32 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 23, 2026
Home Blog Page 10

Jubin Nautiyal kembali hangatkan pentas muzik Bollywood Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi sensasi Bollywood, Jubin Nautiyal kembali mencuri perhatian peminat muzik India di Malaysia menerusi penganjuran konsert mega “Jubin Nautiyal Live in Malaysia 2026” yang bakal berlangsung esok di Mega Star Arena.

Kemunculan kali kedua penyanyi terkenal India itu di Malaysia dijangka menghimpunkan ribuan peminat muzik Bollywood tempatan selepas kejayaan konsert sulungnya pada tahun 2022 yang menerima sambutan luar biasa.

Konsert berskala besar itu bakal menyaksikan persembahan hampir tiga jam dengan rangkaian lagu hit popular yang menjadikan nama Jubin antara penyanyi latar Bollywood paling terkenal ketika ini.

Penyanyi berusia 36 tahun itu mengakui terharu dengan sokongan peminat di Malaysia yang sentiasa menantikan kemunculannya sejak kunjungan terdahulu.

Menurut beliau, konsert kali ini tampil lebih istimewa dengan konsep lebih besar serta sesuai dinikmati oleh semua lapisan penonton dan keluarga.

“Penonton di Malaysia sangat hebat dan pelbagai. Saya terkejut melihat sambutan terhadap lagu-lagu Hindi di sini.

“Kali ini kami hadir dengan persembahan yang lebih besar dan sesuai untuk seisi keluarga,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur.

Tambahnya, kira-kira 70 lagu dijangka dipersembahkan sepanjang konsert berkenaan termasuk beberapa medley khas yang menggabungkan pelbagai genre muzik popular Bollywood.

Antara lagu yang bakal dipersembahkan termasuk Aakhri Ishq, Barbaad, Tum Hi Aana, Gazab Ka Hai Din serta lagu terbaharunya, Mere Bhole Nath yang kini mendapat sambutan hangat di India.

Selain terkenal dengan lagu romantik dan balada, Jubin turut menjanjikan persembahan lebih bertenaga menerusi lagu rancak seperti The Humma Song dan Dil Lutti Kudi Patola.

“Saya mahu semua penonton bersedia dengan kasut tarian mereka kerana kita akan menari bersama esok,” katanya.

Dalam masa sama, penyanyi kelahiran Uttarakhand itu turut mencuri perhatian apabila menyifatkan faktor utama beliau kembali ke Malaysia adalah kerana “cinta”, jawapan spontan yang menerima sorakan peminat dan media yang hadir.

Mengulas mengenai muzik tempatan, Jubin berkata beliau mula mengenali beberapa lagu tradisional Melayu dan berhasrat mempelajari lebih banyak lagu tempatan pada masa akan datang.

Malah, beliau turut memberi bayangan untuk menyampaikan lagu India Selatan berjudul Telusa Telusa buat pertama kali secara langsung khas untuk peminat Malaysia.

Konsert itu turut menampilkan artis pembukaan tempatan iaitu Mugen Rao serta duo Puteri dan Farish.

Dalam perkembangan lain, Jubin turut mendedahkan beliau kini sedang bekerjasama dengan komposer legenda India, A. R. Rahman menerusi beberapa projek rakaman lagu baharu.

“Kami sudah mula merakam beberapa lagu bersama, tetapi saya belum boleh dedahkan projeknya lagi. Saya sangat bersyukur kerana akhirnya dapat bekerjasama dengannya,” katanya.

Jubin mula mencipta nama selepas menyertai program realiti X Factor India pada tahun 2011 sebelum berkembang sebagai antara penyanyi Bollywood paling berpengaruh dalam industri muzik India.

Antara lagu popular nyanyiannya termasuk Lut Gaye, Raataan Lambiyan, Bewafa Tera Masoom Chehra dan Humnava Mere yang meraih jutaan tontonan di platform digital.

Dengan reputasi besar serta pengaruh kuat dalam industri muzik Bollywood, konsert “Jubin Nautiyal Live in Malaysia 2026” dijangka menjadi antara acara hiburan paling dinantikan peminat muzik Hindi di Malaysia tahun ini.

Ekspo Shandong 2026 buka peluang perniagaan Malaysia -China

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Wilayah Shandong, China dijangka terus diperkukuh menerusi penganjuran Pameran dan Ekspo Produk Terpilih Shandong-China Malaysia 2026 yang bakal berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya dari 22 hingga 24 Mei ini.

Penganjuran ekspo berskala antarabangsa itu dilihat mampu menjadi pemangkin baharu kepada kerjasama ekonomi dua hala apabila lebih 100 syarikat terkemuka dari Wilayah Shandong dijadual menyertai pameran berkenaan bersama kira-kira 260 delegasi perniagaan dari China.

Pengarah Pusat Kerjasama Inovasi Sains dan Teknologi China-SCO Malaysia, Wang Dawei berkata, ekspo berkenaan dianjurkan sebagai platform strategik untuk memperluaskan hubungan perdagangan, pelaburan dan kerjasama industri antara kedua-dua negara.

Menurut beliau, pameran berkenaan bukan sahaja menghimpunkan syarikat berkualiti tinggi dari Shandong, malah membuka ruang kepada syarikat tempatan, persatuan perdagangan serta institusi pelaburan Malaysia untuk menjalinkan kerjasama secara lebih menyeluruh.

“Ekspo ini bukan sahaja menjadi platform perdagangan dan pelaburan bertaraf tinggi, malah membuka peluang kepada syarikat Malaysia untuk menembusi pasaran Shandong dan China dengan lebih meluas,” katanya pada sidang media pameran berkenaan.

Beliau berkata, Shandong antara wilayah ekonomi utama di China yang memainkan peranan penting dalam hubungan perdagangan dengan Malaysia sejak sekian lama, khususnya dalam sektor teknologi, pembuatan, perdagangan dan pertanian moden.

Katanya lagi, penganjuran ekspo berkenaan dijangka mampu merangsang lebih banyak peluang pelaburan serta memperkukuh jaringan kerjasama industri dalam pelbagai sektor strategik yang berpotensi memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara.

Sementara itu, Pengurus Besar Asia Tenggara Kumpulan Lanhua Shandong, Li Cheng berkata, pelbagai kategori produk dan perkhidmatan akan diketengahkan sepanjang tiga hari ekspo berlangsung.

Menurut beliau, antara produk yang bakal dipamerkan termasuk barangan automotif, kelengkapan hotel, produk sukan dan rekreasi luar, makanan, produk pertanian, kelengkapan keselamatan serta barangan pengguna premium dari China.

Dalam usaha memenuhi keperluan pasaran tempatan, khususnya pengguna Muslim di Malaysia, pihak penganjur turut memberi tumpuan kepada segmen halal menerusi penganjuran Pesta Makanan Halal yang menampilkan lebih 30 gerai makanan tradisional Shandong yang telah mendapat pengesahan halal.

“Memandangkan acara ini diadakan di Malaysia, kami memberi fokus besar kepada pasaran Muslim melalui penganjuran pesta makanan halal yang mengetengahkan pelbagai makanan tradisional Shandong,” katanya.

Selain menjadi platform perdagangan dan pelaburan, ekspo terbabit turut mengetengahkan elemen kebudayaan dan pelancongan menerusi promosi destinasi pelancongan popular di Shandong serta pelbagai permainan tradisional dari wilayah berkenaan.

Tambah beliau, usahawan tempatan juga berpeluang mencari rakan kongsi strategik selain menjadi pengedar kepada produk-produk dari China melalui jaringan luas syarikat yang mengambil bahagian dalam ekspo terbabit.

Dalam perkembangan sama, Ketua Aktiviti Budaya dan Pelancongan Ekspo merangkap Naib Presiden Persatuan Pelancongan Inbound Malaysia, Winnie Ng menyifatkan penganjuran ekspo itu sebagai platform terbaik bagi memperkukuh sektor pelancongan dua hala antara Malaysia dan China.

Menurut beliau, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi pelancongan tempatan bagi mempromosikan pakej lawatan ke beberapa bandar utama di Shandong termasuk Qingdao dan Linyi.

“Kami juga merancang membawa rakan-rakan media Malaysia menyertai lawatan sambil belajar ke Shandong supaya mereka dapat melihat sendiri potensi pelancongan dan budaya di sana,” katanya.

