Baru-baru ini, insiden tembakan yang melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan warga Indonesia di perairan Selangor telah mencetuskan ketegangan serta protes di Jakarta.
Kejadian ini bukan sahaja membawa kepada demonstrasi dengan slogan “Ganyang Malaysia,” tetapi juga mencetuskan pelbagai persepsi negatif terhadap penguatkuasaan undang-undang maritim Malaysia.
Namun, dalam menilai isu ini, adalah penting untuk mengambil pendekatan yang seimbang berdasarkan prinsip perundangan dan kemanusiaan.
Dalam aspek perundangan antarabangsa, setiap negara berdaulat mempunyai hak mutlak untuk mengawal sempadan maritimnya dan melaksanakan penguatkuasaan ke atas mana-mana individu yang disyaki melanggar undang-undang negara berkenaan.
Malaysia, melalui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), telah bertindak mengikut prosedur operasi standard (SOP) dalam menjalankan tugasnya bagi memastikan perairan negara selamat daripada ancaman pencerobohan atau aktiviti jenayah maritim seperti penyeludupan dan pencerobohan perikanan.
Berdasarkan laporan kejadian, individu yang ditembak dipercayai enggan berhenti dan bertindak agresif terhadap anggota penguat kuasa.
Dalam situasi ini, pegawai Maritim Malaysia perlu bertindak mengikut protokol keselamatan, termasuk penggunaan senjata api jika wujud ancaman nyawa.
Ini adalah selaras dengan hak mempertahankan diri yang termaktub dalam perundangan Malaysia dan prinsip undang-undang antarabangsa.
Ini bukanlah kali pertama anggota Maritim Malaysia diserang warga asing ketika menjalankan tugas penguatkuasaan.
Pada 17 Ogos 2020, seorang nelayan asing maut setelah terkena tembakan susulan tindakan agresif mereka untuk mengelak dari ditangkap kerana menceroboh perairan negara.
Tindakan agresif tersebut melibatkan serangan bom api oleh nelayan tersebut. Pada 21 Ogos 2024, dua orang anggota Maritim Malaysia cedera diserang dengan objek tajam manakala seorang lagi terjatuh ke dalam laut semasa membuat pemeriksaan ke atas sebuah bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara.
Kedua-dua insiden di atas menunjukkan niat para nelayan asing untuk mendatangkan cedera atau kematian anggota-anggota penguatkuasaan kita.
Dari perspektif hak asasi manusia, setiap tindakan penguatkuasaan perlu dilakukan secara profesional dan berlandaskan prinsip keperluan dan kesepadanan (necessity and proportionality).
Dalam kes ini, tindakan tembakan yang dilepaskan bukanlah bersifat membuta tuli atau disengajakan, tetapi merupakan tindak balas terhadap ancaman yang diberikan oleh pihak yang enggan memberi kerjasama dan bertindak agresif.
Tuntutan sebilangan masyarakat Indonesia agar pegawai yang terlibat disiasat adalah sesuatu yang wajar dalam memastikan ketelusan, tetapi pada masa yang sama, perlu difahami bahawa tindakan mempertahankan keselamatan negara tidak boleh disalah tafsir sebagai pencabulan hak asasi.
Setiap negara berhak menegakkan undang-undang di perairannya tanpa perlu tunduk kepada tekanan emosi atau sentimen luar.
Dalam menghadapi reaksi yang tercetus daripada insiden ini, penting bagi kedua-dua negara untuk mengelakkan eksploitasi sentimen kebencian yang boleh menggugat hubungan diplomatik yang sudah lama terjalin antara Malaysia dan Indonesia.
Malaysia dan Indonesia berkongsi nilai budaya, sejarah, serta kepentingan strategik yang perlu terus diperkukuh demi kestabilan serantau.
Sebagai langkah meredakan ketegangan, komunikasi diplomatik perlu diperhebat antara kedua-dua negara bagi memastikan fakta yang sebenar dapat diperjelaskan kepada masyarakat.
Media massa dan pihak berkepentingan juga harus memainkan peranan yang bertanggungjawab dalam melaporkan kejadian tanpa unsur provokasi atau berat sebelah yang boleh memburukkan keadaan.
Majlis Perundingan Melayu mengambil pendirian untuk menyokong sebarang usaha Kementerian Dalam Negeri dan agensi-agensi di bawah naungannya dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Kedaulatan sesebuah negara dan keselamatan rakyatnya adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi. Pada masa yang sama, setiap tindakan penguatkuasaan harus mematuhi prinsip keperluan dan kesepadanan agar tidak disalah anggap sebagai tindakan keterlaluan.
Dalam isu ini, Maritim Malaysia telah bertindak mengikut garis panduan yang ditetapkan, dan sebarang tuntutan agar kes ini disiasat perlu dilakukan secara profesional tanpa dipengaruhi oleh emosi atau tekanan luar.
Sebagai negara serumpun, Malaysia dan Indonesia harus mengelakkan retorik kebencian yang hanya akan merugikan kedua-dua pihak. Sebaliknya, ruang diplomasi dan persefahaman harus terus diperkukuh bagi memastikan kestabilan serantau dapat dikekalkan demikepentingan bersama.
Oleh : KAPT ABDUL RAHMAT OMAR MOHAMED HANIFF (BERSARA)PENGERUSI BIRO KESELAMATAN, PERTAHANAN, KETENTERAMAN AWAM DAN DUNIA PERSILATANMAJLIS PERUNDINGAN MELAYU

