29.6 C
Kuala Lumpur
Friday, March 6, 2026

KPK perkukuh tadbir urus, lonjak sektor agrikomoditi dan bela pekebun kecil

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Kementerian Perladangan dan Komoditi terus komited untuk memperkukuh tadbir urus, mempercepat transformasi teknologi serta meningkatkan kesejahteraan pekebun kecil.

Menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad, berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kementerian atas komitmen berterusan dalam memacu sektor agrikomoditi negara yang kekal sebagai penyumbang signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta kesejahteraan rakyat.

“Saya juga mengalu-alukan pelantikan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) yang baharu, Shafie Taib dan menyatakan keyakinan terhadap keupayaan beliau menyuntik dinamika baharu dalam pengurusan strategik Kementerian,” katanya ketika berucap sempena Perhimpunan Bulanan dan Majlis Berbuka Puasa Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di Dewan Serbaguna kementerian itu pada Jumaat.

Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan semangat kekeluargaan itu turut dihadiri Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Huang Tiong Sii, barisan pengurusan tertinggi kementerian, ketua-ketua agensi serta warga kerja KPK.

Mengulas amanah kepimpinan yang digalas, Noraini berkata, budaya tadbir urus yang baik tidak boleh sekadar menjadi slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam setiap tindakan dan keputusan di semua peringkat organisasi.

Beliau dan Timbalan Menteri komited membina hubungan kerja berteraskan kepercayaan, keterbukaan dan saling menghormati, sekali gus mewujudkan persekitaran kerja yang progresif serta inklusif selaras aspirasi Malaysia MADANI.

Sepanjang dua bulan menerajui kementerian, beliau telah mengadakan beberapa siri lawatan kerja ke agensi di bawah KPK dan menyertai program turun padang bagi meninjau sendiri perkembangan sektor agrikomoditi.

Katanya, hasil pemerhatian itu memperlihatkan tahap profesionalisme tinggi dalam kalangan warga kementerian, penyelidik dan pengurusan agensi, khususnya dalam memperkenalkan inovasi teknologi seperti mekanisasi moden, automasi dan kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan ladang serta pembangunan klon baka baharu berdaya tahan.

“Menghadapi tahun 2026 yang dijangka mencabar, ingin saya ingatkan bahawa sektor agrikomoditi tidak boleh lagi diurus secara konvensional.

“Ketidaktentuan geopolitik, perubahan iklim, turun naik harga komoditi dunia serta kemunculan peraturan perdagangan antarabangsa yang lebih ketat berhubung elemen kelestarian menuntut pendekatan lebih radikal dan berfokus.

“Perlunya meningkatkan kecekapan pengeluaran hulu melalui peningkatan hasil sehektar bagi komoditi utama seperti sawit, getah, koko dan lada,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama, pengukuhan rantaian nilai hiliran perlu dipertingkat melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan produk bernilai tambah tinggi yang mampu menembusi pasaran global.

“Aspek kelestarian turut diberi perhatian serius dengan penegasan bahawa Malaysia akan terus mempertahankan pensijilan dan amalan mampan di peringkat antarabangsa, tanpa tunduk kepada diskriminasi perdagangan.

“Setiap dasar dan inisiatif kementerian perlu disertakan dengan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas dan boleh diukur secara objektif, agar setiap perbelanjaan dana awam memberi impak sebenar kepada rakyat dan industri,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Noraini berkata, nadi sebenar sektor agrikomoditi adalah pekebun kecil. Peningkatan nilai eksport tidak bermakna sekiranya manfaatnya tidak dirasai golongan itu di peringkat akar umbi.

Justeru, peningkatan pendapatan dan taraf hidup pekebun kecil kekal menjadi agenda utama kementerian.

“Pelaksanaan program bantuan subsidi seperti BUDI MADANI adalah manifestasi komitmen kerajaan dalam menyediakan jaringan keselamatan kepada komuniti pekebun kecil agar tidak terjejas oleh ketidaktentuan harga dan cabaran ekonomi global.

“Penyampaian bantuan mesti dilaksanakan secara pantas, telus dan tanpa kerenah birokrasi,” katanya.

Menyentuh isu kebergantungan terhadap buruh asing, Noraini melihat pendigitalan, mekanisasi dan penggunaan teknologi pintar sebagai penyelesaian jangka panjang.

Integrasi dron, sensor berasaskan AI dan jentera moden diyakini mampu menarik minat generasi muda serta mentransformasikan persepsi bahawa sektor perladangan bukan lagi bidang 3D (Dirty, Dangerous, Difficult), sebaliknya industri berteknologi tinggi yang menawarkan peluang kerjaya bernilai tambah.

“Budaya bekerja secara silo dihentikan serta digantikan dengan sinergi kukuh antara bahagian, agensi dan majlis di bawah kementerian.

“Perkongsian data, kepakaran dan pembentukan pasukan rentas fungsi dilihat sebagai langkah strategik untuk menyelesaikan isu rentas komoditi dengan lebih cekap dan pantas.

“Dalam usaha mencapai sasaran prestasi, kepentingan kesejahteraan mental, fizikal dan emosi warga kerja sebagai aset terpenting kementerian.

“Persekitaran kerja kondusif, komunikasi dua hala yang berkesan serta keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan disifatkan sebagai asas kepada organisasi mampan dan berprestasi tinggi,” katanya.

Pada kesempatan itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada mantan Menteri Perladangan dan Komoditi, Johari Abdul Ghani, serta mantan Timbalan Menteri, Chan Foong Hin, atas sumbangan dan legasi kepimpinan yang telah mengukuhkan kedudukan kementerian dalam pembangunan sektor agrikomoditi negara.

Majlis turut diserikan dengan inisiatif Program Ihya Ramadan peringkat kementerian yang dianjurkan Surau Muhammadi dengan kerjasama pelbagai pihak.

Bagi menyokong kelancaran program itu, Noraini menyumbangkan RM10,000 sebagai tanda komitmen dan sokongan terhadap aktiviti kerohanian serta kebajikan warga kementerian sepanjang Ramadan.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular