27.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 23, 2025

MBSA kesal taman tema langgar larangan, teruskan aktiviti gelongsor kaca tanpa kelulusan

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meluahkan rasa kesal apabila pengurusan sebuah taman tema terus beroperasi dan menjalankan aktiviti gelongsor kaca (Glass Water Slide) walaupun telah diberikan beberapa notis amaran dan kompaun.

MBSA dalam satu kenyataan berkata, sebuah Notis Amaran telah dikeluarkan pada 19 Januari lalu, mengarahkan agar aktiviti hiburan terbabit dihentikan serta-merta berdasarkan Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 Pindaan 2001 Seksyen 6 (1)(a).

“MBSA telah mengambil langkah tegas dengan menutup tapak projek gelongsor kaca dan menggantung semua aktiviti di lokasi terbabit,” kata kenyataan itu.

Langkah itu diambil untuk memastikan tiada kerja diteruskan tanpa kelulusan rasmi daripada pihak MBSA.

MBSA juga menggesa agar pematuhan terhadap peraturan dilakukan, namun walaupun notis telah dikeluarkan, pemeriksaan semula mendapati pihak pengurusan taman tema itu masih meneruskan aktiviti berkenaan tanpa kelulusan bertulis dan melanggar arahan yang dikeluarkan.

Sehubungan itu, pada 30 Januari, MBSA mengeluarkan Notis Kompaun Engkar Arahan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) Seksyen 121, berikutan kegagalan pihak pengurusan untuk mematuhi kehendak notis yang diberikan.

Kenyataan terbabit juga menjelaskan pada 22 November 2024, sebuah Notis Borang F di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) turut dikeluarkan untuk mengarahkan pihak berkenaan supaya mengemukakan permohonan kebenaran merancang berhubung pemajuan yang telah dilakukan tanpa kebenaran merancang.

MBSA turut menegaskan tindakan ini diambil bagi memastikan pembangunan dijalankan mengikut peraturan yang ditetapkan, demi keselamatan dan kepentingan awam.

 

ARTIKEL BERKAITAN

Popular