Beliau berkata, usahawan dan delegasi terpilih dari Malaysia akan dijemput menghadiri satu lagi pameran perdagangan utama di Linyi pada Oktober depan dengan kos penerbangan dan penginapan ditanggung sepenuhnya oleh pihak penganjur dari China.

Pameran dan Ekspo Produk Terpilih Shandong-China Malaysia 2026 dianjurkan oleh Persatuan Perniagaan Shandong Qilu Malaysia bersama China-SCO Sci-Tech Innovation Cooperation Center (Malaysia) dengan kerjasama Shandong Lanhua Group serta Jawatankuasa Hal Ehwal China dan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) MCA.

Selain aktiviti perdagangan dan jaringan perniagaan, pengunjung yang hadir turut berpeluang menikmati pelbagai produk istimewa, aktiviti interaktif, cabutan bertuah serta hadiah khas untuk 300 pengunjung terawal setiap hari sepanjang ekspo berlangsung.

Konsert Slam 2026: ‘The Grand Slam Unplugged 2’ kembali, 70 peratus tiket sudah terjual

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Fenomena muzik yang pernah mencipta sejarah lebih dua dekad lalu bakal dihidupkan kembali menerusi konsert The Grand Slam Unplugged 2 yang dijadualkan berlangsung pada 20 Jun 2026 di Mega Star Arena Kuala Lumpur.

Konsert ini adalah kesinambungan kepada persembahan ikonik kumpulan Slam yang pernah berlangsung pada 3 Ogos 1996 di Stadium Merdeka, satu malam yang kekal terpahat dalam sejarah industri muzik tempatan meskipun berdepan gangguan bekalan elektrik.

Mengangkat konsep nostalgia dengan sentuhan baharu, konsert ini bukan sekadar mengulang kejayaan lalu, sebaliknya menjadi medan untuk mencipta momen segar berasaskan kenangan silam yang masih hidup dalam jiwa peminat.

Gitaris Slam, Shah, berkata, The Grand Slam Unplugged 2 adalah sebuah apresiasi terhadap perjalanan seni kumpulan itu serta penghargaan kepada peminat yang setia menyokong sejak era kaset, cakera padat sehingga ke platform penstriman digital.

“Ia bukan konsert ulang tayang, tetapi sebuah perayaan karya dan peminat.

“Ini adalah simbol kekuatan Slam yang terus bertahan dan kekal relevan dalam industri muzik hingga hari ini,” katanya.

Sambutan terhadap konsert itu juga amat memberangsangkan apabila pemain dram Slam, Osman Khalid memaklumkan kira-kira 70 peratus tiket telah berjaya dijual sejak dilancarkan pada 13 Februari lalu, sekali gus mencerminkan sokongan berterusan peminat terhadap kumpulan itu.

Bagi menambah kehangatan persembahan, Slam turut menampilkan tiga figura gitaris tersohor tanah air iaitu Aznan Alias, JoBranko dan Kid Search yang masing-masing mempunyai pengaruh besar dalam pembikinan karya muzik tempatan.

Aznan Alias menyifatkan jemputan itu sebagai satu penghormatan besar, selain mengiktiraf Slam sebagai wajah sebenar genre pop Melayu.

JoBranko pula melihat penglibatannya sebagai lambang persahabatan dan penghargaan sesama pemuzik, selain yakin konsert itu bakal mencapai kejayaan berdasarkan kekuatan lagu-lagu malar segar Slam.

Sementara itu, Kid menyatakan penyertaannya dalam konsert itu sebagai satu bentuk apresiasi terhadap kesatuan dalam dunia muzik tanpa mengira perbezaan genre, sekali gus menzahirkan penghargaan kepada Slam atas peluang yang diberikan.

Konsert ini dijangka menjadi himpunan peminat setia yang ingin mengimbau kenangan lama sambil menikmati pengalaman baharu dalam suasana lebih eksklusif.

Dengan beberapa kategori tiket seperti PS3 dan PS4 telah habis dijual, penganjur yakin sambutan akan terus meningkat menjelang tarikh persembahan.

The Grand Slam Unplugged 2 dijangka menjadi satu lagi detik bersejarah dalam perjalanan seni Slam, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara kumpulan legenda yang terus relevan dalam industri muzik Malaysia.

