33.2 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 23, 2026
Home Blog Page 9

Auntea Jenny raih pensijilan halal, sasar 100 cawangan di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama minuman popular Auntea Jenny mencipta satu lagi pencapaian penting apabila 12 cawangannya di Malaysia kini secara rasmi menerima pensijilan Halal, sekali gus memperkukuhkan sistem pematuhan serta keupayaan pengurusan kualiti jenama itu di pasaran tempatan.

Pengumuman itu dibuat menerusi majlis pelancaran pensijilan Halal yang disaksikan oleh Pengarah Eksekutif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ustaz Muhyiddin Aziz @ Saari selain kehadiran Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah.

Majlis berkenaan turut menjadi simbol kemajuan Auntea Jenny dalam pelaksanaan piawaian Halal, pengurusan rantaian bekalan serta sistem operasi cawangan yang lebih tersusun dan menyeluruh.

Menurut pihak pengurusan, pensijilan itu membabitkan cawangan di beberapa kawasan utama termasuk Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang, Pahang, Perak dan Melaka.

Dengan pelaksanaan pensijilan secara berterusan di seluruh negara, Auntea Jenny yakin langkah itu dapat membantu menyeragamkan piawaian operasi selain meningkatkan kestabilan perkhidmatan serta keyakinan pengguna terhadap jenama berkenaan.

Setakat ini, Auntea Jenny memiliki hampir 50 cawangan di Malaysia dan mensasarkan untuk melepasi 100 cawangan menjelang penghujung tahun 2026.

Seiring dengan perkembangan itu, syarikat turut memperkukuhkan keupayaan operasi termasuk aspek pemilihan lokasi strategik, latihan kakitangan serta penggunaan sistem digital bagi memastikan pertumbuhan jenama dapat dilaksanakan secara lebih mampan.

Dalam perkembangan sama, Auntea Jenny turut menerima pengiktirafan daripada ASEAN Records dan ASIA Records menerusi pencapaian “Mango Pomelo Sago Paling Laris daripada Rangkaian Minuman Teh Segar”.

Pengiktirafan itu diberikan selepas produk berkenaan merekodkan jualan sebanyak 85,951,586 cawan sepanjang tahun 2025 menerusi 11,494 cawangan di empat negara sehingga Disember tahun lalu.

Pencapaian itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Auntea Jenny sebagai antara jenama minuman teh segar yang berkembang pesat di rantau Asia.

Selain itu, Auntea Jenny turut melancarkan aplikasi mudah alih rasmi Malaysia bagi mempertingkatkan sistem keahlian dan pengalaman pelanggan.

Bersempena pelancaran aplikasi itu, syarikat akan mengadakan program pemberian 30,000 cawan minuman percuma di seluruh negara bermula 13 hingga 15 Mei 2026, sementara stok masih ada.

Pengurus Besar Auntea Jenny Malaysia, Ng Ching Wai berkata, jenama itu sentiasa berpegang kepada prinsip “Buah Sebenar, Teh Sebenar, Kualiti Sebenar” dalam memastikan standard produk yang konsisten di semua pasaran.

Menurut beliau, dengan lebih 10,000 cawangan di seluruh dunia, Auntea Jenny terus mengekalkan keseimbangan antara piawaian global dan inovasi tempatan bagi memenuhi kehendak pengguna di Malaysia.

“Pensijilan Halal ini bukan sahaja membuktikan sistem kualiti kami, malah menjadi simbol penghormatan kami terhadap pasaran tempatan dan keperluan pengguna di Malaysia,” katanya.

Asmaraloka Fest 2026 kembali dengan barisan artis tempatan popular

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Festival muzik tempatan, Asmaraloka Fest 2026 bakal kembali pada tahun depan dengan skala lebih besar dan lebih meriah selepas kejayaan penganjuran terdahulu yang mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat muzik tanah air.

Penganjuran festival itu dilihat sebagai usaha berterusan untuk mengangkat karya serta bakat artis tempatan melalui pengalaman hiburan berkualiti tinggi yang lebih dekat dengan jiwa generasi muda, selain mengekalkan konsep festival yang mampu milik dan inklusif.

Bagi edisi 2026, Asmaraloka Fest dijadual berlangsung pada 4 Julai 2026 di Ipoh Convention Centre dan dijangka menghimpunkan kira-kira 4,500 pengunjung dalam suasana penuh energi, nostalgia serta pengalaman muzik yang lebih interaktif.

Festival anjuran Fuse Muzika itu bakal menampilkan sembilan artis dan kumpulan muzik tempatan terkenal termasuk 6ixth Sense, Iamneeta, Imran Ajmain, Aizat Amdan, Sakura Band, Empty Page, After Midnight serta Jemput Dengar, selain beberapa lagi kejutan yang akan diumumkan nanti.

Berbeza dengan konsep konsert konvensional, Asmaraloka Fest 2026 menawarkan pengalaman festival yang lebih santai dan menyeluruh menerusi gabungan persembahan muzik secara langsung, zon makanan, ruang komuniti serta pengalaman visual kreatif yang dirangka khas bagi melengkapkan pengalaman pengunjung sepanjang acara berlangsung.

Menurut wakil penganjur, pihaknya memilih untuk terus meraikan bakat tempatan walaupun pasaran hiburan kini dibanjiri persembahan artis antarabangsa.

“Dalam keadaan pasaran yang semakin dipenuhi persembahan artis antarabangsa, kami di Fuse memilih untuk meraikan bakat tempatan dengan menjadikan Asmaraloka sebagai platform membuktikan bahawa artis Malaysia mampu memberikan persembahan bertaraf antarabangsa.

“Kami juga mahu memastikan pengalaman festival ini tidak menjadi eksklusif kepada segelintir pihak sahaja, sebaliknya terus kekal berbaloi dan mampu milik untuk semua golongan khususnya belia,” katanya.

Tambah beliau, Asmaraloka bukan sekadar sebuah festival hiburan, tetapi juga satu usaha memperkukuhkan industri muzik tempatan serta membuka lebih banyak ruang kepada artis Malaysia untuk terus berkembang.

Pemilihan Ipoh sebagai lokasi penganjuran turut dilihat sebagai langkah strategik dalam mengangkat potensi bandar raya itu sebagai hab kreatif dan destinasi acara muzik berskala besar.

Menurut penganjur, Ipoh dipilih bukan sekadar sebagai alternatif, tetapi kerana bandar tersebut mempunyai identiti budaya tersendiri selain semakin dikenali sebagai destinasi “healing” pilihan generasi muda.

Malah, pengiktirafan Ipoh sebagai UNESCO Creative City of Music turut menjadikan bandar raya itu lokasi ideal untuk festival muzik yang menggabungkan elemen seni, komuniti dan pelancongan.

Penganjuran Asmaraloka Fest 2026 juga selari dengan usaha Tourism Perak dan Majlis Bandaraya Ipoh menerusi kempen ‘Promising Perak’ sempena Tahun Melawat Malaysia dalam memperkukuhkan industri kreatif dan sektor pelancongan negeri.

Bagi peminat yang ingin menghadiri festival berkenaan, tiket akan mula dijual secara dalam talian menerusi platform rasmi Ticket2U bermula 7 April 2026 dengan tawaran promosi ‘Early Bird’ sebanyak RM30 bagi setiap tiket untuk tempoh terhad.

Dua kategori tiket ditawarkan iaitu kategori MATI RASA berharga RM178 dan kategori PATAH HATI pada harga RM148.

Festival itu turut mendapat sokongan ERA FM dan SINAR FM sebagai rakan radio rasmi, manakala Astro Gempak bertindak sebagai rakan digital rasmi.

Orang ramai juga boleh mendapatkan perkembangan terkini mengenai festival tersebut menerusi platform media sosial rasmi Fuse Muzika Instagram.

Holista Colltech, Swang Chai Chuan teroka teknologi kolagen nano biri-biri Australia

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Dua syarikat Malaysia yang tersenarai di pasaran antarabangsa menjalinkan kerjasama strategik bagi meneroka pasaran kesihatan global menerusi pembangunan teknologi kolagen nano biri-biri dari Australia yang dijangka memberi impak besar kepada industri anti-penuaan, kesejahteraan dan perubatan moden dunia.

Kerjasama berprofil tinggi itu membabitkan Holista Colltech Limited yang disenaraikan di Bursa Sekuriti Australia (ASX) dan Swang Chai Chuan Limited yang tersenarai di Bursa Saham Hong Kong (HKEX) melalui penubuhan syarikat usaha sama dikenali sebagai Ovicoll Pty Ltd.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Holista Colltech, Leong Man Loong berkata, kerjasama strategik itu membuka peluang besar dalam sektor kesihatan global selain memperkukuhkan kedudukan teknologi berasaskan sains yang dibangunkan syarikat berkenaan.

Menurut beliau, Holista yang berpangkalan di Perth, Australia dan mempunyai operasi signifikan di Malaysia kini menjadi satu-satunya syarikat di dunia yang memiliki keupayaan mengekstrak kolagen daripada kulit biri-biri menerusi proses khusus yang sedang dalam permohonan paten.

Katanya, kolagen nano biri-biri itu mempunyai kelebihan tersendiri kerana diperoleh daripada biri-biri Australia yang bebas penyakit, sekali gus menawarkan tahap keselamatan dan ketulenan yang tinggi untuk pasaran antarabangsa.

“Kolagen nano biri-biri ini juga lebih mudah diterima secara universal kerana sifatnya yang neutral daripada sudut budaya dan agama berbanding sumber kolagen konvensional lain,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Holista Colltech dan Swang Chai Chuan.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Swang Chai Chuan Limited, Soon See Beng yang mewakili syarikat terbabit dalam kerjasama strategik berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Leong berkata, pembangunan kemudahan pengeluaran di Collie, Australia Barat bakal menjadi hab utama pengeluaran kolagen nano biri-biri bagi memenuhi peningkatan permintaan global terhadap produk kesihatan dan kesejahteraan premium.

Menurutnya, fasiliti berkenaan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini dan bakal memainkan peranan penting dalam memperluaskan pasaran antarabangsa melalui teknologi nano serta sistem penghantaran bahan aktif yang lebih efektif.

Beliau berkata, Holista turut memeterai perjanjian global bersama Regenerex Pharma dalam bidang penjagaan luka, sekali gus memperkukuhkan potensi teknologi kolagen syarikat itu dalam sektor perubatan moden.

Tambahnya, kerjasama strategik antara Holista Colltech dan Swang Chai Chuan turut menggabungkan kepakaran inovasi saintifik Holista dengan kekuatan rangkaian pengedaran serta modal dimiliki Swang Chai Chuan bagi mempercepat penembusan pasaran global.

“Ini bukan sekadar kerjasama perniagaan, tetapi satu langkah memperkenalkan inovasi yang lahir dari Malaysia ke pentas antarabangsa,” katanya.

Pahang Mammoth ‘All-Out’ kembali buru slot STL Premier

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Pasukan Pahang Mammoth tampil dengan misi besar musim ini apabila melakukan rombakan menyeluruh serta membawa masuk beberapa pemain berprofil tinggi dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan pasukan itu ke saingan elit STL Premier.

Kesungguhan Persatuan Sepaktakraw Negeri Pahang jelas terpancar apabila barisan pemain berpengalaman termasuk bekas pemain kebangsaan serta import dari Thailand diumumkan secara rasmi dalam satu sidang media, baru-baru ini.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Pahang, Dato’ Abu Jimi Samat berkata, pelaburan besar yang dilakukan musim ini membuktikan kesungguhan pihak pengurusan untuk memastikan Pahang Mammoth kembali bersaing di pentas tertinggi liga sepak takraw negara selepas sekian lama beraksi dalam Divisyen 1.

Menurut beliau, pihak persatuan memberikan kepercayaan penuh kepada Timbalan Presiden PSTNP, Azrik Rizal Yusof Mohd Sarit bagi membentuk skuad mantap yang mampu membawa perubahan besar kepada pasukan.

“Demi mengembalikan pasukan ke divisyen Premier, saya dan PSTNP memberikan kuasa penuh kepada Timbalan Presiden PSTNP, Azrik Rizal Yusof Mohd Sarit untuk membentuk pasukan yang benar-benar kompetitif,” katanya.

Tambah beliau, Pahang Mammoth tidak lagi mahu sekadar menjadi pencabar biasa dalam saingan liga, sebaliknya mahu kembali berada dalam kelompok elit sepak takraw tempatan dan memberi cabaran serius kepada pasukan-pasukan utama negara.

Bagi menghadapi musim baharu, Pahang Mammoth mengumumkan kehadiran beberapa pemain ternama termasuk bekas pemain antarabangsa negara iaitu Hairul Hazizi Haidir, Khairol Zaman Hamir Akbar, Norfaizzul Abd Razak serta Ariff Daniel Mohammad Aripin bagi memperkuatkan cabaran musim ini.

Lebih menarik, PSTNP turut mencuri perhatian peminat sepak takraw tanah air apabila membawa masuk pemain import Thailand, Pongsatorn Phong-Udtha yang dijangka menjadi tonggak utama pasukan dalam misi memburu slot ke STL Premier.

Pahang Mammoth yang pernah tersingkir daripada saingan STL Premier pada tahun 2018 kini berazam menamatkan penantian panjang untuk kembali bersaing di pentas tertinggi liga sepak takraw tempatan.

Sementara itu, Azrik Rizal berkata, kombinasi pemain tempatan berpengalaman dan import berkualiti diyakini mampu mengangkat semula maruah Pahang Mammoth sebagai antara pasukan digeruni dalam arena sepak takraw negara.

Menurutnya, kehadiran Pongsatorn memberi nilai tambah besar kepada skuad kerana pemain tersebut merupakan antara tekong terbaik Thailand dan pernah berada dalam senarai akhir skuad negara itu bagi menghadapi kempen Piala Dunia ISTAF tahun ini.

“Pongsatorn berada dalam senarai akhir skuad Thailand ke Piala Dunia ISTAF, namun tidak terpilih ke skuad akhir kebangsaan negaranya.

“Sebelum bersetuju menyertai Pahang Mammoth, beliau terlebih dahulu bertanya mengenai barisan pemain yang akan mewakili pasukan ini dan selepas meneliti kekuatan skuad, beliau yakin mampu membentuk gandingan terbaik bersama pasukan,” katanya.

Beliau berkata, Khairol Zaman dan Ariff Daniel yang sebelum ini bersama pasukan Selangor adalah juara terbaharu Piala Emas Khir Johari, sekali gus membawa pengalaman besar kepada skuad Pahang Mammoth.

Selain itu, Pahang Mammoth turut mempertaruhkan dua bekas pemain kebangsaan, Hairul Hazizi dan Norfaizzul yang pernah menghadiahkan pingat gangsa kepada negara dalam acara chinlone di temasya Sukan SEA lalu.

Dalam perkembangan sama, difahamkan Azrik Rizal yang juga Presiden Kelab Takraw JJ Tornado menaja sepenuhnya skuad Pahang Mammoth serta pasukan SUKMA Pahang dengan nilai keseluruhan dianggarkan melebihi RM100,000.

Dengan barisan pemain berpengalaman, sokongan pengurusan serta pelaburan besar yang dilakukan musim ini, Pahang Mammoth kini dilihat bersedia untuk kembali mencipta nama dan menggegarkan saingan STL Premier musim hadapan.

Ella kembali ke Pulau Pinang untuk Konsert Edisi 60 Permata Biru

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Ratu Rock negara, Ella bakal kembali menggegarkan Utara tanah air menerusi penganjuran konsert berskala besar, Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru yang dijadual berlangsung pada 25 Julai 2026 di Stadium Negeri Pulau Pinang.

Pengumuman rasmi mengenai konsert berprestij itu dibuat menerusi sebuah sidang media khas sekali gus menandakan kesinambungan kejayaan luar biasa siri konsert terdahulu di Stadium Nasional Bukit Jalil yang berjaya menghimpunkan lebih 55,000 penonton.

Penganjuran konsert kali ini membawa makna yang cukup istimewa buat Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin apabila ia menjadi simbol kepulangan beliau ke negeri kelahirannya, Pulau Pinang, bersempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-60 pada Julai depan.

Konsert berkonsepkan “homecoming” itu dijangka menjadi momen penuh emosi yang menghubungkan perjalanan seni Ella selama hampir empat dekad bersama para peminat setia, khususnya di wilayah Utara yang sentiasa mengikuti perkembangan karier beliau sejak awal pembabitan dalam industri muzik tanah air.

Lebih menarik, konsert berkenaan turut mencipta sejarah tersendiri apabila Ella bakal menjadi artis pertama yang menganjurkan konsert solo di stadium itu yang turut dikenali sebagai Stadium Batu Kawan.

Selain menampilkan persembahan muzik berskala besar, Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru turut membawa mesej kemanusiaan menerusi kempen Peace. Love. Rindu. yang menggabungkan elemen hiburan dan tanggungjawab sosial.

Menerusi pendekatan itu, setiap pemegang tiket akan diberi peluang memilih badan kebajikan pilihan mereka iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pulau Pinang bagi kategori Peace, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) untuk tema Love serta Yayasan Kebajikan Artis Tanahair bagi Rindu.

Sebanyak RM2 daripada setiap tiket yang dijual akan disalurkan kepada badan kebajikan yang dipilih, sekali gus menjadikan konsert terbabit lebih bermakna bukan sahaja kepada peminat tetapi juga masyarakat.

Bagi memastikan lebih ramai peminat berpeluang menjadi sebahagian daripada “Ahli Majlis Tertinggi”, pihak penganjur turut menawarkan harga tiket serendah RM39 sebagai langkah menjadikan konsert ini lebih inklusif dan mampu dinikmati pelbagai lapisan masyarakat.

Pemegang tiket Aras 3 bagi konsert terdahulu di Kuala Lumpur juga akan menikmati akses awal pembelian tiket bermula 8 Mei 2026 selain diskaun istimewa untuk kategori tertentu.

Jualan tiket umum pula dibuka secara rasmi bermula 11 Mei 2026 menerusi laman web rasmi Hitman Live.

Ketua Pengarah Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal berkata, penganjuran konsert itu adalah usaha strategik bersama Rockqueen dalam memperluaskan pengalaman muzik kepada peminat di luar Lembah Klang.

Menurut beliau, Majlis Tertinggi Rockqueen bukan sekadar sebuah konsert hiburan, sebaliknya sebuah gerakan yang menyatukan peminat menerusi muzik, emosi dan mesej yang dibawa.

“Membawanya ke Pulau Pinang membolehkan kami mendekatkan pengalaman ini kepada peminat di wilayah Utara dan dalam masa sama membuka ruang kepada lebih ramai untuk menjadi sebahagian daripada Ahli Majlis Tertinggi,” katanya.

Sementara itu, Ella turut menyifatkan konsert terbabit sebagai refleksi kepada perjalanan seni panjangnya dalam industri muzik selain platform untuk terus menyampaikan mesej Peace. Love. Rindu. kepada masyarakat.

Menurut beliau, sambutan ulang tahun ke-60 dan hampir empat dekad penglibatannya dalam dunia seni memberikan makna yang cukup mendalam terhadap penganjuran konsert berkenaan.

Ella turut mengakui kepulangannya ke Pulau Pinang menjadi satu momen yang sangat dekat di hati kerana ia bukan sahaja membawa beliau kembali ke tempat asal, malah mendekatkan dirinya dengan peminat setia yang sentiasa menyokong perjalanan karier seninya sejak dahulu.

Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru turut mendapat sokongan beberapa rakan media dan penyiaran utama termasuk ERA FM, Sinar FM, MIX FM dan Lite FM sebagai rakan radio rasmi, manakala Astro Gempak bertindak sebagai rakan media digital rasmi.

Mercure Living Putrajaya, Hotel Apartment strategik & selesa di Putrajaya

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Mencari hotel apartment di Putrajaya yang selesa, luas dan strategik bukanlah sesuatu yang sukar, terutamanya apabila memilih untuk menginap di Mercure Living Putrajaya.

Terletak di Menara Shaftsbury Presint 1 dan hanya berjalan kaki ke Alamanda Shopping Centre, hotel ini menawarkan pengalaman penginapan yang cukup menarik khususnya bagi mereka yang mencari hotel apartment murah di Putrajaya untuk staycation, urusan kerja mahupun percutian bersama keluarga.

Lokasinya juga boleh dianggap antara yang paling strategik kerana berada berhampiran pelbagai kemudahan termasuk restoran terkenal, kedai serbaneka 24 jam serta akses mudah ke pusat bandar Putrajaya.

Sebaik tiba, pengalaman daftar masuk di Mercure Living Putrajaya berjalan lancar dan pantas.

Ruang lobi hotel tampil moden dan unik dengan konsep dua ruang berbeza yang menggabungkan kawasan santai, kafe, bar serta ruang kerja dalam satu suasana eksklusif tetapi santai.

Untuk penginapan kali ini, pilihan dibuat untuk menginap di unit Superior Apartment with 1 Queen Size Bed and 2 Single Bed bersama rakan media.

Apa yang paling menarik perhatian pastinya keluasan apartment yang mencecah sekitar 949 kaki persegi, cukup luas dan selesa untuk penginapan berkumpulan atau keluarga kecil.

Ruang tamunya dilengkapi sofa besar bersama televisyen bersaiz 55 inci manakala ruang makan pula menyediakan meja makan empat kerusi yang sesuai untuk santai bersama keluarga atau rakan-rakan.

Malah, suasana apartment yang luas membolehkan sesi makan santai bersama tetamu jemputan dan rakan media diadakan dengan cukup selesa walaupun membabitkan hampir 15 orang dalam satu masa.

Bahagian dapur pula menjadi antara nilai tambah utama hotel apartment ini. Ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti peti sejuk, dapur elektrik, microwave, mesin basuh, rice cooker, pemanas air serta peralatan memasak lengkap.

Bagi mereka yang bercuti lebih lama atau membawa keluarga, kemudahan seperti ini sememangnya sangat membantu.

Bilik tidur utama hadir dengan katil queen bersama meja solek, manakala bilik kedua pula menyediakan dua katil single lengkap dengan televisyen kedua, meja solek serta bilik air sendiri.

Bilik air di sini juga bersaiz selesa dengan tekanan air yang kuat walaupun tidak menyediakan tab mandi.

Namun secara keseluruhannya, kemudahan yang disediakan sudah cukup memuaskan untuk pengalaman penginapan yang santai dan selesa.

Selain bilik yang luas, antara tarikan utama Mercure Living Putrajaya ialah fasiliti hotelnya terutama kolam renang yang bersaiz besar dengan kedalaman sekitar 1.2 meter.

Hotel ini turut menyediakan kolam kanak-kanak, gimnasium 24 jam, sauna dan steam room untuk kemudahan tetamu.

Apa yang menjadikan hotel ini lebih menarik ialah lokasinya yang berkongsi bangunan bersama pelbagai restoran terkenal seperti McDonald’s, BBQ steamboat dan Sukiya.

Oleh itu, tetamu tidak perlu bersusah payah mencari makanan kerana semuanya tersedia hanya beberapa langkah dari hotel.

Bagi mereka yang gemar membeli-belah pula, kedudukan hotel yang berada bersebelahan Alamanda Shopping Centre pastinya memberikan kelebihan tersendiri.

Selain itu, hotel ini juga terletak kira-kira 6.4 kilometer dari Putrajaya Sentral sekali gus memudahkan urusan perjalanan pengunjung.

Satu lagi pengalaman unik yang jarang ditemui di hotel lain ialah buffet breakfast yang menyediakan mini steamboat pada waktu pagi.

Tetamu boleh menikmati hidangan panas mengikut citarasa sendiri, menjadikan pengalaman sarapan lebih menarik dan berbeza daripada kebiasaan.

Restoran di hotel ini juga menawarkan Volcano Shabu Shabu & Grill by Mercure Living Putrajaya yang sesuai untuk pengunjung menikmati hidangan steamboat dan shabu-shabu bersama keluarga atau rakan-rakan dalam suasana santai.

Mercure Living Putrajaya boleh dianggap antara pilihan hotel apartment terbaik di Putrajaya untuk mereka yang mencari penginapan lengkap, luas dan selesa dengan lokasi strategik.

Sama ada untuk staycation, urusan kerja atau percutian keluarga, hotel ini menawarkan pengalaman penginapan yang berbaloi dengan pelbagai kemudahan moden dalam satu lokasi.

Maklumat Hotel

Mercure Living Putrajaya

Alamat:
Block A, Shaftsbury Tower, Jalan Alamanda, Presint 1,
62000 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Malaysia.

Telefon: +603-8861 9299

Emel: info@mercureliving-putrajaya.com / HB8Z0@accor.com

ASIA 2026 kembali himpun Influencer dunia, promosi pelancongan Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA All Star Influencers Award (ASIA) kembali mencipta fenomena apabila edisi 2026 bakal menghimpunkan lebih 100 pempengaruh dari lebih 20 negara dalam satu gerakan promosi pelancongan digital berskala besar yang dijangka memberi impak signifikan kepada industri pelancongan dan ekonomi kreatif Malaysia.

Penganjuran All Star Influencers Award (ASIA) 2026 dilihat sebagai antara kempen promosi digital terbesar di Asia apabila melibatkan gabungan lebih 500 juta pengikut menerusi pelbagai platform media sosial termasuk Instagram dan TikTok sepanjang tempoh pelaksanaan program selama tujuh bulan.

Ketua Pegawai Eksekutif ASIA, Dato’ Abd Rahman Soltan berkata, penganjuran kali ini membawa misi lebih besar dalam memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pelancongan serta industri kreatif digital utama di rantau Asia.

Menurut beliau, ASIA2026 kini bukan lagi sekadar sebuah acara anugerah tahunan, sebaliknya berkembang menjadi platform antarabangsa yang menghubungkan industri pelancongan, kandungan digital, budaya dan komuniti kreatif global dalam satu ekosistem strategik yang lebih menyeluruh.

“ASIA2026 hadir dengan visi yang jauh lebih besar dan lebih menyeluruh. Kami mahu menjadikan platform ini sebagai jambatan yang menghubungkan dunia digital dengan sektor pelancongan secara lebih efektif dan berimpak tinggi.

“Pengaruh media sosial hari ini memainkan peranan sangat besar dalam menentukan trend pelancongan global.

“Apa yang dipaparkan oleh pencipta kandungan mampu memberi inspirasi kepada jutaan orang untuk mengenali sesebuah negara, budaya dan destinasi baharu.

“Atas sebab itu, kami menghimpunkan lebih 100 pempengaruh dari pelbagai negara bagi memastikan Malaysia menerima liputan organik yang meluas sepanjang program berlangsung,” katanya.

Program berprestij itu dianjurkan dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta Tourism Malaysia selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) menerusi pendekatan promosi digital moden yang lebih dekat dengan generasi global masa kini.

Menurut Dato’ Abd Rahman Soltan, kerjasama strategik bersama MOTAC dan Tourism Malaysia adalah langkah penting dalam memastikan kempen promosi terbabit mampu memberi impak jangka panjang kepada sektor pelancongan negara.

“Kami percaya kerjasama strategik ini mampu membantu memperkukuhkan momentum Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) serta meningkatkan keyakinan pelancong antarabangsa untuk memilih Malaysia sebagai destinasi utama mereka.

“Malaysia memiliki keunikan yang sangat lengkap daripada kepelbagaian budaya, makanan, alam semula jadi, pulau, bandar moden sehingga pengalaman komuniti yang autentik. Semua elemen ini akan diketengahkan secara kreatif sepanjang jelajah ASIA2026,” katanya lagi.

Sepanjang tempoh tujuh bulan pelaksanaan program, delegasi pempengaruh tempatan dan antarabangsa akan menjelajah ke beberapa negeri terpilih antaranya Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kuala Lumpur, Terengganu, Pahang, Sabah, Pulau Pinang, Kedah dan Melaka.

Setiap destinasi bakal mengetengahkan pengalaman unik melibatkan sektor pelancongan, budaya, warisan, makanan tradisional, gaya hidup tempatan, seni kreatif, aktiviti komuniti serta lokasi ikonik yang akan dipromosikan secara langsung kepada jutaan pengikut di seluruh dunia.

Pendekatan itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada destinasi pelancongan popular, malah membuka peluang kepada lokasi baharu dan produk pelancongan domestik berpotensi tinggi untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa melalui kandungan digital kreatif.

Selain itu, ASIA2026 turut akan menampilkan pelbagai aktiviti menarik sepanjang jelajah berlangsung termasuk sesi komuniti, program kebudayaan, lawatan media, kolaborasi kandungan digital, persembahan khas dan aktiviti bersama peminat.

Malam kemuncak All Star Influencers Award (ASIA) 2026 dijadual berlangsung pada November 2026 menerusi sebuah acara eksklusif bertaraf antarabangsa yang bakal menghimpunkan pempengaruh, selebriti digital, pemain industri kreatif serta agensi pelancongan dari pelbagai negara.

Acara berkenaan dijangka menjadi simbol penghargaan kepada individu dan pencipta kandungan yang berjaya memberi impak besar dalam dunia digital selain memainkan peranan penting dalam mempromosikan pelancongan dan budaya menerusi platform media sosial masing-masing.

Sementara itu, ASIA turut mencatat perkembangan luar biasa sejak beberapa tahun lalu apabila ASIA2025 merekodkan lebih 1.6 bilion capaian digital menerusi tanda pagar rasmi #AllStarInfluencersAward2025 di pelbagai platform media sosial.

Sebelum itu, ASIA2024 berjaya mencatat sebanyak 518 juta capaian digital manakala ASIA2023 merekodkan 205 juta tontonan digital, sekali gus menjadi asas kepada perkembangan pesat acara berkenaan sehingga berjaya menembusi peringkat antarabangsa.

Pertumbuhan konsisten itu membuktikan kekuatan pengaruh digital berasaskan kandungan kreatif yang kini semakin mendapat perhatian jenama global serta industri pelancongan antarabangsa.

Dengan gabungan hampir satu bilion pengikut daripada semua pempengaruh yang terlibat bagi edisi 2026, All Star Influencers Award (ASIA) dijangka mencipta satu lagi pencapaian baharu dan berpotensi muncul sebagai antara platform promosi pelancongan digital terbesar pernah dianjurkan di Asia Tenggara.

KIESTA UPSI 2026 meriah, persembahan kreatif lapan kontinjen curi tumpuan

editormaxinfo@gmail.com

TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus menyemarakkan semangat kesukanan dan kebersamaan warga kampus menerusi penganjuran Karnival Sukan Staf (KIESTA) 2026 yang berlangsung penuh meriah di Padang Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Tanjong Malim.

Majlis perasmian karnival berkenaan mencuri perhatian apabila lapan kontinjen tampil dengan persembahan kreatif dan penuh warna yang berjaya menghidupkan suasana sepanjang acara berlangsung.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, persembahan yang dipersembahkan setiap kontinjen jelas menggambarkan semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan warga universiti tanpa mengira pangkat mahupun latar belakang.

Menurut beliau, elemen budaya dan hiburan yang diketengahkan seperti Zombie Kampung Pisang, kisah Mat Kilau dan tarian Kuda Kepang membuktikan kreativiti serta semangat kerjasama yang tinggi dalam kalangan peserta.

“Daripada Zombie Kampung Pisang, cerita Mat Kilau, Kuda Kepang, semua ada.

“Nampak biasa-biasa, tetapi ini menunjukkan bahawa semangat kita bersatu, bersama-sama tanpa mengira pangkat dan darjat,” katanya ketika berucap merasmikan majlis terbabit.

Beliau turut memuji komitmen setiap kontinjen yang sanggup menjalani latihan selama berminggu-minggu demi memastikan persembahan terbaik dapat dipersembahkan pada malam perasmian.

“Latihannya saya perhatikan berminggu-minggu dilaksanakan. Walaupun masih ada kekurangan, tetapi inilah KIESTA, kita meraikan perbezaan dan menghargai kehebatan serta kekurangan kita,” katanya.

Kemeriahan majlis jelas terserlah apabila setiap kontinjen tampil dengan konsep tersendiri yang kreatif dan unik sehingga mencetuskan sorakan serta keterujaan dalam kalangan penonton yang memenuhi padang utama kampus.

Dalam pertandingan persembahan kontinjen, kontinjen Rahman Talib muncul juara dengan kutipan 93 markah.

Tempat kedua pula dimenangi kontinjen Kapten Yazid dengan 91 markah, manakala kontinjen Ahmad Bakhtiar menduduki tempat ketiga selepas memperoleh 88 markah.

Mengulas lanjut, Md Amin berkata penganjuran KIESTA bukan sekadar platform sukan semata-mata, sebaliknya menjadi medium penting dalam membina jati diri, semangat kekeluargaan dan budaya kecemerlangan dalam kalangan warga universiti.

Menurut beliau, aktiviti sukan mampu membentuk nilai keinsanan dan memperkukuh hubungan silaturahim sesama warga kampus.

“Bersukan bukan hanya untuk mencapai kemenangan, tetapi yang paling penting adalah untuk membentuk jati diri, jiwa keinsanan, jiwa kekeluargaan dan jiwa kecemerlangan,” katanya.

Dalam pada itu, KIESTA 2026 akan dilaksanakan dalam dua fasa, iaitu fasa pertama bermula 4 hingga 9 Mei serta 19 dan 20 Mei yang membabitkan 10 jenis sukan.

Fasa kedua pula dijadual berlangsung pada 11 hingga 14 Oktober bersempena Hari Sukan Negara, turut mempertandingkan 10 jenis sukan.

Sebanyak 20 acara sukan dipertandingkan sepanjang karnival itu melibatkan pelbagai kategori yang sesuai untuk semua peringkat umur termasuk sukan tradisional dan santai seperti dam haji serta karom yang menjadi pilihan peserta veteran.

Md Amin berkata, persiapan awal dan perancangan rapi yang dilakukan sejak 2024 diyakini mampu membantu meningkatkan pencapaian UPSI dalam temasya Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) 2026.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa UPSI mampu mencapai sasaran berada dalam kelompok lima universiti terbaik berdasarkan kekuatan atlet yang dimiliki universiti itu dalam beberapa acara utama.

“UPSI menyasarkan untuk berada dalam kelompok lima terbaik berikutan memiliki ramai atlet berprestasi tinggi dalam pelbagai acara seperti strongman, berbasikal dan golf, sekali gus meningkatkan keyakinan universiti untuk mencapai sasaran terbabit,” katanya.

“saya rasa jadi mayat” – Marc Syahmie kongsi pengalaman dalam peti mayat sebenar

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pelakon muda Marc Syahmie mengakui melalui pengalaman paling mendebarkan sepanjang bergelar anak seni apabila perlu menjalani penggambaran di dalam peti mayat sebenar untuk drama bersiri Bila Cinta Menjadi Dosa.

Menurut Marc, babak berkenaan memberi cabaran besar buat dirinya, lebih-lebih lagi apabila dimaklumkan bahawa peti mayat yang digunakan produksi bukan sekadar prop penggambaran, sebaliknya peti mayat sebenar milik hospital yang masih digunakan.

Pelakon berusia 26 tahun itu berkata, perasaan berdebar mula dirasainya sebaik mengetahui lokasi dan situasi sebenar penggambaran babak terbabit.

“Bila mula-mula dapat tahu ada babak dalam peti mayat, saya memang berdebar.

“Tambah pula saya diberitahu sehari sebelum penggambaran, peti mayat itu memang digunakan untuk mayat sebenar.

“Saya bukan takut sebab ia peti mayat, tetapi sejak kecil saya memang takut tempat sempit dan gelap.

“Keadaan seperti itu boleh menyebabkan saya sesak nafas secara tiba-tiba,” katanya.

Dalam drama itu, Marc memegang watak Amar dan perlu melakonkan babak berada di dalam peti mayat dalam keadaan yang sangat realistik sehingga memberi kesan emosi mendalam terhadap dirinya.

Menurutnya lagi, cabaran menjadi lebih sukar apabila dia dimasukkan ke dalam beg plastik mayat berwarna putih sebelum diletakkan di dalam peti mayat berkenaan dan pintunya ditutup rapat.

“Keadaan memang sangat mengerunkan untuk saya. Saya dimasukkan dalam beg plastik mayat warna putih, kemudian kena zip sebelum diletakkan dalam peti mayat dan pintu ditutup.

“Bayangkan beberapa minit saya berada seorang diri dalam keadaan sejuk, sempit dan gelap. Masa itu saya betul-betul rasa seperti mayat,” katanya.

Walaupun berdepan ketakutan dan tekanan emosi, Marc berkata dia tetap berusaha mengawal perasaan demi memberikan komitmen terbaik terhadap wataknya sebagai seorang pelakon profesional.

Katanya, pengalaman itu membuatkan dirinya lebih memahami bahawa sesetengah babak lakonan bukan sahaja memerlukan penghayatan, malah kekuatan mental dan keberanian yang tinggi.

“Saya kena kawal pernafasan dan tenangkan diri. Saya ingatkan babak itu mudah, tetapi sebenarnya ia perlukan keberanian dan kekuatan mental juga.

“Alhamdulillah saya berjaya lakukan. Ini pengalaman baharu untuk saya sebagai pelakon dan bukan semua orang berpeluang melalui pengalaman seperti ini,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Marc turut mengakui babak berkenaan memberi kesan mendalam terhadap dirinya sehingga membuatkan dia lebih menghargai kehidupan dan menginsafi kematian.

“Sejujurnya banyak saya belajar dan insaf. Masa berlakon jadi mayat itu, terdetik juga dalam hati, kalau suatu hari nanti saya sudah tiada, mungkin beginilah keadaannya.

“Dalam peti itu saya banyak berselawat dan berzikir. Situasi memang sangat real.

“Bila saya dikeluarkan dan dengar pelakon lain menangis, walaupun mata saya terpejam, saya boleh rasa suasana itu seperti benar-benar berlaku walaupun sekadar lakonan,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan berdepan gangguan atau ‘badi’ selepas menjalani penggambaran babak itu, Marc bagaimanapun menjelaskan semuanya berjalan lancar tanpa sebarang kejadian pelik.

“Setakat ini tiada apa-apa berlaku. Cuma pihak produksi ada nasihatkan saya mandi dan bersihkan diri untuk elak perkara tidak baik ikut, tetapi semuanya okay,” katanya.

Menurut Marc lagi, apa yang lebih mencabar adalah dia terpaksa keluar masuk peti mayat itu berkali-kali bagi memastikan sudut kamera dan hasil penggambaran mencapai kualiti terbaik.

“Bukan sekali ya, banyak kali juga saya keluar masuk dalam itu. Tapi saya bersyukur sebab akhirnya dapat atasi ketakutan yang saya ada sejak kecil,” katanya.

Menerusi drama bersiri Bila Cinta Menjadi Dosa, Marc bergandingan bersama Che Puan Sarimah Ibrahim yang memegang watak sebagai ibunya.

Drama 30 episod yang disiarkan menerusi slot Lestary di TV3 itu bakal melabuhkan tirainya malam ini.

Selain Marc dan Sarimah, drama berkenaan turut dibarisi pelakon popular seperti Zamarul Hisham, Jasmin Hamid, Siti Elizad, Alya Iman, Zairi Aziz, Nelissa Nizam dan Maria Farida.