editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Bagaimana jika rahsia masa lampau yang disimpan rapi akhirnya terbongkar? Sejauh manakah seseorang sanggup berkorban demi mempertahankan cinta dan maruah?
Persoalan inilah yang menjadi tunjang kepada Amira Amir, filem drama sosial terbaharu terbitan Astro Shaw yang menemui penonton secara eksklusif di Astro First bermula 26 Februari 2026.
Mengangkat tagline ‘Setiap Rahsia Ada Harganya’, filem ini diarahkan oleh Reen Emran dan menampilkan barisan pelakon ternama seperti Zahiril Adzim, Sophia Albarakbah, Fezrul Khan, Zarynn Min serta Kartina Aziz.
Skrip filem ini digarap oleh Eenaz Mokhtar, Zuli Ismail dan Ctna Marzuki, manakala Ababil bertindak sebagai guru lakonan bagi memperkukuh emosi dan kredibiliti persembahan watak.

Amira Amir mengisahkan Ziyad, seorang lelaki yang berkahwin atas dasar cinta pandang pertama dengan seorang wanita bernama Amira.
Namun, kebahagiaan rumah tangga yang dibina atas kepercayaan dan kasih sayang mula goyah apabila satu kebenaran besar mengenai identiti Amira terbongkar.
Pendedahan itu bukan sahaja mengubah kehidupan mereka, malah menggugat prinsip dan persepsi Ziyad terhadap makna cinta serta kesucian sebuah perkahwinan.

Lebih daripada sekadar kisah romantik, filem ini menyelami konflik sosial yang lebih kompleks iaitu realiti menyembunyikan kebenaran yang bertentangan dengan norma dan hukum, serta kesannya terhadap individu, keluarga dan penerimaan masyarakat.
Naratif yang dipersembahkan mengajak penonton menilai sejauh mana masyarakat benar-benar bersedia memahami dan menerima individu yang dianggap ‘berbeza’.
Menurut Penerbit Eksekutif merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, filem ini dihasilkan untuk memberikan pengalaman tontonan yang lebih intim bersama insan tersayang di rumah.

“Topik yang diketengahkan berkait rapat dengan isu kejujuran identiti yang memberi kesan mendalam kepada diri sendiri serta orang sekeliling.
“Naratifnya pula disampaikan daripada pelbagai perspektif secara seimbang bagi mencetuskan perbincangan matang dalam kalangan penonton, khususnya apabila ditayangkan menjelang Ramadan yang sarat dengan mesej keinsafan dan refleksi diri,” katanya.

Sebagai pelengkap emosi penceritaan, Amira Amir turut menampilkan lagu tema berjudul ‘Hati Yang Tak Terbalas’ nyanyian Marsha Milan, yang dikenali dengan vokal penuh penghayatan dan mampu menyentuh jiwa pendengar.
Filem ini ditayangkan secara eksklusif di Astro First bermula 26 Februari 2026 dan boleh dilanggan pada harga RM15 untuk tempoh tontonan selama 48 jam melalui platform Astro dan sooka.

Seiring dengan mesej Ramadan Astro tahun ini, ‘Bila Bersama Lagi Jadi’, karya ini dijangka lebih bermakna apabila ditonton bersama keluarga dan insan tersayang, sekali gus membuka ruang dialog tentang nilai kejujuran, penerimaan dan harga sebuah rahsia dalam kehidupan.