Piala Dunia 2026: RTM & Unifi TV penyiar rasmi, 104 perlawanan untuk rakyat Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV diumumkan sebagai penyiar rasmi Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia, sekali gus memastikan seluruh rakyat dapat menikmati temasya sukan paling berprestij itu secara inklusif, sah dan menyeluruh.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dicapai menerusi kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta bagi menyediakan liputan berkualiti tinggi dengan capaian lebih meluas kepada penonton di seluruh negara.

Menurut beliau yang juga Menteri Komunikasi, siaran kejohanan itu akan ditawarkan melalui pelbagai platform termasuk siaran percuma Free-to-Air menerusi MyTV Broadcasting, selain perkhidmatan over-the-top (OTT) melalui aplikasi RTM Klik dan Unifi TV.

Kejohanan edisi 2026 itu bakal berlangsung di tiga negara tuan rumah iaitu Mexico, Kanada dan Amerika Syarikat.

“Liputan menyeluruh merangkumi kesemua 104 perlawanan akan disiarkan secara langsung di Unifi TV, manakala RTM akan menyiarkan sebahagian besar perlawanan sama ada secara langsung atau tertunda,” katanya dalam sidang media mingguan pasca mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Tambah beliau, langkah itu memberikan kepelbagaian pilihan tontonan kepada peminat bola sepak tempatan, di samping memperkukuh akses rakyat kepada kandungan sukan bertaraf dunia.

Dalam masa sama, RTM turut merancang penerbitan program khas “Grandstand” yang akan disiarkan dari Angkasapuri Kota Media dengan penyampaian utama dalam Bahasa Melayu serta sebahagian segmen dalam Bahasa Inggeris.

Selain itu, perkembangan terkini kejohanan turut akan dikongsikan menerusi program Selamat Pagi Malaysia bagi memastikan peminat sentiasa mengikuti informasi semasa sepanjang kejohanan berlangsung.

Stateless Malaysia: MHO gesa KDN laksana MyKas demi keselamatan dan kemanusiaan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar mempertimbangkan pengeluaran Kad Pengenalan Pemastautin Sementara (MyKas) kepada individu berstatus stateless sebagai langkah penyelesaian kemanusiaan yang telah lama tertangguh.

Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim berkata, organisasi yang ditubuhkan sejak tahun 2016 itu kekal komited dalam memperjuangkan hak asasi manusia melalui pelbagai inisiatif bantuan kemanusiaan dan khidmat guaman, termasuk memberi perhatian serius terhadap isu stateless yang semakin mendapat perhatian masyarakat.

Menurut beliau, kewujudan individu tanpa kewarganegaraan di Malaysia bukan lagi perkara baharu, malah sering dibangkitkan di media sosial dan sidang akhbar, sekali gus menjadikan isu terbabit sebagai antara cabaran sosial yang memerlukan penyelesaian segera.

Lebih membimbangkan, terdapat sebilangan individu stateless yang menetap di dalam negara tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Situasi ini bukan sahaja menimbulkan persoalan dari sudut kebajikan dan hak asasi individu, tetapi turut memberi implikasi kepada aspek pentadbiran serta keselamatan negara.

“Ketiadaan identiti yang sah menyukarkan kehidupan golongan ini, di samping menyukarkan pihak berkuasa dalam proses pemantauan dan penguatkuasaan,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Sehubungan itu, MHO memohon agar KDN mengambil langkah lebih menyeluruh dan berkesan bagi menangani isu berkenaan, termasuk mempertimbangkan penambahbaikan terhadap mekanisme sedia ada di bawah Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia.

Cadangan itu membabitkan kelonggaran syarat bagi permohonan MyKas yang dikeluarkan di bawah Peraturan 5(3), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Namun begitu, MHO berkata, pelaksanaan cadangan itu perlu disertakan dengan kawalan ketat seperti saringan keselamatan menyeluruh, pengambilan data biometrik serta pemantauan berkala oleh agensi penguatkuasaan.

Menurut MHO, langkah ini bukan bertujuan memberikan kewarganegaraan secara automatik, sebaliknya sebagai mekanisme pentadbiran untuk memastikan setiap individu mempunyai identiti yang boleh direkod dan dikesan.

Dalam pada itu, MHO turut mencadangkan agar pelaksanaan inisiatif ini membabitkan kerjasama strategik antara agensi utama seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia bagi memastikan keberkesanan sistem serta mengelakkan sebarang penyalahgunaan.

Mengulas lanjut, MHO berpandangan bahawa ketiadaan dokumen pengenalan diri dalam kalangan individu stateless berpotensi membuka ruang kepada aktiviti jenayah termasuk jenayah rentas sempadan, selain menyukarkan proses pengesanan sekiranya berlaku sebarang kesalahan.

Oleh itu, sistem pengenalpastian yang lebih tersusun dan inklusif dilihat mampu mengurangkan risiko terbabit secara signifikan.

MHO turut menyifatkan cadangan ini sebagai penyelesaian jangka sederhana yang praktikal dan seimbang, sementara kerajaan meneliti pendekatan jangka panjang bagi menangani isu stateless secara menyeluruh.

Pendekatan ini juga dilihat selari dengan prinsip kemanusiaan, di samping memperkukuh keselamatan serta kedaulatan undang-undang negara.

Mengimbas usaha terdahulu, MHO memaklumkan bahawa cadangan berkaitan pengeluaran dokumen pengenalan kepada golongan stateless pernah diketengahkan sekitar Februari dan Jun 2022 oleh beberapa pemimpin negara termasuk bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Jeffrey Kitingan serta bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Cadangan itu membabitkan pengenalan kad warga asing bagi individu yang telah lama menetap di Malaysia tanpa kewarganegaraan, namun masih belum mencapai penyelesaian yang diharapkan.

Dalam perkembangan berkaitan, MHO turut mengambil maklum sokongan yang diberikan oleh ADUN Kuamut Sabah, Datuk Masiung Banah terhadap cadangan memperkenalkan MyKas kepada golongan stateless dan pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah.

Beliau berpendapat langkah itu bukan sahaja membolehkan mereka bekerja secara sah dan menyumbang kepada ekonomi negeri, malah mampu mengurangkan aktiviti pekerjaan tanpa dokumen serta menurunkan kadar jenayah yang berpunca daripada tekanan ekonomi.

Selain itu, kehadiran golongan ini juga dilihat telah lama mengisi kekosongan tenaga kerja dalam sektor perladangan dan pembuatan yang kurang mendapat sambutan dalam kalangan pekerja tempatan.

Dalam masa sama, cadangan supaya mereka menyumbang kepada hasil negeri melalui sistem percukaian turut dilihat sebagai langkah yang mampu memberi manfaat kepada ekonomi negara.

Menurut MHO, sekiranya cadangan terdahulu tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya, kerajaan masih boleh memanfaatkan sistem sedia ada dengan memperkukuh usaha pengumpulan serta pengesahan data individu stateless melalui sistem pendaftaran yang lebih tersusun dan bersepadu.

Pendekatan sedemikian bukan sahaja membantu dalam aspek pemantauan dan kawalan oleh pihak berkuasa, malah memberi peluang kepada golongan stateless untuk mendapatkan perlindungan asas yang sewajarnya, selaras dengan prinsip kemanusiaan yang menekankan hak setiap individu untuk diiktiraf dan dilindungi.

Sehubungan itu, MHO menyeru agar Kerajaan Malaysia, khususnya Kementerian Dalam Negeri, meneliti cadangan yang dikemukakan secara serius dan berhemah.

Isu stateless, bukan sekadar isu kemanusiaan semata-mata, tetapi turut membabitkan aspek keselamatan, kestabilan sosial serta kedaulatan undang-undang negara.

MHO dalam masa sama menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan dan agensi berkaitan dalam mencari penyelesaian terbaik yang bersifat inklusif, proaktif dan berimbang demi kepentingan negara serta kesejahteraan semua pihak.

12,000 peminat hadiri Konsert Wali Kembali di Kuala Lumpur, tampil hiburan berunsur dakwah

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Hampir 12,000 penonton membanjiri Stadium Hoki Bukit Jalil bagi menyaksikan Konsert Wali Kembali yang berlangsung dalam suasana meriah dan penuh emosi, malam Jumaat lalu.

Walaupun hujan lebat melanda ibu negara sebelum acara bermula, keadaan itu tidak menjejaskan perjalanan konsert solo Wali Band yang dianjurkan oleh GIS Entertainment & Events bersama Infinity Love Creative Ventures.

Konsert tetap dimulakan tepat jam 8.30 malam dengan sorakan gemuruh peminat yang sebahagiannya telah hadir seawal jam 4 petang.

Sepanjang persembahan, suasana menjadi semakin rancak apabila kumpulan yang dianggotai Faank, Apoy, Tomi dan Ovie membawakan lagu-lagu popular seperti Aku Bukan Bang Toyib, Tobat Maksiat, Yank, Cari Jodoh dan Baik-Baik Sayang.

Persembahan berjaya membuatkan penonton bangun, menari dan menyanyi bersama, sekali gus mewujudkan suasana yang penuh keterujaan di seluruh stadium.

Kumpulan itu dilihat terharu dengan sambutan luar biasa yang diberikan oleh peminat, yang menjadi pemangkin kepada persembahan bertenaga sepanjang malam.

Lebih daripada sekadar hiburan, Wali Band turut menyelitkan elemen kerohanian dalam persembahan mereka dengan mengalunkan zikir serta menitipkan doa-doa buat para penonton.

Mereka turut mengajak hadirin membaca surah Al-Fatihah sebagai tanda penghargaan, di samping mendoakan kesejahteraan dan keberkatan hidup buat peminat daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Tidak ketinggalan, doa khusus turut dipanjatkan untuk rakyat Palestin sebagai tanda solidariti terhadap isu kemanusiaan semasa.

Pendekatan itu mencerminkan identiti unik Wali Band yang sinonim dengan konsep dakwah melalui hiburan, di mana setiap persembahan bukan sahaja menghibur, tetapi turut menyampaikan mesej positif berkaitan nilai kemanusiaan, kasih sayang, akhlak dan keinsafan.

Konsert Wali Kembali bukan sekadar acara muzik biasa, sebaliknya menjadi satu pengalaman yang menyentuh emosi dan jiwa penonton.

Ia sekali gus membuktikan bahawa kekuatan Wali Band terletak bukan hanya pada melodi yang memikat, tetapi juga pada mesej bermakna yang disampaikan kepada pendengar merentasi generasi.

Konsert Awie ‘Last Man Standing 2026’ di Stadium Merdeka rai 40 tahun karier rock

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Legenda rock tanah air, Dato’ Awie, bersedia mencipta satu lagi sejarah dalam industri muzik tempatan menerusi penganjuran konsert berskala mega “Awie Rock King – Last Man Standing 2026” yang dijadualkan berlangsung pada 12 September ini di Stadium Merdeka.

Konsert anjuran Bombbay Legend Worldwide bersama Ultimate Media ini dijangka menjadi antara persembahan paling epik dalam sejarah muzik tanah air apabila menghimpunkan perjalanan seni Awie sepanjang lebih empat dekad dalam industri hiburan tempatan.

Persembahan yang akan bermula pada jam 8.30 malam itu bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya sebuah penceritaan menyeluruh yang menggabungkan elemen muzik, naratif dan produksi berskala besar di pentas ikonik negara.

Pengarah Eksekutif Bombbay Legend Worldwide, Zamberi Shaari atau lebih dikenali sebagai Bombay, berkata hubungan profesional antara beliau dan Awie telah terjalin hampir 40 tahun, sejak era awal pembabitan seni penyanyi itu bersama kumpulan Wings sehingga ke fasa solo dan pelbagai evolusi dalam kariernya.

Menurut beliau, tajuk “Last Man Standing” membawa simbolik kepada keteguhan Awie dalam mengharungi pelbagai cabaran dan perubahan industri muzik, namun tetap kekal relevan dan berdiri teguh dengan identiti seni tersendiri.

Gelaran “Rock King” pula mencerminkan sumbangan besar beliau dalam membentuk dan mengangkat genre rock di Malaysia, sama ada sebagai penyanyi berkumpulan mahupun solo.

Sementara itu, Awie menyifatkan konsert ini sebagai satu penghargaan besar terhadap perjalanan seninya yang telah menjangkau lebih 40 tahun.

Beliau mengakui konsert berkenaan bukan sekadar persembahan hiburan, tetapi refleksi kepada jatuh bangun serta evolusi yang dilalui sepanjang kariernya dalam industri muzik.

Menurutnya, sokongan padu peminat sejak era awal bersama Wings sehingga ke hari ini menjadi kekuatan utama untuk terus berkarya dan relevan dalam dunia seni.

Beliau turut berharap konsert ini mampu memberikan pengalaman bermakna kepada penonton, selain meraikan legasi muzik rock yang masih hidup dalam kalangan pelbagai generasi.

Konsert ini turut mengetengahkan konsep naratif yang mengangkat perjalanan seni Awie sebagai tunjang utama penceritaan.

Ia merakam pelbagai fasa penting dalam karier beliau, termasuk era awal bersama kumpulan, perjalanan solo serta perubahan landskap muzik tanah air yang dilalui sepanjang dekad.

Pendekatan ini dijangka memberikan pengalaman lebih mendalam kepada penonton untuk menghayati kisah di sebalik setiap karya yang dipersembahkan.

Selain itu, konsert ini akan menampilkan gabungan pemuzik berkaliber dan penyanyi undangan terkenal yang mewakili generasi lama dan baharu.

Setiap artis jemputan akan membawakan lagu-lagu ikonik Awie sebagai tanda penghormatan terhadap legasi seni beliau, sekali gus memperkukuh elemen tribute dalam persembahan itu.

Dari sudut muzik, susunan repertoir dirangka secara dinamik dengan menggabungkan elemen nostalgia dan pendekatan segar, membolehkan penonton menyusuri evolusi muzik Awie secara lebih menyeluruh.

Gabungan pemuzik daripada pelbagai latar belakang genre seperti rock, pop dan lain-lain turut memberikan warna tersendiri kepada setiap segmen persembahan.

Menurut Bombay, matlamat utama penganjuran konsert ini adalah untuk menghasilkan sebuah karya yang bukan sahaja menghiburkan, malah berimpak tinggi serta berpotensi menjadi penanda aras baharu dalam industri konsert tempatan.

“Aspek kualiti produksi, kreativiti dan pengalaman penonton menjadi keutamaan dalam memastikan konsert ini mencapai standard tertinggi,” katanya.

Konsert “Awie Rock King – Last Man Standing 2026” turut mendapat sokongan rakan media rasmi termasuk ERA FM, Sinar FM dan GEGAR, manakala Astro Gempak bertindak sebagai portal digital rasmi bagi memastikan liputan menyeluruh menjelang acara berprestij ini.

Dengan gabungan konsep penceritaan, kekuatan muzik dan produksi berskala besar, konsert ini dijangka menjadi antara acara paling dinanti-nantikan pada tahun 2026, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Awie sebagai ikon rock yang terus relevan merentasi zaman.

Pendidikan Bumiputera agenda utama negara, perlu anjakan minda baharu

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Pendidikan Bumiputera wajar terus diangkat sebagai agenda teras dalam pembangunan negara, namun pendekatan baharu yang menekankan anjakan minda serta tanggungjawab bersama masyarakat amat diperlukan bagi memastikan kelestarian kemajuan itu.

Pengerusi Teras Sosial Musyawarah Nasional, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pendidikan telah menjadi asas utama kepada pembangunan masyarakat Bumiputera sejak era pascamerdeka melalui pelbagai dasar dan pelaburan strategik kerajaan yang memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan.

Menurut beliau, hasil daripada komitmen berterusan itu dapat dilihat pada hari ini apabila ramai dalam kalangan Bumiputera berjaya mengisi jawatan penting di peringkat nasional dan antarabangsa, sekali gus membuktikan keberkesanan dasar pendidikan yang dilaksanakan sejak dahulu.

“Keadaan semasa yang berubah dengan pantas dari segi ekonomi, geopolitik dan pasaran kerja menuntut masyarakat menjadi lebih berdikari serta proaktif.

“Kita tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada kerajaan kerana pendidikan merupakan pelaburan paling ampuh dalam mengubah taraf sosioekonomi masyarakat,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia berkata, kejayaan masa depan Bumiputera tidak hanya bergantung kepada dasar kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan perubahan sikap dan pemikiran dalam kalangan masyarakat itu sendiri.

Dalam hal ini, beliau menekankan pendidikan perlu dilihat sebagai keutamaan tanpa mengira bidang kerjaya, sama ada dalam sektor awam, swasta mahupun keusahawanan.

Katanya, pendekatan ini selari dengan aspirasi yang disuarakan oleh Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan mereka pada Kongres Pendidikan Bumiputera 2026, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan kongres itu merumuskan kepentingan memperkukuh pendidikan sebagai tunjang utama pembangunan masyarakat, dengan memberi fokus kepada perubahan minda, peningkatan akses kepada peluang pendidikan serta pemerkasaan tanggungjawab bersama antara kerajaan dan rakyat.

Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan negara tidak boleh ketandusan pemimpin berkualiti pada masa hadapan, justeru pendidikan perlu terus menjadi asas dalam pembentukan kepimpinan yang berwibawa dan berdaya saing.

Tambahnya lagi, pendidikan juga tidak seharusnya dilihat sebagai penghalang kepada penglibatan dalam ekonomi atau kerjaya praktikal, sebaliknya kedua-duanya boleh bergerak seiring seperti yang diamalkan di negara maju, di mana individu dalam pelbagai sektor turut memiliki kelayakan akademik yang tinggi.

MR. ROBOT raih pembiayaan AS$5 juta, percepat inovasi AI dan robotik sektor runcit

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Syarikat robotik dan kecerdasan buatan (AI) tempatan, MR. ROBOT, mencipta langkah signifikan dalam landskap teknologi serantau apabila berjaya memperoleh pembiayaan strategik berjumlah AS$5 juta bagi mempercepat pembangunan teknologi AI terkandung untuk sektor runcit dan komersial.

Pembiayaan itu disokong oleh MR D.I.Y. International, AgiBot serta The Hub Financing Group, sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi besar teknologi robotik dalam mentransformasikan operasi perniagaan masa hadapan.

Diasaskan oleh Edwin Yap, syarikat ini memberi fokus kepada pembangunan robot yang mampu beroperasi bukan sahaja dalam persekitaran industri terkawal, malah dalam suasana dunia sebenar yang lebih dinamik seperti pasar raya, gudang dan operasi perkhidmatan.

Menurut Edwin Yap, selama beberapa dekad robot hanya digunakan untuk tugasan statik di kilang, namun fasa seterusnya dalam evolusi robotik kini tertumpu kepada keupayaan mesin untuk berfungsi bersama manusia dalam persekitaran sebenar seperti runcit, logistik dan perkhidmatan.

Berbeza daripada pendekatan tradisional yang menumpukan kepada pembangunan perkakasan semata-mata, MR. ROBOT membangunkan ekosistem menyeluruh yang menggabungkan persekitaran latihan robot, sistem pengumpulan data dan model AI.

Pendekatan ini membolehkan robot belajar secara berterusan daripada data operasi sebenar, sekali gus meningkatkan kecekapan dan prestasi mereka dari semasa ke semasa.

Teknologi AI terkandung yang dibangunkan ini direka khusus untuk menangani cabaran utama dalam sektor runcit dan logistik, termasuk kekurangan tenaga kerja, peningkatan kos operasi serta jangkaan pelanggan yang semakin tinggi terhadap kualiti perkhidmatan.

Dalam usaha merealisasikan visi itu, MR. ROBOT kini melaksanakan projek perintis robot perkhidmatan dalam persekitaran dunia sebenar.

Robot-robot ini diuji untuk membantu pelbagai tugasan seperti khidmat pelanggan, penyediaan makanan, pengisian semula rak, pemantauan kedai serta pergerakan barangan secara autonomi.

Syarikat itu juga bekerjasama rapat dengan rakan industri runcit bagi menguji keberkesanan penyelesaian robotik di premis sebenar.

Pendekatan ini bukan sahaja membolehkan robot belajar daripada situasi sebenar, malah membantu meningkatkan kecekapan operasi harian perniagaan.

Edwin Yap berkata, AI terkandung, iaitu kecerdasan buatan yang diintegrasikan dalam mesin fizikal yang mampu melihat, bergerak dan berinteraksi dengan persekitaran, akan memainkan peranan penting dalam masa depan operasi komersial.

“Dengan suntikan dana baharu ini, syarikat akan mempergiat pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan, membina infrastruktur latihan serta data khusus, selain memperluas pelaksanaan sistem perintis dalam sektor runcit dan logistik,” katanya.

Seiring dengan perkembangan itu, MR. ROBOT turut merancang untuk mempercepatkan pembangunan produknya serta memperluas program perintis ke seluruh Asia Tenggara, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam industri robotik dan AI di rantau ini.