29.6 C
Kuala Lumpur
Friday, March 6, 2026

Konsert “For You Nourul” ditunda ke 30 Mei 2026 di Zepp KL, janji malam penuh emosi dan nostalgia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Konsert solo sulung penyanyi tanah air, Nourul berjudul “For You Nourul” yang sebelum ini dijadual berlangsung pada 17 April 2026 kini dijadualkan semula ke 30 Mei 2026.

Penjadualan semula ini dibuat bagi memastikan kualiti persembahan berada pada tahap terbaik serta memberi ruang yang lebih selesa kepada para peminat untuk hadir meraikan malam istimewa tersebut.

Menurut pihak penganjur, ND Entertainment, keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama Nourul dengan mengambil kira beberapa faktor penting termasuk menghormati dua perayaan besar umat Islam iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Selain itu, tarikh baharu ini dilihat lebih sesuai bagi memberi peluang kepada peminat menyusun semula perancangan kewangan selepas musim perayaan.

Pihak penganjur turut menyatakan bahawa pemilihan 30 Mei 2026 diyakini mampu menjadikan konsert ini sebagai satu hari keraian khas buat Nourul dan para peminat dalam suasana yang lebih meriah dan selesa.

Mereka optimis perubahan tarikh ini akan memberi impak positif terhadap keseluruhan pengalaman konsert yang telah dirancang rapi sejak sekian lama.

Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Ab. Wahab, 49, berkata, penukaran tarikh itu turut memberi kelebihan dari sudut perancangan produksi dan penyusunan barisan artis jemputan.

Katanya, proses perbincangan turut membabitkan penyelarasan semula jadual perjalanan konsert susulan perubahan penganjur daripada pihak terdahulu kepada syarikat miliknya sendiri.

“Langkah itu disifatkan penting bagi memastikan konsert sulung sepanjang lebih tiga dekad penglibatan saya dalam industri muzik tempatan ini benar-benar memenuhi jangkaan peminat,” katanya.

Penyanyi yang dikenali menerusi lagu malar segar “Kerana Terluka” itu tetap optimis konsert “For You Nourul” akan mendapat sambutan hangat dan menjadi antara momen paling bermakna dalam perjalanan seni beliau.

Konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya simbol penghargaan kepada peminat yang setia menyokong kerjayanya sejak awal pembabitan dalam industri hiburan tanah air.

Konsert “For You Nourul” akan berlangsung pada 30 Mei 2026, jam 8 malam bertempat di Zepp Kuala Lumpur.

Lokasi berprestij itu dipilih bagi menjanjikan pengalaman audio dan visual yang eksklusif serta lebih dekat dengan penonton.

Walaupun tarikh telah dikemas kini, penjualan tiket masih diteruskan mengikut kategori harga yang telah ditetapkan iaitu RM198 bagi kategori Sehati Sejiwa, RM298 (Cinta Azali), RM328 (Keliru), RM388 (Kerana Terluka) dan RM6,000 untuk VIP Box. Tiket boleh dibeli menerusi platform rasmi ticketing dalam talian.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular