembalikan Ariff Zulkarnain sebagai pengarah bagi mengemudi naratif yang berteraskan tema trauma serta isu kehilangan kanak-kanak.

Katanya, peningkatan kes kehilangan kanak-kanak di negara ini menjadi antara inspirasi utama penghasilan siri terbabit, dengan harapan agar mesej yang dibawa dapat meningkatkan kesedaran masyarakat dan tidak sekadar menjadi isu yang tenggelam selepas liputan media.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini serta menonton klip-klip menarik “Good Boys Go To Heaven” menerusi platform media sosial rasmi Astro Gempak dan Astro Shaw di Instagram, TikTok, Facebook dan X.

Festival Muzik Air Langkawi 2026 gegar Pantai Chenang, sasar 100,000 pengunjung

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pantai peranginan terkenal, Pantai Chenang bersiap sedia menyambut kehadiran kira-kira 100,000 pengunjung sempena penganjuran Festival Muzik Air Langkawi yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 1 hingga 3 Mei ini.

Festival itu antara acara utama yang disenaraikan dalam kalendar Tahun Melawat Malaysia 2026, anjuran Tourism Malaysia di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) serta Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

Pengurus acara festival, Azlikamal Mat Yeas berkata, pihak penganjur telah membuat persiapan rapi bagi memastikan pengunjung menikmati pengalaman yang unik dan menghiburkan sepanjang festival berlangsung.

Menurutnya, festival ini bukan sahaja menampilkan hiburan berkonsepkan muzik dan pantai, malah turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang mampu mencipta kenangan manis kepada setiap pengunjung.

Sepanjang tiga hari penganjuran, pengunjung bakal disajikan dengan pelbagai acara sukan dan rekreasi termasuk pertandingan bola sepak pantai serta aktiviti sukan air seperti pukul bantal, panjat tiang licin dan boling pantai menggunakan buah kelapa.

Selain itu, pertunjukan api pada waktu malam dijangka menjadi antara tarikan utama yang bakal memeriahkan suasana di pesisir pantai.

Tidak terhenti di situ, festival ini turut menawarkan pelbagai aktiviti santai dan mencabar seperti rakit darat, puncher pipe, basket ball throw, fast & furious serta tug of war yang terbuka kepada penyertaan orang awam.

Dalam masa sama, pengunjung juga berpeluang menikmati suasana santai bersama keluarga sambil menjamu selera di pelbagai gerai makanan dan restoran yang tersedia di sepanjang kawasan pantai, sekali gus menjadikan festival ini sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

Penganjuran festival yang bertepatan dengan cuti panjang sempena Hari Pekerja itu dijangka menarik kehadiran pelancong tempatan dan luar negara, sekali gus merancakkan sektor pelancongan di pulau peranginan terbabit.

Azlikamal turut mengajak orang ramai dari seluruh negara agar tidak melepaskan peluang untuk hadir memeriahkan festival berkenaan.

Pelbagai hadiah menarik menanti pemenang pertandingan, selain pengalaman yang sukar dilupakan sepanjang acara berlangsung.

“Berkunjunglah ke Pantai Chenang, Langkawi pada hujung minggu ini. Kami mahu setiap pengunjung datang dengan harapan dan pulang dengan senyuman kepuasan,” katanya.

Joy cipta magis di Zepp Kuala Lumpur, Konsert ‘JOY SPLASH’ sentuh emosi 1,500 ReVeluvs

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Aura memikat Joy nyata tidak pernah pudar apabila konsert solo sulungnya, 2026 Joy Asia Tour (JOY SPLASH) berjaya mencipta malam penuh magis dan emosi di Zepp Kuala Lumpur pada 25 April lalu.

Lebih daripada sekadar persembahan pentas, konsert itu menjadi ruang eksklusif buat Joy mendekati peminatnya, ReVeluvs, dalam suasana yang cukup intim selepas sekian lama menanti kehadirannya di Malaysia.

Dengan kehadiran lebih 1,500 peminat, setiap detik yang dipersembahkan seolah-olah menghidupkan hubungan erat antara artis dan penyokong setianya.

Membuka tirai dengan lagu Hello, Joy terus menguasai pentas dengan vokal lembut namun bertenaga, diikuti persembahan lagu-lagu seperti Je T’aime dan La Vie En Bleu yang memukau penonton.

Tidak terhenti di situ, beliau turut menyuntik elemen dramatik menerusi deretan lagu runut bunyi drama Korea seperti Introduce Me a Good Person, My Lips Like Warm Coffee, Yeowooya dan Shiny Boy, sekali gus membawa penonton mengimbau momen emosional daripada karya-karya berkenaan.

Sorakan gemuruh jelas kedengaran setiap kali Joy berinteraksi dengan peminat.

Dalam nada penuh keikhlasan, Joy meluahkan rasa rindu yang terpendam, sekali gus menyentuh hati mereka yang hadir.

Momen itu memperlihatkan sisi peribadi Joy yang hangat dan dekat dengan peminatnya.

Kehebatan Joy tidak hanya terletak pada vokalnya, malah persembahan tarian menerusi lagu-lagu popular Red Velvet seperti Red Flavor, Feel My Rhythm dan Peek-a-Boo berjaya menghangatkan suasana, mengubat kerinduan peminat terhadap aksi pentas kumpulan itu.

Antara detik paling bermakna pada malam itu adalah apabila seorang peminat berkongsi kisah peribadi melalui sepucuk surat yang menyentuh perasaan.

Pengakuan bahawa karya Joy menjadi sumber kekuatan dalam menghadapi masalah kebimbangan memberi impak mendalam kepada penyanyi itu, sekali gus mencetuskan reaksi emosi dalam kalangan penonton.

Konsert turut diperkaya dengan elemen interaktif apabila Joy mempersembahkan lagu Ice Cream Cake secara acapella bersama peminat, menjadikan pengalaman itu lebih peribadi dan tidak dapat dilupakan.

Joy kemudian meneruskan persembahan dengan lagu seperti Love Splash, Day by Day, Happy Birthday to You dan Scent of Green, mengekalkan momentum sepanjang malam.

Selain itu, Joy turut menghiburkan peminat dengan aktiviti santai seperti permainan teka lukisan, memperlihatkan usaha beliau untuk berkomunikasi secara dua hala dan mendekati peminat bukan sekadar sebagai artis, tetapi sebagai individu yang menghargai sokongan mereka.

Menutup tirai konsert, Joy meluahkan rasa syukur atas sokongan yang diberikan serta kegembiraannya dapat berkongsi detik istimewa bersama peminat di Malaysia.

Persembahan encore dengan lagu-lagu popular Red Velvet seperti Zimzalabim, You Better Know dan Hello menjadi penutup sempurna yang meninggalkan kenangan manis buat semua yang hadir.

Dalam pada itu, peminat yang ditemui menyatakan kepuasan mereka terhadap persembahan yang disifatkan penuh emosi dan berkualiti tinggi.

Ramai turut menyuarakan harapan agar Red Velvet kembali ke Malaysia sebagai sebuah kumpulan lengkap, selepas kejayaan siri jelajah solo setiap anggotanya sebelum ini.

Konsert “JOY SPLASH” bukan sahaja membuktikan kemampuan Joy sebagai artis solo, malah mengukuhkan lagi pengaruhnya sebagai antara figura K-pop yang terus relevan dan dekat di hati peminat antarabangsa.

TCL lancar SQD-Mini LED 2026 di Malaysia, kuasai segmen TV premium & smart home

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Syarikat teknologi global terkemuka, TCL terus memperkukuh kedudukannya di pasaran Malaysia dengan memperkenalkan teknologi proprietari terbaharu, SQD-Mini LED, sebagai sebahagian daripada strategi produk dan komersialnya bagi tahun 2026.

Pelancaran ini turut menampilkan portfolio lengkap produk rumah pintar, sekali gus menandakan komitmen berterusan syarikat dalam mengembangkan segmen pertengahan hingga premium di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Dengan pendapatan tahunan melebihi RM206 bilion, TCL kini berada dalam kelompok pengeluar televisyen terbesar dunia, dengan jumlah penghantaran global melebihi 30 juta unit pada tahun 2025.

Prestasi ini mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju dalam kategori Mini LED serta televisyen skrin besar bersaiz 98 inci, selain menguasai kira-kira 50 peratus pasaran Mini LED global.

Pengarah Urusan TCL Malaysia, Carolyn berkata, Malaysia antara pasaran strategik bagi pengembangan ekosistem Smart IoT syarikat itu.

Menurutnya, pengenalan teknologi SQD-Mini LED bukan sekadar pelancaran produk baharu, sebaliknya menjadi penanda aras terkini dalam teknologi paparan bagi segmen premium.

“Dalam usaha memperkukuh inovasi, TCL terus memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi paparan termaju serta kecerdasan buatan.

“Melalui anak syarikat, TCL CSOT, hampir RM170 bilion telah dilaburkan untuk membangunkan rantaian industri bertaraf dunia, termasuk menerajui teknologi paparan generasi baharu seperti OLED cetakan inkjet, Micro-LED dan Mini-LED,” katanya.

Caroly berkata, pertumbuhan pesat teknologi Mini LED sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah mengatasi kadar perkembangan OLED, sekali gus menjadikannya pilihan utama bagi televisyen flagship di peringkat global.

Keadaan ini mencerminkan kekuatan teknologi dan penerimaan pasaran terhadap inovasi yang dibawa oleh TCL.

Bagi barisan produk 2026, TCL memperkenalkan tiga generasi televisyen Mini LED di Malaysia, termasuk model flagship X11L yang dilengkapi teknologi SQD-Mini LED dengan kecerahan puncak sehingga 10,000 nits dan lebih 20,000 zon peredupan tepat.

Selain itu, siri C8L dan C7L pula menyasarkan pasaran premium volum tinggi dengan kecerahan mencecah 6,000 nits.

Kesemua model ini turut diperkasa dengan sistem audio premium yang ditala oleh Bang & Olufsen bagi memberikan pengalaman tontonan yang lebih imersif.

Dalam segmen penyaman udara, TCL memperkenalkan Siri VoxIN yang dilengkapi teknologi penjimatan tenaga pintar T-AI, mampu mengurangkan penggunaan tenaga sehingga 37 peratus berbanding model konvensional.

Ciri kawalan suara luar talian dan fungsi pembersihan kendiri turut ditawarkan bagi meningkatkan kemudahan penggunaan serta mengurangkan kos penyelenggaraan.

Selain itu, portfolio peralatan rumah TCL turut menampilkan reka bentuk moden dengan penekanan terhadap estetika terbina dalam dan kapasiti tinggi.

Antaranya termasuk peti sejuk nipis dengan integrasi kabinet 1 sentimeter serta teknologi pensterilan T-Fresh, selain mesin basuh C682 yang dilengkapi dram bersaiz besar 540mm dan fungsi Auto Dose, menyasarkan keperluan kediaman bandar premium yang semakin berkembang di Malaysia.

Mengulas lanjut, Carolyn berkata produk TCL 2026 sejajar dengan strategi global syarikat yang menumpukan kepada penembusan segmen pertengahan hingga premium, di samping memanfaatkan kerjasama antarabangsa untuk memperkukuh jenama serta menawarkan nilai melalui kecekapan tenaga dan integrasi ekosistem pintar.

“Sebagai sebahagian daripada usaha memperluas pengaruh global, TCL sebelum ini telah menandatangani perjanjian untuk menjadi rakan global bagi Sukan Olimpik Musim Panas Los Angeles 2028 pada Februari 2025.

“Kerjasama ini dijangka membuka ruang kepada pengalaman tontonan generasi baharu yang lebih imersif melalui penggunaan teknologi paparan terkini,” katanya lagi.

Sepanjang lima tahun lalu, TCL mencatatkan pertumbuhan kewangan yang konsisten melalui dua entiti utamanya, iaitu TCL Industries dan TCL Technology.

Jumlah hasil syarikat meningkat daripada lebih RM96 bilion pada tahun 2020 kepada lebih RM206 bilion pada 2025, dengan kadar pertumbuhan tahunan purata sebanyak 16.5 peratus.

Dalam tempoh sama, hasil luar negara turut melonjak daripada RM42.59 bilion kepada RM98.62 bilion, mencatatkan pertumbuhan tahunan purata 18.3 peratus.

Perkembangan ini mencerminkan momentum kukuh TCL dalam memperluaskan kehadiran global serta memperkukuh kedudukannya sebagai pemain utama dalam industri teknologi pengguna, khususnya dalam segmen paparan premium dan ekosistem rumah pintar.

Björn Again bawa ‘The ABBA Forever Tour’ ke Kuala Lumpur Ogos ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Peminat muzik pop klasik bakal disajikan dengan pengalaman luar biasa apabila kumpulan tribute terkenal dunia, Björn Again, bakal membuat penampilan sulung mereka di ibu negara menerusi siri jelajah The ABBA Forever Tour 2026.

Didatangkan khas dari Melbourne, Australia, kumpulan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa itu akan menghiburkan peminat tempatan dengan persembahan berdurasi dua jam yang meraikan keabadian muzik ABBA, sekali gus menjanjikan malam penuh nostalgia, tenaga dan hiburan berkualiti tinggi.

Sepanjang konsert, penonton bakal dihidangkan dengan deretan lagu hits ikonik seperti “Mamma Mia”, “Dancing Queen”, “Waterloo”, “SOS” dan “Gimme! Gimme! Gimme!”, selain balada popular termasuk “The Winner Takes It All”, “I Have a Dream”, “Chiquitita” dan “Fernando” yang terus merentasi generasi peminat.

Terkenal sebagai antara persembahan tribute terbaik dunia, Björn Again menggabungkan vokal yang hampir menyamai versi asal, tenaga pentas yang memukau, kostum glamor serta elemen humor dan teater yang menjadikan pengalaman menonton lebih hidup dan menghiburkan.

Ditubuhkan pada tahun 1988 di Melbourne, kumpulan ini telah membuat persembahan di lebih 120 negara dan merupakan satu-satunya tribute band yang diiktiraf secara rasmi oleh ahli ABBA sendiri.

Reputasi mereka sebagai fenomena global turut diperkukuh dengan sokongan peminat terkenal seperti Metallica, Nirvana, Tom Jones, Rowan Atkinson dan J. K. Rowling.

Sepanjang kerjaya mereka, Björn Again telah mengadakan persembahan di lokasi berprestij dunia seperti Wembley Stadium, Royal Albert Hall, Sydney Opera House dan Myer Music Bowl, selain festival antarabangsa seperti Glastonbury Festival, Roskilde Festival serta Reading Festival.

Pementasan mereka turut menerima pujian meluas, termasuk daripada Time Out yang menyifatkan Björn Again sebagai antara persembahan langsung paling menghiburkan di dunia.

Malah, anggota ABBA, Benny Andersson, pernah menyatakan bahawa persembahan Björn Again adalah pengalaman paling hampir untuk peminat merasai konsert ABBA sebenar.

Populariti muzik ABBA yang kembali melonjak di peringkat global, didorong oleh filem seperti Mamma Mia! dan produksi pentas antarabangsa, menjadikan hentian Kuala Lumpur sebagai antara acara wajib tonton bagi tahun 2026.

Konsert anjuran Shiraz Projects ini dijadual berlangsung pada 12 Ogos 2026, jam 8 malam di Zepp Kuala Lumpur.

Tiket mula dijual pada 28 April 2026 melalui platform dalam talian, dengan harga bermula daripada RM228 hingga RM600 mengikut kategori tempat duduk.

Dengan gabungan muzik abadi, persembahan bertenaga dan elemen hiburan yang menyeluruh, kehadiran Björn Again ke Kuala Lumpur dijangka menjadi antara konsert paling dinanti-nantikan tahun ini, sekali gus menawarkan pengalaman yang tidak harus dilepaskan oleh peminat muzik dari semua peringkat usia.