32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 6, 2026

Bahasa Melayu kini ibarat malam berselimut embun

‘siang bertudung awan: Sejauhmana kemampuan bahasa Melayu dapat berkembang di Nusantara sebagai bahasa ilmu dan bahasa penyatuan pelbagai rumpun bangsa’


Oleh Muhammad Nur Ikhwan Abdul Kassim
editormaxinfo@gmail.com

Tidak dinafikan bahawa bahasa Melayu mempunyai kedudukan yang istimewa di rantau Asia Tenggara. Empat buah negara mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, iaitu Malaysia (perkara 152, Perlembagaan Persekutuan), Indonesia (Pasal 36,Undang-Undang Dasar 1945), Singapura (Perlembagaan 1965) dan Brunei Darussalam (Perlembagaan 1959).

Selain itu, bahasa Melayu turut dituturkan di beberapa wilayah lain seperti Thailand Selatan dan Tengah, Filipina Selatan, Vietnam Selatan, Kemboja, Myanmar Selatan serta Sri Lanka.

Statistik menunjukkan bahawa lebih 300 juta penutur menggunakan bahasa Melayu daripada kira-kira 593 juta penduduk Asia Tenggara.

Keadaan ini membuka ruang dan potensi yang besar untuk bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa perhubungan dan bahasa perantara atau lingua franca di rantau ini, sekali gus mengulangi kegemilangan zaman Sriwijaya dan kerajaan Melayu silam.

Kewujudan bahasa Melayu telah dibuktikan sejak abad ke-7 Masihi melalui penemuan batu bersurat Kedudukan Bukit di Palembang pada tahun 683 Masihi yang memperlihatkan penggunaan bahasa Melayu Kuno dalam bentuk tulisan.

Menurut Asmah Hj. Omar, lingua franca merujuk kepada bahasa yang diketahui oleh kebanyakan penutur walaupun hanya pada peringkat asas.

Hakikatnya, bahasa Melayu telah memainkan pelbagai peranan penting sebagai bahasa ilmu dan bahasa penyatu di Nusantara sehingga ke era kontemporari.

Di Malaysia, peranan bahasa Melayu diperkukuh melalui Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan selaras dengan Laporan Razak 1956.

Usaha ini diperkasakan lagi apabila Tun Patinggi Datuk Abdul Rahman Ya’kub, Menteri Pendidikan pada tahun 1969, melaksanakan peralihan sekolah Inggeris kepada sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan.

Pelaksanaan Akta Pendidikan 1996 turut memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan, termasuk institusi pendidikan tinggi awam dan swasta.

Di peringkat antarabangsa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Fakulti Bahasa dan Komunikasi telah memperluas pengaruh bahasa Melayu dengan menjalin kerjasama bersama universiti di Uzbekistan sejak tahun 2017 serta “The Malaysian Language and Culture Centre” ditubuhkan pada tahun 2019.

Di Indonesia, bahasa Melayu yang dikenali sebagai Bahasa Indonesia diangkat sebagai bahasa nasional serta berfungsi sebagai bahasa penyatu masyarakat majmuk kerana dianggarkan terdapat lebih 500 kumpulan etnik dan puluhan ribuan pulau.

Bahasa Indonesia menjadi tunjang kepada pembentukan jati diri nasional yang ampuh selaras dengan ikrar yang terkandung dalam Sumpah Pemuda, iaitu “Menjunjung Bahasa Persatuan, Bahasa Indonesia”.

Hal ini dapat dilihat apabila masyarakat pelbagai etnik, termasuk keturunan Cina, bertutur dalam bahasa nasional dengan fasih tanpa perbezaan yang ketara dengan penutur natif.

Pasal 36, Undang-Undang Dasar 1945 turut menegaskan penggunaan bahasa nasional menjadi tanggungjawab semua penjawat awam dalam segala urusan rasmi baik di peringkat lokal mahupun dunia.

Brunei Darussalam pula menitikberatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara Brunei 1959 Bab 82(i).

Walaupun rakyatnya terdiri daripada pelbagai puak seperti Puak Brunei, Kedayan dan Bisaya yang mempunyai dialek tersendiri, bahasa Melayu digunakan sebagai medium komunikasi bersama.

Ideologi Melayu Islam Beraja (MIB) menjadi tunjang kepada perkembangan bahasa Melayu di negara tersebut. Penggunaan tulisan Jawi bersama Rumi diwajibkan melalui Surat Edaran Jabatan Perdana Menteri No. 21/1988 pada papan tanda, dokumen rasmi, perniagaan dan sebagai subjek pendidikan agama, sekali gus memartabatkan bahasa dan budaya Melayu serta memperkukuh pengajian Islam.

Di Singapura, bahasa Melayu kekal sebagai bahasa kebangsaan walaupun negara tersebut telah berpisah daripada Malaysia sejak 9 Ogos 1965.

Bahasa Melayu masih digunakan dalam majlis rasmi, lagu kebangsaan “Majulah Singapura”, arahan kawad ketenteraan dan pada mata wang.

Peranan Singapura dalam perkembangan sastera Melayu juga amat signifikan kerana pernah menjadi pusat penerbitan, percetakan dan intelektual Melayu di Asia Tenggara pada abad ke-19 hingga awal abad ke-20.

Karya sastera seperti sajak “Kita Tidak Bakal Balik” oleh Masuri S.N. membuktikan lagi peranan bahasa Melayu sebagai medium kesedaran dan kebangkitan masyarakat.

Ke mana kita

Dan segala anak cucu segala

Kita bakal didakwa

Pewaris putus asa

Yang memuliakan semangat papa

Kesimpulannya, cadangan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN telah dikemukakan sejak tahun 1980-an oleh ahli antropologi Filipina, E. Patanne.

Pelbagai pelan tindakan boleh dilaksanakan, antaranya program pertukaran budaya, penyediaan biasiswa pengajian berbahasa Melayu kepada pelajar antarabangsa serta pengukuhan pertukaran guru dan pelajar bahasa Melayu di Nusantara.

Masa hadapan bahasa Melayu memerlukan perancangan bahasa yang bersifat dwistrategi, iaitu berpusat kepada negara dan berkembang merentas sempadan ke lingkungan negara-negara berkepentingan sepunya, agar hasrat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa mahawangsa dapat direalisasikan.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular